Home Cerpen Cinta Kebahagiaan Terindah
Kebahagiaan Terindah
Siti Norshimah Binti Md Yasan
18/5/2017 14:28:42
4,099
Kategori: Cerpen
Genre: Cinta

Kebahagiaan Terindah


            Aleya menatang teh o dan lantas menuju ke meja Farah.  Kemudiannya dia tersenyum.  Namun senyuman Aleya tidak berbalas.  Aleya meletakkan teh o itu di atas meja Farah.  Sempat juga Aleya meninjau akan kerja yang penuh di   atas meja Farah.  Farah mula rasa tidak senang dengan kehadiran Aleya.  Dia mengeluh dengan kedatangan Aleya yang dianggap tidak diundang itu.

            “Apa yang kakak buat kat sini?” Tanya Farah separuh berbisik. 

Matanya liar memandang ke sekeliling.  Dia segan kalau kakaknya Aleya sering kali bertandang di mejanya.  Dia juga segan bila orang mula memandang kepadanya.  Seolah-oleh dia menjadi medan perbualan.  Farah malu dengan kakaknya Aleya yang cuma seorang pembancuh air di tempat kerjanya.  Kalau nak disedapkan halwa telinga, disebut juga sebagai tea lady.  Menyesal pula rasa hatinya kerana terjebak di dalam jawatan di syarikat itu.  Nak atau tidak dia terpaksa menanggung segalanya. 

            “Kakak nak tengok Farah buat kerja.  Dari tadi kakak tengok Farah tak rehat pun.  Banyak sangat kerja ke yang Farah kena buat?” Tanya Aleya yang cuba mengambil berat.

            “Kerja Farah bukan macam kakak.  Kerja kakak senang.”  Aleya diam. 

            “Nah, minum ni.  Akak tahu yang Farah suka teh o.”  Aleya meletakkan teh o di atas meja Farah.

            “Farah tak naklah kak.  Nanti kalau Farah nak, Farah panggillah kakak.  Kakak nampak tak yang Farah tengah sibuk ni.  kalau orang nampak malulah kak.”  Aleya terdiam.

            “Dahlah kak.  Jangan ganggu Farah.  Farah banyak kerja yang nak kena buat ni.  Akak ni menyibuklah.”  Aleya masih lagi menatang teh o yang pada mulanya dibuat untuk Farah masih belum bertukar tangan.

            “Habis air ni?  Takkan tak nak minum?”

            “Akak je lah yang minum.  Setakat teh o yang akak buat tak merasa pun tak apa.” Keras sahaja kata-kata Farah.   Aleya tunduk merenung air yang masih di tangan.

            “Akak cuma nak tengok adik akak aje.” Ujar Aleya perlahan.

            “Tak payah susah-susah nak tengok Farah, kak.  Farah bukan budak kecil yang nak tengok saya sentiasa.  Saya boleh jaga diri sendiri.  Kakak tu jaga diri akak sendiri.”  Farah sedikit pun tidak memandang kepada Aleya.  

            Aleya tersentak.  Tidak sangka kata-kata yang terbit dari bibir Farah.  Aleya kelihatan tidak selesa dengan Farah ketika itu.  Salahkah dia ingin mengambil berat akan adiknya sendiri? 

            “Akak minta maaf kalau akak ganggu Farah kerja.  Mesti akak dah susahkan Farah, kan.”

            “Memang pun.  Akak datang sini buat semak mata aje tau.  Kalau apa-apa jadi dengan kerja saya ni akak ke yang nak buat?  Akak ingat, akak tu cuma tukang buat air aje.”  Ah, betapa pedas akan kata-kata itu.  Berubah wajah Aleya saat itu.  Tidak sangka apa yang baru didengarnya sebentar tadi. 

            “Maafkan akak.”  Aleya tunduk.

            “Memang eloklah tu.  Akak tahu tak yang akak dah buat malu Farah.  Sikit-sikit datang jenguk Farah.  Farah tak sukalah.”  Aleya sempat memandang sayu kepada Farah.  Betapa dia terasa dengan kata-kata adiknya itu.

            “Apa lagi korang ni?”  Aleya dan Farah tersentak.  Mereka berpaling.  Wajah Haris, pemandu peribadi Tan Sri Hamdan jelas dipandangan mata mereka. 

            “Ha, ni sorang lagi.  Dah kenapa kau datang sini?”  Tegang sahaja suara Farah. Kelat wajah Haris bila dia disergah begitu.

            “Farah, tak baik cakap macam tu.”  Tegur Aleya. 

            “Dah tak kerja lain nak buat ke?”

            “Mak ai!  Garangnya minah ni.  Ini anak dara ke mak tiri?”  Suara Haris pula yang tegang.  Aleya yang melihat adegan dilanda rasa serba salah.

            “Engkau ni dah tak ada tempat lain nak menempel ke?  tempat kau buat kat sini.” 

            “Engkau ni…. aku cuma nak tegur sapa, takkan salah kot?”  Haris mencebikkan bibirnya.  Geram pula dia melihat Farah yang wajahnya sedikit pun tidak menunjukkan rasa salah. 

            “Yelah, mula-mula tu bertegur sapa.  Lama-lama niat tu mulalah nak menyimpang.  Eh, Haris! Setakat kau yang hanya driver syarikat ni, tepi jalan pun melambaklah.  Tak ada masa aku nak layan lelaki macam kau ni.  Yang lebih baik aku boleh dapat.”  Angkuh sahaja kata-kata Farah membuatkan Haris menjadi panas.

            Haris  memeluk tubuh.  Wajah Farah dipandang.  Geram pula dia dengan Farah ketika itu.

            “Amboi, cantiknya bahasa cik kak.”

            “Ha, korang berdua ni memang layak bergandingan.  Kata orang tu dah macam pinang dibelah dua.”  Terbuntang Aleya mendengarkan kata-kata Farah itu.  Hai, dia pun terlibat sama ke? 

            “Eleh, cik Farah oi! Darah awak dengan Aleya sama tau tak.  Binti pun sama. Jangan nak tunjuk lagak sangatlah.”  Farah menjeling tajam kepada Haris.  Entah mengapa, hati Farah bagaikan tidak senang dengan kehadiran Haris di situ.

            “Dahlah Haris,  aku malas nak layan kau.  Kalau ku tak ada kerja lain, baik kau layan ke perempuan ni.” ho….ho….ho…. ini dah melampau.  Hati Haris kian panas.  Merah padam mukanya menahan marah yang amat sangat.

            Aleya mula rasa serba salah.  Dia sudah sebati dengan sikap Farah.  Farah memang seorang yang suka berterus terang.  Farah juga sering kali mementingkan diri sendiri tanpa berfikir akan perasaan orang lain.  Dia sebagai kakak pun ada masa tersinggung dengan sikap Farah.

            “Dahlah, jangan nak gaduh kat sini.  Malulah orang lain tengok.  Jom Haris, saya buatkan awak air.  Saya tahu yang awak penat.”  Aleya tidak mahu memanjangkan pergaduhan itu lantas mengajak  Haris berlalu dari situ. 

            “Nasib baiklah kakak awak ni pandai pujuk.  Kalau tidak dah lama aku bagi sedas kat muka plastik tu.” 

            “Ha, eloklah tu.  Tunggu apa lagi?  Nak bentangkan permaidani merah dengan kompang sekali ke?”

            “E…..”

            “Dahlah tu. Jom.” Aleya mengajak Haris sambil meninggalkan Farah sendirian.  Hati Farah juga panas dengan kata-kata Haris tadi.  Kerja driver aje kot.  Berlagak nak mampus.

            Haris menghempaskan punggung dengan kasar.  Mak Limah yang berada dihadapannya terkulat-kulat melihatkan wajah Haris yang mencuka itu. 

            “Dah kenapa dengan kamu ni Haris?  Dah macam muka cuka masam aje Mak Limah tengok.  Penat sangat ke?”

            Haris memandang kepada Mak Limah sekilas.

            “E…. kalau nak diikutkan hati panas saya ni Mak Limah, nak je saya cop sebesar bapak gajah kat dahi minah tu dengan cop ‘REJECTED’  biar penuh satu muka.  Harap je muka tu cantik.  Tapi perangai hancur.”  Mak Limah ketawa dengan luahan perasaan Haris itu.

            “Kamu gaduh, Haris?  Dengan siapa?  Dengan mata air ye.” 

            “Hai! macamlah muka tembok ni ada mata air, Mak Limah.” 

            “Habis tu?  Perempuan mana pulak yang kamu dah gaduh ni?”

            “Dengan adik saya, Mak Limah.”  Sampuk Aleya perlahan.

            “Siapa?  Farah?  Hish!  Yang kamu ambil hati tu kenapa?”

            Haris memandang kepada Aleya.  Melihatkan wajah Aleya perasaan kasihan mula singgah di hatinya.  Boleh dikatakan saban hari Farah memarahi Aleya.  Depan semua pekerja pulak tu.  Mula-mula dia boleh terima lagi.  Bila  dah melampau hati dia pula yang panas.

            “Saya okey lagi, Mak Limah.  Ni hah, dengan Aleya langsung dia tak hormat.”

            Mak Limah sudah mengagak.  Kali ini Mak Limah pula yang memandang kepada Aleya.  Melihatkan dia menjadi perhatian, dia mula rasa tidak senang.  Bagai besar sangat masalah yang dibawa ketika itu.  Mak Limah sering kali juga melihatkan Farah yang sering memarahi Aleya.  Semua yang dibuat Aleya semuanya tak kena.  Bila dia ingin mempertahankan Aleya kakaknya itu masuk campur supaya jangan  dipanjangkan cerita.   Jadi, macam manalah adik tu tak naik lemak.

            “Yang kakak ni pun satu.  Berlembut sangat dengan adik tu.”  Ujar Mak Limah sambil pandangannya masih tidak lepas ke raut wajah Aleya.  Aleya tunduk bila dia pula yang dipersalahkan. 

            “Itu le pasal Mak Limah.  Lepas tu boleh pulak dia sindir saya.  Apa? Teruk sangat ke kerja saya sebagai driver ni Mak Limah?  Orang pandang saya sebelah mata pun tidak.”  Mak Limah menggelengkan kepala.

            “Amboi, merajuk sakan nampak.”

            “Tidaklah Mak Limah.  Sedih tau tak ada siapa yang nak kawan dengan saya.”

            “Siapa kata?  Habis Mak Limah dengan Aleya ni bukan kawan kamu?”

            Haris mengeluh. Dia kemudiannya memandang sekilas kepada Aleya dan Mak Limah.  Haris masih lagi memandang kepada Aleya yang ketika itu sedang membuatkan air untuk Haris.  Aleya tahu akan air kegemaran Haris.  Buat nescafe panas, senyaplah mulut Haris membebel.

            “Kalau Haris tak nak kawan dengan Mak Limah pun tak apa.”  Ujar Mak Limah apabila melihatkan Haris yang ralit memandang kepada Aleya. 

            “Mak Limah, Encik Haris kita ni sebenarnya nak cari mata air.  Dengan kita mana nak sama.”  Ujar Aleya yang sudah pun berpusing sambil membawakan air kepada Haris.

            “O…. cakaplah dari tadi.  Nak cari mata air rupanya.   Kalau Mak Limah ni memang terkeluar dari senarai.  Ha, apa kata dengan Aleya.  Aleya kan ada.  Buat apa susah-susah cari yang jauh-jauh yang dekat mata ni okey juga.”  Aleya menyiku Mak Limah perlahan.  Malu dia dengan kata-kata Mak Limah itu.  Yelah, tadi Farah yang beria-ia melagakan dia dengan Haris.  Sekarang ni pulak? Mak Limah pun nak tumpang sekaki nampaknya. 

            “Mak Limah ni, ke situ pulak.” Bisik Aleya. Wajah Aleya sudah pun merona merah. 

            “Tadi, si Farah cakap benda yang sama.  Sekarang Mak Limah pulak?”

            “Eloklah tu, Haris.  Kalau dah ramai sangat mendoakan, memang ada harapanlah jodoh korang berdua ni.”  Makin galak Mak Limah mengusik.  Gelihati dia melihatkan wajah Aleya dan Haris yang bagaikan ayam berak kapur. 

            “Mak Limah!”  Hampir serentak Aleya dan Haris bersuara.  Kali ini terhambur tawa Mak Limah dengan wajah muran milik Aleya dan Haris. 

            “Renjis-renjis dipilis, ditepungilah tawar.  Hai beras kunyit ditabur….”  Mak Limah meninggalkan pasangan itu dengan senyuman yang masih lagi terukir.

            “Mak Limah nak pergi mana tu?” 

            “Nak cari beras kunyit.”  Hati Aleya tidak tenteram bila dia ditinggalkan sendirian dengan Haris.  Dadanya berdegup kencang.  Bagai nak tercabut jantungnya saat itu.  Mak Limah ni memang jahat!  Saja nak tinggalkan kita dengan seram satu badan. 

            Suasana sunyi seketika.  Kelu rasa lidah Aleya untuk bercerita.  Haris hanya bertindak dengan lebih tenang.  Dia menghirup nescafe yang dibuat oleh Aleya tadi.  Betapa dia ketagih dengan air yang dibuat oleh Aleya.  Bukan sahaja air, malahan juga ada masa bekalan yang dibawa oleh Aleya sering kali dicuri olehnya.  Suka dia mengambil bekal yang dibawa oleh Aleya itu. 

            “Awak kawan dengan saya tak?”  Aleya terkejut bila Haris mula bertanya kepadanya.

            “Kawan.  Kalau orang tu baik, saya akan kawan.  Janganlah mengeluh sangat.  Lagi pun banyak masa awak boleh cari insan teristimewa awak tu.”

            “Awak rasa saya boleh ke?”

            “Boleh.  Yakin boleh.  Haris, bukankah Allah dah menetapkan setiap insan itu ada pasangannya.  Awak tu, jangan pulak jemu nak berusaha.” 

            Haris mengamati setiap baris ayat yang keluar dari bibir Aleya.  Ada benarnya kata-kata itu.  Haris kemudiannya menghirup sekali lagi air dan menyelami dengan apa yang telah dikatakan oleh Aleya.  Ya, dia perlu berusaha.  Tapi…. Ah, perkataan itulah yang sering kali terlontar dari hatinya.

            Pintu bilik pantry diketuk berkali-kali.  Muncul Farhan di muka pintu.  Farhan adalah penolong pengurus di syarikat itu. 

            “Encik Farhan, ada apa ye?  Nak saya buatkan air ke? Kalau nak saya buatkan.”  Ujar Aleya.

            “Tak apalah Aleya.  Saya sebenarnya nak jumpa dengan Haris.  Puas saya cari dia.  Kat sini rupanya.  Haris, tan sri dah nak gerak.  Dia tengah tunggu.”

            Aleya menyambut kata-kata Farhan dengan sebuah seyuman.

            “Amboi, Haris.  Sampai sini Encik Farhan cari awak.”

            “Apa boleh buat, Aleya.  Saya kan orang penting dalam syarikat ni.”  Sambut Haris sambil ketawa. 

            Aleya turut tertawa.  Haris kemudiannya menghabiskan sisa air yang dibuat oleh  Aleya. 

            “Okeylah, saya gerak dulu.  Wish me luck.  Semoga saya berjumpa dengan bidadari langit nanti. Lagi satu, terima kasih dengan air awak yang sedap tu.” Ujar Haris separuh berbisik kepada Aleya.  Aleya mengangguk dan senyum lagi.

            Saat kelibat Haris hilang dari pandangan matanya, Aleya menggelengkan kepala.  Dia tersenyum dengan gelagat Haris yang beria-ia mencari buah hati.  Dah macam kena paksa kahwin je lagaknya.  Di dalam hati Aleya, dia berdoa agar Haris dapat mencapai impian dan harapannya.  Aleya kemudiannya menyambung tugasnya apabila memandangkan beberapa biji cawan yang sudah pun berpenghuni di dalam sinki.

            Aleya memerhatikan jam di dalam bilik pantry.  Sudah hampir 5.30 petang dan sudah hampir waktu pulang.  Sementara menantikan waktu pulang, Aleya mengemaskan apa yang patut.  Saja dia lakukan untuk membantu Mak Limah mengurangkan beban wanita itu.  Sekurang-kurangnya tak adalah Mak Limah nak kemaskan bilik pantry itu.  Belum sempat dia menutup bilik pantry, kelihatan Haris berlalu menuju ke arahnya. 

            “Awak dah nak balik ke Aleya?”

            “Dah pukul 5.30 Haris, takkan saya nak tidur sini.”  Sambut Aleya. 

            Haris menggeluh.

            “Kenapa?”

            “Ingatkan nak suruh awak buatkan air untuk saya.” 

            “Ye ke?  Erm….. okeylah.”  Aleya masuk semula ke dalam pantry. 

            “Nak panas ke sejuk?”  Tanya Aleya.

            “Kordial sirap ada kan? Buat sirap ais jelah.  Nak buat air panas nak kena tunggu pulak.” 

            Aleya akur.  Kasihan pula dia melihatkan Haris yang kelihatan kepenatan.  Dia kemudiannya mengeluarkan biskut dari kabinet.  Melebar senyuman Haris bila tersedia di hadapannya sepiring biskut dan  segelas air sirap. 

            “Kalau awak nak balik, baliklah.  Nanti lepas saya minum saya basuh.”  Ujar Haris yang tidak mahu menyusahkan Aleya. 

            “Tak apa.  Saya boleh tunggu.  Lagi pun Farah balik lambat.”  Haris tersenyum.

            “Saya tahu, kalau awak balik pun tak pernah  dengan adik awak, kan? Dia selalu keluar dengan kawan-kawannya sehingga dia lupakan awak.” 

            “Dia masih muda, Haris.”

            “Tapi dia kena ingat yang dia ada kakak.”

            Aleya ternyata tersentak dengan kata-kata Haris itu.  Ah, ada benarnya kata Haris itu.  Kalau keluar bandar pun dia hanya keluar dengan rakan-rakannya.  Dia tidak pernah mengajak Aleya untuk keluar bersama.  Namun bagi Aleya, dia tidak kisah semua itu.  Sebab dia sudah biasa.  Arwah ayah dan ibunya memang telah memanjakan Farah dari kecil lagi.  Dan Aleya sudah tentu banyak yang mengalah.  Farah anak yang bijak.  Farah belajar pandai sehingga ke universiti.  Keluar universiti dapat peluang kerja yang tinggi.  Walau bagaimana pun ada masa jauh di sudut hati ada masa Aleya merasakan dirinya tersisih, tetapi sering kali dia menepis akan perasaan itu untuk tidak cemburu kepada adiknya sendiri.

            “Macam mana pencarian mata air awak?”  Malas untuk bercerita tentang Farah, dia mula mengubah tajuk. 

            “Ah, malaslah nak cerita.  Buat sakit hati je.”

            Aleya ketawa.

            “Bukan main lagi saya possing kat kereta, tapi bila nampak tan sri masuk dalam terus jeling saya tak puas hati.” Luah Haris. 

            “Nak dapat insan yang baik dan terima kita seadanya memang kena banyak bersabar.  In Sha Allah, sampai masanya ada juga.”

            “Tapi sampai bila?”

            “Itu pun saya tak tahu nak jawab. Apa yang penting awak tak boleh nak mengalah macam tu aje.”  Haris memandang kepada Aleya.  Ah, betapa jujur insan yang berada di hadapannya itu.

            “Okeylah, memandangkan awak dah buatkan saya air dan dengar luahan perasaan saya ni saya hantar awak baliklah ye.” 

            Aleya menggelengkan kepala.

            “Eh, tak payah.  Lagi pun memang dah tugas saya.”  Tolak Aleya.

            “Tapi. Masa kerja awak dah lebih.”

            “Bukannya lama sangat pun.  Tak apa, saya boleh balik sendiri.”

            “Saya ikhlas ni.”  pujuk Haris.

            “Tak apa lah Haris.  Saya boleh balik sendiri.”

            “Saya tak kira.  Saya hantar awak balik.  Nak saya dukung awak ke?”   Usik Haris.  Pantas sahaja kepala Aleya menggeleng.

            “Awak ni suka sangat main-main tau.” Gelihati Haris apabila melihatkan wajah Aleya yang sudah merona merah. 

            “Atau awak nak saya paksa?” 

            “Yelah…. Yelah…. Tapi adik saya boleh tumpang tak?”

            “Adik awak?  Percayalah takkan dia nak ikut kita.”

            “Saya kena tanya dengan dia dulu.  Nanti kesian pula dia balik sorang.”

            “Terpulanglah pada awak.  Tak kisahlah awak nak bawa siapa pun, janji saya hantar awak balik.” 

            Aleya keluar dari pantry sambil diekori oleh Haris dari belakang.  Hati Aleya mula berbelah bagi saat menyambut pelawaan Haris.  Haris pun satu!  Nak juga paksa orang!  Aleya mengeluh.  Hai, buatnya Farah tak nak balik sama, takkan nak balik berdua dengan Haris?  Tak nak!

            Aleya kemudiannya singgah di meja Farah.  Namun hampa.  Meja Farah sudah pun kosong.  Aleya memerhatikan disekeliling untuk mencari kelibat Farah.  Namun hampa.  Cuma tinggal beberapa orang sahaja yang tinggal untuk menghabiskan kerja masing-masing.

            “Cik Lina, Farah mana?”

            “Dia dah balik kak.”  Dah balik?  Pelik.  Biasanya dia balik lewat.

            “Dia ada cakap apa-apa tak?”

            “Dia pesan kalau jumpa akak, beritahu yang dia balik lewat malam ni.  Katanya nak berjumpa dengan kawan.”

            “Dia ada cakap nak jumpa siapa?”

            Lina mengangkat bahu.  Aleya mengeluh perlahan.  Puas sudah dia menasihati Farah supaya tidak pulang lewat malam.  Namun sejak akhir-akhir ini makin kerap adiknya itu pulang lewat.  Hatinya sering dilanda rasa gelisah yang amat sangat.  Dia risau akan keselamatan adiknya itu.  Kalau terjadi apa-apa, dia juga yang susah nanti. Yang pasti dia tidak dapat memaafkan dirinya buat selama-lamanya.

            “Dia dah baliklah Haris.  Tak apalah, awak balik sajalah ye.  Nanti saya balik sendiri.”

            “Eh, mana boleh.  Saya dah janji nak hantar awak balik.  Kita naik kereta saya.” 

            Aleya menggeleng.

            “Kenapa pulak?”

            “Kalau awak bawa kereta syarikat saya tak naklah.” 

            “Kereta tan sri.   Dia percayakan saya.”

            “Habis, takkan awak tak nak hantar tan sri?”

            “Dia dah balik dah.  Dia suruh saya bawa balik kereta.”

            “Hish!  Bahayalah awak.” 

            “Awak ni kan, takut sangatlah.  Tak adanya saya nak bawak awak lari.  Lagi pun saya kena hatar barang ke rumah tan sri.  Lagi pun laluan kita sama.  Dah alang-alang satu jalan, saya hantarlah awak balik.  Ke awak memang tak sudi nak tumpang saya.” Aduh!  Serba-salah pula dibuatnya. 

            Aleya menggarukan kepalanya yang tidak gatal.  Kalau tidak mahu diikut nanti dikatakkan dia jual mahal pula.  Yang pasti dia tidak mahu Haris mendapat susah gara-gara menghantarnya pulang.  Macam mana ni?  dia memandang sekilas kepada Haris.  Nampak sangat wajah Haris yang begitu mengharap.

            “Saya tak maksud macam tu.  Lagi pun saya tak pernah naik kereta dengan mana-mana lelaki.” 

            Haris ketawa.

            “Awak ni kan, sebab saya naik keretalah saya sanggup nak hantar awak.  Kalau saya naik motor, sah-sah awak tak nak.  Sebab itu saya tak kisah kalau Farah nak tumpang sekali. 

            “Saya tak biasalah keluar dengan mana-mana lelaki.”

            “Aleya…”

            “Maafkan saya, Haris.”

            “Awak janganlah bimbang.  Saya akan jaga awak.”  Ujar Haris yang beria-ia. 

            “Tapi…”

            “Tapi apa?”

            “Saya segan.”

Haris memandang kepada Aleya.  Kemudiannya dia tersenyum.  Dia tidak menyalahkan Aleya sekiranya dia berkeras tidak mahu menumpang.  Dia tahu, Aleya seorang yang pemalu.

            “Okey, saya tak nak paksa awak.  Tapi… saya kesiankan awak yang balik sorang-sorang.  Kalau apa-apa terjadi,  hish!  Risau saya.”

            “Tak payahlah risau. Saya boleh jaga diri.  Lain kali saja ya Haris.  Kalau ada Farah, saya tak kisah.” Tolak Aleya.

            “Yalah, nak buat macam mana kalau orang tu tak sudi.”  Makin serba-salah dibuatnya.  Makin tak tenang juga bila Aleya melihat wajah Haris yang sedikit terkilan itu.

            “Awak jangalah merajuk.  Saya ni bukannya pandai sangat nak pujuk.”

            “Tak ada lah. Saya gurau aje.  Esok saya akan hantar awak dengan Farah balik.”

            “Kalau ada Farah, saya tak kisah.  Kalau berdua dengan awak saya tak nak.”  Hai, macam comel pulak si Aleya ni buat muka.  Wajah Aleya ditatap.  Dia kemudiannya tersenyum.  Aleya pula tunduk malu bila Haris terus memandang ke arahnya.  Tidak senang dia dengan perlakukan Haris itu.  Namun bagi Haris, makin malu si Aleya kian tajam pandangan matanya.

            “Okeylah Haris, saya balik dulu.”  Tanpa menantikan kata-kata Haris Aleya  terus berlalu meninggalkan Haris sendirian.  Malu pula bila Haris terus menerus memandang ke arahnya.  Haris menghantar Aleya dengan pandangan matanya.  Seronok pula hatinya bila melihatkan wajah Aleya yang sudah merona merah saat dia memandang gadis itu. 

            Pagi itu, seperti biasa Aleya menghantar minuman kepada Tan Sri Hamdan.  Secawan kopi kurang manis sudah cukup untuk majikannya.  Tan Sri Hamdan seorang majikan yang baik.  Tan Sri Hamdan tidak pernah memandang dirinya seperti orang bawahan.  Setiap pagi majikannya itu sering bertanyakan khabar dan senyuman sering terukir di bibirnya.

            Selepas ke bilik Tan Sri Hamdan, dia bergegas ke bilik Farhan.  Setelah selesai menghantar minuman kepada Farhan, meja Farah pula menjadi tempat persinggahnnya.  Kali ini dia membawa air milo panas kepada Farah.

            “Nah, air untuk Farah.”  Farah senyap. Tidak sedikit pun dia memandang kepada Aleya apa lagi mengucapkan tanda terima kasih.

            “Semalam Farah balik pukul berapa?” Tanya Aleya perlahan.  Air muka Farah perlu dijaga juga.  pagi tadi dia tidak sempat bertanya apabila Farah keluar dari rumah dengan tergesa-gesa.  Pertanyaa Aleya tidak disambut, sebaliknya Farah sempat menjeling kepada Aleya.

            “Farah, akak tanya ni.” Farah masih lagi diam.  Dia memandang ke sekeliling pejabat.  Dia mengeluh.

            “Farah,”

            “Kak, tolong jangan kacau hidup Farah boleh tak?  Farah rimaslah kak.”

            “Farah tu adik akak. Dadi tanggung jawab akak untuk tahu mana Farah pergi. Lagi pun Farah tu anak dara.  Tak elok keluar malam-malam.”

            “Hidup Farah, adalah urusan Farah.  Akak jadi hidup akak  sendiri.  Farah dah besar, kak.  Farah tahu apa yang Farah buat.”  Keras sahaja kata-kata Farah itu.  Aleya tersentak dengan kata-kata Farah itu. 

            “Tapi Farah,”

            “Sudah-sudahlah akak kacau hidup Farah.  Farah nakkan kebebasan.  Akak tak berhak nak kongkong hidup Farah.”

            “Farah, ingat sikit.  Kita sekarang tinggal berdua.” 

            “Macam ni lah kak.  Kalau akak rasa tak boleh nak terima cara hidup Farah, Fine!  Farah boleh keluar dari rumah.  Kalau hidup dalam rumah tu dah macam neraka, baik Farah cari rumah lain.” 

            “Farah,”  Kali ini Aleya bagaikan sudah hilang sabar. 

            “Farah bolehlah hidup tanpa kakak yang kolot dan miskin ni.” 

            “Farah janganlah marah akak, dik.  Akak tak ada niat nak menyusahkan Farah.  Cuma akak tak nak tengok Farah susah nanti.”  Pujuk Aleya.

            “Sekarang ni Farah dah rasa susahnya, kak.”

            “Farah, dengarlah cakap akak ni.”

            “Keputusan Farah muktamad.  Tinggalah akak kat rumah yang sempit dan busuk tu.”

            “Farah, jangan tinggalkan akak.”

            “Biarkan dia pergi!”  Aleya dan Farah berpaling. 

            Haris!  Serius sahaja wajah Haris ketika itu.  Haris berlalu perlahan menuju ke arah Aleya dan Farah.  Farah mengeluh keras.  Kenapalah mamat perasan ni ada kat sini. 

            “Haris.”

            “Biarlah dia keluar kalau itu yang dia nak.” 

            “Awak, tolong jangan campur urusan keluar orang boleh tak?  Awak ni siapa yang nak masuk campur?”

            “Amboi Cik kak!  Budi bahasa budaya kita tau.”

            “Ini urusan saya dengan kakak saya.  Awak tu tak ada hak untuk masuk campur.” 

            “Tak mengapalah Haris.  Biar saya yang selesaikan masalah ni.”

            “Dengan apa yang dia dah buat pada awak?”  Ujar Haris tidak puas hati. 

Ya, kalau nak diikutkan hati nak saja dia berikan penampar muka perempuan yang tidak sedar diri tu.  Turun naik nafas Haris bila melihatkan Farah yang ketawa kecil.  Amboi!  Memang tak hormat orang langsung.

            “Amboi akak, dah ada back up nampaknya.  Memang sepadanlah akak dengan mamat ‘dreba’ perasan ni.”

            “Awak ni mulut tu jaga sikit.  Kakak awak ni tegur sebab dia sayangkan awak.  Dia kongkong awak sebab awak tu anak dara.  Kalau dia tak sayangkan awak, baik dia tak payah ambil tahu hal awak.  Awak nak mati ke, nak tergolek ke ada dia kisah?”

            “Saya rasa saya tak ada kena mengena dengan awak.  Walau apa pun yang terjadi saya tetap dengan keputusan saya.  Kak, malam nanti saya kemaskan barang Farah dan dengan senang hati Farah akan keluar dari rumah tu.”  Aleya terkejut dengan keputusan Farah itu. 

            “Farah tak sayangkan kakak?”  Ada getar pada suara Aleya.  Haris diam hanya menjadi pemerhati. 

            “Kalau kakak sayangkan Farah, tak ada lah akak kongkong Farah.  Semua apa yang Farah buat semua tak kena.  Itu salah, ini salah.  Farah bosan, tau!  Bosan!”

            “Farah….”

            “Sudahlah tu, Aleya.  Kalau dia sayangkan awak, sudah lama dia dengar cakap awak.”

            “Dah, akak tolong pergi dari sini.  Farah tak nak tengok akak kat sini.” 

            Air mata Aleya tumpah saat itu.  Dia tidak menyangka sampai begitu sekali tindakan Farah.  Membelakangi nasihat dan tegurannya kerana seorang lelaki.  Dia cuma ada Farah sahaja di dunia ini.  Hanya Farah sahaja tempat dia menumpang kasih dan manja. 

            Aleya berlalu dengan perasaan yang sebak dan sayu.  Betapa dia menyayangi adiknya itu.  Pada saat itu kehadiran Haris bagaikan tidak wujud dihadapannya.  Kaki Aleya bagaikan berat untuk meninggalkan Farah.  Berkali-kali dia menoleh kepada Farah agar adiknya itu menarik balik keputusannya.  Namun hampa.  Farah sedikit pun tidak memperdulikan Aleya.  Betapa kecewa hati Aleya apabila Farah sedikit pun tidak memandangnya.

            “Aleya….”  Terbit rasa salah dan kasihan di dalam hati Haris.  Melihatkan Aleya yang menangis sedih, hatinya pula yang merasa geram yang amat sangat. 

            “Farah adik saya.  Hanya dia sahaja yang saya ada.  Saya tak punya sesiapa di dunia ni melainkan dia.  Kenapa dia buat macam ni dengan saya?”  Aleya menyeka air mata yang mengalir.

            “Awak tak keseorangan, Aleya.”  Tutur Haris perlahan.

            “Sekarang dia dah tinggalkan saya.”

            “Percayalah cakap saya yang dia akan pulang kepangkuan awak.  Di satu hari nanti dia akan sedar akan kesilapannya sendiri.  Masa tu dia akan tahu betapa awak sayang dengan dia.”

            Aleya memandang kepada Haris.  Dicuba untuk memahami dengan maksud yang dilontarkan oleh Haris. 

            “Apa yang penting sekarang ni, awak kena banyak sabar dan berdoa ye.”

            Aleya termenung panjang.   Kemudiannya dia memandang kepada Haris. Ada segaris kejururan di wajah lelaki itu.

            “Awak fahamkan yang awak tidak keseorangan?”

            Aleya mengangguk.

            “Allah ada bersama-sama dengan awak.  Awak kena yakin itu.” 

            Aleya tersenyum dengan kata-kata itu.  Ah, bagaimana aku boleh lupa?

            “Lagi pun saya ada.”  Terus berubah wajah Aleya saat itu.  Ah, apakah maksud ayat itu?

            “Saya tahu, Haris.  Awak banyak ambil berat tentang saya.  Saya berterima kasih semua tu.”

            “Er…. Er….”

            “Dah kenapa dengan awak ni Haris?  Gagap pula tiba-tiba.”

            “Saya nak ambil berat tentang awak untuk selama-lamanya.”  Haris berlalu meninggalkan Aleya terpinga-pinga.  Haris menyalahkan dirinya sendiri kerana tidak berani untuk menyatakan hasrat hatinya.  Boleh pulak dia tinggalkan Aleya macam tu je. Tak boleh jadi, nak kena minta tolong ni.

            Mak Limah masuk ke dalam pantry sambil membawa barang cucian.  Mak Limah melabuhkan punggung di hadapan Aleya yang dari tadi banyak termenung.  Mak Limah melemparkan senyuman dan wajah Aleya ditatap. 

            “Aleya…”

            “Mak Limah…” Aleya membalas senyuman walau pun seyuman yang diberikan adalah hanya senyuman kelat dan pahit.

            “Sudah-sudahlah tu.  Jangan difikirkan sangat.”

            “Aleya keseorangan, Mak Limah.”

            “Mak Limah bukan ke ada.  Lagi pun Haris pun ada.” 

            “Mak Limah, apa pula kena mengena saya dengan Haris pulak.”

            Mak Limah tersenyum.  Bila Aleya sendiri yang sudah membuka cerita, inilah masanya untuk dia meluahkan apa yang telah dihajati dan harapan Haris.

            “Aleya…..”

            “Ha, macam ada sesuatu je Mak Limah nak beritahu dengan saya nampaknya.” 

            “Gamaknya begitulah.” 

            “Apa dia Mak Limah?  Cakaplah.”

            “Mak Limah ni rasa macam serba salah pulak.  Kalau tak disampaikan lagilah serba salah.  Kiri kanan Mak Limah dah anggap macam anak Mak Limah sendiri.” 

            “Saya tak faham, Mak Limah.”

            “Haris ada beritahu dengan Mak Limah.”

            “Pasal Farah ke Mak Limah.”

            Mak Limah menggeleng kepala.

            “Haris ada beritahu dengan Mak Limah yang dia minta  tan sri masuk meminang Aleya.  Memandangkan dia tak ada ibu, dia minta tolong Mak Limah bertanyakan dengan kamu.”  Tubuh Aleya kaku.  Tidak percaya dengan apa yang terbit dari bibir Mak Limah. 

            “Aleye,”  Aleya tersentak.  Wajah Mak Limah dipandang. 

            Mak Limah tersenyum bila melihatkan wajah Aleya yang sudah mula berubah.  Badan Aleya tegak tidak bergerak.  Bibir Aleya terkunci. 

            “Mak Limah, jangan nak mainkan saya.”

            Mak Limah menggeleng.

            “Sekarang bukan masa untuk bergurau, Mak Limah.”

            “Tak ada masa Mak Limah nak bergurau dengan kamu, Aleya.  Banyak lagi kerja yang boleh Mak Limah buat kalau nak bergurau dengan kamu.” 

            Aleya mati dengan kata-kata.  Air mata Aleya mula bergenang.  Tempoh hari dia dihimpit maslaah Farah, sekarang Haris pula yang menambah sedia ada masalah yang bersarang difikirannya.  Ya Allah!  Apakah yang perlu aku lakukan?

            “Aleya, Mak Limah percaya Haris adalah budak yang baik.  Aleya pun baik.  Mak Limah suka sangat kalau ada yang menjaga kamu.  Berilah Haris peluang, Aleya.  Sementara ada orang sayang, terima saja.”

            Wajah Mak Limah sekali lagi ditatap.  Sesungguhnya dia tidak tahu apakah yang perlu untuk dia katakan.  Sesungguhnya dia tidak menyangka bahawa Haris telah menyimpan perasaan terhadapnya di dalam diam.  Dia tidak tahu apakah yang dilihat dari mata Haris dengan apa yang ada pada dirinya.  Dia sedar yang dia hanya seorang anak yatim piatu.

            “Kenapa perlu saya, Mak Limah?  Haris berhak mendapatkan yang lebih baik dari saya.  Saya hanya sebatang kara.  Tiada ibu dan ayah, Mak Limah.”

            “Mungkin di mata Haris Aleya adalah istimewa.  Harapan orang jangan nak hampakan, Aleya.” 

            Aleya diam.  Dia cuba untuk menimbang dengan apa yang telah dikatakan oleh Mak Limah.

            “Dalam jodoh ni Aleya, kita tak boleh nak menolak takdir.  Mungkin sudah sampai jodoh Aleya dengan Haris.  Lagi pun Mak Limah dah penatlah.”

            “Sudah…. Kenapa pulak?”

            “Hari-hari dia tanyakan tentang kamu.  Rimas pulak Mak Limah dibuatnya.  Balik pukul berapalah, Aleya sihat ke tidak, Aleya makan ke tidak,  hai!  Dah macam angau dibuatnya.” 

            Aleya mula rasa tidak senang.  Takkan sampai macam tu sekali?  Apakah yang dipandang oleh Haris sehingga menjadi suri dalam hidup lelaki itu?

            “Mak Limah, saya tak sempurna.”

            “Jadi Haris adalah pelengkap hidup Aleya.  Kita ni manusia tak semua yang sempurna.  Sebab itulah Allah jadikan kita ni berpasang-pasangan.  Mak Limah yakin yang Haris boleh bahagiakan Aleya.  Percayalah dengan Mak Limah.”

            Air mata Aleya mengalir perlahan.  Dia tidak tahu apakah jawapan yang perlu diberi.  Namun jawapannya hanya dua.  ‘Ya’ atau ‘tidak’.

            “Aleya, terimalah Haris.  Dia beria-ia nak jadikan Aleya isteri dia.”

            Mak Limah bangkit.  Dia meninggalkan Aleya sendirian.  Di dalam hati dia berdoa agar Aleya menerima akan pinangan Haris kerana dia kasihan kan Aleya yang hidup sendirian.  Aleya menoleh memandang kepada Mak Limah.  Dia memandang jauh mengenangkan hasrat Haris.  Saat itu wajah Haris menghiasi ruang matanya.  Ah, apakah yang perlu aku lakukan?

            AKHIRNYA Aleya mengambil keputusan untuk menerima lamaran Haris dengan hati terbuka.  Betapa gembira hati Haris dengan jawapan yang diterima dari Aleya.  Haris menetapkan untuk tidak menunggu lama.  Dalam tempoh tiga bulan Aleya sudah menjadi isterinya yang sah.  Betapa hati Aleya terharu dan sedih.  Saat dia bergelar isteri kepada Haris, ibu dan ayah tidak dapat melihat hari bahagia itu.  Malah, Farah juga bagaikan orang luar saat dia diijab kabulkan.  Betapa hatinya sedih, namun Haris lebih pandai memujuk dan menenangkan hatinya yang lara itu. 

            Haris memandang kepada Aleya dengan pandangan manja sehingga membuatkan Aleya tertunduk malu.  Walau pun dia sudah sah menjadi isteri Haris namun perasaan malunya masih lagi menebal.  Apa lagi saat di dalam bilik pantry itu.  Hai, kalaulah orang lain yang masuk tak tahu mana dia nak sorokkan muka.  Sedangkan Haris ralit memandangnya.

            “Jangan pandang saya macam tu boleh tak?”

            Haris tersenyum melihatkan wajah Aleya yang sudah merona merah.

            “Suka tengok Aleya malu macam tu.”  Usik Haris.

            “Dahlah, saya nak buat kerja.  Abang nak minum tak?”

            “Boleh juga.  Lagi pun lepas ni abang nak bawa tan sri pergi tapak.” 

            Aleya bangkit sambil diperhatikan oleh Haris sambil tersenyum.  Namun di dalam hati Haris dia diterpa dengan rasa bersalah yang amat sangat.  Banyak perkara yang telah disembunyikan tanpa pengetahuan Aleya.  Dia cuba untuk menerangkan segalanya namun belum sampai masanya untuk dia menceritakan segalanya. 

            Selesai sahaja menyediakan air nescafe buat Haris, dia terkejut dengan kehadiran Farah di dalam bilik pantry itu.  Melihatkan wajah Farah yang tidak bermaya dan seperti ada masalah itu, dia segera mendapatkan adiknya itu. 

            “Farah…” Farah tidak menyambut panggilan Aleya, sebaliknya dia terus memeluk tubuh Aleya.  Berderai air mata Farah saat pelukannya disambut oleh Aleya.

            “Farah…. Kenapa ni dik?”

            “Maafkan Farah, kak.  Farah sudah banyak menyusahkan kakak.” 

            “Farah, cuba cakap dengan kakak. Apa yang dah jadi?”

            Haris hanya menjadi pemerhati.  Kali ini dia tidak sedikit pun mencampuri urusan kedua beradik itu. 

            “Maafkan Farah, kak.  Farah tak pernah nak dengar cakap kakak.  Farah ingkar nasihat kakak.  Farah buta kasih sayang kakak.  Abang, maafkan Farah.”  Pandangan Farah beralih kepada Haris. 

            “Yang sudah tu sudahlah Farah.  Janji awak selamat.”  Terus sahaja Aleya memandang kepada Haris.

            “Selamat?  Apa maksud abang?”  alamak!  Aduh!  Terlepas cakap pulak.

            “Er…. Tak.”

            “Saya terjumpa dia malam tadi.”  Yes! Penyelamatnya sudah sampai.  Terima kasih, Farhan.

            “Encik Farhan,”

            “Tengah malam tadi saya terserempak dengan dia di tepi jalan sambil menangis.  Baru saya tahu yang teman lelaki dia tinggalkan dia.  Kebetulan saya ada kat sana, saya bawa dia balik.”  Terang Farhan.

            “Apa yang dah jadi, Farah?”

            “Naim hampir nak merogol saya, kak.”

            Aleya terkejut.

            “Nasib baik Farah berjaya lepaskan diri.  Dia tinggalkan saya macam tu je kak.  Nasib baik ada Encik Farhan yang sudi tolong Farah.” 

            “Terim kasih, Encik Farhan.  Kalaulah Encik Farhan tak ada, tak tahulah nasib adik saya.  Budi Encik Farhan takkan saya lupakan.”

            “It’s okey, Aleya.  Apa yang penting Farah selamat.”  Ujar Farhan tersenyum.

            “Jom, kakak hantarkan air kat meja Farah.” 

            Farah tersenyum sambil mengangguk.

            “Akak marah lagi pada Farah?”

            “Kakak tak pernah marah Farah.  Kakak tahu Farah seorang yang baik.”

            “Terima kasih, kak. Farah janji takkan akan buat lagi dan Farah janji takkan akan buat akak risau lagi. Maafkan Farah, kak.  Farah betul-betul menyesal.”  

Aleya tersenyum dan dia memanjat rasa kesyukuran yang tidak terhingga dengan perubahan Farah.  Dia tahu, setiap yang berlaku pasti ada rahmatnya.  Haris menjadi pemerhati saat isterinya hilang dari pandangan matanya.

            “Oi!  Kau, nyaris-nyaris tadi tau.” 

            “Itulah, nasib baik kau sampai tepat masanya.  Kalau tidak, masak aku nak bersoal jawab dengan Aleya tu.” 

            “Kesian pulak aku tengok dia.”

            “Aku nak ucapkan terima kasih dengan kau.  Kalau kau tak ada, tak tahulah macam mana.”  Senyum Haris.  Semenjak Farah keluar dari rumah Aleya, Haris sudah pun meminta pertolongan dari Farhan untuk mengekori Farah kemana sahaja Farah pergi.  Ternyata, Farah sudah tersalah pilih teman.

            “Apa gunanya kawan,kan.  Yang kau pun sekarang ni aku tengok bukan main berseri-seri lagi.” 

            “Al-hamdulillah…..  Aleya sudah mula sayang aku.  Mula-mula tu malu yang amat sangat.”  Cerita Haris.

            “Ah, kau tu apa kurangnya.  Kau dengan dia sama je.  Kalau tidak, takkan kau suruh Mak Lima tu tanyakan Aleya.  Memang tak gentlemen langsung.” Usik Farhan.

            “Itu bukan malu, tapi takut.  Kau pun sepatutnya dah boleh cari yang lain.  Takkan kau nak menduda je.”

            Farhan menerima kata-kata Haris dengan perit sekali. 

            “Kau ingat ada ke yang nak duda macam aku ni?”

            “Engkau ni kan, tak elok tau cakap macam tu.  Aku yakin ada jodoh kau.  Tapi…. Aku memang berterima kasih sangat dengan kau sebab kau dah jagakan Farah.” 

            “Dahlah tu,  lagi pun Farah tu pekerja aku.  Kalau ada apa-apa jadi dengan dia, aku juga yang susah.  Mesti mutu kerja dia jatuh merundum.” 

            “Lepas ni aku yakin dia takkan akan berani lagi nak keluar malam. So, aku rasa sampai sini je lah tugas kau.” 

            Farhan memandang kepada Haris seolah ada sesuatu yang ingin dikatakan oleh sahabatnya itu.  Haris mengerutkan dahinya.  Dah kenapa pulak mamat ni?  Bukan ke hari tu bukan main liat nak buat kerja ni.  sekarang?   Ya, bagaikan ada sesuatu yang disembunyikan oleh Farhan.

            “Kau kenapa?  Muka dah macam ayam berak kapur ?”

            “Haris, agak-agak kalau aku nak jaga dia sepanjang hidup aku boleh tak?”

            Pandangan Haris terus kepada Farhan.  Haris tidak percaya dengan apa yang didengarnya tadi.

            “Maksud kau?”

            “Ah, kau ni dah tahu buat-buat tanya pulak.” 

            “Yelah, aku saja nak kepastian dari kau.  Aku tak mimpi, kan?”

            “Mimpi ke bendanya siang-siang buta ni?”

            “Kalau engkaulah, aku rasa kedua beradik tu mesti suka dengan kau.  Aku lagilah suka.  Dapat biras sahabat baik.  Kau jangan risau.  Farah mesti setuju.  Apa lagi dengan apa yang kau dah lakukan malam tadi.” 

            “Tapi aku takut dia orang tak akan terima aku.”

            “Itu kau jangan risau.  Serah je pada aku.  Pandailah aku nak buat apa nanti.”  Farhan tersenyum.  Dia yakin dengan Haris.  Di dalam hati, bunga-bunga cinta kian bersemi untuk Farah.

            HARIS memerhatikan Aleya yang sedang bersiap dengan senyuman yang tidak lekang dari bibirnya.  Baju kurung moden berwarna hijau olive itu benar-benar membuatkan hati Haris tertawan.  Hai, tengoklah isteri siapa.  Malam ini, mereka akan menghadiri majlis makan malam anjuran syarikat mereka bekerja.  Melihatkan Aleya sedang membetulkan tudung, Haris mula merenggek.  Dia kemudiannya memeluk Aleya dari belakang. 

            “Sayang…. Gosokkan baju melayu abang.”  Aleya berpaling memandang kepada Haris.  Tadi bukan main lagi nak pakai kemeja dan kot bagai. Sekarang ni?  nak pakai baju melayu pulak.

            “Bukan ke abang nak pakai baju kemeja tadi?”

            “Tak naklah.  Sayang gosokkan baju melayu hijau olive dalam almari tu.  Barulah kita sedondon.”

            Aleya tersenyum.  Dia kemudiannya menggelengkan kepala.  Laki aku ni, macam-macam ragam.  Aleya kemudiannya tersenyum dan mengangguk. Haris menyambut senyuman Aleya sambil mencuit lembut pipi milik isterinya.

            “Abang janji, malam ni adalah malam paling indah buat sayang.” 

            “Yelah tu,  makan kat hotel kan…”  Haris senyum meleret.  Ya sayang!  Abang akan pastikan!

            Sampai sahaja di dalam dewan hotel, Haris pantas mengenggam tangan milik Aleya sehingga Aleya terasa malu.  Merona wajahnya bila Haris cuba memimpinnya.

            “Abang, malulah.” 

            “Nak malu apa?  Kita kan dah halal.  Isteri abang kut.  Abang bukan apa, abang takut orang mengorat isteri abang yang cantik dan kiut ni.”  Aleya sambil pandangannya kepada Haris.  Pandangan mereka bertaut.  Ya, kini dia sudah tertawan dengan lelaki itu.  Lelaki itulah menerima dirinya yang sebatang kara.  Lelaki itu jugalah yang menemaninya setiap masa.

            Aleya mencari nama di setiap kerusi namun Haris lebih pantas menariknya ke hadapan. 

            “Abang, bukan ke tempat kita kat belakang?” 

            “Mana ada nama kita kat belakang tu.  Kat depan kut nama kita?” Aleya hanya menurut sambil memandang kepada Haris.  Lawak apa pulak ni?  Dari jauh dia terpandangkan Farah dan Farhan di meja VVIP bersama-sama dengan Tan Sri Hamdan.   Aleya terus meleraikan tangan Haris dan menuju terus ke arah Farah.

            “Farah,”  Farah memeluk tubuh adiknya  itu.

            “Duduklah kak.”  Pelawa Farah.

            “Tak apa, Farah.  Akak tengah cari tempat.”  Segan pula Aleya apabila melihatkan Tan Sri Hamdan sudah pun tersenyum memandang ke arahnya.

            “Maafkan saya, tan sri.”  Tan Sri Hamdan tersenyum.

            “Duduklah Aleya.”

            “Eh, tak apa tan sri.  Abang, jomlah cari tempat duduk.”  Bisik Aleya ke telinga Haris.  Farah ketawa dengan kelam kabut kakaknya itu.  Aleya terkeju bila Haris dengan selamba duduk di sebelah Tan Sri Hamdan.

            “Nak pergi mana lagi?  Duduk sini ajelah.”  Ujar Haris.

            “Ini tempat oranglah bang.”

            “Cuba tengok nama.”  Aleya memandang kepada kerusi di sebelah Haris.  Aleya Binti Aman.  

            “Rasanya nama sayang seorang saja nama Aleya Binti Aman.  Duduklah, acara dah nak mula tu.” 

            Aleya akur walau pun dia masih lagi terpinga-pinga ketika itu.  Aleya memandang sekilas ke arah Tan Sri Hamdan yang masih tersenyum memandang kepadanya.  Serba-salah pula Aleya rasakan.  Sudah pulak tu, bertambah kekok dia duduk semeja dengan Tan Sri Hamdan sehinggakan makanan yang disediakan dipandang tanpa kelip.

            “Kenapa tak makan?”  Haris berbisik di telinga Aleya.  Eh, eh…. Dah tak nampak agaknya.  Makan semeja dengan tan sri memang tidaklah.  Cukuplah darah gemuruh yang sedang melanda sekarang ni.

            “Seganlah bang.”

            “Nak segan apa?”  Aleya senyap.  Malas dia mahu menjawab pertanyaan dari Haris itu.  Namun tidak lama kemudian,  dia ditanya sekali lagi oleh Haris.  Kali ini Haris berani bertanya kepada apabila Tan Sri Halim sedang memberi ucapan.

            “Makanlah sikit.  Nanti lapar pulak perut tu.  Mari abang suap.” 

Haris mencapai sudu dan ingin menyuapkan nasi kepada Aleya tetapi belum sempat Aleya membuka mulut, lampu terang terus menghala ke arah mereka.  Aleya membatu.  Begitu juga dengan Haris.  Terus berubah wajah mereka.  Semua yang berada di dalam dewan berdiri memberikan tepukan gemuruh.  Apa kes pulak ni?  Haris tersenyum.  ‘Sudah sampai masanya.’  Desis hati Haris.  Dia bangkit dan mengambil tempat Tan Sri Hamdan untuk memberi ucapan.  Tan Sri Hamdan kemudiannya kembali ke kerusi sambil diperhatikan oleh Aleya.

            “Dah, jangan buat muka terkejut sangat.  Buat ayah serba-salah pulak.” Ayah? Tak faham.  O…. sungguh dia tak faham.

            “Ayah?”

            “Tu… atas tu suami Aleya, anak ayah.” 

            “Tapi…”

            “Maafkan Haris, Aleya.  Bukan salah dia.  Ayah yang minta dia jadi driver.  Ayah nak dia belajar dari bawah.  Sekarang ayah yakin yang Haris boleh memikul tanggungjawab menggantikan tempat ayah.”

            Aleya terdiam.  Dia mati dengan kata-kata. 

            “Lepas dah tak boleh nak panggil tan sri lagi.  Kena panggil ayah. Penat tau ayah tunggu saat ni.  Ada anak dan menantu.  Ayah nak pencen.  Mana tahu tak lama lagi boleh jaga cucu pulak.” 

            Farah tersenyum melihat gelagat Aleya.  Dia pun sebenarnya baru tahu akan kebenaran tentang abang iparnya.  Itu pun dari mulut Farhan.  Farah bersyukur sememangnya kakaknya itu berhak mendapat kebahagiaan dan kasih sayang Haris, lelaki yang sebelum ini dianggap tiada apa-apa.

            Selesai sahaja Haris memberikan ucapan, Haris melabuhkan punggung di sisi Aleya.  Lidah Aleya masih lagi kelu.  Dia masih lagi tidak percaya dengan apa yang telah berlaku kini.  Perasaannya berbaur.

            “Kenapa abang buat Aleya macam ni?”

            “Abang nak Aleya sayang abang seadanya.  Bukan kerana harta atau pangkat.  Sayang seorang sahaja yang sanggup berdamping dengan abang saat abang di bawah.  Abang minta maaf dengan sayang.  Tapi percaya memang abang terseksa sebab tak beritahu hal yang sebenarnya.”

            “Maafkanlah Haris, Aleya.  Dia betul-betul sayangkan kamu.” Aleya menyeka air mata. 

            “Dahlah….. jangan buat abang serba-salah.” 

            “Abang yang mulakan dulu.”

            “Okey, cakap dengan abang.  Apa yang sayang nak abang buat sekarang ni?”

            Aleya memandang kepada Haris dengan menguntum sebuah senyuman.

            “Tak bestlah makanan kat sini. Lepas ni teman Aleya makan burger boleh tak?”

            “Ala…. Kecik punya hal.  Nak makan burger ke?  Boleh je.  Tapi…. Kejap.  Bukan ke sayang tak suka makan burger?  Sejak bila ni?”

            “Entahlah bang.  Tekak ni rasa nak makan burger pulak.”  Haris mengerutkan dahi seribu.

            “Sayang okey tak ni?  ke sayang ada apa-apa nak beritahu dengan abang?”

            Aleya memandang kepada Haris sambil memandang ke arah Haris.  Kali ini Haris pula yang terpinga-pinga.  Di dalam hati Aleya sudah tidak dapat menahan tawa. Hai, kalaulah Haris tahu yang dia mengandung, mahu pecah dewan ni dia kerjakan.  Baik tunggu masa yang sesuai.  Nantilah, waktu makan burger kot?


            Sesungguhnya, dia tidak menyangka akan jodoh yang telah diaturkan oleh yang Maha Esa adalah yang terbaik untuknya.  Inilah yang dikatakan kebahagiaan terindah buat dirinya.  Aleya memandang kepada Haris dengan sebuah senyuman.  Ternyata cintanya hanya untuk Haris seorang.  

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.