Home Cerpen Islamik AdaMu
AdaMu
Laila Qaisara
25/4/2013 11:22:55
2,400
Kategori: Cerpen
Genre: Islamik

“Ramainya orang hari ni,” komen Siva.

Munir hanya tersenyum.

“Hari ni cuti umum ke?” tanya Siva lagi. Sebagai sebuah syarikat yang berpangkalan di Singapura, bukan semua cuti umum yang dikongsi bersama Malaysia.

Munir mengangguk. “Hari ni cuti sempena Maulidur rasul,”

“Maulidur Rasul? Apa tu?”

“Maulidur Rasul tu maksudnya hari kelahiran Nabi Muhammad SAW,”

“Nabi Muhammad? Macam Jesus juga kan? Kalau orang Kristian sambut kelahiran Jesus dalam Hari Krismas, orang Islam sambut kelahiran Nabi Muhammad dalam Maulidur Rasul,”

“Tak, bukan begitu…,”

Belum sempat Munir membetulkan kenyataan Siva, Mei Lin menyampuk, “Tapi kenapa tarikhnya berlainan ye? Setahu saya, tahun lepas tarikh Maulidur Rasul jatuh pada bulan Februari kan?”

Masa itu baru Munir perasan ada seorang gadis yang duduk di belakang Mei Lin dan Siva. Gadis tadi tidak lekang dengan senyuman setiap kali Munir menjawab soalan-soalan mereka. Pandangan mata mereka bertaut. Gadis itu menganggukkan kepala dengan lembut, bagai memberi isyarat kepada Munir untuk menjawab sebaik mungkin.

“Nabi Muhammad SAW dilahirkan pada 12 Rabiulawal bersamaan dengan 20 April tahun 571 Masihi. Tapi dalam Islam, tarikh 12 Rabiulawal digunakan untuk memperingati hari kelahiran baginda.

Mei Lin mengangguk tanda faham. Munir mengerling sekilas pada gadis itu. Tersenyum. Tanda berpuas hati dengan jawapannya. Spontan Munir tersenyum.

“Bila Nabi Muhammad meninggal dunia?”

Mati senyum Munir tiba-tiba. Dia pandang gadis itu. Tersenyum meleret. Bagai member semangat untuk terus bersoal jawab dengan rakan-rakannya.

“Nabi Muhammad SAW wafat pada ulang tahun kelahiran baginda yang ke 63,”

“ 20 April atau 12 Rabiulawal?”

“12 Rabiulawal,”

Mei Lin menganggukkan kepala. Munir pandang gadis itu yang kemudian menunjukkan ibu jari padanya. Tanda berpuas hati dengan jawapan tadi. Munir senyum lagi.

*****

“Murni,”

Gadis tadi menoleh. Memandang Ina yang buat muka tidak puas hati.

“Kau kenapa?”

“Aku penat cerita pasal masalah rumah tangga aku, kau boleh ambil kesempatan cuci mata? Ini tidak adil!” Ina buat-buat marah.

“Eleh, masalah rumah tangga la sangat! Kau tu belum kahwin lagi. Tak payah nak masalah rumah tangga sangat lah!” kutuk Murni. Kutuk depan-depan tak apa kan?

“Sampai hati kau. aku baru nak bermanja-manja dengan kau,”

“Banyak la kau punya manja. Kau tu bila Zura siuk dengan program motivasi baru la kau nak cari aku,”

Ina tersengih. “Orang sibuk aku tak kacau. Orang tak sibuk yang aku kacau. Kau tengok siapa tu?”

“Hish, kau ni! Janganlah. Kantoi aku karang,”

Ina angkat kening. “Gatal juga kau ni ye,”

Murni membetul-betulkan bajunya. Reaksi spontan apabila mendengar kata-kata Ina. “Kau ni, bila nak habis makan? Berjanggut aku tunggu,”

“Tak ada pun janggut kau. mana?”

“Main-main ek?”

Ina ketawa kecil. “Aku dah habis makan. Tu yang aku bercerita pasal masalah rumah tangga aku tu. Alih-alih kau boleh cuci mata!”

“At least I’m single and available. Bukan macam kau. Baru tertunang dah sibuk dengan masalah rumah tangga. Ceh,”

“Tertunang?”

“Bertunang la. Aku salah cakap,”

Ina tersengih lagi. “Tengok wayang sudah. Makan-makan pun sudah. Lepas ni kita nak buat apa?”

“Tengok tasik la pulak. Tengok budak-budak main kat taman,” Murni menghabiskan minumannya. “Kita ni dah macam dating pulak,”

Ina ketawa.

“Assalamualaikum awak,”

Murni dan Ina sama-sama menoleh.

*****

“Assalamualaikum awak,”

Gadis itu dan rakannya sama-sama menoleh. Buat muka selamba. Munir pula yang berpeluh-peluh. Macam jumpa bakal mertua je. Eh, bakal mertua?

“Waalaikumsalam,”

Gadis itu menjawab salam. Pertama kali mendengar suaranya, Munir rasa ingin terbang. Siapa boleh bagi sayap? Heheheee…

“Awak?”

“Ye saya,” berkecai lamunannya. Gadis itu memandangnya sambil tersenyum. Malu sebentar Munir. Kalau la dia tahu aku tengah mengelamun tadi…

“Awak okey tak?”

“Er, saya okey. Sihat. Alhamdulilah,” Munir menarik nafas. “Awak, terima kasih la tolong saya tadi,”

“Tolong? Tolong apa?”

“Ala, yang tadi tu…,”

“Oh, yang awak bersoal jawab dengan kawan-kawan awak tu?” gadis itu tersenyum. “Tak ada apa-apa la. Kalau orang lain pun akan buat perkara yang sama tadi,”

“Tak,” balas Munir cepat. “Dunia hari ini, semua orang akan pentingkan diri sendiri,”

“Tak juga,” balas gadis itu cepat. “Tak semua begitu. Ada yang sangat mementingkan orang lain sehingga sanggup berkorban asalkan orang yang diselamatkan itu dapat peluang itu untuk selamatkan orang lain yang berada dalam bahaya,”

Munir diam. Memberi peluang untuk gadis itu meneruskan hujahnya. “Dalam kes awak, saya bagi peluang untuk awak berkongsi ilmu dengan orang lain. Kalau salah, saya betulkan. Namun Alhamdulilah, awak berjaya jawab soalan mereka dengan betul. Ini juga salah satu cabang dakwah,”

“Dakwah?”

“Ya,” gadis itu tersenyum lagi.

“Terima kasih, ingatkan saya,”

“Jangan berterima kasih pada saya. Saya hanya manusia biasa. Berterima kasihlah pada Allah SWT,”

Munir diam lagi.

“Awak tahu tak? Ramai yang ingat tarikh kelahiran Rasulullah SAW. Tapi ramai tak yang ingat tarikh kewafatan baginda? Ramai yang saya tanya, dan kebanyakannya tak tahu,” air mata gadis itu menitis. “Betapa dia ingatkan kita, tapi kita…,”

“Murni…,” Ina menggosok perlahan.

“Saya gembira awak berjaya jawab soalan tu,”

“Banyak lagi yang saya perlu belajar sebenarnya,” ujar Munir perlahan.

“Tak apa. Kita sama-sama belajar. Nama saya Murni,”

Munir terkejut. “Nama kita lebih kurang sama! Saya Munir,”

Murni tersenyum.

“Munir! Mari masuk pejabat!” laung Siva di kejauhan.

“Oh, kawan saya dah panggil tu. Nanti ada masa kita sembang lagi ya,” Munir menghulurkan sesuatu pada Murni. “Ini kad saya,”

“Ini pula kad saya. Insya Allah, kalau ada jodoh, kita jumpa lagi,”

“Insya Allah. Saya pergi dulu. Assalamualaikum,”

“Waalaikumsalam,” jawab Murni dan Ina serentak. Murni hanya menghantar Munir dengan pandangan matanya.

“Murni,” panggil Ina. “Kat medan selera pun boleh bertukar pandangan?”

“Medan selera kan bumi Allah juga?”

“Betul juga tu. Eh, jomlah kita ke tasik. Tak sabar nak tengok baby-baby dalam stroller,”

“Solat dulu bah,”

“Aku tak lupa. Lepas solat kita ke tasik. Hek eleh, ada hati nak jadi orang Sabah celup. Pigidah,”

Murni ketawa mendengar kata-kata Ina.

*****

Telah muncul agama yang dibawa

Dengan munculnya sang Nabi Ahmad (Muhammad SAW)

Betapa beruntungnya kami mendapat Muhammad

Itulah anugerah daripada Allah SWT

Betapa beruntungnya kami

Murni mendengar alunan qasidah itu sambil menyelesaikan tugasannya di komputer riba. Sesekali mulutnya terkumat-kamit mengalunkan selawat buat Rasul Junjungan Nabi Muhammad SAW.

Tiba-tiba telefon bimbitnya menjerit nyaring. Spontan Murni mendengus kuat. Dia mencapai gajet kesayangannya itu yang terletak di sebelah komputer riba.

Nombor siapa ni? Murni angkat kening sebelah. Punat hijau dipicit. “Helo,”

“Helo, Cik Murni ke tu?”

“Iye saya. Siapa ni?”

“Saya Munir. Kita pernah jumpa di medan selera tempoh hari,”

“Oh, Encik Munir. Assalamualaikum,”

“Waalaikumsalam,” Munir termalu sendiri.

“Ada apa ye Encik Munir telefon saya?”

“Er, tak ada apa. Saya telefon ni cuma ingin bertanya khabar. Cik Murni sihat ke?”

“Saya sihat. Alhamdulilah. Encik Munir pun mesti sihat juga kan? Kalau tak, takkan Encik Munir telefon saya, kan?”

“Ah, ye. Saya pun sihat,”

“Alhamdulilah,”

Suasana sepi seketika. Munir garu kepada yang tidak gatal. Ayat tanya khabar dah basi la, Munir. Macam mana ni?

“Encik Munir?”

“Ye saya,”

“Ada apa-apa lagi yang penting ke?”

“Er, ya. Eh, tak! Eh, bukan!” apa yang aku cakap ni?

Murni di hujung talian sudah angkat kening sebelah. Apa kena dengan mamat ni?

“Encik Munir?”

“Maaf, Cik Murni. Sebenarnya, saya nak berkenalan dengan awak,”

Murni mengeluh halus “Itu aje?”

“Itu aje la buat masa sekarang ni… kot,”

“Kot?” suara Murni sedikit tinggi.

“Habis tu nak suruh saya cakap apa lagi?” laju sahaja kata-kata itu keluar dari bibir Munir. Murni di hujung talian sudah tepuk dahi.

“Encik Munir, saya minta maaf. Sebenarnya awak dah ganggu waktu tidur saya. Dah lewat ni,”

“Dah lewat? Baru pukul 11 malam,”

“Pada awak ia masih awal. Pada saya ia dah terlalu lewat,”

“Ruginya awak masuk tidur awal,”

“Tak rugi, sebab saya boleh bangun untuk solat tahajjud,”

Sunyi. Munir terkedu.

“Encik Munir?”

“Helo?”

“Helo?”

Lambat-lambat Murni menekan punat merah. Dia berfikir sendiri. Talian yang terganggu atau aku yang salah cakap?

Dan Munir baru tersedar sesuatu.

*****

“Setelah “arjuna” dipanah kepada si tuju, orang yang ditujukan akan menjadi tergila-gila, angau, dan tertarik,”

“Apa yang kau cakap ni, Ina?”

“Bukan aku yang cakap la. Ahmad Fedtri Yahya yang cakap,”

“Dia ada cakap? Bila? Kat mana?”

“Kat dalam Twitter,”

“Oh, itu dia tak cakap. Dia tulis,”

“Sama la tu,”

“Tak sama. Tulis lain, cakap lain,”

“Tapi idea untuk menulis kan muncul lepas kita menuturkannya,”

“Mana kau dapat teori tu?”

“Sendiri punya,”

“Ceh,” Ina kembali memandang ke hadapan. Pandang tasik KLCC lagi bagus daripada tatap wajah Murni yang tak pernah reti nak senyum tu.

“Ina, pandang la sini,”

“Aku merajuk dengan kau dua minit,”

“Eh? Kenapa pulak?”

“Biar la,” Ina masih tidak mahu memandang Murni.

“Ina, aku nak cerita ni,”

“Cerita je la,”

“Kau ingat tak lelaki yang kita jumpa kat medan selera tempoh hari?”

Ina mengangguk. Namun posisinya tetap sama. Tidak memandang wajah Murni.

“Aku rasa aku dah…,”

“Kau rasa kau dah jatuh hati dengan dia ke?”

Murni tidak menjawab. Wajahnya masam.

“Kenapa ni?”

“Macam ni…,” dan Murni terus bercerita. Ina tidak jadi merajuk. Dia menjadi pendengar cerita Murni.

“Macam mana ni?”

“Kau suka dia tak?”

“Entah,”

“Hish, kau ni. Aku tanya betul-betul ni. Kau suka dia tak?”

Murni hanya diam.

“Murni suka Munir..!” jerit Ina.

“Ina!!” cepat-cepat Murni menutup mulut Ina yang agak lantang hari itu. Tergawang-gawang Ina meminta nafas setelah Murni menutup hidungnya sekali tanpa sengaja.

“Kau kena janji takkan jerit macam tu lagi!”

Laju Ina mengangguk. Barulah Murni melepaskan cengkamannya. Ina mengusap sedikit mulutnya yang ditutup kuat tadi. Sakit uh!

“Jadi betullah kau sukakan dia?”

Lambat-lambat Murni mengangguk. “Aku jatuh cinta dengan dia pada pandangan pertama,”

Ina senyum nakal.

“Tak payah la senyum macam tu!”

Spontan Ina menarik senyumnya. “Habis tu?”

“Entah!”

Ina pegang bahu Murni lembut dan senyum. Tidak senakal tadi.

“Istikarah, kawan,”

*****

“Ruginya awak masuk tidur awal,”

“Tak rugi, sebab saya boleh bangun untuk solat tahajjud,”

“Munir,”

Lamunannya terhenti. Munir memandang Siva yang tersenyum-senyum.

“Kenapa?”

“Kenapa, kau tanya aku? Kenapa kau tak bagitahu yang Nabi Muhammad tu adalah antara 100 orang paling berpengaruh di dunia? Nombor satu pula tu!”

“Eh, ye ke?”

“Ye la. Kau tengok ni. Bukan sebarangan orang tau yang tersenarai. Jesus pun di tempat ketiga,” Siva menunjukkan senarai itu kepada Munir yang bingung tiba—tiba.

“Nabi Isa… St Paul… Shih Huang Ti…,”

“Kau tengok, Karl Marx pun di tempat 27 tau. Kau patut berbangga tau!”

Munir tersenyum. Siva kemudian ke meja Mei Lin menceritakan perkara yang sama. Munir capai telefon bimbitnya.

‘Salam Murni, saya baru dapat tahu yang Rasulullah SAW adalah orang paling berpengaruh di dunia,’

Selang seminit mesejnya berbalas.

‘Alhamdulilah, awak dah tahu. Awak tahu tak siapa yang buat senarai tu?’

Dahi Munir berkerut. ‘Tak tahu’ mesej dihantar.

‘Senarai itu dibuat oleh Micheal Hart, seorang bukan Islam. Dia meletakkan Rasulullah SAW di tempat pertama bukan atas sebab peribadi, tapi dia melihat baginda SAW sebagai satu-satunya manusia yang berhasil secara luar biasa baik dalam kegiatan keagamaan maupun pemerintahan. Lihatlah Islam sekarang. Walaupun telah berates tahun baginda wafat, Islam terus berkembang dan dikenali di seluruh dunia’

‘Saya rasa bangga la’

‘Rasa bangga sahaja tak cukup, Munir. Kita kena zahirkan rasa itu. Setiap kali dengar nama Rasulullah disebut, kita kena berselawat kepadanya. Dari Anas bin Malik radhiallahu ‘anhu, beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang mengucapkan selawat kepadaku satu kali, maka Allah akan berselawat baginya sepuluh kali, dan digugurkan sepuluh kesalahan (dosa)nya, serta ditinggikan baginya sepuluh darjat/tingkatan (di syurga kelak).” [HR An-Nasa’i No. 1297, Ahmad, sahih.]’

Munir terkedu. Satu lagi mesej masuk.

‘Rasulullah tidak pernah lupakan ummatnya walaupun di ambang kematian’

Air mata Munir mengalir.

*****

Setahun kemudian…

“Kenapa kita kena datang ke medan selera ni?” tanya Murni.

“Tak boleh ke?” tanya Ina kembali.

“Ina, kau tahu kan, kalau soalan dijawab dengan soalan…,”

“Maknanya ada yang tak kena? Gitu?”

Murni menggerutu. “Apa motif kau sebenarnya ni?”

“Jom kita cuci mata,”

“Ina! Lagi tiga minggu kau nak kahwin la!”

“Aku tahu la! Sebab tu aku ajak kau cuci mata. Aku nak beli kanta lekap untuk majlis pernikahan aku nanti. Cuci mata la tu. Kau ingat apa?”

Murni tersengih. Dia termalu sendiri.

“Relaks la Murni. Aku tahu la ni tempat pertama kau jumpa dengan dia. Dan sejak dia hilangkan diri, kau tak pernah datang sini. Come on, Murni. Move on! Kau dengan dia tak pernah ada apa-apa kan? Kau pun dah bertunang sekarang ni,” giliran Ina pula yang memberi nasihat kepada Murni.

“Tapi apa salah aku?” tanya Murni geram.

“Mana la aku tau. Tanya la dia,” balas Ina. Geram juga dia kerana Murni bertanya pada orang yang salah.

“Kalau la dia ada di sini sekarang…,”

“Kalau dia ada di sini sekarang, awak nak buat apa?”

Murni menoleh. Susuk tubuh lelaki itu…

Dia!

“Assalamualaikum warahmatullah…,”

“Waalaikumsalam warahmatullahi wabaratuh…,”

“Awak sihat?”

“Alhamdulilah, saya masih di sini. Awak masih nampak saya berdiri di sini…,”

“Saya pun sihat juga. Kalau tak, awak takkan nampak saya di sini,”

Murni terkedu. Itu ayat dia!

“Saya tak pernah lupakan awak walaupun kita berjauhan,”

Ina di belakang hanya tersenyum.

“Kenapa awak buat macam ni?”

“Sebab saya rasa saya tak layak nak mencintai wanita istimewa macam awak. Saya rasa tak layak…,”

“Semua manusia tak sempurna, Munir,”

“Saya tahu. Tapi saya rasa saya masih tak layak mencintai awak, kalau cinta ini saya tak serahkan pada Dia yang sepatutnya,”

“Apa yang awak cakap ni?”

“Awak ingat tak mesej awak yang kata, ‘Rasulullah tidak pernah lupakan ummatnya walaupun di ambang kematian’ tu?”

Murni diam.

“Itu adalah titik permulaan perubahan dalam hidup saya,”

Murni kerut dahi.

“Kata-kata itu asyik terngiang-ngiang dalam kepala saya, sampaikan saya tak boleh buat kerja. Saya akui, saya jahil dalam agama. Terlalu jahil, sampaikan saya tak kenal Kekasih Allah. Saya hanya tahu, tapi tak kenal,”

Mata Murni berkaca. Ina sudah tunduk menahan air matanya daripada mengalir.

“Saya berhenti kerja di sini walaupun gajinya lumayan. Saya balik kampung. Saya belajar agama. Saya buat kerja kampung je. Gajinya tak banyak mana, tapi saya bahagia. Lebih bahagia berbanding ketika kerja di sini,”

“Tapi saya tak dapat menolak fitrah. Setiap kali solat, saya sentiasa doakan awak,”

“Saya dah bertunang, Munir,”

Munir senyum. “Saya tahu,”

“Mana awak tahu?”

“Mama awak bagitahu awak tak pernah buka sampul gambar tunang awak. Takut katanya,”

“Eh, kejap! Macam mana awak kenal mama saya?”

Murni menoleh ke arah Ina yang sudah mengesat matanya. Keningnya bercantum meminta penjelasan.

“Dia tak pernah putus berbalas emel dengan tunang aku. Kami yang bagi alamat rumah mama kau. mana la tahu dia nak hantar rombongan meminang untuk kau…,”

“Awak tunang saya?”

Munir tersenyum nipis sambil mengangguk.

“Ta.. tapi…,”

“Awak wanita istimewa. Dan saya tak mahu damping awak dengan cara yang tak sepatutnya,”

Murni sudah tidak tahu hendak cakap apa lagi.

“Terima kasih kerana terima pinangan saya,”

Air mata Murni menitis.

“Nanti kita boleh bangun tahajjud sama-sama,”

Murni tergelak dalam tangisan.

“Ala, jangan la nangis. Saya belum boleh sapu air mata awak lagi…,”

Cepat-cepat Murni menyapu air matanya.

“Pasal mesej tu, saya tak cakap la. Saya tulis je. Macam mana oleh terngiang-ngiang pulak?”

“Sebab saya baca. Sebab tu boleh terngiang-ngiang,”

Murni senyum. Ina di belakang termangu keseorangan. Aku dibiarkan aje?

*****

“Alhamdulilah, siap juga cerpen ni!” Laila Qaisara mengucap syukur. Segera dia membuka laman web Ilham Grup Buku Karangkraf. Ingin berkongsi dengan pembaca yang sentiasa memberi sokongan kepadanya.

“Buka Facebook kejap… Eh, ada mesej!”

Bila nak keluar karya baru ni? – Natasya Othman.

Laila Qaisara tersenyum. Laju jari jemarinya menaip balasan mesej itu.

Setiap hari akan ada karya baru. Sama ada keluar atau tidak je dari fikiran…

*selamat membaca! Maaf kalau tak menepati citarasa kali ini*

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.