Rizal memerhatikan gadis yang baru datang ke rumah mereka dari jauh. Hatinya tiba-tiba diterpa satu perasaan aneh tatkala wajah itu dipandang. Wajah gadis itu mengingat kan dia akan peristiwa lima tahun yang lalu.
Rizal pernah mempunyai teman wanita yang bernama Adyani. Mereka berkawan sejak sekolah lagi hinggalah masing-masing melanjutkan pelajaran ke menara gading. Namun Rizal terpaksa berhenti kerana masalah keluarga dan kewangan.
Selepas Rizal mengambil keputusan untuk berhenti belajar dan mencari kerja, ketika itulah Adyani memutuskan perhubungan mereka.
“Maafkan Yani Zal. Perhubungan kita perlu dihentikan setakat ini saja.” Adyani membuat keputusan untuk memutuskan perhubungan mereka dengan tiba-tiba.
“Atas alasan apa Yani? Kau minta aku setia. In Sha Allah, aku akan setia selagi nyawa dikandung badan. Aku sayangkan kau Yani! Takkan, takkan kau sanggup nak putuskan macam tu saja?” Rizal sedaya upaya cuba mengawal sebak yang mula hadir. Hatinya sakit, kerana dia menurut segala permintaan Adyani, malahan Adyanilah satu-satunya gadis yang dia sayang dan dia cinta sepenuh hati.
“Maafkan Yani Zal. Yani tak mampu nak teruskan lagi. Yani...Yani...” kata-kata Adyani terputus di situ. Dia sudah tertunduk merenung bumi yang sedang dipijaknya kini.
“Ad!...” dari jauh terdengar suara seorang lelaki. Adyani dan Rizal menoleh ke arah suara itu serentak. Bibir Adyani sudah mengukirkan senyuman sedangkan hati Rizal sudah tertanya-tanya siapakah gerangan lelaki itu.
“Zal, ini suami Yani. Yani dah kahwin Zal dan sekarang Yani sedang mengandungkan anak kami. Sebab itu Yani dalam keadaan tak sihat macam ni. Takkan Zal tak perasan?” Adyani bersuara ceria sambil memegang erat tangan lelaki yang sudah ada di tepinya.
Lidah Rizal sudah kelu. Rasa tidak percaya dengan apa yang baru didengarnya. Mereka sudah berjanji untuk saling setia tapi, Adyani sudah menghempas kesetiaan itu hingga jatuh berkecai. Hati Rizal juga turut berderai dan teramat sakit disaat ini.
*******
“Abang! Ibu panggil, masuk makan.” Rizal mendongak pantas. Suara adiknya mengejutkan lamunannya. Dia pantas mengelap air matanya yang sempat menjamah pipinya. Mengenangkan cinta pertamanya yang tak kesampaian, membuatkan hatinya kembali terluka.
Perlahan-lahan Rizal mengorak langkahnya masuk ke dalam rumah. Suara ibu dan adiknya berbual dengan tetamu mereka kedengaran agak riuh di pendengaran Rizal. Entah apa yang mereka bualkan?
“Hah..Zal, duduk. Kita makan sekali. Makan ramai-ramai ni baru sedap. Ni, ibu pun ada masakkan lauk kesukaan Zal.” ramah Puan Sarimah mempelawa anak sulungnya itu. Rizal hanya tersenyum namun senyumannya mati bila matanya bertemu dengan mata tetamu mereka. Wajahnya dibekukan tanpa ada keinginan untuk mengukirkan senyum ramahnya buat gadis itu.
“Aira..makanlah. Jangan malu-malu. Buat macam rumah sendiri.” Puan Sarimah mempelawa pula tetamu mereka yang nampak agak tersipu-sipu sejak Rizal masuk.
“Ek eleh..malu dengan abang aku ler tu? Tadi okey jer.” Rozie pula bersuara bertujuan mengusik temannya itu. Semakin merah wajah Aira jadinya.
“Tak payah nak malu Aira. Rizal takkan makan orang pun. Kalau Aira malu, dia ni lagi pemalu dengan perempuan. Umur dah dekat 30, kahwinnya tak juga. Dah ramai anak dara yang mak cik nak pinang untuk dia. Belum apa-apa lagi dia dah tolak.” Rizal menatap wajah ibunya dengan rasa tak puas hati. Alang-alang tersentap dengan kata-kata ibunya, Rizal macam nak keluar saja dari rumah dan takkan balik lagi.
“Agaknya, abang aku ni nak tunggu kau tak Aira?” Rozie menyakat Aira lagi. Rizal sudah menjeling tajam ke arah Rozie. Cukuplah hatinya terluka dengan cinta pertamanya. Dia takkan jatuh cinta lagi sebelum dikahwinkan dengan mana-mana perempuan. Dia dah serik dikecewakan.
“ Ibu, senang-senang, ibu pinangkan Aira sajalah untuk abang. Ada juga teman untuk Ojie ajak bergaduh nanti.” Rozie masih terus menyakat Rizal dan Aira. Rizal mendengus geram. Seleranya terus hilang. Siapa Aira ni sebenarnya? Kenapa wajahnya seiras dengan Adyani? Hati Rizal mendongkol geram dan satu persoalan singgah di benaknya.
Ya! Aira mirip Adyani. Dengan kening dan matanya, hidung dan segalanya yang Aira miliki memang seiras Adyani. Kerana inilah hati Rizal tidak tenteram selepas menatap wajah itu.
“Apa? Takkan nak bergurau sikit pun nak marah?” perasan dengan renungan tajam Rizal kepadanya, Rozie bersuara lagi.
“Makan sajalah. Banyak songeh pula.” Rizal bersuara tegas. Geram betul dia dengan gelagat Rozie yang sudah mencanang untuk menyatukan dia dan Aira tanpa Rozie tahu hati Rizal sudah kembali berdarah dengan hanya memandang wajah Aira.
“ Aira berapa beradik? Mak dengan ayah ada lagi?” sambil makan Puan Sarimah mengajak Aira berbual. Rizal juga dalam diam sedang memasang telinga untuk mendengar jawapan Aira.
“Tiga, Aira anak bongsu, Along dah kahwin tapi angah…” Aira tak menyambung kata-katanya. Dia berjeda lama sambil menguis nasi di dalam pinggan.
“Angah dah tak ada. Dah lima tahun angah meninggal. Sekarang ni kami tinggal dua beradik saja. Aira dengan along. Mama dengan papa Aira, ada lagi mak cik, cuma sekarang ni mereka banyak menghabiskan masa dengan mengembara melihat negara-negara Islam.”
Aira bersuara lemah. Ada sendu ketika dia menyebut tentang angahnya. Ibu dan bapanya keluar mengembara selepas angahnya meninggal. Aira dan abangnya dititipkan di rumah neneknya di kampung. Sekarang nenek dan atuk mereka pun sudah tiada. Aira tinggal pula dengan abangnya selepas abangnya berkahwin.
“Negara-negara Islam? Hobi ke tu?” Puan Sarimah menyoal lagi. Macam menarik saja.
“Sebenarnya mama dan papa tak dapat menerima kehilangan angah. Untuk menghilangkan kesedihan mereka perlukan ketenangan. Jadi mereka memilih untuk merantau ke tempat orang sambil mencari ilmu.” Aira bercerita lagi sambil menarik nafas dan melepaskannya.
Sebetulnya, Aira kecewa dengan tindakan ibu dan bapanya. Kerana kematian kakak keduanya, ibu dan bapanya mengabaikan dia dan abangnya. Mungkin ibu dan bapanya tidak sedar kesilapan yang telah mereka lakukan berulang kali.
Hidup dalam dunia ini hendaklah saling menghargai di antara satu sama lain, terutamanya orang di sisi. Kesilapan paling besar ibu dan bapa Aira lakukan, bila terlalu bersedih dengan kehilangan seorang anak dan mengabaikan dua orang anak yang masih hidup.
“Angah kau tu lelaki ke perempuan?” Rizal terus bertanya bila Aira terdiam lama. Hilang sabar Rizal bila apa yang ingin dia dengar tak kesampaian.
“Aih..abang macam berminat saja? Nak tanya pasal angah Aira ke atau nak tanya pasal Aira?” Rozie mengiat abangnya lagi sambil melebarkan senyuman. Dan Rizal sudah menjeling tajam ke arahnya.
“Kau diamlah Ojie. Kau apa tahu.” Rizal menayangkan wajah seriusnya sambil memberi amaran kepada Rozie. Puan Sarimah pula sudah memandang pelik ke arah Rizal. Sebelum ni Rizal tak pernah mencelah kalau mereka berbual begini terutama ketika sedang makan. Rizal menjadi diam sejak lima tahun yang lalu tanpa sebab.
“Kak Adyani meninggal kerana barah otak. Dia…”
“Sekejap!.. Ulang sekali lagi nama yang kau sebut tu!” Aira baru nak menyambung ceritanya Rizal sudah mencelah lagi. Jantungnya bagaikan berhenti berdenyut. Pinggan nasi sudah ditolaknya ke tepi dan Rizal membasuh tangannya tanpa menghabiskan nasi di dalam pinggan.
“Kak Adyani…” dalam terpinga-pinga Aira menjawab juga. Air matanya sudah bergenang bila nama kakaknya disebut berulangkali.
“Nur Adyani Binti Lokman Hakim?” Rizal terus menyoal dan Aira menjatuhkan kepalanya perlahan-lahan. Air mata yang sudah mengalir di pipi disapunya.
“Dia sakit apa, kau cakap tadi? Barah otak? Bila? Bila dia meninggal?” Rizal sudah bersuara histeria. Sesi makan tengahari menjadi gempar seketika. Puan Sarimah sudah tercengang melihat gelagat Rizal. Aira dengan Rozie juga turut melopong mulut melihat keadaan Rizal ketika ini.
“Lima tahun dulu...masa tu angah..” belum habis lagi ayat - ayat yang Aira ungkapkan, Rizal sudah melangkah laju dan menghilangkan diri di dalam biliknya. Puan Sarimah, Rozie dan Aira saling berpandangan di antara mereka.
*****
Rizal sudah berteleku di atas katil. Hatinya merusuh. Mindanya menafikan apa yang baru didengarnya tadi.
“Tak mungkin! Tak mungkin! Yani belum mati. Itu bukan Yani. Aku tahu, itu bukan Yani!” Rizal bermonolog sendirian. Imbasan kenangan lima tahun lalu kembali lagi menerjah ingatannya.
Lima Tahun Lalu….
“Aku benci kau Yani! Kau suruh aku setia, tapi kau.. Apa maksud semua ni Yani? Apa?” selepas Adyani menerangkan keadaan sebenar bahawa dia sudah bersuami, Rizal mengamuk sakan. Selama ini dia begitu yakin bahawa Adyani juga sayangkan dirinya. Rizal begitu yakin dengan cinta Yani terhadapnya.
“Zal, jodoh, ajal dan mautkan di tangan Allah…”
“Sudahlah! Kau jangan nak cari alasan lagi. Aku sedarlah, aku ni siapa. Aku tahu, aku ni tak layak untuk kau kan? Itu alasan kau yang sebenarnyakan?” Rizal mematahkan kata-kata Adyani. Hati Rizal benar-benar terluka dipermainkan oleh satu-satunya wanita yang dia cinta.
“Bukan macam tu Zal. Yani…”
“Ahhh..sudahlah! Hei perempuan..kau dengar sini ya, kau takkan bahagia selepas apa yang kau dah buat ni. Kau permainkan perasaan aku. Kau khianati kesetiaan aku. Kau tunggu..kau pasti dapat balasannya..aku takkan benarkan kau bahagia hingga ke akhir hayat kau..” Rizal menghamburkan kemarahan sepuas hatinya. Adyani sudah jatuh terduduk dalam sendu yang semakin menjadi-jadi. Kata-kata Rizal menghancur lumatkan hatinya.
“Eh bro..kau cakap bebaik sikit…” lelaki yang diperkenalkan sebagai suami Adyani turut masuk campur mendengar kelancaran kata-kata Rizal.
“Pergi mampuslah kau berdua. Lebih baik kau pergi matilah Yani! “ sebelum melangkah pergi meninggalkan Adyani dan lelaki itu, sempat pula Rizal meluahkan kemarahannya yang masih bersisa.
****
“Zal, ibu ni. Kenapa ni Zal? Bukalah pintu ni Zal.” Puan Sarimah yang kehairanan dengan tingkah laku Rizal cuba memujuk Rizal agar keluar dari bilik. Sejak tengahari tadi Rizal berkurung di dalam bilik. Yang kedengaran hanya barang-barang yang berlaga dan jatuh ke lantai.
“Zal…” Puan Sarimah masih tak berputus asa.
“Kenapa dengan abang tu ibu? Dah macam orang kena rasuk ja.” Rozie memberi komen kepada ibunya. Malu dia dengan gelagat abangnya yang mengamuk secara tiba-tiba. Tentu Aira terperanjat melihat gelagat abangnya itu.
“Entahlah…” sepatah saja jawapan yang keluar daripada mulut Puan Sarimah. Dia rasa tentu ada kena mengena dengan cerita Aira tadi? Puan Sarimah berteka- teki di dalam hati.
******
Buat Muhammad Rizal Bin Rizqie..
Zal...maafkan Yani!
Mungkin, sewaktu Zal membaca surat ini, Yani sudah tiada lagi di atas muka bumi ini. Yani sakit Zal. Yani menderita barah otak selama ini. Bila Yani dapat tahu semuanya sudah terlambat Zal.
Zal….Sehari selepas kita berjanji untuk setia sehidup semati dan melafazkan kalimah cinta kita, Yani pengsan dan dimasukkan ke hospital. Selepas diperiksa, doktor mengesahkan barah Yani sudah berada di tahap empat. Zal ingat tak? Setiap kali kita keluar Yani akan telan ubat tahan sakit kerana Yani anggap Yani sakit kepala kerana stress belajar. Zal tahukan, mama dan papa Yani selalu paksa Yani untuk belajar dan menaruh harapan agar Yani menjadi seperti along yang bijak dan belajar di luar negara. Semua perkara itu yang membuatkan Yani salah faham dan menyangka sakit kepala yang Yani derita itu hanya sakit biasa.
Zal…Yani tak pernah mengkhianati cinta kita seperti yang Zal katakan. Yani tak pernah kahwin Zal. Lelaki yang Zal jumpa hari tu adalah abang kandung Yani. Hanya ini saja caranya untuk membuat Zal membenci Yani tanpa Yani duga Yani akan teruk terseksa selepas itu.
Zal...Sakitnya hati Yani bila mendengar ungkapan Zal hari itu. Zal..kata-kata Zal itu benar-benar buat jiwa Yani mati walau jasad Yani masih bernyawa. Yani tahu, cara Yani memperkenalkan along sebagai suami Yani tu telah menghancurkan hati Zal tapi kata-kata Zal itu….Ya Allah..hanya Dia yang tahu betapa parahnya luka Yani ini. Sakitnya melebihi rasa sakit yang Yani deritai.
Rizal menghentikan bacaannya. Air mata lelakinya yang sudah mengalir di pipi dilap rakus. Warkah terakhir dari Adyani yang diberi kepadanya oleh Ammar abang sulung Adyani selepas Rizal berjumpa dengannya seminggu selepas kebenaran terbongkar ditatap dengan wajah sayu dan antara percaya dan tidak.
Rizal yang menghadapi kejutan akibat mendengar berita kematian Adyani menyoal Aira dan ingin bertemu lelaki yang bergelar suami kepada Adyani namun selepas Aira memberitahu Adyani tidak pernah berkahwin hingga dia menghembuskan nafasnya yang terakhir. Rizal menjadi hairan dan mula menyiasat. Aira pula pulang bercerita kepada Ammar dan warkah yang ditinggalkan oleh Adyani akhirnya sampai ke tangan Rizal.
Maafkan Yani Zal!
Yani tahu, Yani juga bersalah dalam hal ini kerana tidak berterus terang dengan Zal. Ketika ini satu saja yang terlintas di fikiran Yani. Biarlah Zal hidup bahagia tanpa Yani. Zal tentu akan lebih menderita kalau Zal kehilangan Yani bila Zal tahu Yani sudah tiada lagi di dunia ini. Sebab itulah Yani berpakat dengan along sebegitu. Hari terakhir kita berjumpa, sebenarnya Yani baru selesai melakukan kimoterapi. Kepala Yani masih pening-pening lalat lagi dan perut Yani pun terasa mual. Yani mendapat idea untuk terus menipu Zal kerana keadaan Yani ketika itu.
Zal..maafkan Yani untuk kali terakhir ini. Yani mohon Zal hiduplah dengan bahagia walaupun tanpa Yani. Anggaplah antara kita memang tiada jodoh. Allah mengetahui segalanya Zal. Kita nak apa yang kita mahu tapi Allah hanya akan beri apa yang hambaNYA perlu.
Zal...jangan disia-siakan hidup Zal di dunia ini. Binalah hidup baru walaupun tanpa Yani di sisi. Cinta kita takkan mampu mengatasi cinta Allah terhadap hamba-hambaNYA. Redhalah Zal menerima ketentuan takdir ini. Andai masih ada rasa cinta dan sayang di hati Zal terhadap Yani, sentiasalah doakan Yani. Hanya itu saja yang Yani perlukan.
Zal..kita ini hanyalah seorang hamba. Kita milik Allah Zal! Kita tak tahu hayat kita ini sampai bila. Kalau boleh Yani pun nak hidup bahagia di sisi Zal. Lelaki yang pernah membuat Yani bahagia. Yang Yani cinta sepenuh hati tapi Yani takkan dapat menolak ketentuan takdir.
Zal...mencintai seorang insan biarlah seadanya, kerana yang bernyawa pasti akan pergi dijemput Ilahi. Cintailah Allah sedalamnya dan seikhlasnya kerana Allah jua yang kekal abadi.
Zal..Cukuplah sampai di sini warkah terakhir ini. Sekali lagi Yani mohonkan kemaafan dari Zal. Maafkan kesalahanku sayang! Relakan pemergian Yani ini. Semoga Allah akan temukan kita di Jannah sana. Kalau bukan sebagai pasangan tapi kita tetap saudara seagama iaitu Islam.
Salam sayang penuh kerinduan..
Nur Adyani Binti Lokman Hakim.
Rizal melipat kembali surat terakhir itu sambil menyapu air matanya. Maafkan aku juga Yani kerana melukakan hatimu dulu. Aku juga bersalah Yani kerana terlalu taksub dengan cinta hingga menjadikan hatiku buta dan tak dapat menerima kenyataan bahawa kau bukan ditakdirkan untukku.
Aku menyesal Yani kerana kata-kata kesatku dulu tapi sayangnya masa takkan dapat diundur kembali. Kau sudah tiada untuk aku pohonkan kemaafan itu. Maafkan aku Yani!
Maafkan Kesalahanku Sayang!