Home Cerpen Fantasi Olips dan Calon Tentera Imam Mahadi
Olips dan Calon Tentera Imam Mahadi
Aurian
11/1/2014 17:04:11
2,547
Kategori: Cerpen
Genre: Fantasi
“Mana dia?...”

“Kat dalam bilik tu abang. Cuba cari dalam almari tu…”

Srappp krekkk…. “Eh, kenapa kamu duduk dalam almari ni? Siap berselubung ni…”

“Dia buat perangai abang. Tadi dia langgar pasu jiran sebelah dengan basikal. Lepas tu terhumban tepi jalan sampai luka-luka badan…”

‘Tipu! Tipu! Mami tipu!’ Jerit Along sekuat hati. Tapi sepatah haram pun suaranya tak keluar. Bergulung di anak tekak.

“Mana luka tu, hisy… lain kali jangan nakal-nakal…” gumam ayah sambil membelek lutut Along. Kemudian ayah berlalu keluar dari bilik. ‘Ayah! Ayah jangan tinggal Along. Mami tipu, Along bukan jatuh main basikal. Along juga tak pecahkan pasu jiran sebelah. Mami bantai lutut Along dengan getah paip sampai lebam. Mami hentak kepala Along di tembok sampai benjol!’ tapi seperti tadi juga, jeritan Along hanya menggumam di telinga sendiri. Gigil seluruh badannya tak memungkinkan suara itu keluar.

“Abang kali ni outstation lama tau. Kamu jaga Along baik-baik. Along pun sama jangan nakal-nakal…” pesan ayah dari luar bilik.

“Abang ni, asyik outstation lama sangat ni. Jangan-jangan pasang cawangan baru…”

“Hisy awak ni mulalah tu…”

“Abang jangan buat perangai macam dulu…”

Suara ibu tiri Along dan ayah makin sayup. Tak lama kemudian Along dengar bunyi pintu ditutup. Bunyi kereta beredar di luar rumah. Along mengeluh, bermulalah neraka dunianya. Jika ada ayah Along selamat dari diherdik, dipukul. Tetapi ayah tak pernah betah di rumah. Masakan tidak, sesiapa pun akan panas punggung dengan sikap Mami yang kuat berleter yang bukan-bukan. Zrapppp!!!... Pintu almari di tarik.

“Nasib baik kau tak sebut apa-apa pada ayah kau, kalau tak masak kau aku kerjakan!” sempat kepala Along di tunjal. Along yang kecut perut menyembunyi wajah di balik selimut tebal. Derap langkah Mami yang menghilang di balik pintu meredakan gusar di hati Along. Dia membuang selimut, mengensot ke sudut almari. Pintu almari di tutup, gelap gelita tetapi jiwa Along lebih aman. Dia rasa selamat. Air mata yang mengalir di pipi di seka. Mata yang membengkak menarik-narik untuk ditutup. Entah berapa lama terlelap pabila Along rasa bahunya digegar. Dia terpisat-pisat membuka mata… Pandangan yang kabur melihat sesusuk tubuh. Along menggosok mata beberapa kali, jelas kelihatan susuk aneh itu. Seorang lembaga berkulit putih pucat menyengih pada Along. “Ishhh!” Along mendesir dan merapat ke bucu almari. Dia menyembunyi wajah di balik selimut.

“Jangan takut, aku tak mengapakan kamu. Nama aku Olips…”

Perlahan-lahan Along menurunkanselimut yang menutup mata. Dia takut-takut merenung wajah orang aneh itu. Matanya besar bersinar, raut wajahnya aneh tetapi senyumnya penuh kemesraan. Warna rambutnya lutsinar telus cahaya seperti bulu di dedaunan. Kulit pucatnya putih mulus, pakaiannya dari bulu-bulu halus. Susuknya seperti lelaki dewasa tetapi bagaimana dia muat masuk ke almari ini?

“Kamu Iman Akil bukan?” Dia tersenyum sambil mengerlipkan mata. Wajah anehnya jadi manis. Along hanya mengangguk.

“Bagaimana kamu ada di sini?” Along bersuara takut-takut.

“Ohhh! Itu mudah bagi aku. Aku boleh menembusi dimensi. Malahan boleh merentas masa. Aku boleh merayau-rayau ke manaku suka…” bersahaja Olips menjawab… Along kagum tetapi dia rasa curiga.

“Mustahil, ayah cakap merentas masa itu cuma cerita rekaan.” Along menggeleng kepala. Dia teringat dahulu semasa menonton cerita Back In The Future . Ayah kata itu tak benar. Jika benar Along lah orang pertama yang menaiki mesen merentas masa. Dia mahu kembali pada zaman lalu, semasa arwah ibu masih hidup. Cukuplah dapat memeluk ibu sekejapan, dia pasti rasa bahagia. Walau cuma sekali, dia akan cukup puas hati.

“Tiada yang mustahil… dunia ini milik Allah. Apatah lagi masa dan aturannya… Tuhan yang maha bijaksana memiliki dahulu, kini dan masa depan…”

“Jadi kamu memang boleh merentas masa?” Wajah Along bersinar.

“Jika diizin Nya…”

“Jadi bawalah aku ke zaman ibuku masih hidup…”

“Bukankah lebih mudah jika kamu mati. Jadi kamu boleh bersama dengannya selama-lamanya di syurga…” perkataan Olips membuatkan Along tersentak. Dia menundukkan wajah.

“Oh, tidak mungkin begitu, kematian dan kehidupan adalah milik Tuhan. Kita tak mampu meminda atau menunda… Maaflah ya… Merentas masa perkara sukar sedikit…” sambung Olips sambil menggeleng kepala.

“Benar juga kata kamu, lebih baik aku mati sahaja, pasti dapat berjumpa ibuku…”

“Ohhh!! Jangan terlalu dramatik. Perkataan kamu sangat kasihan sekali. Ya, kamu memang budak yang kasihan…”

“Ya, aku memang tak sanggup hidup dengan keadaan ini… Kau lihat ini…” Along menyingkapselimut di badan. Menunjukkan parut-parut dan lebam-lebam luka.

“Ohh! Tak perlu tunjuk, aku tahu… Mami kamu sangat bencikan kamu kerana wajahmu yang mirip ibumu. Dia merasa ibumu pernah merampas ayahmu dulu…”

“Tapi adakah itu salahku?”

“Oh, pemuda kecil, pastinya tidak. Tetapi manusia kadang kala bersikap dangkal… hahahaha!!” Olips ketawa mengejek.

“Jadi kamu benar-benar boleh merentas masa?” Along menunduk wajah, perkataan Olips tadi menggirangkan hati. Kini dia ragu-ragu.

“Pasti boleh, Rasulmu juga merentas masa…”

Wajah Along berkerut cuba mencerna kata-kata itu.

“Israk Mikraj…”

Along menggeleng kepala…

“Ahhh… di masa depan juga akan terbukti. Nabi Isa anak Maryam akan turun ke bumi. Dia datang dari masa lampau, naik ke langit ketika usianya baru 33 tahun. Berapakah tempoh dia merentas masa? Seratus tahun? Ribuan tahun atau jutaan tahun?” Olips menyeringai.

“Jadi kamu nabi?”

“Hisy… Pastinya tidak. Aku pasti di marah Tuhan dengan kata-katamu itu. Aku bukan lah manusia. Aku juga makhluk ciptaan Tuhan. Usiaku sudah terlalu banyak…” Olips mengeluh.

“Adakah kamu sezaman dengan Dinosaur?”

Kata-kata Along di sambut gelak Olips. “Kadang kala aku lupa yang aku bercakap dengan budak berusia 10 tahun… Aku tidak akan membuka apa yang tidak di buka Tuhan pada bangsamu. Cukup jika kamu ingat bahawa ilmu Allah sangat luas. Terlalu luas hingga tak tercapai akalmu…”

“Tak mengapalah… yang penting, bolehkah kau bawa aku berjumpa ibuku?”

“Aku serba salah sekali. Umatmu tidak boleh melalui ruang masa kecuali dengan keizinan Tuhan atau atas hasil usahamu. Umatmu dicipta Tuhan sebagai umat berusaha. Maka untuk mencapai keizinannya haruslah dengan berusaha.”

“Usaha yang bagaimana? Baru kau katakan tadi yang aku cuma anak kecil berusia 10 tahun…” Along mengeluh.

“Ya, benar sekali. Kamu harus mempelajari ilmu fizik, kimia, atom dan pelbagai bidang ilmu Tuhan jika mahu merentas waktu. Itu perlu waktu yang panjang dan usaha yang sangat tinggi. Mustahil kamu boleh mencapainya sekarang ini…” Olips berfikir-fikir…

“Ya betul, jadi apakah tujuanmu sebenarnya datang ke sini?”

“Ah, ya… bijak juga kamu bertanya… walaupun sudah terlalu lewat untuk bertanya hal itu…hahahaha!” ketawa Olips mati mendadak. Wajahnya berubah muram.

“Aku rasa sunyi dan kesepian. Aku sudah hidup terlalu lama. Terlalu lama yang boleh kau bayangkan. Aku melihat dirimu juga kesepian dan keseorangan. Malahan kau disakiti. Maka aku merasa kasihan dan datang menemanimu. Tetapi aku punya tujuan lain juga…” Olips merenung wajah Along dengan mata berkaca.

“Aku mahu pertolonganmu. Aku mahu kamu berdoa kepada Tuhan supaya dia mengambil nyawaku… Aku sudah hidup terlalu lama… Kesepian sudah merantai jiwaku. Sunyi, kosong, keseorangan merantai piluku…”

“Kalau meminta nyawa diambil, baiklah aku berdoa untuk diriku sendiri.” Along bersuara sinis.

“Tak perlulah. Umat manusia hanya boleh hidup sekitar 60 hingga 70 tahun sahaja. Tak lama… Jika berusaha dan memegang amanah diperkenankan Tuhan menambah umur berapa puluh tahun lagi… Kamu baru hidup sepuluh tahun sudah meminta mati? Jangan begitu, hiduplah dengan bertabah. Kita ini milik yang Haq, turutlah perintahnya…”

“Bagaimana mahu teruskan hidup dengan derita dan tersiksa?” wajah Along muram.

“Aku turun berjumpamu kerana umatmu punya doa yang ampuh. Doa umatmu mudah diperkenan. Kerana itu aku mahu meminta tolongmu. Lebih-lebih lagi anak yatim yang terabai sepertimu. Doa mu sangat ampuh… Allah sangat belas padamu…”

“Benarkah kata-katamu? Baiklah akan ku tolong doakan supaya Tuhan mengambil nyawamu… Tetapi kau harus tolong aku berjumpa ibuku…”

“Sudah ku katakan itu sukar sekali. Bersabarlah, di akhirat nanti kau akan bertemu juga dengan ibumu. Asal sahaja kau masuk ke syurga dan dia adalah orang yang kau cinta…”

“Baiklah jika begitu, aku akan menunggu matiku untuk berjumpa ibuku. Tetapi aku tak sanggup hidup sebagai manusia yang tersiksa di dunia… Tolonglah jadikan aku pepohon… Aku akan duduk sabar di satu tempat hingga hujung nyawaku. Kemudian aku boleh berjumpa ibuku…” Olips hanya menggeleng kepala sambil ketawa…

“Baiklah aku tidak mampu menukarmu menjadi apapun tapi aku mahu menunjukkan sesuatu… Mari ikut aku,” gamit Olips.

“Keluar dari sini? Mami ada di ruang tamu!” Along gusar.

“Jangan risau, kita pastinya tak keluar dari pintu depan. Syaratnya kamu harus pegang bajuku jangan sampai terlepas,” arah Olips lantas berdiri. Along turut berdiri dan dia lihat Olips tinggi makhluknya. Jubah Olips yang panjang digenggamnya…

“Pegang kuat jangan lepas ya!” Olips terus melangkah dinding almari belakang. Along terkejut bila badan Olips tembus di belakang almari. Along terkaku bila tangannya yang memegang baju Olips juga menembusi dinding. Dia terdorong menuruti langkah Olips menembusi dinding seperti menerobos kabus.

“Kamu tak gayat kan?”

Usai Olips berkata, Along menjerit melihat bawah yang sayup pandangan. Mereka terapung di atas awan. “Ahhhhhhhhhh!!!”

“Jeritlah sekuat-kuatnya sampai letih pun. Yang penting kamu jangan lepaskan pegangan bajuku. Kerana kamu sedang menembusi demensi bersamaku. Jika pegangan dilepaskan aku tak jamin kamu akan terhumban ke Negara mana nanti...” Olips ketawa besar. Along pantas menutup mulut.

“Ke manakah kamu bawa aku?”

“Ke atas bumi melihat pepohonan. Dengar tak suara mereka?”

“Mereka boleh bercakap?”

“Boleh, mereka menangis kerana bumi makin panas. Mereka tidak selesa, dedaunan mereka mengering, gugur dan akhirnya menyembah bumi. Kadang kala mereka sedih melihat rakan-rakan ditebang akibat arus pembangunan. Mereka juga kehilangan sepertimu… Jadi apa kurangnya derita mereka berbanding deritamu?”

Along hanya diam. Dia mengakui kata-kata itu. Dari pokok-pokok yang menangis, terdengar juga desiran seperti nyanyian. Sebatang pokok besar di bawah bernyanyi-nyanyi kerana banyaknya burung yang tinggal di dahan-dahanya.

“Pokok itu bernyanyi kerana gembira burung-burung itu memakan buahnya dan kemudian menyebarkan biji benihnya ke serata dunia.”

“Jika begitu aku mahu menjadi burung!” Along membuat keputusan pantas. Olips hanya ketawa mendengar kerakusan Along.

“Nanti dulu, walaupun burung bebas berterbangan ke manapun, mereka belum tentu selamat. Mereka selalu dilanggar kereta, kapal terbang, ditembak, terlanggar cermin bangunan. Burung pun ada kesusahannya. Dan jangan kamu lupa, perang manusia di akhir zaman nanti, burung juga akan menerima natijahnya.”

“Apa maksud kamu Olips?” kali ini Along benar-benar ingin tahu.

“Di akhir zaman akan terjadi perang yang sangat dahsyat hingga burung-burung berterbangan di langit jatuh ke bumi… Kamu tak pernah dengar?”

Along hanya menggeleng kepala. “Apa maknanya Olips?”

“Aku tidak pasti tetapi aku yakin mata peluru atau bom tak semudahnya menjatuhkan burung di langit… tetapi…” wajah Olips muram.

“Olips pergilah ke masa depan untuk meninjau!” gesa Along cemas.

“Tak boleh, seperti aku katakan kebolehanku merentas masa dengan izin Allah. Ianya terbatas kepada keperluanku sahaja. Merentas dimensi sudah di kurnia Tuhan sejak azali ku lagi…”

“Aneh sekali kata-katamu tak masuk akal…”

“Aneh? sekarang ini kau terapung di udara masih tak percaya. Tidak kah kau tahu syaitan dan jin lagi aneh kebolehannya? Mereka diizin Tuhan masuk ke aliran darah manusia. Duduk di hati mengadu domba. Malahan boleh tinggal di mana-manapun waima tubuh badan manusia!” Along menggigil mendengarkan itu. Dia mengangguk-angguk.

“Jadi perihal burung yang berjatuhan itu?”

“Pada pendapatku ianya boleh terjadi jika manusia berperang menggunakan senjata kimia. Aku pernah melihatnya di Hiroshima. Dan baru-baru ini di gunakan di Syria. Segala binatang di darat dan di laut bergelimpangan. Burung-burung di udara berjatuhan menjadi bangkai di tanah!”

“Adakah ia akan jadi lebih buruk Olips?” wajah Along pucat.

“Ya, jika yang itu belum begitu dahsyat, aku takut akan berlaku lagi perang Nuklear besar-besaran!”

“Oh!!” Along memegang kepala dengan kedua tangan. Dia menjunam jatuh… “Ahhhhhh!!!!” Seketika tangannya di gapai Olips .

“Bodoh! Sudah kukatakan jangan lepaskan pegangan!”

Along hanya terkedu sempat dia mengerling bawah. Lautan membiru luas terbentang.

“Ah! Mujur sahaja, jika kamu jatuh ke laut mungkin ada ikan lumba-lumba yang akan selamatkan kamu. Atau ikan jerung melahapmu!” Olips mengusik Along. Wajah Along mencerut. Mereka kembali melangkah santai di awangan. Kali ini Along lebih berhati-hati. Baju Olips di pegang kejap.

“Jika begitu sukar menjadi burung, aku mahu menjadi ikan…” kali ini Along bertekad. Olips hanya ketawa terbahak-bahak.

“Mari aku bawa kamu ke negeri Denmark… Langkah Olips melaju, angin disekitar menderu. Tak kelihatan apapun kerana pukulan angin kencang, hingga langkah Olips mula perlahan. Terlihat struktur muka bumi yang berbeza. Cuacanya juga sedikit dingin walau matahari cerah di kepala.

“Ini Faroe Islands…”

Mata Along terbeliak, kenapa air lautan ini berwarna merah? Dia lihat beratus-ratus bot mengepung ikan Dolphins memandu mereka ke tepi pantai kemudian menyembelih mereka tanpa belas kasihan. Bunyi ikan Dolphins Calderon menjerit kesakitan sangat meruntun hati. Bunyinya seperti suara bayi yang menangis suram. Along menekup telinga. Bibirnya menggeletar.

“Hati-hati, jangan lepaskan pegangan. Nanti kamu terjatuh ke dalam lautan darah itu.” Olips memberi amaran.

“A..apa yang mereka lakukan?” bibir Along terketar-ketar… Dia menggigil.

“Ini Festival tahunan. Remaja lelaki menyertainya untuk menunjukkan mereka sudah dewasa dan matang!”

“Mengarut!! Ini kezaliman yang tak masuk akal.”

“Ia sudah jadi tradisi sejak lima ratus tahun dahulu…” Olips menghembus keluh.

“Ia tradisi yang menyedihkan. Bawa aku pergi dari sini Olips!”

“Ya memang keterlaluan, walaupun mereka makan daging dan kulitnya, dolphin itu makin berkurangan sekarang. Makin pupus…” ujar Olips sambil terbang makin tinggi ke langit. Dia kasihan melihat Along yang ketakutan dan bersedih hati.

“Adakah kamu masih mahu menjadi ikan? Adakah kesusahan kamu lebih berbanding kesusahan mereka?” duga Olips.

“Tidak! burung, pokok dan ikan lebih susah dariku…” Along menitiskan air mata.

“Tidak bolehkan aku terus menemui ibuku tanpa perlu menjadi apapun?” Pertanyaan Along, Olips biarkan tak berjawab. Mereka akhirnya selamat sampai ke dalam almari.

“Seperti janjimu, doakan aku… Aku mahu segera bertemu Tuhanku…” Olips merenung wajah Along sayu.

“Jadi aku bagaimana Olips?”

“Jadilah manusia sahaja, sesempurna makhluk kejadian Tuhan…”

“Apakah lagi kekuatanku setelah kamu pergi menemui Tuhan. Kamu akan tinggalkan aku Olips?”

“Jangan gusar, kau sudah dititip dua perkara oleh Rasulmu; Al-Quran dan Hadis. Itulah peganganmu. Jadilah sebaik-baik ummah. Jadilah sebaik-baik manusia, dan jadilah sebaik-baik tentera...”

“Untuk apa Olips?”

“Untuk membela kebenaran dan kebaikan di dunia. Membela manusia yang benar. Membela pokok, binatang, ikan, burung…”

“Bagaimana?”

“Ikutlah pesan Rasulmu, bersedialah untuk menjadi tentera panji kebenaran. Tentera Imam Mahadi di masa depan. Ingat, jika kamu berada di belah kezaliman, maka kamu akan menjadi tentera Dajjal…”

“Adakah dia Imam Mahadi benar-benar akan keluar?”

“Ya, tentu sekali, Al-Quran bukan sahaja menceritakan tentang masa lalu, tetapi menceritakan tentang masa depan. Seperti sabda Rasulmu ; ‘Sungguh, Konstantinopel akan ditakluk oleh seorang raja yang sebaik-baik raja, dan tentera yang sebaik-baik tentera…’(HR Ahmad). Selepas 800 tahun hadis itu terbukti benar. Kota konstantinopel jatuh ke tangan sebaik-baik raja yaitu Sultan Muhammad Al-Fatih yang menakluk Konstantinopel hanya pada usia 21 tahun!”

“Wahh!! Benarkah? Hebatnya…” mulut Along ternganga.

“Oh! Kamu boleh bayangkan sudah berapa lama aku hidup melewati abad berabad…” Olips menghembus keluhan dengan wajah muram.

“Baiklah aku akan kabulkan permintaanmu. Aku akan berdoa pada Allah seperti kehendakmu…” Along menepuk bahu Olips lembut.

“Benarkah?” Mata Olips bersinar.

“Jadi apakah yang aku harus lakukan sepeninggalanmu?”

“Persediakan diri untuk menjadi tentera terbaik Imam Mahadi. Bertabahlah dengan segala ujian hidupmu kini. Sesungguhnya Tuhan menyediakanmu dengan kesusahan untuk menghadapi cabaran yang lebih besar. Kamu di didik menjadi laki-laki yang kuat dan bertabah. Kerana siapa yang lari dari medan perang di bawah panji Imam Mahadi, dosanya tidak diampun Tuhan!”

“Baiklah, aku berjanji akan menjadi seperti itu. Aku tidak mahu jadi ikan, burung atau pokok. Kerana aku sudah dicipta menjadi manusia, semulia-mulia makhluk dan semulia tujuan hidup. Maka aku akan mempersiapkan diri menjadi calon tentera Imam Mahadi!”

“Ya benar… Maka aku akan pergi. Cepat-cepatlah berdoa untukku. Aku tidak sabar-sabar menemui Tuhanku!” Kata Olips usai terbang dan menghilang di bumbung almari. Along mengangguk dengan senyuman di bibir dan mata yang bergenang. ‘Selamat tinggal Olips…’

Prakkkk!!! Bumm!!

“Di sini kamu ya, seharian aku cari kamu. Ke mana kamu pergi hah!!” Mami mengherdik sambil mengheret Along keluar dari dalam almari.

“Along keluar dengan Olips…” Along menangis sambil meraung kesakitan.

“Apa Olips! Kamu sembunyi di mana hah! cakap?!”

“Saya keluar tembus almari…” Along merayu-rayu minta dikasihani. Air matanya berjurai di pipi.

“Kamu dah pandai merepek ya, pandai mereka cerita sekarang ni!!” kali ini Mami mencapai tali pinggang kulit Ayah. Dia melibas sekuat hati di batang tubuh Along yang kurus. Along meraung kesakitan. Setelah puas Along ditinggal mengerekot kesakitan di sudut bilik. Badannya berbilai calar balar. Kasihan anak yatim piatu, rintihnya tak terdengar sesiapa…

“Olips...” rintih Along berkali-kali, tetapi Olips tak muncul-muncul. Along cuba bangun dengan badan kesakitan. Dia teringat pesan Olips, Along gagahkan diri mencapai Al-Quran di atas almari. Dengan badan sakit-sakit Along mengukir senyum. Dia membaca Al-Quran di tangan, dimulai dengan Al-Fatihah…

Hari-hari yang berlalu, Along menghadapi rutin yang sama. Pulang dari sekolah dia pasti dihambur marah Mami. Sedikit sahaja silap pasti Along menerima habuannya. Tapi Along tak peduli, dia terus-terusan mengaji jika kelapangan. Satu hari Along hampir jatuh pengsan dihempuk kepala dengan pasu oleh Mami. Along terbaring di lantai bilik. Kepalanya berpinar, tetapi surah Al-Ikhlas bergumam di bibir. Mami terperanjat bila ayah muncul di muka pintu.

“Eh, abang kata balik minggu depan?” suara Mami terketar-ketar.

“Kerja habis awal… Mana Along?”

“Abang, Along ada di bilik, saya ada ajar dia sedikit tadi… Dia makin nakal, kali ni dia mencuri di rumah jiran. Sebab tak mahu kata manjakan anak, saya pukul dia di depan jiran. Kalau tidak kita malu bang... Perangai dia juga aneh. Selalu cakap yang bukan-bukan. Bahkan kadang kala mengaji tak tentu masa…”

‘Fitnah, itu semua fitnah. Along membaca surah bila di pukul Mami, supaya Along boleh bertahan dan terus bertabah…’

“Mana dia?”

“Tak payah tengok la abang, dia merajuk tu… Saya ada berita gembira buat Abang, saya dah mengandung…” Mami mula mengalih topik.

“Benarkah!? Itulah sebab abang panggil Iman tu Along, sebagai berkah dia dapat adik!” suara ayah gembira sekali. Along yang mendengar hanya senyum. Dia sudah ada pengganti… maka, dia pasti makin tersisih.

Malam itu Along terdengar ayah berbual dengan Mami di meja makan.

“Pasal Along ni beginilah, abang akan hantar dia tinggal dengan pakcik abang, bekas jeneral bersara tu. Biar dia belajar disiplin sikit…”

“Pakcik abang yang tinggal di Mekah tu?”

“Ya, dia tinggal di sana beribadat, menghabiskan masa bersaranya. Hujung minggu ni dia balik sini sekejap. Boleh lah dia datang ambil Iman…”

“Baguslah bang, biar disiplin sikit Along tu. Pakcik abang tu kan garang.” Mami menggulung senyum.

Along di dalam bilik lagi lebar senyumannya. Ya, pakcik Hasyim memang garang dan tegas. Kerana dia bekas jeneral tentera. Dia juga warak orangnya. Tetapi dia sangat menyayangi Along. Pakcik Hasyim boleh didik Along ilmu peperangan, ilmu agama. Untuk persediaan Along menjadi tentera Imam Mahadi. Senyum Along tambah melebar, dia mengangkat kedua tangan ke wajah.

“Ya Allah, kau ambillah Olips ke sisiMu, sesungguhnya dia sangat merinduiMu.” Along menunaikan janji pada Olips. Dia redhakan Olips pergi, kerana dia tidak berseorangan lagi. Dia akan bersama dan dijaga seorang lelaki yang baik dan berwibawa nanti.

“Ya Allah, syahid adalah cita-citaku. Perkenankan aku memasuki syurgaMu dengan semulia-mulia ajal. Supaya dapatku tarik orang yang aku cintai ke dalam syurga. Dan dapat bersama dengan ibuku selama-lamanya…” Along meraup tangan ke wajah. Dalam genangan anak mata dia terlihat wajah Olips tersenyum bahagia padanya…

TAMAT

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.