Home Cerpen Cinta Hasta la vista! Episod 2
Hasta la vista! Episod 2
28/12/2014 11:46:12
1,825
Kategori: Cerpen
Genre: Cinta

Hasta La Vista Episod 2

Muka surat pertama kisah cinta Johanna, dia sudah nampak penamat bahagianya. Majlis perkahwinan ala taman dengan gaun putih labuh diseret di atas padang rumput hijau bertaburan kelopak mawar merah dan putih. Dalam pelukan bahagia cinta pertama, berjalan beriringan menuju ke pentas kecil untuk meraikan hari bahagia mereka. Sekali-sekala bertemu mata, saling menjeling, tersenyum simpul, menahan tawa gembira.

Johanna adalah seorang penulis. Mempunyai daya imaginasi tinggi merupakan bakat semula jadinya.

Bertemu dengan Idham bukan sesuatu yang dirancang. Tetapi diajak keluar bertemu janji sejurus sebelum dia berkata, “Tolong jangan bagitahu saya itu kereta awak.” sambil mengunjukkan telunjuk kanan ke arah Mercedes C Class yang dipandu Johanna ke kelas hujung minggu itu, tentu sekali tidak pernah terbayang dalam kotak angan-angan.

“Bukan kereta saya,” jawabnya. Kunci dikeluarkan dari poket seluar. Punat membuka kunci ditekan dan lampu sisi kereta yang menarik perhatian Idham itu menyala sekali.

Liar,”ujar Idham, tersenyum mengejek.

“Bukan kereta saya. Itu kereta papa,” Johanna mempertahankan.

“Hmm. Anak orang kaya.”

Just,anak papa.”

“Saya baru jatuh suka pandang pertama dengan perempuan yang totally out of my league,”Idham menerangkan situasi kekok yang sedang mereka berdua lalui.

And you just asked me out,”Johanna mengingatkan. Ada senyuman bahagia yang cuba disembunyikan. Seperti usaha kerasnya yang cuba menyelindung rasa gembira mendengarkan Idham begitu berterus-terang meluahkan perasaannya.

And I just asked you out,”ulang Idham. “Which I don’t regret at all.”

Beberapa minit berlalu, kedua-duanya terdiam mengunci bibir. Lebih mudah berbahasa melalui renungan mata, fasa senyuman berperingkat yang berakhir dengan cetusan tawa tanpa sebab.

Gila adalah kesimpulan yang dapat Johanna keluarkan. Gila adalah dia sejak pertemuan pertama.

“Apa yang kereta ni dah buat sampai awak perlukan khidmat mekanik berdekatan?” soal Idham, akhirnya teringat tujuan dia dipaksa bergegas menggantikan tempat salah seorang pekerja di bengkel bukantempatnya bekerja. Dia Cuma datang melepak sambil menikmati servis cucian kereta percuma memandangkan pemilik Car Zone itu adalah kawannya sendiri. Namun ternyata tiada yang percuma di dunia ini.

“Tayar depan pancit.”

Idham mengecilkan mata. “Come again?”

“Tayar depan...p-a-n-c-i-t. Pancit,” ulang Johanna, memikirkan Idham betul-betul tidak mendengar jawapannya pada sebutan pertama.

Johanna Cuma terkebil-kebil keliru apabila Idham mula tergelak besar. Terkekek-kekek gembira, nampak bahagia entah kerana apa. Tetapi apabila dia membuka mulut untuk menerangkan, pandangan matanya jadi redup dan lembut merenung terus ke dalam anak mata Johanna,

“Ini bukan stupid crush, I can assure you. You had me at the first look, Anna.”

- Johanna sudah jatuh cinta.

Tiada siapa pernah memanggilnya, ‘Anna’.

Tidak ahli keluarganya. Tidak kawan-kawannya.

Cuma ibunya seorang. Dan ibunya telah tiada.

Mendengarkan panggilan itu setelah bertahun lamanya meyakinkan Johanna bahawa yang dia sedang rasakan dalam hati pada waktu itu juga bukan Cuma perasaan bodoh suka-suka biasa. Idham ini yang akan menjaganya sehingga ke hujung nyawa. Yang akan dikahwininya. Yang akan mencintainya sehingga ke nafas terakhir. Yang telah mengajarnya erti setiap kata janji yang dilafazkan ketika akad nikah adalah ikrar yang akan dipegang buat selamanya.

Genap tujuh tahun kemudian, angan-angan Johanna menjadi nyata.

“Jadi...rasa lain tak tengok saya sekarang?” Johanna bertanya selepas mereka ditinggalkan berdua di dalam bilik pengantin sebaik majlis nikah tamat tepat jam sebelas pagi.

Idham tidak terus menjawab. Tidak juga berganjak dari bersandar di birai katil sementara Johanna bercekak pinggang di belakang pintu.

“Atau semua teori akad nikah yang awak canang-canangkan dulu tu dah terbukti tak bermakna apa-apa? Saya kena bagitahu editor saya untuk buang babak yang tu dalam buku baru ni. Or else I’m gonna sound ridi-“

“Anna,”Idham memotong, kedengaran serius. Ekspresinya serius. Telunjuk kanannya diletakkan di bibir, meminta Johanna berhenti membebel kosong pada waktu genting begini, lalu menepuk ruang kosong di sebelahnya meminta diisi.

Bahu Idham diiktiraf sebagai kusyen terbaik di dunia. Sepuluh saat pertama, Johanna mula dibuai rasa mengantuk yang ditahan-tahan semenjak seminggu yang lalu dek terpaksa bertungkus-lumus memastikan kesempurnaan majlis pada saat-saat akhir.

“Penat?” Idham bertanya, berbisik.

“Hmm...” balas Johanna, lebih kepada hembusan nafas lega.

“Tidur.”

You know we can’t.”

And why can’t we?”

Dalam terpaksa dan rela, Johanna mengangkat wajah, membuka sedikit jarak di antara mereka. Dia tersenyum sendiri memikirkan lelaki di hadapannya itu sudah bergelar suami.

“Ada majlis resepsi gilang-gemilang petang ni, awak,” Johanna mengingatkan, tidak boleh mengelak dari kedengaran teruja, gembira dan agak mengada-ngada.

Right... That garden wedding dream of yours.”

Dan Johanna mengekek lagi. Terangguk-angguk. Spontan merangkul tengkuk Idham, memeluknya erat. Dia tidak dapat melihat wajah suaminya pada waktu itu, tetapi hatinya dapat rasakan yang Idham turut tersenyum bahagia ketika kedua tangan membalas pelukannya.

“Anna.”

“Hmm?” sambut Johanna, masih menyembamkan wajah pada tengkuk suami.

“Teori akad tu...”

Yes?

It worked.”

Johanna tidak terus bertanya lanjut. Menanti beberapa saat, menghirup haruman tubuh Idham yang menenangkan sebelum meleraikan pelukan untuk bertentang mata. Jari-jemari kanan mereka saling bersimpulan sebagai bahasa tubuh untuk mempamerkan cinta di antara keduanya.

“Terangkan,” pinta Johanna akhirnya. Dia mahu tahu.

“Saya tak tahu macamana nak terangkan, tapi bila saya dengar papa nak serahkan awak pada saya secara rasminya dan saya terima tanggungjawab tu,... now it feels real. Confirmationyang selama ni saya tak tersalah pilih untuk serahkan hati saya, dah ada depan mata.”

Pipi kiri Johanna disentuh. Ibu jari memberus lembut wajah yang masih lembap baru dibuang solekan tebal.

“Teka apa yang saya fikir lepas saya cium dahi awak depan semua orang tadi,” pinta Idham.

“...Apa?”

“Saya fikir kalau awak kentut bau lagi teruk dari tapai basi pun saya boleh kata saya cintakan awak sampai bila-bila.”

Johanna ketawa besar. Namun segera terdiam dengan mata bergenang apabila Idham menyambung,

I guess that’s what love is, Anna. Admiring every subtle thing of you.”

Petang itu, Idham tinggalkan Johanna sampai bila-bila. Terbaring layu di atas pentas kecil idamannya. Tubuh sama yang masih terasa hangat ketika memeluknya erat sudah tidak bernyawa, kaku, sejuk, beku di atas pangkuan Johanna.

Hasil bedah siasat doktor menjelaskan perkara-perkara saintifik tentang pembuluh darah meletup secara tiba-tiba ibarat gunung berapi tanpa amaran awal sebagai punca kematian tidak dapat diterima akal. Namun Johanna tidak mengamuk dan mempertikaikan keputusan yang dikeluarkan oleh barisan doktor pakar yang dibayar oleh papanya. Dia juga tidak sekalipun menitiskan air mata, menangis dan melalak sambil menyandang status balu selepas hanya beberapa jam bergelar isteri. Malah dia langsung tidak peduli akan kehadiran beberapa wartawan yang ingin menemuramah untuk menerbitkan kisah yang dikatakan tragis ini di dada-dada akhbar, namun sempat ditahan menggunakan pengaruh besar keluarganya.

Kerana Johanna menemui satu penyelesaian untuk semua kekeliruan ini. Satu ruang kosong untuk dia bersembunyi dari suara-suara yang menghulurkan simpati dan mata-mata yang memandangnya dengan penuh kasihan.

Johanna mula menggunakan pil anti-depressant. Bukan Cuma satu jenis, tetapi tiga. Yang ditelan setiap kali suara Idham mula bergema mengucapkan cinta dan janji dan bayangan tubuhnya yang sekejap datang sekejap pergi.

Sebaik pil-pil ditelan, bayangan Idham jadi jelas, suaranya kedengaran membuai dan lebih meyakinkan. Walaupun Johanna tahu itu semua halusinasi dari kesan buruk menggunakan ubat sebagai jalan keluar, dan tubuhnya sering berpeluh sejuk menggigil dan panas membahang tidak tentu arah, sukar untuk berhenti dari terus menggeletar pada bahagian tangan dan kaki – sekurang-kurangnya, Idham ada di sisi.

Sehingga semuanya menjadi tidak terkawal. Sehingga ubat-ubatan itu hampir meragut nyawa kalau adiknya tidak menjumpai dirinya bersembunyi di hujung balkoni bilik tepat pada masa.

Semenjak itu satu rumah sudah mula hilang simpati padanya. Lebih memandangnya serong kerana telah memilih jalan yang salah. Mereka tidak meluahkan secara terang, tetapi Johanna dapat baca pandangan mata masing-masing memanggilnya ‘si penagih dadah’ yang bodoh dan patah hati dan tidak tahu bagaimana lagi mahu meneruskan hidup.

Jadi sebelum meninggalkan rumah itu buat selamanya, buat kali pertama dan terakhir, Johanna menitiskan air mata atas kematian suaminya yang tidak pernah dijangka.

Johanna adalah seorang penulis. Mempunyai daya imaginasi tinggi adalah bakat semula jadinya. Tetapi tidak pernah sekali dia membayangkan penamat tragis dalam kisah cinta seseorang akan terasa begini peritnya.

Tidak bermakna dia tidak boleh menjadi penulis cerita sedih. Tidak bermakna imaginasinya tidak boleh membayangkan seribu seratus satu cara untuk mematikan satu-satu watak supaya pembaca ikut sama kecewa sepertimana kecewanya dia terhadap cinta. Tidak bermakna dia tidak boleh membuat orang lain turut mendapat penghujung cerita cinta yang tidak membahagiakan seperti kisahnya.

Sasaran pertamanya adalah ‘bai’ di hadapannya ini, yang dengan jelas sedang kelihatan serabut dengan masalah perhubungan cinta. Tanpa mengambil peduli apa kisah tersirat disebalik wajah sugul ala tapai basi itu, Johanna mencadangkan,

Well, if you were to take my advice, I’d say leave her. You deserve so much better.”

Motifnya Cuma satu; putuskan hubungan lelaki ini dengan kekasihnya. Menggunakan kata-kata fakta bercampur teori bodoh yang digunakan Idham dahulu untuk memikat hatinya dan masih tetap mendominasi hatinya. Supaya ‘bai’ ini meninggalkan teman wanitanya itu dan bakal menyesal akan keputusannya kerana tidak ada cinta yang sempurna melainkan cinta pertama.

Selesai berurusan, Johanna terasa bersalah apabila lelaki itu menawarkan untuk membayar pesanan makan lewat malamnya. Tetapi tidak mahu juga berterus-terang mahu lelaki itu melupakan sahaja segala pesanannya dan teruslah berbahagia.

Johanna bergegas pergi. Sebelum perasaan jahatnya ingin menjadi ejen pemusnah cinta orang mula beransur hilang.

“Hasta la vista!”jerit lelaki itu. Meyakinkan Johanna bahawa nasihatnya pasti akan diambil serius.

Kalau tidak, masakan lelaki itu berharap akan bertemu dengannya lagi.

Untuk itu, Johanna memberikan satu tabik hormat dengan sekuntum senyuman kemenangan.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.