Home Cerpen Cinta Qisya Nur Airis
Qisya Nur Airis
Nina Rose
30/10/2012 19:28:56
5,319
Kategori: Cerpen
Genre: Cinta

DARIPADA kelmarin hujan turun tanpa henti membuatkan alam di sekelilingnya menjadi kaku. Rintik-rintik dari langit terus menyanyikan lagu sedih sebaik mendarat ke atas kepingan-kepingan zink yang menjadi penutup bumbung. Seharusnya irama itu menjadi sesuatu yang disukai. Kerana di bandar dia tidak dapat mendengar nyanyian hujan yang menimpa bumbung yang beratap genting. Namun, di sini bunyi itu bukan sesuatu yang menjadi kesukaan gadis manis yang daripada tadi bermenung jauh di sisi tingkap rumah kayu itu. Dia rindukan kedamaian dalam jiwanya yang semakin lelah dan gundah. Dia ingin merai kehidupan bahagia masa lalu semula. Mata dipejamkan, hatinya yang semakin terhiris harus dipujuk. Masa lalu tidak mungkin dirai kembali.

“Sudahlah. Lebih banyak kamu bermenung, akan lebih tewas nanti,” sapa lelaki separuh usia yang baru mengambil tempat tidak jauh dari tempat gadis itu berdiri. Bekas rokok daun yang terletak di tepi tiang dicapai. Pantas saja sebatang rokok digulung dan diselitkan ke tepi bibir. Api dinyalakan. Seketika kemudian berkepul-kepul asap terbang ke udara. Dia sudah menikmati hasil daripada gulungan rokok daun tadi.

Dia bersandar ke dinding sambil melihat lagi gadis yang masih berdiri membelakangkannya itu.

“Hati, semakin dipaksa, semakin berdarah. Keputusan sudah kamu buat, belajarlah untuk redha. Kadang-kadang kita bukan kehilangan tetapi keciciran,” rokok daun di tangannya disedut lagi.

“Apa maksud Pak Munir?” tanya gadis itu tanpa menoleh. Sedar perbuatannya kurang sopan tetapi tidak mahu difikirkan sangat.

Pak Munir tersenyum.

“Kehilangan itu bererti kita tidak mungkin punya peluang untuk menemui. Tetapi keciciran bererti masih ada peluang untuk kamu bertemu atau dipertemukan,” jelasnya perlahan.

Gadis itu mengeluh perlahan. Pahit saja harapan itu dipendengarannya. Wajahnya dikerutkan.

“Malangnya saya bukan keciciran. Kehidupan saya sudah didera dan dirompak. Seluruh jiwa saya sudah tersayat parah,” hambur gadis itu sambil berpaling memandang Pak Munir sebelum matanya tertunduk memandang lantai.

“Siapa cakap?” tanya Pak Munir dengan suaranya yang tetap perlahan seakan memujuk.

“Kamu hanya diuji,” tambahnya lagi.

“Uji?” gadis itu tergelak kecil. Lucu dirasakan mendengar perkataan diuji itu. Sampai bila lagi dia harus diuji? Sehingga penghujung usianya? Semua yang dia punya pergi satu per satu tanpa rela, sedangkan dia langsung tidak buat salah. Semua yang lain harus ditinggalkan pergi, dia rela menerima. Namun hal yang satu itu dia tidak boleh. Hatinya luluh, jiwanya runtuh.

“Percayalah pada qadak dan qadar. Setiap musibah itu adalah pelengkap kepada kesenangan masa depan, agar kamu belajar menghargai setelah kehilangan,” pujuk Pak Munir lagi dengan nasihat.

Gadis itu terdiam. Perlahan-lahan tubuhnya melorot ke bawah. Dia duduk memeluk sebelah daripada lututnya sambil memandang sebelah lagi kakinya.

“Saya sudah tidak kuat Pak Munir,” adunya perlahan.

“Istifar. Syaitan suka kepada jiwa yang rapuh.”

Gadis itu mula menangis. Sejak dia di situ air matanya tiap hari bagaikan sama lebat dengan hujan yang turun beberapa hari itu.

“Perempuan itu diciptakan dengan jiwa yang sangat kuat berbanding lelaki. Maka, bangunkan kekuasaan jiwa kamu itu.”

“Bagaimana... kalau setiap hari bayangan kelukaan yang dia hadapi sangat menyakiti saya?”

“Dia tidak terluka seperti yang kamu sangkakan. Percayalah. Itu hanya tipu daya iblis semata.”

“Bagaimana Pak Munir pasti?”

Pak Munir tersenyum.

“Kerana aku juga seorang lelaki. Hati lelaki itu sangat keras, biar terluka sehingga berliang tetap saja akan cuba digagahi.”

Gadis itu menyedut kuat nafas yang tersekat dengan cecair yang mula memenuhi ronga hidungnya. Dia termenung lagi. Mungkinkah dia yang tersalah menilai lelaki yang sudah ditinggalkan itu? Selama ini dia melihat lelaki itu sebagai lelaki lemah yang selalu memerlukan kehadiran dirinya.

“Lapang-lapangkanlah hati kamu dengan mendekati ALLAH.”

Gadis itu meraup muka. Dia bertanya kepada diri, apa tujuannya bersembunyi di situ andai hati tidak rela? kenapa dia berada di situ? bukankah lebih baik andai dia terus berada di sisi lelaki yang sudah ditinggalkan itu. Tetapi...

Air matanya berderai lagi. Kenapa berat sangat ujian yang harus dilalui?

* * * * *

“MAMA tetap takkan terima pilihan kamu. Mama lebih rela kamu tidak berkahwin selama mama hidup daripada menanggung malu bermenantukan lelaki tidak punya apa-apa itu!” Tegas ibunya.

“Ma, Airis rayu mama... kasihanilah kami. Airis sayang dia ma...” rayu Airis.

Mencerlung mata Tengku Nadirah memandang anaknya. Langkah diatur mendekati Airis dan sepantas itu tangannya memegang kuat dagu Airis.

Airis memandang wajah ibunya dan mata mereka bersatu.

“Qisya Nur Airis walaupun mama tidak melahirkan kamu, tetapi mama yang besarkan kamu selama ini. Jadi jangan cuba hendak membantah apa yang mama mahu, faham!” Marah Tengku Nadirah. Dagu Airis dilepaskan.

Airis yang masih berdiri terpaku memandang Tengku Nadirah, semakin sebak. Akhirnya dia mengongoi pilu sendiri. Kenapa tiba-tiba saja dia menjadi orang asing dalam kehidupan Tengku Nadirah? Adakah kerana dia lebih memilih cinta lelaki itu berbanding kasih sayang sekian lama yang sudah dicurahkan wanita itu? Lalu hati wanita itu terguris.

“Ma... ampunkan Airis...” kaki Tengku Nadirah dipeluk. Dia terperangkap untuk membuat pilihan.

Tengku Nadirah mengeluh. Wajahnya dikeraskan.

“Mama tak ada masa mahu berdrama dengan kamu, mama ada urusan lain. Kamu sudah cukup dewasa untuk berfikir. Ingat jangan jadi anak derhaka,” tekan Tengku Nadirah sebelum berlalu ke tingkat atas meninggalkan Airis dalam esak tangisnya.

“Mama...” raung Airis. Pilu ditinggalkan sendiri di situ. Lama dia berteleku dan menangis sendiri. Sudahnya dia naik ke bilik dan menyembamkan diri atas katil. Kenapa benci sangat Tengku Nadirah kepada kekasihnya? Hatinya diinjak kerinduan, rindu kepada arwah papanya yang selalu menjadi pembela diri. Dia menangis lagi. Kenapa cepat benar lelaki itu dijemput Tuhan?

Telefon bimbitnya diambil. Nombor telefon kekasihnya ditekan.

“Assalamualaikum...” ucapnya sendu.

“Waalaikumsalam... sayang... kenapa menangis?”

Airis menarik nafas, cuba meredakan sisa-sisa tangisnya.

“Mama...”

“Kenapa dengan mama, sayang?”

“Mama tetap tak benarkan kita bersama,” air mata Airis gugur lagi.

“Hummm... dia tak berhak sayang. Dia hanya penjaga yang diberi tanggungjawab untuk jaga sayang sampai berusia dua puluh satu tahun, tetapi sekarang sayang sudah dua puluh lima tahun.”

“Tetapi dia ibu Airis, dia saja yang Airis ada.”

“Abang? Airis ada abang, sayang,” pujuk lelaki itu.

“Tak sama... Airis tak mahu jadi anak derhaka,” tangis Airis lagi.

“Sayang... sayang takkan derhaka andai membantah permintaan seorang ibu yang mahukan sayang hidup dengan lelaki yang membelakangkan hukum Tuhan. Lagipun lelaki pilihan dia itu seorang pemabuk dan kaki perempuan. Sayang berhak memilih yang terbaik untuk diri dan masa depan sayang,” hujah lelaki itu berharap hati Airis yang mudah tersentuh itu boleh dipengaruhi. Sudah terlalu lama mereka bercinta, rasanya tiba masa untuk Airis dinikahi. Dia bukan mahukan harta kekayaan warisan Airis, dia hanya mahu membahagiakan Airis. Dia tidak sanggup melepaskan gadis genit yang lurus dan baik hati itu jatuh ke tangan lelaki yang akan memusnahkan kehidupannya.

“Sayang, kita nikah tanpa restu mama sajalah. Abang rasa keadaan sayang seperti tidak selamatlah.”

“Abang...”

“Sayang, dengarlah cakap abang sekali ini saja. Lepas nikah kita baliklah jumpa mama dan minta maaf,” pujuk lelaki itu.

“Abang... Airis sayang mama, Airis sayang abang tetapi Airis tak boleh penting diri.” Airis tahu, seteruk-teruk Tengku Nadirah hanya itu tempat mengadunya.

“Airis! Habis tu, Airis hendak turutkan permintaan dia? Airis mahu kahwin dengan anak kawan dia tu?”

Airis menggeleng.

“Tak mahu... Airis mahu bersama abang...”

“Kalau Airis mahu bersama abang, dengarlah cakap abang. Kita nikah. Abang akan bincang dengan keluarga abang.”

“Abang, Airis tak mahu malukan keluarga abang. Mama boleh buat apa saja nanti.”

“Airis, percayalah. Setelah kita nikah, apa pun yang dia lakukan sudah tidak berguna. Yakin dengan abang, ya sayang?”

Lama Airis terdiam. Dia semakin keliru diasak permintaan demi permintaan. Yang mana harus dipilih?

* * * * *

“LAWA anak mama malam ini. Cantik gaun yang Johan hadiahkan ni,” puji Tengku Nadirah sambil memandang Airis yang berdiri tegak bagaikan patung itu.

“Johan, jaga puteri saya baik-baik. Jangan balik terlalu lewat.” Tengku Nadirah beralih kepada Johan pula.

Pemuda itu tersenyum.

“Baiklah Tengku, akan patik kembalikan Tuan Puteri sebelum jam tiga pagi,” ujarnya bermain kata.

Tengku Nadirah tergelak.

Airis buat tidak peduli saja. Meluat.

“Mari, sayang.” Johan menghulurkan tangannya supaya dipimpin oleh Airis.

Melihat Airis masih tercegat tidak peduli. Tengku Nadirah menolak tubuh anak gadis itu dari belakang.

Airis sedikit terdorong ke hadapan. Dia mengukir senyuman palsu buat Johan sebelum lesap mengikut pemuda itu ke majlis makan malam anjuran syarikat ayah Johan.

* * * * *

“JOHAN! You tak boleh memandu macam ini. Biar I yang pandu... berhenti Johan,” pinta Airis cemas. Lengan Johan disentuh mengharapkan pemuda itu menurut.

“Rilekslah sayang, I masih okey lagi,” balas Johan berdegil. Pandangannya yang berpinar-pinar itu tidak dipedulikan. Fikiranya yang semakin melayang membuatkan dia tidak terasa kelajuan kereta yang dipandunya.

“Johannn... janganlah degil! I tak mahu mati sia-sia,” bebel Airis geram melihat Johan memandu secara berbahaya. Berbotol air kencing setan diteguk tadi, masakan tidak hilang kawalan seperti itu. Airis jijik melihat gaya kehidupan sosial Johan. Lelaki seperti itukah yang akan menjadi imam dalam kehidupannya kelak? Jauh di sudut hati dia memohon supaya perkara itu tidak terjadi. Dia mahukan Izz Zarif yang menjadi imamnya di kemudian hari. Bolehkah?

Dalam Johan semakin gila mengawal setereng kereta yang dipandu laju, Airis sempat berkhayal. Saat-saat manis bersama Izz Zarif membuat bibirnya mengukir senyuman. Lelaki itu tidak pernah mahu menyentuh tangannya, selalu menjaga batas pergaulan. Banyak menasihati dirinya selama ini, menyebabkan hatinya terus terikat kemas mencintai lelaki itu.

Tiba-tiba mata Airis terbeliak, jeritan kuatnya tidak mampu menahan apa yang yang begitu pantas menimpa mereka. Tubuh genit itu terkulai tidak berdaya, perlahan pandangannya menjadi berbalam, kelam dan gelap. Johan disebelahnya sudah lebih dulu tidak sedarkan diri.

* * * * *

IZZ ZARIFmasih termenung. Sudah lebih enam bulan Airis hilang. Dia buntu mencari khabar berita gadis itu. Telefon bimbitnya langsung tidak dapat dihubungi, akaun laman sosialnya juga sudah lama tidak aktif. Izz Zarif menghempaskan punggungnya atas kerusi kayu yang menjadi tempat pengunjung taman itu melepaskan lelah.

“Nisa, takkan kau langsung tak tahu mana Airis pergi?”

Nisa menghembus nafas. Sudah letih jawapan tidak diberikan kepada Izz Zarif, tetapi lelaki ini terus juga memaksa.

“Mana aku tahu. Aku bukan tinggal serumah dengan dia. Hish, penatlah jawab pertanyaan yang sama berulang-ulang,” rengus Nisa kebosanan.

“Macam mana aku nak percaya? jawapan kau langsung tidak meyakinkan. Airis itu sepupu kau, takkan hilang ghaib ke mana keluarga dia tidak kecoh?” Izz Zarif merenung Nisa. Sepupu kepada Airis ini bukannya boleh dipercayai sangat. Pandai berdalih.

“Kau ini teruk sangatlah. Patah tumbuh, hilang berganti. Akukan ada. Kenapa nak fikirkan Airis lagi?” Nisa menjeling ke langit. Terfikir pula tindakkannya yang tidak mahu bercinta seakan bijak, tidaklah merana bila pasangan tiba-tiba menghilang.

“Kau mana faham perasaan aku... selalu ada saja orang ucap selamat pagi, selamat malam. Ingatkan itu dan ini, tetapi sekarang sepi. Fizikal aku saja yang nampak tenang. Hati aku ni macam mahu pecah rindukan Airis. Tolonglah Nisa.”

“Aku nak tolong apa?” marah Nisa. Berangin saja dirasakan.

“Tolong aku cari maklumat Airis. Mana tahu kau boleh tahu mama dia sorok dia kat mana,” pinta Izz Zarif. Wajahnya dimaniskan, memancing simpati.

Nisa mencebik.

“Tak ada maknanya mama dia yang sorokkan. Dia sendiri yang nak pergi,” cepat-cepat Nisa menekup mulutnya. Dek kerana tertekan dia sudah terlepas cakap.

“Apa?”

Nisa mempamerkan sebaris gigi depannya. Wajahnya cemberut. Apa yang harus dilakukan? Alamak! Beg sandang diletak ke bahu. Dia sudah berdiri.

“Aku kena pergi... ada hal,” langkah tergesa-gesa terus dihayun meninggalkan Izz Zarif.

“Nisa... aku tak pekaklah!” Laung Izz Zarif sambil mengejar daripada belakang.

Nisa mempercepatkan langkah. Namun bahunya sempat ditahan. Nisa berhenti. Izz Zarif dipandang dengan riak bersalah.

“Apa yang kau tahu?” desak Izz Zarif.

Nisa mengeluh perlahan.

“Aku rasa elok kau lupakan dia, sebab itu yang dia mahu kau buat,” beritahu Nisa pahit.

Dahi Izz Zarif berkerut.

“Kenapa? Dia terima pilihan mama dia?” duga Izz Zarif tidak puas hati.

Nisa menggeleng.

“Dia rasa... dia dah tak sempurna untuk kau. Dan aku pun rasa macam itu juga,” beritahu Nisa lagi.

Izz Zarif merenung mata Nisa dalam-dalam. Kata-kata gadis itu sangat mengelirukan.

Nisa tidak selesa.

“Izz, kau carilah perempuan lain. Dia tak mahu kau tunggu dia lagi.”

“Atas alasan apa?” Izz Zarif terus merenung wajah Nisa biarpun gadis itu sudah mengalihkan pandangan. Dia mahukan jawapan yang logik.

“Sebab kau berhak dapat yang lebih baik.”

“Siapa yang tentukan semua tu?” Izz Zarif mula naik angin. Dia terasa dipermainkan selama ini. Gadis yang begitu dipercayai dan disayangi tergamak melukakan perasaannya begitu saja.

“Airis tak mahu kau sedih... dia kata kau baik dan dia tak layak untuk kau.”

“Dia pun dah mula rasa aku ni miskin? Hina? Itu alasannya aku tidak layak untuk dia?”

“Bukan... tolonglah hargai niat baik Airis tu. Kalau kau sayang dia, buatlah apa yang dia mahu.”

“Oh, itu kalau aku sayang dia. Kalau dia sayang aku, apa pula yang dia buat? Lari tinggalkan aku tanpa sepatah kata?”

“Tak Izz, Airis tak lari. Dia terpaksa pergi. Dia berkorban Izz. Dia nak kau bahagia.”

“Siapa yang paksa dia? Aku tak pernah paksa dia pergi.”

“Aku tahu.” Nisa tidak tahu bagaimana harus menjelaskan.

“Kalau dia mahu aku bahagia, dia mesti balik dan berada di sisi aku. Kalau dia pergi begitu saja, samalah dia mendera perasaan aku. Meskipun aku lelaki, hati aku tabah tetapi perasaan aku terguris juga, jiwa aku terseksa,” luah Izz Zarif. Hampir saja air mata lelakinya tumpah namun ditahan.

“Nisa, beritahu aku dia kat mana? Aku nak jumpa dia,” desak Izz Zarif. Dia tidak boleh terus menanti di situ.

Nisa menggeleng.

“Aku tak tahu, mama dia juga tak tahu. Dia pergi senyap-senyap.”

Izz Zarif termenung. Entah apa yang berlaku sehingga Airis nekad begitu.

“Izz... jangan salahkan Airis selagi kau belum tengok diri dia sekarang.”

Izz Zarif memandang Nisa. Tiada jawapan untuk permintaan gadis itu. Hatinya yang merindu sedang bersulam dengan rasa duka.

Qisya Nur Airis! Qisya Nur Airis! Qisya Nur Airis! Kenapa?

* * * * *

SELENDANG nipis yang terletak atas kepalanya dikemaskan. Sesudah itu baju kurung dari kain kapas yang terpasang indah di tubuhnya dirapi. Dia tersenyum memandang corak bunga mawar yang melengkar menghiasi baju kurung itu. Cantik, bisik hatinya.

Itu senyum pertama selepas jiwanya semakin teguh menerima kenyataan hidup. Siapa dia yang harus menolak takdir? dia hanya hamba, juga seorang pelakon di pentas dunia. Skripnya tidak boleh diubah tanpa izin pengarah. Maka, dia harus melakokan peranannya sebaik mungkin agar kisah yang bakal dipersembahkan dipentas pengadilan kelak cukup sempurna. Biarlah dia meneruskan kehidupan, berhadapan dengan detik-detik yang mampu dirai. Kerana masa depan kekal menjadi rahsia Tuhan yang tidak mampu diteropong.

Dia mempercepatkan langkah menuju ke sungai yang tidak jauh dari rumah Pak Munir. Batu besar yang sering menjadi tempat duduknya didapatkan. Kakinya sudah pun menyentuh air yang dinggin itu. Dibiarkan aura kesejukkan itu meresap ke dalam urat kakinya dan mengalir ke seluruh tubuh. Tenang dan segar. Hubungan baik manusia dan alam yang sering dia terlepas pandang. Sewaktu kasih sayang sesama manusia gagal memberikan kedamaian, kasih sayang alam adalah alternatif terbaik daripada membiarkan jiwa terus terpedaya dalam mencari kedamaian di kelab-kelab hiburan. Dibiarkan saja air sungai yang deras itu membelai hujung kakinya.

Ini lebih ikhlas, bisik hatinya.

Dia mendongak ke langit melihat beberapa ekor burung terbang merentasi udara. Indah. Syukur Alhamdulillah, ya ALLAH. Kerana telah mendorong aku ke sini, gumamnya dalam senyuman.

“Assalamualaikum... seronok ke sendirian kat sini?”

Sapaan itu membuatkan Airis menoleh ke belakang. Dia tersenyum. Memerhati pemuda itu menghampirinya.

“Waalaikumsalam,” jawabnya sebaik pemuda itu mengambil tempat atas batu di hadapannya.

“Bila balik?” tanya Airis dengan senyuman.

“Baru. Aku ke rumah, bapak dan ibu tak ada. Teruslah aku ke sini. Mencari damai untuk melepaskan lelah, menemani kau,” beritahunya sambil mengusik di hujung kata.

Airis tersenyum.

“Kenapa tak telefon dulu? selepas itu barulah balik,” tegurnya.

“Saja nak beri kejutan.”

“Kejutan hampa?” Airis mencebik.

“Mana ada hampa. Kaukan ada,” ujar pemuda itu tidak mahu kalah.

Airis tersenyum tawar. Dia tahu sudah berkali-kali pemuda itu cuba menyapa hatinya. Namun cintanya masih utuh buat Izz Zarif.

“Janganlah berharap lagi, cinta aku hanya untuk dia dan selamanya untuk dia,” luah Airis.

Pemuda itu tersenyum.

“Kau sangat istimewa Airis. Dalam ramai-ramai perempuan yang aku kenali, hanya kau yang benar-benar memukau aku.”

“Kenapa? Apalagi yang istimewanya aku? Aku tak mampu membahagiakan kau seperti perempuan lain, Kifly. Aku bukan saja cacat tetapi tak boleh memberi kau zuriat.” Airis menahan sendu di hati. Fahamlah lelaki, perempuan seperti aku tidak layak untuk mewarnai dunia kamu. Mata dipejamkan sesaat melalui hakikat kepahitan itu.

“Apa kau fikir mahunya lelaki daripada seorang perempuan hanya kesempurnaan fizikal saja? Kebolehan melahirkan juga?” persoal Kifly perlahan.

Airis mengukir senyum sumbing.

“Lelaki lain aku tak tahu Airis. Tetapi kalau diri aku sendiri... aku mencari seorang perempuan yang sempurna rohaninya, yang boleh membahagiakan jiwa aku. Yang boleh berkongsi rasa senang dan susah aku, yang boleh mendamaikan istana yang aku bina buatnya. Biarpun dia tidak mampu memberi zuriat. Aku mahu dia tahu, aku selalu bahagia. Kerana dia sudah melengkapi aku,” hujah Kifly memujuk hati Airis.

“Itu kata-kata sewaktu kau mabuk cinta. Tetapi bila hari demi hari kau semakin terasa kekosongan dalam istana yang kau bina... dan kau sedar kau memerlukan zuriat sebagai mengisi kekosongan itu. Apa yang akan kau buat? Kahwin lagi dan lukakan perasaan isteri yang sudah kau tatang sebagai minyak yang penuh sebelum itu?”

Kifly tersenyum.

“Kalau aku rasa memerlukan anak dalam kehidupan kita. Aku ambillah anak angkat. Ramai anak-anak yatim yang memerlukan pembelaan. Disebabkan aku menerima seorang isteri yang kurang sempurna untuk menyempurnakan hidupku. Maka, apasalahnya andai aku menerima beberapa orang anak yatim untuk menyempurnakan kehidupan mereka.

Yang membentuk kita ke arah kebaikan itu iman, Airis. Yang sering membuat kita tidak bersyukur itu nafsu. Hidup harus selalu redha dan berserah setelah kita yakin akan apa yang kita pilih,” hujahnya lagi.

“Habis, kenapa ramai lelaki mencari alasan untuk beristeri lagi setelah isteri mereka tidak dapat melahirkan zuriat?”

“Airis, lelaki lain aku tidak tahu apa alasan mereka. Namun kalau aku, aku mahu menilai kemampuan aku lebih dahulu. Menanggung dosa seorang isteri, seorang ibu, seorang saudara perempuan dan seorang anak perempuan pun belum pasti aku mampu. Bagaimana aku harus menambah bilangan wanita yang harus aku pertanggungjawabkan kelak?

Airis, rasulullah beristeri lebih daripada satu tanpa melukakan perasaan isteri pertamannya. Dia tidak pernah memadukan Siti Khadijah semasa hayatnya. Maka, andai kau sudi, aku juga akan berusaha seperti itu. Takkan menduakan diri kau selagi kau masih hidup.” Kifly semakin berani meluahkan suara hatinya. Dia tidak mahu bercinta-cinta dengan Airis. Dia mahu terus melamar anak angkat ayahnya itu sebagai isteri.

Airis terdiam. Apa harus dilakukan? Menerima lamaran Kifly dan melupakan Izz Zarif. Tidakkah dia mengkhianati lelaki itu nanti? Dia langsung tidak memberi peluang kepada Izz Zarif untuk mengetahui apa yang berlaku ke atas dirinya selama ini. Ah, sudah hampir setahun berlalu, pasti luka di hati Izz Zarif sudah sembuh. Izz Zarif lelaki, ramai perempuan mahukan dirinya. Pasti sudah ada yang merawat lukanya, bisik Airis pada dirinya.

Kifly dipandang seketika, semenjak kali pertama mereka berkenalan pemuda itu sangat menghormati dan sopan melayan dirinya. Ada ciri-ciri yang mirip dengan Izz Zarif. Namun kenapa hatinya tidak tetarik? Hatinya masih terus mencintai Izz Zarif. Benarkah dia yang tidak rela melepaskan Izz Zarif dan tidak mahu membuka pintu hatinya untuk cuba menerima Kifly. Ah, dia tidak punya jawapan!

“Kifly, takdir hidup aku buruk... sejak kecil kehidupan aku diatur mama. Arwah papa pula selalu sibuk dengan perniagaan, masanya untuk menyayangi aku sangat terhad. Tetapi aku tahu dia sayang sangat pada aku. Kali pertama Tuhan buat aku jatuh cinta dengan seorang lelaki yang sangat baik dan penyayang. Aku bahagia dan tengelam dalam cintanya. Sebelum aku kenali dia, kehidupan aku sangat bebas. Dialah yang banyak membentuk aku dan menyedarkan aku, betapa apa yang aku lakukan adalah sia-sia.

Sebelum ada dia, aku tak pernah bersolat, sebab aku tak tahu. Aku tak pernah berpuasa, sebab aku rasa tak penting. Aku Islam hanya kerana keturunan. Dia yang banyak memperbetulkan fahaman aku. Empat tahun kami bercinta, dia tak membuai perasaan aku dengan janji-janji manis tetapi dengan kata-kata nasihat. Kalau dihujung minggu pasangan bercinta keluar berpeleseran menonton wayang, dia tidak. Dia mengajar aku membaca al-quran di taman. Bagaimana aku harus melupakan dia, Kifly?” Airis menyapu air mata yang mengalir di pipinya.

Kifly terdiam. Saingannya bukan lelaki bandar yang pandai mengambil kesempatan. Lelaki yang dirindui Airis itu seorang pemimpin berbakat, pastinya nawaitu lelaki itu mendekati Airis sama sepertinya. Bukan sekadar mahukan cinta gadis itu tetapi mahu memperisterikannya.

“Airis... aku tidak mahu memberatkan jiwa kau lagi. Aku hanya bertanya andai kau sudi. Bohong andai aku tidak cemburu dan hampa mendengar cerita kau. Tapi bukan bererti aku mengaku kalah akan takdir hari ini. Aku takut untuk megatakan kau bukan dijodohkan untuk aku, kerana rahsia ALLAH itu diluar jangkaan.

Aku akan terus berdoa dan memohon hal terbaik terjadi antara kita. Suatu hari nanti bila soal jodoh kita sudah terjawab, aku akan menerima kekalahan diri dengan redha.” Kifly mengukir senyuman buat Airis sambil bangun dari duduknya. Dia tidak mahu berlama-lama berdua-duan di situ. Sumbang kelihatannya.

Airis mengangguk perlahan.

“Aku pulang dulu, mungkin bapak dan ibu sudah pulang. Lagipun esok ada kawan aku dari bandar nak datang ke sini. Dia berminat nak melukis pemandangan indah di kampung kita ni,” beritahu Kifly.

“Pak Munir dan Bibik Lilik pergi pekan, kau ambillah kunci ini.” Airis menghulurkan uncang kecil yang dibawanya.

“Hati-hati,” pesan Kifly sebelum melangkah.

“Kifly...” panggil Airis.

“Kenapa?”

“Pinjam net book kau. Dah lama aku tak berinternet,” pinta Airis sambil menunding jari kebelakang Kifly. Dia tahu beg yang disandang Kifly itu megandungi komputer riba mini.

Kifly tersenyum dan melonggarkan beg itu daripada melekap di bahunya.

“Jangan ceroboh fail yang lain,” usiknya sambil menghulurkan beg itu.

Airis mengangguk.

“Kalau terlepas dalam sungai bagaimana?” balas Airis mengusik.

“Memang betul-betul kau ditakdirkan menemani aku seumur hiduplah, sebab kena tolong aku cari semula data-data yang rosak itu,” balas Kifly sambil berjalan.

Airis tergelak.

“Tak baik mengambil kesempatan ke atas hamba yang lemah,” laung Airis sebaik Kifly semakin menjauh.

Kiffly tersenyum. Senang melihat Airis yang semakin pandai bergurau. Tidak muram seperti dulu lagi.

* * * * *

AIRIS berdiri di jendela yang terbuka luas itu sambil pandangan dibuang ke dada alam. Damai suasana desa itu. Berjam-jam sudah dia berkurung dalam bilik, sudahnya digagahkan diri juga untuk bangun daripada terus terbaring dan menunaikan solat zohor. Sesekali dia memang mengalami situasi begitu, mungkin saja kerana kesan kemalangan masa lalu yang membuatkan dirinya sesekali diserang sakit kepala yang teruk.

“Airis, kalau dah solat, makan dulu, ya. Kamu belum makan tengah hari lagi,” kedengaran suara Bibik Lilik melaung dari dapur yang bersebelahan dengan bilik Airis.

“Baik bik,” balas Airis dan segera meninggalkan bilik itu menuju ke dapur. Perutnya juga sudah mula minta diisi.

“Bibik tidak mahu makan sama?”

“Masih kenyang,” balas Bibik Lilik sambil asyik mengoreng cempedak.

“Sedap bau cempedak itu, bik,” puji Airis sambil menyenduk nasi ke pinggan.

Mmm...” setuju Bibik Lilik.

“Kifly ada bawa balik kawan. Lepas makan tengah hari tadi mereka dah keluar. Mungkin akan balik semula untuk minum petang. Tak tahu nak hidangkan apa, bibik goreng cempedak saja,” jelasnya sambil mengangkat cempedak yang sudah digoreng ke dalam penapis besi.

Airis mengangguk perlahan. Rugi rasanya tidak sempat berkenalan dengan kawan Kifly yang pandai melukis itu. Pasti destinasi mereka ialah sungai berhampiran.

“Bibik dulu-dulu kahwin lambat, ya?” tanya Airis sambil mencuci tangan.

“Sikit saja kamu makan?” tegur Bibik Lilik tidak menjawab pertanyaan itu.

“Perut saya dah masuk anginlah, bik. Tak boleh makan banyak-banyak, nanti sakit,” balas Airis sambil mencuci pinggan. Sesudah itu dia kembali ke meja makan untuk menghabiskan baki air kosong yang ditinggalkan tadi.

Bibik Lilik yang sudah selesai mengoreng cempedak mengambil tempat di hadapan Airis. Dia tersenyum.

“Ajal, pertemuan, jodoh dan rezeki tu tak dapat kita jangka,” tuturnya.

Airis sekadar memasang telinga.

“Pak Munir tu suami kedua bibik,” beritahunya.

Airis mengangkat kening tidak percaya. Rupaya wanita berusia tujuh puluh tahun itu mempunyai sejarah kehidupan dengan dua orang lelaki.

“Pertama kali dulu bibik berkahwin dengan seorang lelaki yang sangat mencintai bibik. Kami bahagia dan dikurniakan seorang anak perempuan. Ketika usia perkahwinan kami menginjak ke usia lapan tahun, dugaan melanda. Suami bibik yang kerjanya berniaga mula bermain cinta dengan wanita lebih tua daripadanya. Tanpa pengetahuan bibik, mereka bernikah.

Sesudah menikah madu bibik selalu menganggu kehidupan bibik, sudahlah suami bibik dikuasai sepenuhnya. Setahun kemudian bibik diceraikan tanpa alasan. Kerana kecewa bibik pulang ke rumah orang tua. Bekas suami bibik langsung tidak mempedulikan anak kami lagi. Sehingga anak kami demam panas dan meninggal kerana merinduinya. Kecewa yang semakin bertambah membuat bibik nekad meninggalkan kampung dan merantau.

Bibik sampai ke sini dan bekerja sebagai tukang cuci dirumah orang kaya. Keluarga itu sangat baik dan melayan bibik seperti keluarga sendiri. Lima belas tahun bibik hidup dalam keluarga tu, melihat anak-anak majikan bibik membesar dan berjaya.” Bibik Lilik tersenyum mengimbas kenangan lalu. Pasti hatinya puas. Biarpun kehilangan seorang anak, tetapi di sini dia dikurniakan lima orang anak majikannya untuk dibesarkan dengan penuh kasih sayang.

“Ketika anak sulung majikan bibik berkahwin. Bibik sudah berusia empat puluh tahun dan ketika itu juga bibik berkenalan dengan Pak Munir. Tidak lama kemudian kami berkahwin. Biarpun Pak Munir tidak mampu memberi kekayaan, dia lelaki yang baik dan banyak membimbing bibik dalam soal agama.” Bibik Lilik tersenyum lagi. Pasti hatinya sudah terubat sepenuhnya daripada kelukaan masa lalu.

Airis tersenyum nipis. Hatinya merindui Izz Zarif lagi. Izz Zarif juga tidak kaya tetapi banyak membimbing dirinya dalam soal agama.

“Nak Airis, percayalah... setiap musibah yang menimpa kita tu bukan kecelakaan atau kehinaan, tetapi penyucian. Tuhan maha kaya, dia menduga supaya jiwa kita teguh dan tak mudah berputus asa, yakin akan kebaikan yang dijanjikan-NYA.

Biarpun Airis kelihatan tidak sempurna seperti ini, tetapi pecayalah satu hari nanti Airis akan dipertemukan dengan lelaki yang memandang Airis lebih sempurna berbanding seorang perempuan yang sempurna.”

Airis tersenyum tawar. Teringat Kifly.

“Kalau saya jadi menantu bibik, bibik terima?” ujinya. Dia sudah menemui lelaki yang sudi menerima dirinya seadanya tetapi tidak yakin keluarga lelaki itu akan menerimanya.

Bibik Lilik terdiam, dipandangnya wajah Airis dalam-dalam. Hatinya berkata, Ibu Mana yang mahukan anak lelakinya mengalas beban beristerikan perempuan tidak berkaki dan sudah tidak boleh memberi zuriat itu? dia mengeluh sendiri. Mudah berkata-kata. Namun, saat terkena pada diri sendiri, dia pun menolak.

Airis tersenyum, mengerti akan kebisuan wanita itu.

“Bibik janganlah serius, saya hanya bergurau. Lelaki seperti Kifly itu berhak mendapat pasangan yang sempurna,” ujar Airis.

Bibik Lilik memandang sayu wajah Airis. Kasihan gadis itu.

“Maafkan bibik, Airis. Bibik bukan menolak kamu, tetapi masih mengharapkan yang terbaik buat Kifly,” bahu gadis itu disentuh mesra.

“Saya faham, bik.”

“Biar begitu, andai kamu yang ditakdirkan menjadi jodoh Kifly nanti. Bibik takkan menolak,” dipeluk pula tubuh kurus Airis.

* * * * *

DARI jauh Airis memandang susuk tubuh dua orang lelaki yang sedang asyik berbual sambil yang seorang lagi melukis. Airis menghampiri mereka daripada belakang secara perlahan-lahan. Sebaik menghampiri, dia tersenyum. Saja mahu menyibuk dan melihat kehebatan kawan Kifly melukis. Daripada belakang susuk kedua-duanya kelihatan sama saja. Kurus. Airis berdehem perlahan, memberi tahu akan kehadiriannya di situ. Kifly menoleh sedangkan kawannya masih terus melukis.

“Woi, dah sihat ke?” tegur Kefly.

Airis tersenyum dan melangkah perlahan menghampiri Kifly.

Kawannya disebelah hanya memasang telinga, tersenyum dan meneka dalam hati bahawa itu adalah adik angkat Kifly yang asyik diceritakan kebelakangan ini. Dia dan Kifly mula menjadi rapat setelah beberapa kali bertemu di studio lukisan tempat mereka belajar melukis. Hobi baru yang menemukan kawan baru.

“Kepala dah tak sakit lagi ke?” tanya Kifly mengambil berat.

Airis yang berdiri tidak jauh daripadanya mengangguk dan tersenyum.

“Orang tanya, jawab! Siapa yang faham bahasa bisu macam tu?” protes Kifly tidak puas hati.

Airis tersenyum lagi.

Kifly mula geram melihat Airis berwajah nakal.

“Airis!” Tegur Kifly separuh menjerit.

Pensil arang yang dipegang kawannya terus terlepas daripada tangan. Jantungnya tersentak mendengar nama itu dijerit Kifly.

Kifly tergelak lucu. Sangkanya kawannya itu turut tersentak mendengar jeritannya. Dia cepat-cepat menunduk ke bawah dan mengutip pensil itu semula.

Kawannya terus berpusing ke belakang, ingin melihat wajah gadis yang dijerit Kifly tadi. Matanya bersatu dengan gadis itu. Sedetik suasana membeku.

Kifly yang sudah berdiri, masih ketawa kecil. Pensil di tangannya diserahkan dalam genggaman tangan kawannya.

Kawannya mengenggam pensil itu sambil melangkah kehadapan menghampiri Airis yang kaku berdiri.

“Oi, kau kenapa?” tegur Kifly. Pelik melihat kawannya itu seperti terpukau melihat Airis. Dia tahulah Airis itu cantik.

Airis yang serba salah menundukkan mukanya sebaik kawan Kifly berdiri di hadapannya.

“Qisyah Nur Airis?” sebut lelaki itu tidak percaya.

Kifly yang berada tidak jauh terkejut apabila nama penuh Airis disebut kawannya.

Pasti mereka saling kenal, teka hatinya. Rasa kurang enak mula menjadi debar di hatinya.

Airis mengangguk sambil menahan sendu di hati.

Lelaki itu memandang susuk Airis. Tiada yang kurang, lagi bertambah adalah. Tiba-tiba dia tersedar apa yang kurang pada diri Airis melalui tongkat aluminium yang menjadi topang di bawah ketiak gadis itu. Dia meneliti sekali lagi. Kaki. Kaki Airis hanya ada satu. Dia mengangkat muka, wajah terkejut dipamerkan. Hatinya melonjak ingin tahu, apa yang sudah berlaku?

“Kau berdua berkenalan ke?” celah Kifly yang belum faham dengan situasi dua orang manusia itu.

Airis menoleh kepadanya.

“Kifly, dialah lelaki itu. Izz Zarif,” beritahu Airis perlahan.

Kifly terkejut, tidak pasti apa yang harus dilakukan. Dia menarik nafas dan faham dengan isyarat mata Airis yang meminta ruang antara mereka. Kifly mengangguk. Dia sendiri memerlukan ruang untuk memujuk diri. Kehadiran Izz Zarif, sahabat barunya sudah cukup untuk memberi jawapan bahawa dia tidak boleh mengharapkan jawapa positif dari Airis lagi.

“Airis...”

Airis memandang Izz Zarif dan menggeleng. Memberi isyarat supaya lelaki itu diam. Dia tahu Izz Zarif menginginkan jawapan dan dia akan menceritakan segalanya. Tiada guna melarikan diri lagi kerana dia tidak berdaya.

* * * * *

IZZ ZARIFmasih termenung memikirkan cerita Airis. Langsung tidak menyangka Airis melalui semua itu sendiri. Sakit perasaannya mengenagkan apa yang sudah dilalui Anis. Wajah kekasih yang dirindui itu ditatap lagi. Dia pasti akan membahagiakan Airis selamanya sehingga gadis itu terlupa akan kesedihan dan kepiluan yang pernah dilaluinya.

“Airis, lepas ini kita terus nikah, ya? Abang tak mahu kehilangan Airis lagi,” pinta Izz Zarif memujuk.

“Mama?”

“Kenapa Airis nak fikirkan dia lagi? Biarlah dia dengan hidup dia, kita dengan hidup kita,” marah Izz Zarif. Perasaannya tertekan apabila Airis masih memikirkan soal Tengku Nadirah.

“Sebab dia... mama Airis. Tanpa restu dia, nanti kita takkan bahagia,” tegas Airis masih berpegang dengan pendiriannya yang mahukan restu Tengku Nadirah.

“Sudah seteruk ini Airis berkorban, Airis masih fikirkan dia? Abang tak fahamlah hati Airis ni... Baik sangat!”

“Kalau abang dah tak faham Airis. Jangan ambil Airis sebagai isteri abang lagi,” rajuk Airis.

“Airis!” Izz Zarif sedikit meninggi suara. Tidak suka mendengar kata-kata berbaur ugutan itu.

“Airis cacat abang! Apalagi yang abang mahukan dari Airis?” marah Airis sayu.

“Hummm...” tidak terdaya lagi rasanya Izz Zarif mahu memujuk dan meyakinkan Airis bahawa bukan fizikal gadis itu yang dicintai, tetapi hatinya yang lurus dan sabar.

“Kalau itu yang sayang mahukan. Baiklah,” setuju Izz Zarif. Tiada guna dia bertegang leher, lebih elok mengalah dan mengembirakan Airis. Dia sedar Airis masih belum boleh menerima keadaan diri yang kekurangan dengan sepenuhnya.

* * * * *

LAMA tubuh Airis dipeluk. Dia merindui gadis itu. Diciumnya ubun-ubun Airis beberapa kali. Namun sebaik terlihat Izz Zarif berdiri di belakang Airis, riak wajahnya berubah. Dia tidak suka lelaki itu. Dijelingnya dengan muka menyampah.

“Airis jangan beritahu mama, dia yang sorokan Airis selama ini,” tegur Tengku Nadirah sambil meleraikan pelukannya.

Airis menoleh kepada Izz Zarif seketika. Tengku Nadirah dipandang semula.

“Tidak, ma. Izz yang pujuk Airis balik.”

Tengku Nadirah mengherotkan mulutnya. Tidak percaya.

“Ma, Airis dan Izz mahukan restu mama,” pinta Airis perlahan. Bukan dia takut dengan kemarahan Tengku Nadirah tetapi lebih kepada tidak mahu hati wanita itu tersentak.

“Airis... kamu sedar atau tak apa yang kamu cakap ni? cuba kamu cermin diri kamu betul-betul, kamu tu... hummm...” Tengku Nadirah tidak mahu menghabiskan kata-katanya. Dia tidak mahu menyinggung perasaan Airis.

“Puan, saya ikhlas mahu memperisterikan Airis.”

“Ikhlas?” Tengku Nadirah ketawa mengejek.

“Kau fikir aku tak tahu apa yang kau nak?” jerkahnya kemudian.

“Tidak lain, kau hanya mahukan harta Airis!” Tuduhnya.

Izz Zarif menggeleng.

“Ma, kalau soal harta yang menghalang restu mama. Airis akan minta peguam tukarkan semua harta Airis atas nama mama.”

“Qisyah Nur Airis, mama hanya mahu menjaga kepentinggan kamu. Mama tak mahu orang lain sewenangnya memperbodohkan kamu. Mama sendiri punya harta yang satu hari akan diwarisi kamu. Buat apa mama mahukan harta kamu?” marah Tengku Nadirah.

“Bukankah mama takut Izz mengambil kesempatan atas apa yang Airis ada?”

Tengku Nadirah terdiam.

“Baiklah mama setuju Airis bernikah. Tapi... selepas pemindahan harta Airis dibuat atas nama mama,” ujar Tengku Nadirah. Dia mahu lihat, apakah Izz Zarif masih mahu memperisterikan anaknya yang sudah tidak punya apa-apa itu.

Airis mengangguk perlahan.

Tengku Nadirah menjeling menyampah.

* * * * *

MAJLIS yang berlangsung secara ringkas itu menyaksikan indahnya penyatuan dua hati dalam sebuah perhubungan suci. Airis kelihatan gembira sambil tersenyum di sisi Izz Zarif. Sesekali beberapa kawan-kawan rapat mereka meminta pasangan pengantin itu merakam gambar bersama.

Majlis indah itu cepat benar berlalu. Meninggalkan pasangan yang kepenatan itu berehat dalam bilik yang berhias indah. Airis menghampiri Izz Zarif yang duduk tersandar di kepala katil sambil membaca buku.

“Abang...” sapanya manja.

“Emm...”

“Airis nak cakap sesuatu.”

“Cakaplah,” suruh Izz Zarif sambil matanya masih melihat apa yang dibacanya.

Airis menarik buku itu lalu menutupnya.

Izz Zarif tersenyum dan memandang Airis.

“Cakaplah wahai isteriku, telinga ini sentiasa ada untuk mendengar setiap dari apa yang mahu sayang sampaikan,” ujar Izz Zarif sambil tangannya menarik bahu Airis supaya bersandar ke dadanya.

Airis menurut.

“Abang...”

“Ya.”

“Abang tahukan rahsia Airis?”

“Rahsia yang mana? Ada banyak.”

“Yang paling penting.”

Izz Zarif berfikir seketika.

“Abangkan tahu Airis tak boleh beri abang anak,” ujar Airis ketika terasa lambat sangat Izz Zarif berfikir.

“Sayang...”

“Abang...” potong Airis.

“Satu hari nanti keluarga abang akan sedar juga yang Airis ni tak boleh beranak! Kita tak boleh simpan semua ni selamanya seperti kaki palsu yang terpasang di kakai Airis.”

Izz Zarif memeluk erat tubuh Airis.

“Ini perkahwinan kita, keluarga kita, hak abang. Semua orang boleh cakap apa yang mereka mahu. Tetapi kebahagian abang, abang yang tentukan. Mulai malam ni abang tak mahu Airis pedulikan apa yang orang lain akan cakap. Airis hanya perlu dengar apa yang abang cakap dan mahu saja, sebab suami Airis hanya abang. Bukan mereka yang berlagak mahu menjadi hakim dalam hal rumah tangga kita,” tegas Izz Zarif.

“Abang pun nak jadi rasulullah yang menyayangi Siti Khadijah sehingga ke akhir hayat isterinya,” pujuk Izz Zarif.

Airis mengangkat badanya daripada dada Izz Zarif. Wajah Izz Zarif direnung.

“Kenapa?” tanya Izz Zarif.

“Macam pernah dengar ayat tu,” beritahu Airis.

“Memanglah, abang pinjam dari Kifly,” beritahu Izz Zarif bersahaja.

Airis mencebik.

“Tetapi abang betul-betul memaksudkannya,” jelas Izz Zarif.

“Entah apalagilah yang Kifly mengarut dengan abang tu,” rungut Airis sambil bersandar semula ke dada Izz Zarif. Bibirnya dimuncungkan.

Izz Zarif tersenyum sambil mencium kepala Airis.

Qisyah Nur Airis binti Abdullah. Berbahagialah dalam dakapan cintaku, kerana aku mahu selamanya kau begitu. Dan aku mencintaimu kerana ALLAH. Maka, sekarang kau adalah amanahku, bisik Izz Zarif dalam hati. Diciumnya lagi kepala Airis.

Airis tersenyum dimanja begitu.

Ya ALLAH, ya Tuhanku... terima kasih kerana telah memujuk hati ini dengan mengizinkan aku menjadi miliknya. Kerana telah mengurniakan seorang lelaki yang baik hati dan imannya. Bimbinglah hatiku untuk taat kepadanya disamping aku terus mentaati perintahmu. Airis memejamkan matanya. Untuk seketika episod duka dalam kehidupannya terhenti. Dan sebagai manusia dia sedar, satu ketika dia akan diuji lagi. Semoga jiwanya akan terus kuat melalui liku-liku hidup.

1 Ramadhan 1433 – 21 July 2012 – Sabtu.

Edit : 3 april 2013

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.