Home Cerpen Keluarga Oh, malunya!
Oh, malunya!
Nik Zah
1/10/2015 22:52:18
3,471
Kategori: Cerpen
Genre: Keluarga

Diana segera menuruni anak tangga. Derapan langkahnya kuat sehingga didengari oleh Nek Siah yang berada di tingkat bawah. Diana tahu dirinya terlewat lagi. Setahunya dia sudah pun menetapkan bunyi alarm setiap pagi tetapi mungkin akibat terlalu letih, dia tidak mendengari bunyi jam loceng tersebut.

“Tak nak sarapan dulu?” sapa Nek Siah sambil mengerling Diana yang kelihatannya masih kelam kabut.

Diana sekadar menggeleng sambil tangannya menyarungkan stoking putih. Tidak berapa lama kemudian kedengaran bunyi hon di luar menandakan bas sekolah yang dinaiki Diana telah tiba. Diana segera menyarung kasut dan menerpa ke arah bas sekolah tersebut.

Nek Siah menggeleng kepala. Tidak sampai seminggu dia berada di dalam rumah ini, sudah pelbagai gelagat dapat dilihat melalui perwatakan anak dan cucunya itu.

Baru sahaja Nek Siah ingin meneguk air kopi, kini muncul pula Firdaus yang lengkap berpakaian kemeja menuruni anak tangga dengan keadaan tergopoh-gopoh. Firdaus sempat membetulkan tali leher yang kelihatannya senget sebelah lalu menghampiri Nek Siah.

Tanpa dipelawa, Firdaus terus duduk di kerusi bersebelahan dengan Nek Siah lalu meneguk secawan kopi yang sememangnya disediakan untuknya.

“Sedap kopi mak, minum tak jemu.” Firdaus sempat memuji kelazatan kopi buatan Nek Siah. Sudah lama dia merindui air tangan ibunya itu.

“Mak tengok kamu berdua ni selalu je kelam kabut. Risau pulak mak menengoknya.” Nek Siah merenung wajah anak kesayangannya itu.

Sebenarnya Nek Siah risau melihatkan keadaan anaknya yang seolah-olah tidak mempunyai cukup masa untuk menguruskan diri sendiri. Segala-galanya dilakukan sendiri oleh anaknya itu. Mana mahu dikejar tentang kerja di pejabat lagi, di rumah lagi.

Firdaus dapat menangkap apa yang ingin disampaikan oleh ibunya itu sebentar lagi.

“Kamu dah fikir ke pasal cadangan mak?”

Benar telahan Firdaus. Nek Siah menyebut lagi tentang hal itu.

“Mak bukannya apa Firdaus, mak kesian tengok kamu dua beranak ni.” Keluh Nek Siah.

“Mak, Firdaus dah lewat. Apa-apa pun kopi mak memang sedap.” Firdaus sempat memuji sebelum bangun dari kerusi dan bersalaman dengan Nek Siah.

“Tengahari nanti mak masakkan sambal udang.” Sengaja Nek Siah ingin melihat reaksi Firdaus. Firdaus tersengih. Tengahari nanti dia pasti pulang demi merasai betapa sedapnya masakan yang disediakan ibunya.

*****

Mulut Nek Siah tidak sudah-sudah mengomel. Tangannya ligat membetulkan cadar, menepuk bantal dan menyapu bilik anaknya. Walaupun Nek Siah sudah tua, namun dia masih lagi kuat bertenaga melakukan kerja-kerja rumah. Selesai mengemas di bilik Firdaus, kini tumpuan Nek Siah ke bilik Diana pula.

Semakin kuat Nek Siah membebel melihatkan keadaan bilik cucunya. Dengan kain tuala yang tidak digantung malah diletakkan pula di atas katil dalam keadaan yang masih lembab. Buku-buku pelajaran berselerak dan ada yang jatuh di atas lantai, malah katil juga tidak berkemas. Nek Siah tidak menunggu lama. Tangannya berasa gatal untuk menyudahkan ‘kerja’ yang berada di hadapan matanya ini. Selesai mengemas bilik kedua-dua bilik yang diibaratkan seperti kapal pecah itu, barulah Nek Siah dapat menarik nafas lega. Nek Siah menuruni semula anak tangga dan duduk di sofa yang mengadap televisyen. Nek Siah menekan-nekan butang pada remote control untuk mencari siaran. Nampaknya tiada siaran yang menarik minatnya buat masa sekarang. Nek Siah menutup semula suis televisyen dan duduk bersandar di sofa.

Nek Siah terus memikirkan masalah mengenai anak dan cucunya. Anaknya itu nampaknya terus berdegil untuk tidak menerima cadangannya. Nek Siah harus mencari cara agar Firdaus setuju dengan cadangannya. Lagipun ini untuk kesenangan Firdaus dan cucunya juga.

Tengahari itu Firdaus mengotakan janjinya untuk pulang menikmati masakan air tangan ibu yang dikasihinya itu. Waktu satu jam untuk rehat digunakan untuk santai seketika di rumah sebelum pulang semula ke pejabat sejam kemudian. Sejak Nek Siah berada di rumahnya, Firdaus sering pulang sebentar ke rumah pada waktu rehat. Masuk sahaja di dalam rumah, aroma masakan dari dapur sudah menusuk hidung. Firdaus menelan air liur. Masakan ibunya itu sering membuatkan Firdaus teringat-ingat. Itulah antara sebab Firdaus kerap pulang ke kampung ibunya. Firdaus berasa gembira apabila ibunya itu bersetuju untuk tinggal selama dua minggu di rumahnya setelah sekian lama dipujuk. Nek Siah juga tahu Firdaus menyayangi dirinya. Nek Siah bersyukur dikurniakan anak sebaik Firdaus yang tidak melupakan tanggungjawabnya sebagai seorang anak selain sering mengirimkan wang belanja untuknya.

Firdaus masuk ke bilik sebentar untuk menukar pakaian. Firdaus terharu melihat keadaan biliknya yang sudah pun dibersihkan oleh ibunya. Firdaus tahu ibunya itu seorang yang rajin dan suka melakukan kerja rumah. Nek Siah tidak suka melihat keadaan rumah yang bersepah. Ligat sahaja tangannya membersihkan rumah. Serta merta Firdaus dipagut rasa bersalah kerana telah menyusahkan ibunya yang terpaksa melakukan kerja-kerja rumah untuknya. Bukan niat Firdaus untuk membebani ibunya dengan timbunan kerja rumah yang perlu dibereskan tetapi begitulah sifat Nek Siah yang sememangnya sukakan kekemasan. Sudah beberapa kali Firdaus menegah ibunya daripada bersusah-susah mengemas rumah dan biliknya tetapi Nek Siah tetap berdegil.

“Mak harap kau pertimbangkan cadangan mak.” Nek Siah membangkitkan lagi isu itu. Firdaus menarik nafas dalam-dalam. Susah juga untuk menerima terus cadangan ibunya itu. Banyak perkara yang perlu difikirkan. Lagipun zaman sekarang pelbagai perkara buruk boleh berlaku tanpa pengetahuannya.

“Ini untuk kesenangan kau juga.” Sambung Nek Siah apabila melihat Firdaus masih tidak memberikan sebarang reaksi.

“Susah mak.” Jawab Firdaus sambil mulutnya mengunyah sisa nasi yang masih belum sempat dihabiskan.

“Ye, mak faham. Tapi mak kesiankan kau, Diana.” Balas Nek Siah.

Nek Siah tahu apa yang difikirkan oleh Firdaus. Jika Noreen masih ada, keadaan tidak menjadi begini. Nek Siah segera beristighfar . Tidak boleh dia berfikiran seperti itu. Ajal maut semuanya di tangan Allah. Kematian menantunya Noreen yang merupakan isteri Firdaus dan ibu kepada Diana akibat kemalangan adalah merupakan takdir yang perlu diterima dengan redha. Tidak siapa menjangka Noreen akan meninggalkan dunia ini begitu cepat. Ketika itu Diana masih bersekolah rendah. Kini Diana sudahpun berada di tingkatan dua. Diana juga agak trauma untuk menunggang motorsikal apabila teringatkan tragedi ibunya yang dirempuh lori ketika menunggang motorsikal untuk pergi ke kedai berhampiran.

“Eh, cucu nenek dah balik. Jom makan sekali.” Pelawa Nek Siah sebaik sahaja melihat Diana membuka pintu.

Wajah Diana muncung dan muram. Diana tidak menjawab sapaan Nek Siah malah terus meluru menaiki tangga menuju ke dalam biliknya. Nek Siah menyedari riak wajah Diana. Pelik pula Nek Siah melihat cucunya kali ini.

“Dia penat tu.” Firdaus cuba menenangkan Nek Siah.

*****

Diana semakin berubah sikap menjadi pendiam. Nek Siah cuba bersembang dengan Diana tetapi Diana seolah-olah cuba melarikan diri daripadanya. Nek Siah mula berjauh hati dengan sikap Diana. Bila keseorangan di dalam bilik, Nek Siah menangis.

“Mungkin Diana memang tak suka aku duduk lama kat sini.” Fikir Nek Siah. Perasaannya semakin hiba. Perlahan-lahan dia mengambil beg yang diletakkan di kaki katil.

“Mak nak balik.”

Terkejut Firdaus apabila ibunya tiba-tiba ingin pulang. Nek Siah sudah bersiap-siap dengan memegang beg baju di tangan kanannya.

“Kenapa ni mak?” Firdaus memegang tangan tua Nek Siah dan memberi ruang duduk di sofa sebelahnya.

“Mak terasa hati dengan Diana ke?” Tanya Firdaus. Firdaus sendiri pelik dengan sikap Diana kebelakangan ini yang berubah pendiam dan seolah-olah ingin menjauhkan diri. Bukan sahaja Nek Siah yang dilayan begitu, dia sebagai ayah juga dilayan seperti itu.

“Nanti saya bercakap dengan Diana. Mak jangan sedih-sedih.” Firdaus cuba memujuk hati ibunya yang rawan.

Sejuk seketika hati Nek Siah mendengar kata-kata lembut Firdaus.

*****

Diana membiarkan pintu biliknya dibuka setelah diketuk oleh ayahnya. Diana memandang ayahnya yang sudah pun duduk di sebelahnya.

Firdaus mengusap-usap rambut Diana.

“Diana tahu tak nenek dah nak balik?” Tanya Firdaus lembut. Firdaus cuba menggunakan kata-kata yang lembut supaya Diana juga selesa bercakap dengannya. Firdaus tahu ada sesuatu yang Diana pendamkan.

Diana menggeleng.

“Diana ada masalah apa-apa ke? Jom kita bincang sama-sama.”

Diana menunduk. Lidahnya merasa kelu untuk berbicara.

“Sebelum ni kita selalu bincang masalah sama-sama. Ayah tahu Diana ada masalah kan.” Pujuk Firdaus lagi.

“Ayah, betul ke yang ayah nak kahwin lagi?”

Pertanyaan Diana benar-benar membuatkan Firdaus terkejut. Dari mana pula Diana mendapat cerita ini?

“Betul ke ayah?” gesa Diana. Dia dapat melihat riak terkejut ayahnya.

“Ni mesti ada salah faham ni. Cuba cakap siapa yang bagitahu.” Firdaus tidak terus menjawab pertanyaan Diana malah menyoal Diana semula.

“Nenek la.” Jawab Diana tidak berselindung lagi.

“Nenek?” Firdaus semakin terkejut.

“Kan nenek yang ada bagi cadangan biar ayah kahwin lain. Diana dengar ayah. Ayah tak payah nak berdalih lagi.” Diana tidak dapat menahan sabar apabila ayahnya masih belum menjawab pertanyaannya.

Firdaus tiba-tiba ketawa dengan kuat. Reaksi Firdaus itu serta-merta membuatkan Diana makin terpinga-pinga.

“Memang betul tekaan ayah yang Diana dah salah faham. Diana ada terdengar nenek bagi cadangan tetapi Diana sendiri tak tahu apa cadangan nenek tu kan.” Kata Firdaus masih lagi menahan ketawa.

Diana mengerut dahi tanda tidak faham maksud yang ingin disampaikan oleh ayahnya.

“Maksud nenek hari tu, bukan bagi cadangan ayah kahwin lain tapi bagi cadangan supaya rumah ni ada orang gaji. Ye lah, nenek tu asyik bising je tengok rumah ni tak berkemas. Bilik Diana pun nenek kata tak kemas. Diana mana dengar tu semua. Ayah la yang kena tadah telinga kena marah dengan nenek tau.”

Diana terkejut kemudian tersipu-sipu malu.

“Nenek bagitahu ayah yang bilik Diana asyik bersepah. Nenek tak suka keadaan macam tu. Ni mujur nenek yang kemaskan tahu. “

Diana makin tersipu-sipu. Malunya!

“Ayah bukan apa, ayah tak suka ada orang luar dalam rumah kita ni. Macam-macam boleh jadi. Tapi ayah janji akan cuba buat yang terbaik untuk nenek, untuk Diana.” sambung Firdaus.

“Minta maaf ayah. Diana betul-betul sangkakan yang ayah nak kahwin lain.” Diana mula berasa menyesal.

“Tapi boleh tak Diana nak minta request daripada ayah?” Tanya Diana tersengih.

Firdaus mengangkat kening. Apa pula permintaan Diana ni.

“Diana nak ayah teman Diana jumpa nenek. Diana segan la ayah. Diana nak minta maaf pada nenek. Diana dah prasangka buruk pada nenek.”

Firdaus tersenyum. Permintaan anaknya itu pasti ditunaikan.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.