Stesen Bank – London
Tragedi gila akan mendorong kita untuk melakukan perkara gila.
Negatif bertemu negatif sama dengan positif. Ingat lagi teori mudah
matematik itu?
Ah-ha! Aku ingin mengaplikasikan teori tersebut ke dalam hidup aku, bermula
pagi ini. Untuk mengatasi kegilaan memikirkan betapa tidak tenteramnya emosi
aku atas perkara bodoh yang sedang aku alami, aku telah membuat keputusan untuk
meluangkan beberapa minit di atas salah satu bangku besi di stesen bawah tanah
(underground)yang bernama Bank.
Sebenarnya dahulu aku cukup benci dengan stesen ini. Mungkin aku masih lagi
membenci. Kerana ianya terletak di tengah-tengah kota London dan menjadi
penghubung kepada beberapa landasan tren lain, bermakna hampir sebahagian besar
pengguna tegar sistem pengangkutan awam ini akan turun di sini untuk bertukar
landasan. Juga bermakna stesen ini jarang sekali lengang terutama sekali pada
waktu kemuncak di antara jam tujuh hingga sembilan pagi, dan empat setengah
petang hingga tujuh malam.
Namun, apa yang sedang aku lakukan? Dengan sengaja membiarkan semua orang
berpusu-pusu dan bertolakan di hadapan mata aku, menghadap bingitnya suara
penyelia stesen yang terpaksa bekerja secara manual apabila operator dari
komputer tidak lagi mampu mengawal kesesakan dan menghidu pelbagai bau yang
bercampur-baur sehingga rongga hidungku terasa pedih menyakitkan.
Negatif bertemu negatif sama dengan positif.
Jam di tangan hampir menginjak ke pukul sepuluh. Menyimpulkan bahawa teori
matematik itu tidak sesuai digunapakai di dalam kehidupan tidak normal. Dua jam
membiarkan elemen-elemen negatif meresap masuk ke tubuh tidak cukup untuk
membuat aku rasa segar dan baru. Atau mungkin nilai negatif yang dibawa oleh
penganiayaan Neal lebih tinggi dari sekadar dua jam.
Mungkin aku patut kembali untuk waktu kemuncak petang pula. Atau untuk esok
pagi juga. Atau-
“Excuse me, ma’am.”
Aku mendongak. Lalu mendapati ada seorang lelaki yang aku kategorikan
sebagai polis peronda di stesen ini sedang bercekak pinggang memandangku,
serius.
Dia bertanya khabar denganku. Tetapi dari tona suaranya, aku tahu itu Cuma
satu tindakan berbasa-basi sebelum dia ingin menahanku. Kerana tangan kirinya
kelihatan bersedia untuk menarik gelang gari besi yang tersangkut di
pinggangnya itu, sekiranya aku bertindak mahu melarikan diri.
Aku tidak menggelabah, tetapi aku mengaku, aku juga tidak terlalu
bertenang.
Dia meminta aku mengikutnya. Apabila aku bertanyakan apa salahku, dia tidak
langsung menjawab. Malah dengan mudah menitipkan janji bahawa semuanya akan
diterangkan kalau aku memberikan kerjasama.
Kerana terlalu bencikan dua terma itu; ‘janji’ dan
‘terang’, aku biarkan sahaja tubuhku ditarik mengikut langkahnya.
_______________________________________________________________________________________________
“Suicide attempt?!”suara yang aku benci – dan rindu – itu hampir
memekakkan telinga.
Wajah yang aku benci – dan rindu – itu kini berada terlalu dekat dengan
wajah aku. Neal yang sedang marah (terlalu
marah!) tetap kelihatan mempesonakan. Sehingga aku rasa aku mahu mengucup
bibirnya supaya dia lebih bertenang dan tidak terusan menengking-nengking
begini.
Tetapi apa yang dia telah lakukan tidak boleh dimaafkan walau betapa dalam
sekali dia telah menawan hati aku.
“Seriously, Isabella. Suicide attempt? Suicide! You-“
Aku pantas berpaling. Malas hendak mendengarkan kata-kata yang sama diulang
berkali-kali semenjak kami meninggalkan pejabat penyelia stesen Bank tadi.
Juga kerana aku tidak suka dia memanggil aku dengan panggilan penuh itu.
‘Bella’ adalah milik dia. Kalau dia tidak mahukan hak untuk memanggil aku
dengan nama itu, mungkin dia benar-benar mahu melepaskan aku dari hidupnya.
Kau yang minta dilepaskan, Bell.
Diam!
“Isabella!”
Ugh!
Semuanya Cuma salah faham. Beberapa staf yang sudah lama memerhatikan aku
tidak langsung bergerak untuk menaiki mana-mana tren, menyangkakan aku
berpotensi sebagai seorang ‘jumper’.Yang
mana kalau ikut bahasa pegawai polis atau penyiasat, ia adalah satu gelaran
kepada kumpulan individu yang bertindak membunuh diri dengan melompat dari
tempat tinggi atau dalam kes aku ini, melompat ke arah landasan ketika tren
sedang bergerak laju.
Ianya adalah satu kebiasaan untuk mendengar pengumuman dari stesen-stesen
terlibat sekiranya ada mayat baru dijumpai di atas landasan sehingga
menyebabkan beberapa kelewatan tren untuk tiba pada waktu yang dijanjikan.
Sebulan yang pertama ketika aku masih baru di kota ini, pengumuman sebegitu
selalunya kedengaran menggerunkan. Tetapi sekarang, aku sudah terlalu lali.
“Itak habis bercakap dengan you
lagi, Isabella Haniff! Stop at where
you are!”jerit Neal lagi. Agaknya dia suka melakukan drama kabel di atas
tangga menuju ke pintu keluar stesen ini.
Seperti yang aku katakan tadi, semuanya Cuma satu salah faham. Kalau aku tahu
Neal masih ada di London, aku tak akan memberikan nombor dia untuk dihubungi.
Aku sudah merancang semuanya dengan teliti. Jika nombor Neal tidak dapat
ditembus masuk pada panggilan kelima, aku akan merayu kepada pegawai polis tadi
untuk melepaskan aku sahaja. Penampilan aku nampak normal. Keadaan minda aku
juga berfungsi baik. Aku tidak melawan, tidak menyumpah seranah. Mungkin dengan
kelakuan aku yang baik dan terkawal, aku tidak perlu didakwa atau dihumbankan
ke dalam lokap atau apa sahaja hukuman yang mereka tetapkan dalam undang-undang
untuk seseorang yang dianggap pesalah seperti aku.
Tapi, Neal ada di sini. Ha! Siapa yang dapat mengagak Neal Adam akan berada
di sini apabila dia sudah menunjukkan kesungguhannya mahu menghalau aku keluar
dari hidupnya, dari kondominiumnya. Sanggup untuk membuang semua baranganku.
Tetapi bila dapat tahu yang aku akan selamanya lesap dari dunia ini, tiba-tiba
berlagak risau dan tidak berhenti ingin memberi ceramah percuma.
Aku benci dia.
Kau rindu dia.
Diam!
“Isabella!”
Aku berlari. Meskipun aku tahu Neal mempunyai kudrat yang mampu menandingi
larianku, aku tetap berlari.
“Isabella! Tunggu!”
Sebaik ternampak jalan raya besar, aku membuat keputusan untuk tidak
menoleh lagi. Kalau aku dapat menempatkan diriku di seberang jalan sana, Neal
pasti tidak dapat mengejar aku lagi. Terlalu banyak kereta yang lalu lalang
untuk menghalang dia dari menangkap aku dengan cepat.
Tanpa berfikir panjang, aku membesarkan langkah. Dua tangan bersedia untuk
dihayunkan gaya pelari pecut acara sukan terbesar Olympic.
Belum sempat aku tiba di pertengahan jalan besar itu, terasa tubuhku
melayang dan terapung dalam pelukan Neal. Sepasang tangannya mengikat pinggangku
kuat sekali. Perutku terasa senak dan nafasku tidak berfungsi normal.
Bagaimana dia boleh mendapatkanku terlalu pantas, aku pun tidak tahu. Dan
mengapa dia tiba-tiba memegangku seolah-olah dia hampir kehilangan aku buat
selamanya.
Tubuhku dipusingkan untuk menghadap dia. Semuanya sedang bergerak terlalu cepat. Satu saat bunyi hon
bergema, satu saat lagi suara Neal membisikkan kata maaf dekat di telingaku
berkali-kali.
Kata maaf, kata maaf dan kata maaf lagi. Lalu berjanji tidak akan
memarahiku.
Dan untuk beberapa detik, aku hampir percaya kepada janjinya itu. Kerana
untuk beberapa detik ini, aku jadi lupa tentang segalanya.
Aku Cuma nampak Neal. Fikirkan tentang Neal dan perasaan cinta ini yang
melimpah hanya untuk dia.
Neal menggesa aku untuk mengatakan sesuatu. Apa sahaja asalkan dia boleh
mendengar suaraku semula.
Sebelah tangannya menyentuh wajahku. Ibu jari tidak berhenti mengusap pipi.
Meminta aku bercakap dengannya. Jeritkan kepadanya tentang apa sahaja.
Tapi aku tidak boleh lakukan seperti yang dia pinta. Aku sendiri tidak tahu
kenapa. Mulutku dibuka dan ditutup berkali-kali, tiada suara yang keluar untuk
sekurang-kurangnya memanggil namanya.
Jadi aku lupakan semua itu. Lupakan tentang ingin mencuba melakukan sesuatu
yang aku tidak terdaya buat masa ini. Kerana fikiranku kini beralih fokus
kepada isi hati.
Memikirkan betapa rindu dan teringinnya aku hendak menyentuh bibir itu
dengan bibirku. Supaya dia boleh sama-sama membisu seperti aku.
Jadi aku lakukannya. Sebelum pandangan bertukar gelap. Dan aku tidak
rasakan apa-apa lagi.