Warkah
Cinta
‘Anak teruna seberang titi,
Hendak pergi ke Tanah Jawa,
Hidup kini kian bererti,
Kehadiran adinda pengubat jiwa.
Suria melipat surat yang baru diterimanya
petang tadi. Sebelum dia menyelak buku
makroekonomi dia terpandangkan sampul surat berwarna ungu yang tertera
namanya. Suria mengerut dahi
seribu. Tanpa pengirim dan dan tanpa
kata-kata hanya pantun yang menghiasi isi kandungan surat itu.
Pada mulanya dia berkali-kali
membaca nama penerima yang tertera di atas sampul surat itu. Yelah… mana tahu kalau ada orang yang
tersalah hantar kepadanya. Namun
akhirnya dia membuka setelah nama dan binti adalah namanya. Suria binti Ahmad 6 Atas 2 tertera di sampul
surat itu. Siapa lagi kalau bukan
dia. Suria menggarukan kepala yang tidak
gatal. ‘Siapa pulak yang nak
mempermainkan aku ni?’ Mata Suria kemudiannya terus kepada nama pengirim. HANG
TUAH? Sudah, siapa pulak Hang Tuah di zaman serba canggih ni? Zaman sains dan
teknologi. Ini mesti Hang Tuah
moden. Kalau tidak takkan dia hantar
surat dengan menggunakan komputer?
Mata Suria masih lagi menatap surat
yang baru diterimanya. Kalau surat ini
ditulis dengan tangan boleh juga dia membandingkan dengan tulisan pelajar
dikelasnya. Ini bertaip dengan
menggunakan komputer, siap dengan tulisan roman lagi. Suria mengeluh perlahan. Berserabut fikirannya dengan kehadiran surat
itu.
“Wah! Mengeluh nampak. Kenapa? Banyak sangat ke kerja sekolah yang
kau nak kena buat?” Tanya Wadina
tiba-tiba. Suria memandang kepada
sahabatnya di katil sebelah. Tanpa menjawab pertanyaan dari Wardina, Suria
menyerahkan surat yang diterimanya.
Wardina pula tanpa meminta izin terus membaca dan ternyata mengundang
rasa terkejut sahabatnya itu.
“Bila masa pulak kau ada secret
admire ni Su?”
“Banyakkan kau punya secret
admire. Aku tengah runsing siapa yang
bagi surat ni kau pulak yang buat lawak antarabangsa kat sini.”
“Yelah…. Setahu aku kau ni bukanlah
minah cintan. Minah ulat buku
adalah. Nak kata kau ni pelajar popular
sekolah lagilah jauh. Ni, jantan mana
pulak yang dok syok dengan kau ni?”
Surat itu ditilik oleh Wardina berkali-kali.
“Itulah yang aku peningkan sekarang
ni. Agak-agaknya kau tahu tak siapa yang
bagi surat ni kat aku?” Tanya Suria.
“Manalah aku tahu. Kalau aku tahu baik aku beritahu dengan
kau. Sebab kau tak tahu jadi aku pun tak
tahu. Entah-entah engkau tahu tak? Eh, apa yang aku cakap ni?”
Suria mencapai surat dari tangan
Wardina dan terus menyemadikan di dalam buku.
Dia menongkat dagu dan cuba untuk berfikir. Namun dia akhirnya kalah. Malaslah nak ingat semua ni.
“Dahlah Dina. Buat apa kita nak pusing kepala dengan semua
ni. Kita buat bodoh jelah. Nanti kita juga yang pening kepala. Sedangkan
Hang Tuah kita ni bertepuk riang.”
“Yelah kan, dah ada buah hati macam
kau ni.”
“Hish! Kau ni. Ke situ pulak.” Suria buntu dan tidak tahu apakah yang perlu
dilakukan ketika ini. Nak buat bodoh? Buatnya dapat surat kali kedua? Peninglah!
“Takkan kau tak nak tahu siapa yang berikan
surat tu? Kalau aku, akan aku cari sampai ke lubang cacing. Tak kiralah apa saja caranya.” Ujar Wardina
sambil mencebikkan bibirnya.
“Buat masa sekarang ni aku nak
tumpukan perhatian pada STPM yang bakal aku duduki. Aku tak nak gagal sebab makhluk yang bernama
Hang Tuah ni.”
“Takkan sikit pun kau tak nak ambil
tahu?” Pujuk Wardina seakan memberikan ruang kepada Suria untuk menyiasat.
“Dah, jangan nak pujuk aku
pulak. Ni, kalau aku siasat siapa Hang
Tuah di zaman mellinium sudah pasti aku akan gagal STPM nanti. Silap haribulan impian aku nak jadi cikgu
terkubur macam tu je.”
“Baiklah…. Kita tunggu dan lihat.
Aku takut kau yang tidak tidur malam sebab terkenangkan Hang Tuah.” Sindir
Wardina sambil tersenyum. Suria tidak
mengiakan sebaliknya dia terus kembali ke katil dan menyimpan kembali buku
mikroekonomi itu.
Suria melangkah laju saat dia sudah
terlambat untuk ke perpustakaan. Tangan kanan acapkali menjadi santapan
matanya.
“Aduh! Matilah aku. Mesti Wardina membebel. Dahlah mulut minah tu tak boleh nak
kunci.” Bebel Suria berseorangan. Dengan laju dia menuruni anak tangga. Namun setiba di anak tangga terakhir dia
terlanggar seseorang dan menyebabkan dia jatuh terduduk. Habis semua buku yang dibawanya
bertaburan.
“La… kau Su. Apa yang kelam-kabut sangat ni?” Suria mendongakkan kepala. La…. Syahrin rupanya.
“Sorrylah Syahrin. Aku dah lambat nak ke perpustakaan. Wardina tunggu aku kat sana. Bising pulak dia kalau lambat. Kau bukan tak
tahu dengan mulut minah tu.” Syahrin cuba untuk membantu namun ditegah oleh
Suria.
“Aku boleh bangun sendiri.” Syahrin mengalah dan kemudiannya membantu
Suria mengutip buku-buku Suria yang bertaburan.
Syahrin kemudiannya menghulurkan
buku-buku itu dengan sepucuk surat.
“Ini surat awak.”
“Surat?” Berkerut kening Suria
apabila Syahrin menyerahkan sepucuk surat yang begitu dikenalinya. Sudah!
Hang Tuah ni mesti dah selitkan surat tu masa rehat tadi. Dengan perlahan Suria mencapai surat dari
tangan Syahrin. Berubah wajah Suria
apabil menyambut surat itu. Mesti mamat ni
fikirkan yang bukan-bukan.
“Untunglah…. Dapat surat.”
“Kalaulah saya tahu Syahrin. Masalahnya saya tak tahu siapa dia.”
“Habis tu awak dapat surat ni awak
buang ke awak baca?” hish! Mamat
ni. Banyak sangat tanyalah pulak.
“Dah amanah. Saya baca sajalah.” Syahrin tersenyum dengan penjelasan Suria
itu.
“Boleh saya tahu apa isinya?”
“Dan amanah ini saya tak boleh
kongsi dengan orang lain. Tambah lagi
spesis yang sama dengan pengirim surat ni.”
Syahrin mengangguk dan senyumannya penuh dengan makna.
“So…. Lelakilah penulisnya. Okey, dah tahu.” Syahrin berlalu dengan senyuman yang masih
tidak lepas dari bibirnya.
“Aduh! Bodohnya aku.” Suria menutup mukanya dengan buku. Malunya usah dicerita. Gerenti dia bercerita dengan semua
orang. Ah, lelaki ada masa pun suka
bergossip juga. Apa? Ingat perempuan saja ke yang suka bergossip? Erm… silap hari bulan lelaki yang lebih
dahsyat lagi.
Suria merenung kepada surat di
tangan kanannya. Dia memandang
sekeliling. Tiada orang. Nak baca ke tidak? Kalau nak baca diperpustakaan bukannya boleh
percaya dengan si Wardina tu. Ada saja
yang diusiknya. Akhirnya dia mengambil
keputusan untuk membacanya di situ juga.
Namun bukan kerana dia takut diusik oleh Wardina namun hatinya bagaikan
melonjak untuk mengetahui isi surat itu. Ternyata surat itu diselitkan
serangkap pantun. Erm…. Seperti biasa.
Cantik
menarik si rama-rama,
Hinggap
sebentar di atas perdu,
Wajah dinda bagaikan purnama,
Hamba
ibarat pungguk merindu.
E…. dah gila agaknya Hang Tuah
ni. Apalah istimewa sangat aku ni sampai
jadi macam ni. Kalaulah tahu siapa Hang
Tuah ni, mahu cilikan mulut dia. Menyusahkan
orang betul. Tak pasal-pasal nak
tambahkan masalah yang sedia ada.
Sudahlah periksa nak dekat. Silap
haribulan ada pulak yang tulis nama Hang Tuah sepuluh muka! Arghhh!!!! Mengapa perkara ini harus terjadi?
Hari-hari berlalu seperti
biasa. Walau pun dia tidak mahu
mengetahui siapakah Hang Tuah yang telah memberikannya surat namun di dalam
kelas dia menjadi pemerhati. Pelajar
lelaki di dalam kelas bukannya ramai sangat.
Cuma empat orang sahaja. Tetapi
dengan empat orang itu sudah cukup membuatkan dia pening kepala. Kehadiran surat dari ‘Laksamana Hang
Tuah’ itu benar-benar membuatkan dia
keliru.
Siapakah Hang Tuah? Adakah datang
dari kelasnya sediri atau pun dari kelas lain? Suria mula bermain dengan
teka-teki. Firdaus? Tidak mungkin. Dia budak geografi. Tak mungkin dia yang tulis pantun tu. Syahrin?
Lagilah terkeluar dari senarai.
Dia dah ada affair dengan si Halina.
Takkan dia nak main kayu tiga pulak.
Nasir? Budak rock tu? Mana ada dia suka dengan jiwang-jiwang
ni. Nazli? Ustaz 6 Atas 2? Tak mungkin.
Mana dia nak campakkan si Dayang
adik angkatnya tu? Ah…. Pening kepala.
Baru 4 orang. Kalau 40 orang mahu
botak kepala nak fikirkan.
“Eh, Su. Kenapa dengan kau sejak
tadi aku tengok bukan main lagi kau tenung anak muda dalam kelas ni. Kenapa?
Kau nak tahu siapa yang berikan kau surat tu? Kau punya Hang Tuah?”
Suria senyap. Dia tidak bersuara. Kemudian dia seperti malu sendiri. Kalaulah budak lelaki tahu yang dia menjadi
pemerhati mahu sahaja dia melompat dari tingkap sekolah. Sebab memang dia bukan jenis seperti itu.
Tambahan pula dengan Syahrin. Jejaka
itulah yang mengetahui yang dia telah menerima sepucuk surat dari lelaki! Dan Wardina tidak tahu semua itu.
“Bukan ke kau kata yang kau tak nak
tahu siapa Hang Tuah tu? Sekarang ni nampaknya kau dah pandai nak pandang anak
teruna orang.” Usik Wardina. Wardina kemudiannya juga menjadi pemerhati
seperti Suria.
“Kesian kau Su. Orang bagi kau surat kau tak tahu siapa
pengirimnya.”
“Hish! Kau ni janganlah cakap kuat
sangat. Kalau dia orang tahu malu
aku.” Suria tidak senang dengan usikan
Wardina itu. Dia mencubit lengan
Wardina. Seolah-olah tidak mahu orang
lain tahu yang dia sedang mencari siapakah sebenarnya Hang Tuah.
“Susah sangat kau pergi tanyalah
dengan dia orang tu. Tak pun kau jerit depan kelas tanya sesiapa yang ada bagi
kau surat.” Berbular biji mata Suria
mendengarnya. Oh! Tidak!
Dia bukan sampai terdesak sangat untuk membuat semua itu.
“Gila kau? Tak nak aku buat kerja
gila tu.” Geleng Suria.
“Kalau kau nak suruh aku jerit aku
tak kisah. Aku boleh tolong kau.”
“Kau jangan nak buat perangai
gila-gila kau kat sini boleh tak?”
“Lebih baik kau gila sekarang ni
dari kau gila esok hari. Tak nak sahabat yang aku sayang menjadi gila. Tak
nak…. Tak nak…. ” Geleng Wardina pantas.
“Aku binggung betullah. Sampai
sekarang aku masih belum tahu siapa Hang Tuah yang berani kacau hidup aku. Agak-agak kaulah…. Mungkin datang dari kelas
lain tak?” Tanya Suria yang cuba mendapatkan pendapat dari sahabatnya itu.
“Entah-entah ada orang yang nak
mempermainkan kau tak? Manalah tahu kan?
Kau kan best student. Mesti ada
yang dengki dengan kau. Saja je dia nak tengok kau gagal.”
“Entah-entah engkau tak Dina?”
“Oi!
Kau gila?! Aku ni kan kawan kau.
Tak pernah terfikir aku nak buat lagu tu. Dari aku buat kerja yang sia-sia ni baik aku
baca buku banyak faedahnya.” Suria ketawa.
Saja dia nak mengenakan rakannya itu.
“Susah aku nak cakap, Dina. Semalam dia berikan aku surat lagi. E…. kalau aku tahu siapa Hang Tuah tu nahas
aku berikan dia penumbuk sulung. Dia
lebam biji mata dia.”
“Itu kata kau. Entah-entah bila kau dah bertentang mata
dengan dia lidah kelu tak terkata. Silap
haribulan engkau pula yang dah jatuh cinta.” Usik Wardina dalam tawa.
Suria turut ketawa. Walau pun dia tidak menyenangi akan
kedatangan warkah ungu itu, namun dia tetap ingin taku siapakah milik disebalik
pengirim surat itu.
“Betul ke kau nak siasat?”
Pertanyaan dari Wardina itu membuatkan Suria tersentak. Siasat?
Perkataan itu terus meluncur dari bibir Wardina.
“Entahlah. Bila nak kenangkan sekarang ni memang aku nak
tahu siapa orangnya. Tapi bila aku kenangkan masa depan aku malas pulak aku nak
ambil peduli. Nanti Hang Tuah kemana,
STPM pun kemana. Silap hari bulan aku yang tersungkur dia senang-senang berjaya
dalam hidup.”
“Aku rasa esok lusa mesti dia penat
berikan surat untuk kau. Kau lupakan
jelah. Memang aku mula-mula ingat nak
siasat juga, tetapi bila kenangkan bebudak lelaki dalam kelas ni ‘ramai’ sangat
aku rasa tak ada adventure
langsung. Dahlah tu, jangan fikirkan
sangat. Nanti kau juga yang sakit.”
Memang ada benarnya kata-kata
Wardina itu. Mana tahu esok lusa dia tidak akan dapat warkah itu lagi. Sudah tentu dia akan kering idea untuk
mencipta pantun. Namun persoalanya,
adakah Hang Tuah itu adalah benar-benar seorang lelaki? Mungkin dia sekadar nak
sabotaj aku?
Suria memerhati novel terbaru dari
satu ke rak yang lain. Rambang matanya
untuk memilih novel terbaru di pasaran. Namun begitu dia sedar ada sesuatu yang
perlu dikejar. Ye! Pelajaran. Namun begitu kalau satu novel apa salahnya,
kan?
Sedang dia memerhatikan novel-novel
di rak buku dia terpandangkan Firdaus yang sedang membeli stationary di rak….
Sampul surat? Tiba-tiba Suria bertukar
menjadi seorang pemerhati dari jauh. Mengintai bagus ni. Dengan perlahan dia beralih ke rak lain. Dia
ingin melihat apakah sampul surat yang akan dicapai oleh Firdaus. Unggu? Biar benar!
Takkan Firdaus? Suria menggigit
bibirnya. Cuba mencari jalan untuk dia
mencungkil rahsia dari dari rakan sekelasnya.
Dengan perlahan dia mendekati ke arah Firdaus.
“Assalamualaikum.” Ternyata Firdaus terkejut apabila disergah
sebegitu. Suria tersenggeh menampakkan
barisan giginya yang putih. Habislah kau
Firdaus. Aku akan gali sampai kau tak
boleh jumpa jalan keluar.
“Kau buat kat sini?” Tegur Firdaus. Wajahnya ternyata
berubah. Habislah kau, Firdaus.
“Aku cari buku. Yang kau kat sini pulak buat apa?”
“Tak ada apa. Cuma cari barang sekolah. Eh, aku pergi dulu ye.” Namun belum sempat Firdaus berlalu dia di
halang oleh Suria.
“Kalau aku nak nak tahu sesuatu
boleh tak?” Saat itu wajah Suria benar-benar serius. Tiada sekelumit senyuman
dari bibirnya.
“Apa dia?”
“Sampul surat tu untuk siapa?”
“Er…”
“Untuk aku eh,”
“Hish! Mana ada. Kalau kau tak ada maknanya aku nak hantar
surat. Baik aku terus jumpa kau je. Terus terang.
Lagi bagus. Lagi pun kita kan sekelas.
Mana aci nak bercinta satu kelas. Tak ada feelling langsung. Hari-hari mengadap muka yang sama.”
Suria malu sendiri. Mahu sahaja dia menyorok di belakang rak itu.
“Habis kalau bukan aku punya siapa
punya pulak?”
“Engkau ni memang perasan eh. Yang kau nak tahu beria-ia ni kenapa? Mesti
kau nak canangkan kat satu kelas, kan?”
Kali ini Firdaus bertindak berani.
“Mana ada? Okey, kalau kau tak tak
beritahu….”
“Yelah…yelah…. Aku beritahu dengan
kau. Tapi aku minta dengan kau jangan
beritahu dengan orang lain tau.” Ujar
Firdaus.
Suria mengangkat tangan. “Aku
janji.”
“Yang sebenarnya aku nak berikan
surat dengan Rugayah. Budak 6 atas
1. Dah lama aku minat dengan dia. Aku nak beritahu dengan dia aku segan. Jadi itu yang aku nak tulis surat pada dia.”
“Fir, kalau aku cakap dengan kau
jangan marah ye.”
Firdaus mengerut dahinya. Tidak faham dengan apa yang cuba ingin
disampaikan oleh Suria.
“Kau ni pengecutlah Fir.”
“Maksud kau?”
“Kalau kau tulis surat pada dia kau
tak akan tahu apa perasaan dia terhadap kau.
Baik kau terus terang je dengan dia.
Mana tahu dia perasaan sama dengan kau.
Kalau kau tulis surat kau juga yang akan tertanya-tanya reaksi dia
nanti.” Firdaus terdiam saat Suria
berkata-kata. Ada kebenarannya.
“Aku nasihatkan baik kau bersemuka
dengan dia. Kesian dia. Baik kau terus terang. Ada baiknya.
Dia terima atau tidak itu belakang cerita. Yang pasti kau beritahu
dengan dia. Aku janji bila kau kau bersemuka dengan dia dan beritahu hal yang
sebenar mesti hati kau yang berat tu akan menjadi ringan. Kau percayalah dengan
cakap aku ni.”
“Aku takut kalau dia tak terima
aku. Mana tahu aku beritahu dengan dia
penampar sulung hinggap kat pipi aku yang handsome ni. Malu aku nanti.”
“Ala….kalau macam tu kau dah tahulah
jawapan dia. Terang-terang dia tak suka
dengan kau. Apa lagi kau pasanglah kaki cari yang lain. Kalau kita tak cuba kita tak tahu. Aku yakin kau boleh lakukan. Pergilah kau berjumpa dengan dia. Kalau dia suka dengan kau? Menang loteri kau nanti.” Firdaus melemparkan senyuman buat Suria. Ada benarnya dengan kata-kata Suria itu. Erm…. Kalau tak cuba tak tahu kan?
“Terima kasih, Su. Kalau bukan nasihat kau dah tentu aku buat
kerja bodoh dengan berikan dia surat.”
“Good
Luck, Fir. Aku doakan kau berjaya.” Suria berlalu dengan hati yang sedikit
kecewa. Benarkah Firdaus dan
Rugayah? Atau dia cuba untuk menutup
rasa malunya? Sekali lagi Suria menjadi
seorang pemikir. Hish! Kalau macam ni mahu botak kepala
dibuatnya. Hish! Payah betul.
Semenjak peristiwa itu Suria cuba
untuk menepis nama Firdaus dari list nama-nama wanted untuk nama samaran Hang
Tuah. Ini kerana semenjak peristiwa itu
dia sudah dapat melihat perubahan dari Firdaus yang sering bersama-sama dengan
Rugayah. Dan kini yakin Firdaus bukanlah pengirim surat itu.
Suria
memandang ke belakang di saat dia mendengarkan bebelan dari Nazli. Beberapa orang pelajar yang mendengarkan
bebelan itu menjadi penyibuk mengetahui akan yang telah terjadi.
“Kenapa dengan kau ni, Nazli? Aku tengok muka kau dari tadi macam tempoyak
basi je. Masam betul.” Tegur Nasir. Nazli melepaskan keluhan perlahan. Suria masih lagi menjadi pemerhati.
“Tu… si Dayang. Dia punya berani ada ke patut dia cakap
dengan mak aku yang dia nak kahwin dengan aku.
Buat malu aku je.” Luah Nazli.
“Habis mak kau cakap apa?”
“Dia gelakkan akulah. Budak tu siang
malam suka buat aku susah. Nak makan
ubat pun nak tanya aku dulu. Dia
bukannya budak umur 4 tahun sampai aku nak suapkan dia. Kalau nak ikutkan hati
aku memang aku malas nak layan. Bila
mengenangkan dia baik dengan mak aku dah macam kena cucuk hidung pulak.”
“Kau terus-terang jelah dengan dia. Kalau kau tak cakap macam mana dia nak tahu.”
“Puas aku cakap dengan dia. Aku anggap dia macam adik aku sendiri. Tapi
dia tak dengar. Aku dah kata aku dah ada
buah hati, tapi dia gelakkan aku pulak.
Ada patut dia kata ‘belum kahwin….ada saya kisah?’” Ajuk Nazli.
“Itulah…. Dari dulu aku dah cakap. Buat susah je ambik adik angkat ni. Tapi kau tak nak dengar. Sekarang siapa yang susah? Jangan kata aku tak beritahu dengan kau.
Itulah… adik angkat…. Adik angkat sekarang dah terangkat.” Nazli menggelengkan kepala. Dia sudah buntu untuk melepaskan diri dari
Dayang yang sering kali mengekorinya.
Menyesal pula dia berjanji untuk menjadikan Dayang sebagai adik
angkatnya.
Suria mendengarkan perbualan Nazli
dan Nasir sambil dia berfikir. Dia mula menyusul kemungkinan. Nazli? Mungkinkah dia? Nafasnya terhenti dan
bagaikan sesak saat Nazli membuat pengakuan bila mengatakan dia sudah ada buah
hati. Tapi…. Ah! Tapi lagi. Suria
kemudiannya memandang ke arah Syahrin yang wajahnya kelihatan sugul. Mungkinkah
dia bergaduh dengan Halina? Semenjak dua
tiga hari ini Syahrin bagaikan tiada semangat.
Dia bagaikan gelisah. Perubahan itu juga terjadi kepada Halina. Susah juga jadi orang yang bercinta ni
ye. Kalau gaduh muka macam tempoyak basi
je. Hish! Kenapa pulak dengan akau ni? Buat andaian yang bukan-bukan. Arhg!!!
Tolong!!!!
Suria menggarukan kepala yang tidak
gatal. Dia menghempaskan badan di atas
katil sambil mencapai buku Sejarah 2. Dalam erti kata dia ingin menyelak untuk
mengulangkaji tiba-tiba sepucuk surat jatuh ke badannya. Warkah ungu lagi. Suria hanyar sekadar memandang. Hatinya mula berbelah bagi. Nak baca ke tidak ni?
Akhirnya Suria tekad. Dia membuka surat itu dan seperti biasa hanya
ada serangkap pantun.
‘Salam
diutus di hari lebaran,
Budi tersemai di bawa mati,
Hati teruna penuh debaran,
Melihat adinda pujaan hati.
Namun
kali ini bukan setakat serangkap pantun. Tetapi dua!
Bunga
disunting penuh cermat,
Untuk
adinda ingin kusemat,
Kata adinda kupanjatkan azimat,
Buat
penawar dan kata semangat.
Ah! Hang Tuah ni memang sudah gila
barangkali. Makin lama makin menjadi
pula. Suria hampir mengalirkan air
mata. Siapakah yang cuba untuk
mempermainkan hidupnya? Mahu sahaja dia menjerit. Geram, marah semuanya bercampur. Kalau ingin diikutkan hati mahu sahaja dia
mengetuk setiap meja sahabatnya di dalam kelas siapakah yang memberikan surat
itu. Tidak! Sudah pasti tiada siapa yang mengaku.
Wardina masuk ke dalam dorm sambil
memerhatikan Suria yang sedang jauh mengelamun.
Dia menggelengkan kepala. Apalah nak jadi dengan kawan aku sorang ni.
Asyik termenung je sejak akhir-akhir ni.
Mesti gara-gara Hang Tuah yang buatkan minah ni termenung macam nak
tembus dinding dibuatnya.
“Oi!
Teringatkan hero Hang Tuah ke?” Sergah Wardina.
“Engkau ni Dina, kalau bercakap tu
berlapiklah sikit. Boleh tak?” Suria
sedikit terasa akan pertanyaan Wardina itu tadi.
“Aku tengok kau sekarang ni dah
lainlah Su. Asyik termenung panjang ke
aku tengok. Nampak gayanya kau dah jatuh
hati dengan Hang Tuah tu.” Serkap
Wardina lagi.
“Gila kau. Kenal tidak, jumpa tidak mana boleh aku jatuh
cinta dengan dia? kau tu jangan nak buat cerita lain pulak ye.” Suria cuba
untuk menolak perasaannya. Masakan mahu
dia mengaku akan hatinya sendiri.
“Yelah…. Dari pantun yang dia beri
kau terpaut hati dengan dia. Apa yang
dia kata pada kau hari tu? Syahdu
tu. Kalau aku pun cair dengarnya.” Ujar
Wardina.
“Tapi aku tak puas hatilah. Selagi aku tidak tahu siapakah Hang Tuah yang
sebenarnya. Budak lelaki di dalam kelas
kita bukannya ramai sangat. Cuma ada 4
orang saja. Itu pun aku tak boleh nak agak.
Bijak betul Hang Tuah ni simpan rahsia.”
“Ala dia pun takut nak buka pekung
di dada. Mungkin dia segan akan dikata
atau pun dia takut kau marah dia. Bukan
ke hari tu kalau nak jumpa dengan dia nak bagi penumbuk sulung kat dia. Tapi… best juga ada secret admireni.” Usik Wardina.
Serta-merta wajah Suria bertukar mendung.
“Best apa? Tak tidur malam
adalah. Dok tanya siapa Hang Tuah di
zaman moden ni.”
“Aku takut bukan menumpuk sulung
yang kau nak bagi kat dia, silap haribulan kau berikan dia flying kiss kat Hang Tuah kau tu.”
Kian galak Wardina mengusik sahabatnya.
“Agaknya sampai bilalah dia nak
tulis surat kat kau, kan. Aku tengok dia
tak jemu nak berikan kau sampul ungu tu.
Makin lama makin kerap pulak aku tengok.
Aku rasalah dia pun memang betul-betul suka kat kau.”
Suria mengangguk perlahan. Dalam
diam dia mengiakan kata-kata Wardina itu.
Apa? Jatuh hati? Hello pleaselah…. Tapi….. Suria sedar sejak
akhir-akhir ini dia sering menantikan surat itu.
“Entalah Dina. Biarlah dia.
Aku yakin lama-kelamaan berhentilah dia tu.”
“
Aku bukan apa, aku takut silap haribulan dia hantar surat peminangan kat kau pulak
nanti.” Mendengarkan kata-kata Wardina
itu Suria menghinggapkan satu cubitan bisa di lengan Wardina.
“Agak-agaklah kau ni.”
“Agak-agak engkaulah… siapa agaknya
Hang Tuah tu ye?” Nah! Soalan maut
Wardina tujukan kepada Suria.
“Entahlah aku. Lagi aku fikirkan lagi buntu otak kepala
aku. Kau ada idea tak?” Tanya Suria pula
kepada Wardina. Saja untuk dia bertanyakan
jika tahu siapakah yang menghantarkan surat kepadanya.
“Kalau aku tahu tak adalah aku tanya
dengan kau.”
“Nak kata Syahrin aku rasa tak
mungkin. Bukankah dia dah ada buah hati?
Si Halina tu mana nak letak?”
“Aku rasa itu hanya sementara. Sebab gossip yang aku dengar dia dengan
Halina tengah perang besar. Aku tengok
si Syahrin tu asyik termenung je.” Ujar
Wardina.
“Atau pun Nazli?” Serkap Suria meminta pendapat dari
Wardina.
“Mungkin.”
“Tapi rasa tak mungkin. Sebab apa, si Dayang tu bukan main lagi
control dia. Ada ke patut nak makan ubat
pun dia sanggup jumpa dengan Nazli?”
“Itu ada potensi nak berikan kau
surat.” Fikir Wardina.
“Macam mana pulak dengan Nasir budak
kepala rock tu?” Perbincangan mereka
bertambah hangat. Suria dengan penuh
harapan dapat mengetahui siapakah Hang Tuah sebelum dia mengakhiri persekolahan
di sini. Sudah pasti bila rahsia tidak
dapat dirungkai rahsia akan kekal menjadi rahsia.
“Dia aku tengok sekarang ni dah tak
ada nyanyi lagu XPDC atau Search, tapi dah pandai layan lagu Anuar Zain. Itu yang aku sikit keliru. Macam mana dia boleh berubah sekarang ni aku
pun tak tahu. Kalau tidak orang yang
berikan semangat, kan? Yang pasti kepala gila-gila dia dah hilang entah ke
mana.”
Suria setia mendengarnya.
“Susah tau nak dengar dia menyanyi
lagu yang terkeluar anak tekak.
Entah-entah dia tak?” Teka Wardina.
“Takkan sampai macam tu sekali? Ini
yang buat aku pening kepala. Mereka semua ni nak sabotaj supaya aku gagal dalam
peperiksaan ke?” Suria sudah mula putus asa.
“Tinggal seorang lagi. Si Firdaus.
Aku tengok dia bukan main ceria lagi sekarang ni. Bila aku tanya dia tak menjawab. Dia kata dia dah ada jumpa mata air. Sebab itu aku syak dengan dia.” berbular biji mata Suria mendengar kata-kata
Wardina itu.
“Kau jangan nak buat cerita
pulak. Si Firdaus tu tengah bercinta
dengan si Gayah budak 6 Atas 1.”
“Ye ke? Macam mana aku boleh tak tahu. Wah!
Aku ingat aku yang ekspress, tapi kau lagi advanced dari aku. Kau boleh tahu sebelum dari aku.”
“Ala… aku malas nak hebohkan. Nanti dia kata aku yang bawa mulut
pulak. Sebab itu aku tak kisah yang dia
berubah. Sebab aku pasti bukan dia yang
hantar.” Ujar Suria penuh yakin.
“Hish! Pelik juga dengan kes kau ni Suria. Apa kata kita report je kat balai polis. Biar dia siasat siapa yang punya angkara.” Cadang
Wardina sambil menganggukkan kepala.
“Dah! Kau jangan nak mengada-ada. Banyak lagi kes yang dia orang nak
fikirkan. Setakat surat sekeping tu buat
dia orang gelak je tau.”
Meladak tawa Wardina bila Suria
berkata begitu.
“Aku dah surrender nak tahu siapa Hang Tuah ni. Tapi…”
“Tapi apa?” Wardina merapatkan
dirinya seolah ingin tahu.
“Aku dah jatuh hatilah.” Sebenarnya dia merasa malu untuk meluahkan
namun dia tidak boleh menipu dirinya.
“Dengan Hang Tuah? Kau biar
betul. Entah-entah dia saja nak kenakan
kau tak? Kau pula yang terhegeh-hegeh kat dia.
Aku rasa kau ni kena bawa berubat. Mana tahu nanti kau jawab STPM kau
tulis nama Hang Tuah sampai 10 muka surat.
Suria, aku rasa kau lupakan saja Hang Tuah tu. Kalau dah jodoh tu tak kemana.”
Suria termenung dan memikirkan akan
kata-kata Wardina itu tadi. Memang dia
ingin melupakannya. Namun setiap kali
ingin melupakannya setiap kali itulah warkah berwarna ungu ditatap.
STPM bakal menjelang tidak lama
lagi. Suria mengambil keputusan untuk
belajar bersama dengan Wardina demi ingin melupakan pengirim misteri itu. Namun ia tidak lama berkekalan. Warkah ungu itu datang lagi.
‘Tumpang
teduh di tepi perigi,
Menanti sahabat untuk bersua,
Walau ke mana adinda pergi,
Bawalah hati ini menyusur jua.
Argh!!!! Sudah sah!
Tak lama lagi boleh masuk hospital jiwa aku dibuatnya. Mahu sahaja Suria menjerit. Tapi tidak terluah. Sudah berkali dia bertanyakan kepada rakan
pelajar lelaki di dalam kelasnya. Namun
tiada siapa yang mengaku. Ialah siapa
yang nak mengaku. Nak control macho konon.
Tak gentleman langsung. Suria
melipat semula surat itu dan segera ingin melupakan warkah itu. Dia mesti bangkit agar tidak kecundang di
medan peperiksaan.
Peperiksaan STPM berlangsung dengan
lancar. Ingatan kepada Hang Tuah berjaya
ditepis. Suria menghela nafas lega
setelah kertas Pengajiam Am 2 yang juga kerta terakhir kini telah selesai. Dia bersama dengan Wardina meninggalkan dewan
peperiksaan sambil bersalaman dengan rakan-rakan yang lain. Di dalam diam Suria menyimpan harapan agar
hari ini segala pertanyaan akan terjawab.
Namun hampa, bukan sahaja jawapan malahan juga warkah yang selalu
singgah di halaman bukunya juga tiada.
Dia tahu Hang Tuah yang selama ini menjadi pengirim misteri akan kekal
sebagai satu rahsia.
Akhirnya Suria berlalu dengan
harapan dan angan yang kosong yang pastinya dia sendiri tiada jawapannya. Suria masih lagi berpaling ke arah Sekolah
Dato’ Bentara Dalam sebagai lambaian terakhir.
Mungkin ini kali terakhir dia akan menjejaki kaki di sekolah ini. Perjalanannya masih jauh lagi. Banyak lagi yang perlu dirterokai. Sudah pasti warkah ungu itu tidak akan kelihatan
lagi.
SEPULUH tahun sudah berlalu. Kini, Suria sudah pun menjadi seorang
pendidik. Dan berita terkini adalah dia
sudah disunting orang. Ya, Suria sudah
menjadi tunangan orang dan akan bergelar isteri tidak lama lagi. Walau pun tidak pernah bercinta, namun Suria
sedar bahawa percaturan jodoh dari keluarga memberikan keistimewaan yang
tersendiri. Berkat dan restu dari orang
tua Suria tekad untuk belajar dan menyayangi dan menyintai tunangnya itu. Biar pun dia tidak pernah berjumpa, namun dia
yakin akan jodoh yang diaturkan oleh keluarga.
Minggu hadapan dia akan menghadiri
majlis alumni bagi kelas tingkatan 6 Dato’ Bentara Dalam bagi tahun 1997. Debarannya kian terasa kerana sudah tentu dia
akan disuakan dengan soalan dan pertanyaan yang bakal menyesakkan jiwanya. Bila nak kahwinlah, siapa nama tunanglah….
Pintu bilik diketuk
berkali-kali. Suria membuka pintu dan
ternyata wajah ibunya menghiasi ruang mata. Halimah menghulurkan sepucuk surat
yang ternyata membuatkan dia terkejut.
“Ini ada orang berikan kamu
surat.” Suria menyambut surat tanpa
alamat itu. Getaran hatinya muka
bertandang. Surat yang selama ini hampir
dilupakan. Surat ungu yang pernah
membuatkan dia tidak tidur malam. Suria
membuka surat dan sekali lagi dia terkejut akan surat itu dipenuhi dengan
tulisan tangan dan bukannya bertaip seperti selalu.
‘Duduk
berdua di pohon jati,
Duduk bersama penuh cerita,
Kasih
adik disimpul mati,
Seiring
bersama dimahligai cinta.
Kalau
cinta berikan tanda,
Untuk
pengubat hati yang sedih,
Terima kasih wahai adinda,
Terima
kanda mengikat kasih.
Tatapan buat adindaku sayang….
Buat pertama kali maaf kiranya
terlalu lama menantikan warkah yang tidak seberapa ini dan terlalu lama merahsiakan akan hal yang sebenarnya. Hati hamba sudah tertawan sejak pertama kali
bertemu. Semakin kerap hamba ingin
mengenali adida semakin kerap juga dugaan yang mendatang. Sesungguhnya setiap dugaan yang datang sudah
pasti ada hikmah disebaliknya. Hamba
tahu, segala apa yang berlaku akan menjadi baik keesokkan harinya.
Disaat
kasih putus di tengah jalan, adinda menjadi penyambungnya walau pun adinda diam
seribu bahasa. Dari jauh hamba tahu yang
adinda sering menantikan surat dari hamba.
Hamba tahu yang adinda rindukan hamba.
Hamba
cuba untuk mendiamkan diri, namun dengan sepuluh musim yang kini sudah berlalu
dan hamba percaya kepada jodoh yang telah ditentukan. Dan kini… er… abang mengambil langkah drastik
dengan menyunting adinda. Kalau sudah
jodoh tidak kemana. Abang gembira saat
adinda setuju dengan lamaran abang. Er… er… sayang, maaf sekali lagi kalau
selama ini membuatkan sayang menanti terlalu lama. Yang pasti selepas ini abang akan selalu
disampingmu…. Dan rahsia kini bakal berakhir tidak lama lagi. Dan yang pasti untuk pertemuan kita nanti
abang akan berada di sisi sayang. Percayalah…. Dan abang akan pastikan yang
sayang akan menjadi milik abang.
Yang
Benar,
Hang Tuah@abang
Suria berlalu meninggalkan kamarnya
dan lantas mendapatkan ibunya. Sampai
sahaja di ruang tamu dia cuba mencari kelibat yang akan menjadi jawapan kepada
teka-tekinya selama ini. Namun dia
hampa.
“Mana dia mak?” Suria masih lagi mencari.
“Siapa? Tunang kamu?
Dah balik dah. Dia kata jumpa
minggu depan.” Pesan Mak Limah.
“Mak…. Dari hari tu tak nak berikan
nama tunang Su. Mak saja nak berpakat
dengan bakal menantu mak tu kan? Berapa
rasuah yang dia berikan kat mak? Mak… cakaplah…”
“Tak boleh. Amanah orang.
Yang pasti bakal menantu mak tu baik budi pekertinya. Mak yakin dia boleh bahagiakan anak mak ni.”
“Mak ni orang tanya yang lain dia
jawab yang lain pulak.”
“Sabar ye sayang. Sabar tu kan separuh dari iman.” Pujuk Mak Limah yang membuatkan Suria terkedu
dan mula pening semula!
Suasana malam itu kelihatan meriah
dengan pertemuan semula bekas-bekas pelajar Sekolah Menengah Dato’ Bentara
Dalam. Suria cuba mencari kelibat
sahabat yang mungkin dia kenali. Sudah sepuluh
tahun tidak bersua dan cuma telefon penyambung silaturrahim namun ada yang dia
gagal untuk mengenali sahabat sekelasnya sendiri.
Dia cuba untuk mencari sahabatnya,
Wardina. Namun gagal. Mungkin Wardina belum sampai agaknya. Telahan Suria. Tiba-tiba Suria tersentak apabila
mendengarkan suara yang memberi salam.
Dia berpaling.
“La… Syahrin. Awak rupanya. Ingatkan siapa.” Syahrin tersenyum dengan sambutan Suria itu.
“Awak kenal lagi dengan saya, ye.
Awak cari siapa?”
“Dina…. Dah lama sangat tak berjumpa
dengan dia. Awak seorang je ke? Halina
mana?” Syahrin menunding jari kea rah satu sudut. Kelihatan Halina sedang sarat mengandung.
“Tahniah! Bila nak bersalin?”
“Itu kena tanya suaminya lah.” Suria mengerut dahi tanpa tidak faham.
“Dia mengandung, tapi bukan
mengandungkan anak saya.”
“Jadi… awak dengan dia….” Syahrin menggelengkan kepala.
“Habis awak datang dengan siapa?”
“Dengan tunang.” Suria mengangguk.
“Mana tunang awak tu?” Syahrin
tersenyum dan cuba melihat reaksi Suria.
“Ada kat sayalah.”
“Saya tak faham.”
“Bukankah saya katakan untuk
pertemuan ini saya akan berada di sisi?” Suria memandang tepat kepada anak mata
Syahrin. Cuba untuk mencari kebenaranya.
“Kalau
cinta berikan tanda,
Untuk
pengubat hati yang sedih,
Terima kasih wahai adinda,
Terima
kanda mengikat kasih.”
Air
mata Suria bagaikan ingin tumpah. Dia
tidak percaya dengan apa yang dia dengar.
Tak mungkin!
“Abang minta maaf kalau selama ini
abang cuma menjadikan surat sebagai orang ketiga abang dalam mencari cinta
Su. Abang takut sebenarnya. Takut dengan bayang-bayang cinta monyet abang
dan juga mencari cinta suci abang.”
“Sepuluh tahun abang pendamkan
semuanya. Puas abang cari Su. Akhirnya abang berjumpa dengan Su bila abang
dapat tahu yang bakal mak mertua abang ni rakan baik semasa mengerjakan
haji. Bagaikan bulan jatuh di riba bila
umi suruh menyunting Su. Memang itu yang
abang nantikan. Abang ingin menebus
segalanya untuk Su.”
“Kenapa buat saya macam ni? Buat saya tertanya, buat saya tak tidur malam. Buat saya termenung sana sini.”
“Jadi selama ini Su pun dah jatuh
cinta dengan abanglah.” Senyuman manis yang dilemparkan oleh Syahrin itu
membuatkan airmata Suria akhirnya tumpah.
Kini segala teki-tekinya sudah terjawab.
“Ingat masa kita berlanggar masa Su
nak ke perpustakaan? Masa tu saja je
abang bagi dengan tangan nak tengok apa reaksi Su. Ternyata abang tak bertepuk sebelah tangan
bila Su sanggup baca surat abang.”
Suria menyeka air matanya. Kalau tidak kerana hatinya sudah terikat
dengan ‘Hang Tuah’ sudah tentu Syahrin sudah terkena penumbuk sulungnya. Ye!
Memang dia sudah lama menyintai ‘Hang Tuah’ ops! Syahrin di dalam
diam.
“Saat cincin tersarung di jari manis
mu sayang abang berjanji dan saat tibanya ijabnya kita nanti abang akan menjaga
sayang dengan sepenuh hati abang sepanjang hayat yang ada. Dan untuk untuk itu abang nak berikan kad
jemputan kita ni. Abang nak jemput semua
yang ada ke majlis kita.” Suria
menganga.
“Dah! Jangan macam tu sekali. Mak Su mesti tak beritahu yang kita nikah
bulan depan.” Bulan depan?
Saat itu wajah Wardina menerjah di
ruang matanya. Namun dia bagaikan batu
dan tidak reaksi.
Akhirnya dia tersentak apabila
Wardina memeluknya.
“Wei! Ko datang dengan siapa?” Pertanyaan itu bagaikan tidak didengar.
“Wei! Aku tanya dengan kau ni. Kau datang dengan siapa?”
“Er… tunang.”
“Syahrin?” Nada itu membuatkan Syahrin cuma tersenyum.
Wardina bagaikan tidak percaya. Tidak berkelip matanya memandang kepada
Syahrin.
“Nah, kad jemputan kami.” Belum lagi Suria berkata apa Syahrin telah
pun menyerahkan kad jemputan kepada Wardina.
Wardina membuka kad jemputan itu dan
sekali lagi Wardina terkejut.
“Kau Hang Tuah?”
“Yup. Akulah hero Malaya Suria. I
really love her.”
Dan Suria…. Dia masih tidak percaya.