Home Cerpen Cinta Hujan Turun Lagi
Hujan Turun Lagi
A. Darwisy
31/1/2013 21:10:45
9,257
Kategori: Cerpen
Genre: Cinta

Menangis. Alam terus menyimbahkan airmata. Enggan dipujuk rayu. Lebatnya berterusan. Tanah kecungapan. Namun, sesusuk tubuh itu terus bertinggung meski diri kebasahan dek tempias hujan. Memerhatikan kapal-kapal kertas berwarna-warni, beroleng-oleng merempuh satu perjalanan. Perjalanan yang mana penamatnya, ia akan tenggelam. Apakah mungkin kehidupannya juga begitu? Dia pasrah salangkan hatinya menanggung parah. Hanyut inderanya melayan galau yang tidak sudah.

“Diah... cukup-cukuplah. Jangan kau layankan sangat perasaan sedih kau tu,” Mala menasihat lembut. Dia memahami getir rasa sahabat karibnya itu. Siapa-siapa pun yang berada di tempat Diah, barangkali boleh jadi sasar.

“Arwah pernah cakap... hidup ini ibarat origami. Seni lipatannya biar kemas, baru cantik hasil yang diperolehi. Hendak membuatnya pula, perlu teliti. Biar ikhlas lahir dari hati,” Diah cuba menyembunyikan nada sebak pada ucapnya. Namun melontar ingatan pada yang telah tiada, matanya berkaca secara tiba-tiba. Sebak menghentam jiwa.

“Diah... kau lepaskanlah ingatan kau dari terus mengingati arwah sepertimana kau lepaskan kapal-kapal kertas itu mengikut arusnya sendiri. Bukan maksud aku, untuk kau melupakannya cuma... aku tak sanggup lagi melihat kau bersedih...” pujuk Mala lalu memeluk tubuh Diah yang tersedu-sedan seperti anak kecil yang baru berhenti bertangisan. Kedua-duanya saling menyandar semangat, mereka tidak punya siapa lagi untuk bergantung harap. Hanya kepada Tuhan, mereka mengadu nasib.

“Kuatkah aku, Mala? Kuatkah aku?”

“Kaulah wanita paling tabah yang pernah aku kenal, Diah. Aku yakin kau akan terus mengemudi hidup ini tanpa karam dengan izin Allah. Kau tidak selemah kapal-kapal kertas itu, sekali dimasuki air, tenggelam hilang bentuk.” Mala meniup kata-kata peransang. Diah mengukir senyuman meski tidak seindah biasa. Kedua-dua sahabat itu terus memerhatikan pelayaran kapal-kapal kertas itu sehingga lenyap dari pandangan mata.

Imbas kembali...

Hujan turun lagi. Diah yang tidak berpayung, terpaksa berlari-lari anak mencari tempat berteduh. Dia yang dalam perjalanan hendak ke stesyen LRT, melencong langkah derasnya menuju ke Pasar Seni. Di dalam bangunan itu, Diah menunggu amuk cuaca di luar reda. Sendirian dia tidak berteman.

Lantaran kebosanan, langkah kaki diayun mengikut rentak hati. Dari satu kedai ke kedai kraftangan yang lain, Diah menikmati bakat anugerah Ilahi. Berdetak jiwanya. Benarlah firman ALLAH dalam Surah At-Tin: ayat 4, “Dan sesungguhnya kami (Allah) telah menjadikan manusia dalam sebaik-baik kejadian.” Melihat insan-insan kreatif ini mencari rezeki, membuatkan Diah berdecak kagum di dalam hati. Setiap manusia itu punya keistimewaan dan kekurangan yang tersendiri. Mereka-mereka yang bekerja di bank sepertinya, mana mungkin punya kemahiran dalam kerja seni yang halus begini.

Diah terus larut. Tenggelam dalam penghayatan. Hinggalah gerak hatinya menyuruh kedua-dua belah kakinya untuk berhenti di sebuah kedai yang tidak semenggah mana. Hendak dibandingkan dengan kedai-kedai kraftangan yang terdapat di dalam bangunan itu, barangkali kedai di hadapannya itulah yang paling ringkas sekali. Tidak banyak perhiasan yang tergantung, bahkan boleh dianggap seperti kosong dan kurang menarik. Namun tidak pada Diah apabila ekor matanya sekilas memerhati akan kesungguhan seorang lelaki sedang leka menyiapkan hasil kraftangannya yang hampir-hampir sempurna. Entah kenapa, dia seakan dapat merasa aura keikhlasan lelaki itu memancar-mancar ibarat batu gemala.

“Cantiknya kraftangan yang encik buat ni!” Diah tidak tertahan hendak melantunkan kata-kata pujian. Sungguh, hatinya benar-benar tertambat. Kraftangan berbentuk bunga berbagai-bagai jenis, rupa dan warna, membuatkan matanya ralit melihat. Diah mempamerkan raut teruja.

“Oh, terima kasih...” jawab si pembuat kraftangan itu terbata-bata. Lekas-lekas lelaki itu menurunkan pandangan dan menyambung kerjanya semula. Hakikatnya, dia sentiasa berasa rendah diri apabila menerima pujian-pujian sebegitu. Apalah sangat yang hendak dibanggakan seorang lelaki sepertinya? Dia cuma si pembuat origami jalanan.

“Berapa ya harga untuk satu kuntum bunga ni, encik? Cantik betullah!” Diah tersenyum bahagia seolah-olah anak kecil mendapat gula-gula kapas.

“Maaf, saya tak jual origami-origami ni...” perlahan lelaki itu menjawab. Tidaklah bongkak nadanya. Penuh hormat lelaki itu menuturkan kata-kata. Diah berkerut dahi. Hairan sebenarnya.

“Eh, kenapa pula? Saya betul-betul hendak beli ni, encik.” Sungguh-sungguh Diah meluahkan hasrat hati. Susah kalau sudah berkenan.

“Saya buat origami-origami ini untuk arwah isteri saya...”

Diah tertelan air liur. Dalam masa yang sama, hatinya terjentik sedikit emosi. Sebuah rasa sedih. Tampang jernih lelaki itu ditatapnya lama. Simpan kejap dalam balang ingatan.

Beberapa bulan berlalu...

Diah dan Mala sedang berjalan-jalan di gigi pantai, membiarkan angin nakal mengelus-elus pipi mereka berdua. Menghibur jiwa yang kosong di Pantai Teluk Cempedak, hanya beberapa kilometer dari bandar Kuantan, di mana keluarga Mala tinggal. Dua sahabat itu sepakat untuk mengambil cuti bersama-sama. Kalau mahu difikirkan soal kerja sepanjang masa, lagi-lagi di bank tempat mereka bekerja itu, boleh sasar dibuatnya.

“Dah lama aku tak ke pantai, Mala. Terima kasih sebab bawa aku ke sini,” Diah menghadiahkan segaris senyuman manis. Mala turut tersenyum bahagia. Beban tanggungjawab seorang eksekutif bank mahu ditinggalkan jauh-jauh buat sementara.

“Yalah, cuti tahunan kita tak pernah ambil pun kan? Inilah masanya... Kau mahu aiskrim?” tanya Mala apabila dari jauh dia mendapati sebuah motorsikal menjual aiskrim, berdenting-denting bunyi locengnya. Diah mengangguk mahu. Terus saja Mala berlari-lari anak mengejar si penjual aiskrim yang sudah berderet-deret pelanggannya.

Dalam pada menunggu Mala yang sedang beratur panjang membelikannya sepotong aiskrim, Diah melabuhkan punggungnya di atas pasiran putih lagi gebu. Melontar pandang jauh ke tengah lautan, memerhatikan gulungan ombak kecil berlumba-lumba mempamerkan aksi. Kalaulah dirinya seorang pujangga, pemuisi atau ahli sastera, barangkali sudah berangkai-rangkai mahakarya yang mampu ditulisnya. Alam dan sastera, bukankah intim hubungan kedua-duanya.

Tercari-cari jajaran kata, sekurang-kurangnya hendak membentuk satu madah yang sempurna, Diah tercerun pandangannya melihat akan sesuatu. Origami berbentuk kiambang terapung-apung di permukaan lautan. Bingkas Diah berdiri, menenggelamkan separuh badannya semata-mata hendak mengambil origami itu sebelum lunyai ditujah ombak. Diah yang berbaju kurung, langsung tidak kisah akan dirinya yang kebasahan.

“Biarkan ia terus terapung!” jerit satu suara membuatkan gerak laku Diah terbejat. Diah menoleh ke punca suara. Balang ingatan terbuka penutupnya.

“Awak?”

Mata bertentang mata. Diah kaku pergerakannya tetapi entah kenapa degup jantungnya lebih kencang dari biasa. Gema suara lelaki itu ibarat lunak si guntur sebelum petir menyambar goda langit jiwa. Diah terpesona. Dia tidak sedar ombak sudah menggila. Dalam sekelip mata, membawa tubuh ringannya itu ke tengah-tengah pertelingkahan air laut yang berondak-ondak. Sekali lagi, suara lelaki itu menjerit. Kali ini, lebih tinggi julatnya.

“Bahaya! Ombak besar! Cepat, berenang ke tepi!”

*Dapatkan versi penuh karya ini di dalam Antologi Cerpen Ilham yang akan diterbitkan sempena PBAKL 2013 tidak lama lagi.


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.