‘Hai, Cinta. Dah
makan?’
‘Hai, Cinta.
Sibuk tak hari ini?’
‘Hai, Cinta.
Sihat tak?’
Cinta.
Cinta. Cinta.
Setiap kali
bersua dengan dia, dia mesti memanggil aku ‘Cinta’. Padahal, dia bukan tidak
tahu nama aku yang sebenarnya. Nama aku bukan Cinta. Bukan.
Kadang-kadang
aku naik rimas dengan panggilan itu. Naik malu. Naik bosan tetapi dia tetap
juga memanggil aku Cinta.
“Kenapa kau
panggil aku Cinta?” Pada satu hari kira-kira lima tahun yang lalu, kesabaran
aku hilang. Aku bertanya juga apa yang ingin sangat aku tahu.
“Sebab aku
cintakan kau dan kau lelaki yang aku cinta,” jawabnya selamba. Begitu yakin dan
lancar bagaikan di hatinya jawapan itu sudah dipahat kukuh.
Kulit mukaku
terus membahang. Walaupun jawapan itu sudah aku duga namun apabila diucapkan dari
sepasang bibir seorang gadis sepolos Maya, aku jadi malu.
“Cinta?” Aku
kemudian ketawa besar sambil cuba menepis rasa malu dan sekaligus cuba menolak
harapan yang dilontarkan oleh Maya. Aku tidak cintakan Maya dan aku tidak mahu
Maya mencintai aku. Aku juga mahu Maya tahu, aku bukanlah lelaki yang akan
membalas cinta dia. Sayangnya, Maya tetap begitu juga. Dia bukan sahaja tidak
mempedulikan semua itu malah tetap memanggil aku ‘Cinta’
Namun satu
perkara yang aku puji tentang Maya adalah… dia tidak akan memanggil aku ‘Cinta’
di hadapan orang lain. Yang itu aku memang puji.
****
Hari demi hari
berlalu.
Maya tetap
begitu. Tetap bersahaja orangnya. Kalau bertemu dengan aku di perpustakaan atau
di mana-mana dia tetap dengan ‘Cinta’ nya sehinggakan lama-lama aku sudah
berasa lali. Sudah tidak berasa apa-apa lagi. Terpulanglah pada dia, hendak
memanggil apa pun. Lagipun panggilan itu tidaklah seteruk mana. Maka hiduplah
aku bersama ‘Cinta’ di mana-mana apabila terserempak dengan Maya.
“Cinta,
assignment kau dah siap?”
“Ada lagi dua
soalan. Dah puas aku buat tapi tak juga dapat-dapat jawapan yang betul,”
balasku sambil melepaskan keluhan. Sudah dua jam memerah otak menyelesaikan
soalan-soalan tugasan, aku masih berbelit di tempat yang sama. Buntu.
“Meh, aku tolong
kau.” Maya terus menarik kerusi di sebelah aku dan meletakkan buku-bukunya di
atas meja. Dia keluarkan tugasannya yang sudah siap.
Sejujurnya aku
berasa lega. Sememangnya Maya pelajar terbaik dalam jurusan yang aku ambil di
kolej itu. Sudah tiga semester, Maya dapat ‘four flat’. Sedangkan aku boleh
dikatakan pointer 3.0 pun susah hendak lepas. Dalam hal ini juga aku cukup
kagum dengan Maya. Dalam sibuk ‘bercinta’ itu, pelajarannya tetap nombor satu.
“Cinta, engkau
salah formulalah…” Maya mula membebel tanpa memandang aku.
Aku tersengih
sahaja. Dari sisi aku merenung wajah Maya yang khusyuk membuat kiraan di atas
kertas. Maya memang cantik dan menarik tetapi entah kenapa hati aku sahaja yang
tidak terbuka untuk dia. Mungkinkah kerana aku seorang lelaki yang setia kepada
satu?
*****
Selepas
meninggalkan kolej, aku, Maya dan sahabat-sahabat yang lain masih saling
berhubungan. Sudah rezeki yang tersurat, aku dan Maya mendapat kerja di bandar
yang sama, Kuala Lumpur. Kami selalu berhubungan walau bekerja di tempat yang
berbeza. Yang sejujurnya, Maya lah yang sering menghubungi aku atau menghantar
SMS bertanya khabar dan keadaan diri aku. Aku?
“Cinta, hujung
minggu nanti kita pergi main bowling nak?” tanya Maya lewat suatu petang yang
dingin. Petang itu ibu kota bermandi hujan yang lebat.
“Hujung minggu
ini aku kena balik kampung.”
“Balik kampung?
Kenapa? Ada hal ke?”
“Kalau aku
bagitahu kau, kau jangan sedih pula.”
“Sedih? Kenapa
aku mesti sedih? Lainlah kalau kau mati…”
Aku terdiam.
Walaupun aku tidak mencintai Maya namun aku sedar apa yang ingin aku sampaikan
kepada Maya nanti, bukanlah sesuatu yang mudah. Dapatkah Maya menerimanya? Itu
yang membuatkan aku selalu tertangguh-tangguh memberitahu dia berkenaan hal
itu. Apa-apa pun, Maya adalah sahabat aku.
“Aku… aku akan
berkahwin, Maya.”
Diam.
Lama Maya
terdiam.
“Tahniah, Im,”
katanya kemudian.
Im? Maya panggil
aku Im? Aku berasa sungguh janggal, seperti bukan Maya yang sedang bercakap di
hujung telefon.
“Maafkan aku
sebab tak beritahu kau lebih awal. Kawan-kawan lain pun aku tak beritahu juga.”
“Kenapa? Kan
berita baik ni? Jemputlah semua kawan-kawan kita ke kampung kau. Nak juga kenal
dengan isteri kau nanti. Tentu semua orang gembira sebab engkaulah dari batch
kita yang pertama berumah tangga.”
“Kalau aku ajak
kau datang… kau mahu datang, Maya?”
“Kenapa tidak,
Cinta?”
Cinta lagi. Aku
fikir Maya akan berhenti memanggil aku Cinta rupa-rupanya hanya seketika.
“Kalau kau sudi datang, datanglah pada hari kenduri aku nanti. Aku buat kecil-kecilan
saja.”
“Aku akan
datang,” balas Maya.
“Maya…”
“Ya, Cinta?”
“Boleh tak
jangan panggil aku Cinta lagi?”
Maya terus diam.
Tidak lama kemudian talian dimatikan.
Sejujurnya aku
tidak dapat membayangkan perasaan Maya ketika itu. Adakah Maya sedang menangis?
Adakah Maya sedang kecewa? Adakah Maya akan membenci dan menjauhiku? Jauh dalam
hatiku, aku bersimpati pada Maya namun aku juga masih setia kepada Nana.
****
SEPERTI yang
dijanjikan, Maya hadir di majlis perkahwinanku. Tetap selamba seperti selalu,
tetap tersenyum, tetap ketawa. Ada juga aku melihat kawan-kawan lelakiku cuba
mendekati dia. Namun Maya tetap seperti selalu, agak dingin apabila didekati
lelaki lain. Seperti hatinya sudah beku.
“Cinta, selamat
menempuh hidup baru,” ucap Maya sewaktu kami berpeluang berdiri berdekatan.
Mujurlah pada
waktu itu, Nana ditarik teman-temannya untuk bergambar di tempat lain.
Sejujurnya juga pada saat itu aku menggelabah. Kalaulah Nana mendengarnya…tentu
sukar jadinya.
“Maya…” Aku
pantas menegur.
Maya tersenyum
seperti selalu walau di matanya aku terlihat kedukaan yang terlalu dalam. Ada
sendu yang tidak terselam oleh aku yang melihatnya.
“Don’t
worrylah, Cinta. Jaga isteri kau baik-baik. Jangan kurang
pula apa-apa nafkah.” Pesan Maya disambung gelak ketawa.
Melihatkan Nana
yang sedang melangkah ke arahku bersama senyum simpulnya, aku segera berdehem.
“Kenalkan, ini kawan sekolej abang dulu. Namanya Maya.”
Nana terus
menyambut huluran tangan Maya. Pada saat itu entah kenapa, hati kecilku
tersentuh. Kalaulah Nana tahu siapa Maya…
“Tahniah
untuk kau orang berdua ya. Okeylah, Im.
Aku blah dulu…” Maya terus meminta diri dengan gaya selambanya.
Aku lepaskan
Maya pulang bersama-sama kawan-kawan lain yang datang. Melihatkan Maya langsung
tidak menoleh lagi kepada aku, hatiku sedikit terasa walaupun tangan Nana erat
dalam genggamanku.
Sangkaku selepas
itu Maya semakin menjauhkan diri dari aku, sayangnya…
****
“Cinta, orang
rumah kau dah pregnantke belum?”
Oh! Maya. Masih dengan
cintanya walau sudah setahun aku berkahwin dengan Nana. Selama itu juga dia
tetap begitu-begitu juga. Selalu menelefon bertanya khabar namun tidak lagi menghantar SMS kerana
katanya bimbang Nana tersalah sangka. Maya juga tidak lagi mengajak aku keluar
bermain bowling pada hujung minggu atau menemankan dia menonton wayang.
Sesekali terlintas di fikiran aku, apa yang Maya lakukan pada hujung minggu
tanpa kehadiran aku. Mungkinkah Maya sunyi dan bosan? Atau adakah Maya kini
sudah punya teman pengganti?
“Maya, bila
engkau nak kahwin? Makin lama makin tua?” usikku kadang-kadang. Adakalanya aku
runsing melihat Maya yang seperti tidak menunjukkan langsung minat untuk
mencari pasangan hidup. Sampai bila agaknya Maya mahu hidup begitu?
Namun seperti
biasa Maya akan tersenyum dan menutup mulutnya rapat-rapat bagai menahan
dirinya dari mengeluarkan kata-kata yang mungkin akan membocorkan sesuatu
rahsia. Aku makin syak yang kini Maya sudah ada seseorang dalam hatinya selain
aku.
“Sharelah,
Maya. Takkan makan sorang,” usikku lagi.
“Share
apa?” Seperti biasa juga Maya akan berlagak selamba.
Aku mengeluh
sendiri. Sekiranya Maya tidak mahu berkongsi hal itu kepada aku, aku tidak
dapat memaksa namun jauh di sudut hatiku terasa amat lega. Terasa seperti
terlepas satu beban dari bahuku. Sejujurnya aku tidak mahu Maya terus ‘mencintai’
aku dan mengorbankan kehidupannya yang sudah layak menjadi seorang isteri dan
mempunyai kehidupan yang lebih bermakna. Namun sayangnya, walau dua tahun telah
berlalu namun kad undangan ke majlis perkahwinannya tetap juga tidak tiba-tiba.
Dan yang
ironinya… perkahwinan aku dan Nana pula yang dilambung badai.
*****
“Ni mesti salah
kau Mesti sebab kau tak pandai ambil hati dia, kan?” komen Maya apabila dia
dapat mengesan ada yang tidak kena dalam perkahwinan aku walaupun tanpa aku
membuka mulut. Itulah hebatnya tentang Maya. Dia dan aku seolah-olah saling
berhubungan tanpa suara.
Aku hanya dapat
menggeleng. Aku sendiri kecewa kerana cinta aku terhadap Nana kini sudah tidak
ada harganya lagi. Nana sudah berubah, tidak lagi mencintai aku sebagai seorang
suami. Aku terkapai-kapai mencari erti dan mencari di mana silap aku sebagai
seorang lelaki dan juga seorang pemimpin dalam rumah tangga. Namun, sehingga ke
saat itu aku tidak dapat memahami apa puncanya Nana berubah sikap.
“Okeylah.
Maafkan aku,” sambung Maya apabila aku tetap membisu pada pertemuan di sebuah
café atas permintaan aku sendiri.
Setelah penat
bekerja seharian di pejabat dan hanya akan pulang ke sebuah rumah yang kosong…
sudah tidak ada maknanya lagi. Lalu dalam keadaan yang kebingungan itu aku
teringatkan Maya.
“Aku simpati.
Tidak seharusnya sebuah hubungan cinta yang telah terjalin begitu lama berakhir
begini,” kata Maya. “Tapi siapa yang lebih berhak menentukan takdir hidup
manusia? Siapa yang berkuasa membolak-balikkan hati manusia kalau bukan Tuhan?”
Aku menghela
nafas panjang. Persoalan demi persoalan yang dilontarkan oleh Maya tidak banyak
membantu aku menyelesaikan kekusutan yang ada. Aku masih memikirkan kenapa Nana
berubah laku. Namun pada masa yang sama egoku sebagai seorang lelaki semakin tercabar.
“Macam inilah,
Cinta. Kalau kau masih sayangkan Nana, masih mahukan dia dalam hidup kau…
pergilah pujuk dia balik. Yakinkan dia yang kau adalah satu-satunya lelaki
dalam hidup dia. Jangan biarkan saja macam ni. Orang perempuan suka dipujuk.
Suka merasakan dirinya diperlukan.”
“Kau rasa macam
tu?” Bagus juga mendengar pendapat dari seorang perempuan. Mungkin betul kata
Maya.
“Aku tak tahu
apa yang kau dah buat pada dia tapi aku yakin tak semudah itu hati seorang
perempuan terluka. Tak semudah itu hati seorang perempuan membeku dan
berpaling. Mesti ada sebab. Dan hanya kau dan dia yang tahu. Itu soal rumah
tangga kau orang berdua.”
Aku diam sahaja.
Puas aku cuba mengingati apa salah aku pada Nana sehingga Nana mengambil
keputusan untuk balik ke rumah ibu bapanya. Bukan tidak pernah aku memujuknya
namun, Nana terus begitu.
“Pujuklah dia.
Mana tahu…kesungguhan kau dapat melembutkan semula hati dia,” sambung Maya.
*****
Seminggu selepas
itu…
“Cinta, macam
mana? Dah okey?” Suara Maya tetap ceria seperti selalu.
Oh! Maya…
“Belum,” jawabku
sepatah. Nampaknya hati Nana keras bagaikan batu. Sudah tidak boleh dipujuk
lagi. Nana meminta perpisahan. Muktamad.
“Pujuklah lagi.”
“Tak payahlah.”
“Mana boleh
macam tu, Cinta? Kau kena kuat semangat.”
“Dia mahu
berpisah.”
“What!!!” Maya
tersenyap seketika. “Jangan macam tu, Cinta. Jangan ikutkan…pujuklah dia lagi.
Dia Cuma test kau aje tu… bukan betul-betul.”
Pada waktu itu
suara Maya serak. Aku dapat merasakan Maya menangis di hujung telefon dan
sejujurnya mata aku bergenang. Untuk seketika aku benar-benar merasakan aku
tidak keseorangan dalam hal itu, aku ada seorang kawan yang sanggup menangis
bersama dan sangat memahami apa yang aku rasa. Itulah Maya.
“Kau rasa macam
tu?” tanyaku perlahan. Mungkinkah benar permintaan Nana itu juga satu ujian
buatku?
“Ya, kau cuba
pujuk dia lagi. Jangan cepat mengalah.”
Dengan nasihat
Maya itu, aku memujuk Nana buat sekian kalinya. Namun sayang… rupa-rupanya itu
bukanlah ujian untuk aku tetapi apa yang sebenarnya memang dihajati oleh Nana.
Tanpa aku tahu, Nana sudah ada lelaki lain di hatinya. Lelaki yang dicintainya
sekian lama sewaktu aku menuntut di kolej lagi. Baru aku tahu, Nana hanya
terpaksa menerima aku selama ini namun akhirnya tewas apabila perasaannya tetap
tidak merelakan aku dalam kehidupannya.
*****
"Cinta, kau
main bowling ke kau main apa? Semua ke longkang….” Bidas Maya pada satu hujung
minggu. Kami ke gelanggang bowling lagi untuk menghabiskan masa dan melepaskan
tekanan kerja.
Aku hanya
terseyum pahit. Walaupun sudah tiga bulan aku melepaskan Nana dari hidupku
namun entah kenapa keadaan tidak kembali pulih dengan cepat. Aku masih
dibayangi trauma rumah tangga yang hancur di tengah jalan. Egoku benar-benar
berderai. Untuk mengangkat muka pun aku rasa tidak berdaya. Terasa seluruh
dunia mentertawakan aku dan menyalahkan aku kerana tidak pandai memimpin sebuah
rumah tangga kecuali Maya.
Sejak aku sibuk
menguruskan penceraian aku dengan Nana, aku lihat Maya seakan-akan berkabung.
Wajahnya selalu sahaja muram. Pandangan matanya selalu sahaja sendu. Ingin aku
bertanya tetapi aku tidak ada masa.
“Kau tengok
perempuan tu, Cinta,” kata Maya sebaik sahaja duduk di sisi aku. Lurus
pandangan matanya ke arah sekumpulan gadis yang leka bermain bowling tidak jauh
dari kami. “Yang baju purple tu.”
Aku toleh
sekilas. Aku yakin aku tahu siapa yang dimaksudkan oleh Maya. Seorang gadis
berbaju ungu dan bertudung bawal ungu muda sedang bergelak ketawa. Manis
orangnya, berlesung pipit.
“Kau kenal ke?”
tanyaku bersahaja. Mungkinkah kawan Maya?
“Kalau kau nak
nombor telefon dia, aku boleh usha….” Begitu selamba Maya membalas.
“Huh!” Aku
bangkit meninggalkan kerusi. Rupa-rupanya Maya mengusik aku. Aku tahu Maya cuma
mahu aku melupakan Nana dan melupakan kisah pahit itu. Aku tahu Maya mahu aku
memulakan kisah hidup yang baru. Maya mahu aku kembali normal.
“Aku serius ni,
Cinta. Kalau kau nak…sekarang juga aku pergi minta.” Maya datang mendekati aku.
Bola bowling
dalam tangan aku terlepas dan meleret masuk longkang.
“Kau punya
pasallah!” Tidak sedar aku membentak Maya.
Maya tergamam.
Air mukanya berubah.
Sejak itu aku
tidak bertemu lagi dengan Maya.
Maya juga tidak
menelefon atau menghantar SMS. Yang lebih teruknya, apabila aku ke tempat kerja Maya… Maya sudah
berhenti.
Oh! Maya…
****
SEJAK itu aku
mencari Maya. Kepada kawan-kawan aku bertanya dan berpesan namun usaha aku
terus hampa. Setiap hujung minggu aku mengunjungi semua tempat yang pernah kami
lewati bersama. Ke Pusat bowling, ke panggung wajah, ke gerai kesukaan Maya, ke
mana-mana sahaja yang aku fikirkan Maya akan berada. Aku bertanya kepada
sesiapa sahaja. Aku tunjukkan gambar Maya. Sayangnya Maya seakan-akan ghaib
dari ibu kota yang pernah menjadi saksi persahabatan kami bertahun-tahun. Lalu,
hari demi hari aku lewati tanpa Maya dan tanpa sapaan ‘Cinta’nya...
Sejujurnya
kehilangan Maya lebih menyiksa diri aku berbanding kehilangan Nana. Sewaktu aku
kehilangan Nana, aku masih ada Maya di sisi. Namun sewaktu kehilangan
Maya…..aku benar-benar keseorangan.
Genap enam bulan
tanpa Maya, aku menerima sekeping kad undangan perkahwinan.
“Maya?”
Menggigil tubuh
aku sebaik sahaja terbaca nama penuh Maya yang tertera di atas kad undangan
tersebut. Terasa runtuh segenap perasaan. Terasa gelap segala pandangan. Tidak
sedar, air mata lelaki aku menitik. Sejak itu aku rasa benar-benar kehilangan
Maya.
Lalu, aku
teringatkan majlis perkahwinan aku dan Nana beberapa tahun yang lalu.
Bagaimanakah perasaan Maya pada waktu itu? Sedangkan aku pada saat itu terasa
tidak berdaya untuk memenuhi jemputannya. Entah kenapa, aku seperti tidak rela
melihat Maya berada di sisi lelaki lain. Dan adakah benar hati Maya telah
berubah? Mungkinkah aku bukan ‘Cinta’ nya lagi?
Dengan itu aku
terus berusaha menjejaki Maya sehingga berjumpa.
****
“Maya,” panggil
aku sebaik sahaja Maya yang baru balik kerja masuk ke ruang tamu rumah ibunya.
Maya tergamam
lama. Berubah air mukanya. Pucat bagaikan hendak pitam. “Kau… kau buat apa di
sini?”
“Aku datang nak
jumpa kau.”
Maya menjeling
ke arah dapur.
“Majlis aku dua
minggu lagi. Kau tak dapat datang minggu depan ke?” Maya semakin tenang.
Aku melihat
sedikit perubahan dalam diri Maya.Aku tidak melihat Maya yang telus, aku
melihat Maya yang sedang berpura-pura. Dan semua itu membuatkan hati aku tambah
tersiksa. Aku tahu Maya melakukan semua itu kerana aku.
“Berapa lama kau
kenal bakal suami kau?” Aku tidak endahkan pertanyaan Maya.
Mata Maya
terkelip-kelip.
Aku tahu Maya
terkejut kerana itulah kali pertama aku bertanyakan soal peribadi dia. Kali
pertama aku mengambil berat soal dia. Ya, akulah kawan yang terlalu asyik
dnegan diri aku sendiri sehinggakan tidak pernah memikirkan perasaan dan
kebajikan Maya. Namun aku berharap belum terlewat untuk aku menyelamatkan dia
dari melakukan kesilapan yang serupa dengan Nana.
“Bukan soal
kau.”
“Aku tak mahu
kau melakukan kesilapan yang sama seperti Nana. Mengahwini lelaki yang kau tak
cintai, menghukum diri kau kerana berputus asa pada kehidupan.”
“Dia jodoh aku.”
Aku menggeleng.
“Selagi akad
belum disahkan, dia belum lagi menjadi jodoh kau.”
“Kenapa kau
seperti cuba menghalang perkahwinan aku? Dulu kau juga yang beria-ia suruh aku
kahwin,” bidas Maya.
Tiada jawapan
yang dapat aku berikan kepada Maya. Aku sekadar mampu mengeyakan sahaja
kata-katanya. Memang benar, suatu ketika dahulu aku berasa runsing melihat
keadaan Maya. Kalau boleh aku juga mahu Maya merasakan nikmat alam perkahwinan
seperti aku dan Nana tetapi kini… aku tidak mahu Maya berkahwin. Aku tidak mahu
Maya menjadi hak orang lain. Aku tidak mahu sesiapa pun memiliki Maya.
“Aku tak menghalang
perkahwinan kau, Maya. Tapi aku dapat rasa kau berkahwin atas sebab yang salah.
Kau marahkan aku, kan?”
Maya terdiam.
“Maya… aku
mengaku. Selama ini aku selalu mengabaikan kau. Aku selalu menyakitkan hati kau
dengan macam-macam hal. Tapi kau… kau tetap panggil aku ‘Cinta’. Kau tetap
berada di sisi aku dalam keadaan apa pun.
” Air mataku mula bergenang semula. Puas aku tahan.
“Lupakan sajalah. Kau binalah hidup baru.
Jangan sia-siakan hidup kau yang masih muda. Ramai lagi perempuan yang cantik
manis di luar sana yang boleh dijadikan isteri kau. Aku doakan kau bahagia dan
hidup happy hingga ke akhir hayat,”
balas Maya dengan tenang.
Kata-kata Maya
tidak aku balas terus. Aku hanya merenung wajah Maya yang muram dan lesu. Aku
tidak melihat lagi wajahnya yang polos, tenang dan selamba. Sejujurnya aku
dapat merasakan betapa hancurnya hati Maya sewaktu mengucapkan kata-kata
tersebut. Tanpa Maya sedar, hati aku turut hancur luluh.
“Aku hanya mahu
hidup dengan kau, Maya,” bisikku perlahan. Itulah pengakuan aku yang
sejujur-jujurnya dapat aku luahkan. Memang ramai yang boleh menjadi pengganti
Nana tetapi tidak ada seorang pun yang dapat menggantikan tempat Maya.
Serentak dengan
itu pandangan mata kami bertaut lama. Alam pun menjadi diam.
“Jangan
tinggalkan aku.” Aku menyambung dengan segunung harapan yang aku tadahkan
seikhlas-ikhlasnya. Aku benar-benar sedar, itulah peluang yang terakhir untukku
menjelaskan perkara yang sebenar. Aku perlukan Maya dalam hidup aku. Tanpa Maya
hidupku terasa tidak lengkap. Aku jadi lemah. Terumbang-ambing.
Maya terus diam.
“Tanya hati kau
betul-betul, Maya. Jangan buat silap. Perkahwinan bukan tempat untuk membalas
dendam dan menghukum diri sendiri. Aku tunggu kau di Kuala Lumpur.”
Dengan itu aku
tinggalkan Maya untuk membuat keputusan.
Aku tahu Maya
perlukan masa untuk berfikir dan bertindak dalam tempoh yang begitu kritikal.
Pada waktu itu… aku hanya dapat menadah tangan berdoa… meminta Maya
dikembalikan semula ke dalam hidupku. Namun seandainya Maya bukan rezekiku, aku
berdoa semoga Tuhan memberikan aku ketenangan dan kekuatan untuk menerima
takdir yang telah ditetapkan untuk kami berdua.
Setahun berlalu
selepas pertemuan itu. Maya tetap juga berkahwin dan bergelar seorang isteri.
****
BEGITU sunyi.
Itulah yang aku rasakan kini.
Berada di
perpustakaan yang hampir lengang, mengheret aku kembali mengenang masa lampau.
Di situlah aku selalu duduk bersama Maya menyiapkan tugasan atau mengulangkaji
pelajaran. Kini aku bersendirian.
“Cinta, jom
turun. Laparlah….”
Spontan aku
menoleh ke arah Maya yang datang bersama beberapa buah buku di tangan. Beberapa
minit dia menghilangkan diri sudah cukup membuatkan aku terlontar ke daerah
kenangan yang begitu mendebarkan aku. Sungguh aku jadi serik dengan segala yang
pernah aku lalui. Serik kerana hampir kehilangan Maya.
“Jomlah, Cinta….
Baby lapar….” Maya merengek dengan selamba di situ, bagaikan perpustakaan itu
hanya milik kami berdua.
Aku ketawa
kecil. Perut Maya memang sudah besar. Dan kebelakangan ini Maya semakin kuat
makan. Namun aku bahagia dan teramat mensyukuri segala yang Tuhan pulangkan
kepada aku. Maya, tidak aku persia-siakan lagi.
“Jom, sayang.
Ayah baby pun dah lapar.” Aku tolak kerusi dan memegang erat tangan Maya.
Maya membalas
dengan senyuman yang manis.
Aku memandangnya
dengan rasa bahagia dan bangga. Akhirnya aku tahu Maya tidak pernah berhenti
dari mencintai aku. Cinta Maya hanya untuk aku dan cinta aku hanya untuk Maya…
Dia, satu-satunya yang memanggil aku, Cinta. Dia, satu-satunya yang aku cinta…
TAMAT