Home Cerpen Lucu Suamiku Lembab, PLUS Pemalu Tahap Kritikal!
Suamiku Lembab, PLUS Pemalu Tahap Kritikal!
Szaza Zaiman
25/2/2016 08:10:14
22,422
Kategori: Cerpen
Genre: Lucu

Lela termenung lama di atas beranda rumah ibunya. Hari ini sudah genap setahun ulangtahun perkahwinan dia dan Azim. Mereka berkahwin kerana kehendak orang-orang tua. Konon-kononnya mereka sudah dijodohkan sejak kecil lagi.

Pada mulanya Lela ingin menolak kerana tidak mengenali Azim tapi selepas dipujuk ibunya, dia mengalah juga dan nekad untuk menerima Azim seadanya. Setiap manusia mempunyai kekurangan dan kelebihan masing-masing.

Namun, dia hanya merancang namun Allah Maha Mengetahui segalanya. Setahun berlalu, Lela masih kekal dara. Azim langsung tidak pernah menyentuh dirinya. Nak dikatakan Azim tak menyukainya, tak nampak pula macam dia membenci. Azim sentiasa tersenyum setiap kali mereka bertentang mata.

Pernah juga Lela cuba mengoda Azim. Sekiranya Azim ada di dalam bilik, Lela akan masuk ke bilik selepas mandi dengan hanya berkembam saja. Adakalanya hanya memakai tuala singkat. Apa yang berlaku adalah sebaliknya. Setiap kali Lela beraksi seksi, Azim tergopoh-gapah keluar dari bilik.

Lela menarik nafas panjang. Mengingati saat-saat dia bersama suaminya itu membuatkan hatinya bertambah sakit. Kadang-kadang, bila dia benar-benar tertekan mengenangkan nasib dirinya, dia akan melayan cerpen-cerpen atau novel-novel online. Selalunya dia akan masuk ke Ilham Karangkraf. Di Ilham, banyak kisah-kisah suami romantik. Lela rasa terhibur membaca kisah-kisah di Ilham walaupun dia tahu, semua cerita yang tersiar hanyalah imaginasi penulis saja.

Pernah terdetik di dalam hati Lela, kisah sepertinya pernahkah wujud di dunia realiti? Agaknya, kalau nak buat cerita aku, apa tajuknya yang harus diberi? Lela bertanya dirinya sendiri.

“Lela..oo.. Lela…” Lela tersedar daripada lamunan bila dia terdengar namanya dilaung seseorang.

“Berangan apa tu Lela oii?” Lela sudah tersenyum bila pemilik suara sudah melangkah laju ke arahnya.

“Oit..bila kau balik? Kau nak pergi tengok Ira tak? Dia dapat anak kembar tau. Alang-alang kau dah balik ni, jomlah kita pergi tengok dia.” Ani sudah duduk di sebelah Lela sambil mengusap perlahan perutnya yang semakin membuncit.

“Nak masuk dua dahkan anak kau? Dah berapa bulan ni? “ soalan Ani, Lela belum jawab, malahan Ani pula yang Lela soal.

“Perut aku ni, dah lima bulan dah. Kau tu, bila lagi? Ira yang kahwin selepas kau pun dah beranak tau.” tanpa mengetahui hal sebenar, Ani menyoal. Lela menarik nafas dan melepaskan nafas perlahan. Sentuh pun tak pernah, macam mana nak mengandung? Lela berdongkol di dalam hati.

“Nak buat macam mana. Belum ada rezeki kami lagi.” lain yang lahir di dalam hati, lain pula yang diungkapkan dibibirnya.

“Kawan aku ada jual tonik kesuburan. Kau nak cuba tak? Ramai dah yang cuba, berkesan. Kau cubalah, mana tahu, ada rezeki.” Ani cuba memujuk Lela supaya membeli tonik kesuburan sedangkan Lela sudah mendengus geram. Macam nak cerita saja masalah rumah tangganya kepada Ani tapi dia tak berani. Mustahil Ani akan percaya. Mana ada kucing akan tolak ikan? Kecualilah kalau suami dia tu sebenarnya...Ya Allah! Takkanlah suami aku mati pucuk? Tiba-tiba terdetik dalam hati Lela akan hal itu sebab Lela ini bukannya tak ada rupa.

Wajah Lela putih bersih tanpa sebiji jerawat pun. Tubuhnya mengiurkan dengan potongan idaman setiap wanita dan dia tak tinggi sangat dan bukan juga pendek. Kalau pergi uji bakat untuk jadi model, mesti akan diterima dengan mudahnya.

“Lela oii...kau ni asyik berangan tak habis-habis. Dah rindu dengan laki ke? Lain kali nak balik kampung, ajak dia sekali. Taklah macam ayam berak kapur, menung sana, menung sini.” Ani terus membebel tanpa disedarinya air mata Lela sudah bertakung. Kalau ada suami di sisi tapi bagaikan tiada, lebih baik langsung tak ada. Lela berdongkol lagi di dalam hati sambil mengelap rakus air matanya.

“Jomlah..pergi bersiap. Teman aku pergi tengok Ira dengan anak -anak dia. Mana tahu, berjangkit pula dengan kau selepas ini.” sambil mulutnya berceloteh, Ani sudah bangun dan menarik Lela untuk bangun sama.


*******

Seminggu bercuti di rumah ibunya, Lela pulang semula ke rumah mereka dan berharap suaminya akan merinduinya kerana seminggu dia tak ada. Manalah tahu, suaminya akan berubah dan melayan dia selayaknya.

“Abang, mari makan.” Lela mamanggil suaminya yang sedang menonton tv di ruang tamu. Malam ini malam jumaat, Lela sengaja memakai baju tidur nipis untuk memikat suami sendiri.

Azim bangun dari sofa dan menuju ke dapur tapi sebaik saja melihat Lela yang kelihatan agak seksi, jantung Azim terus berdebar-debar. Wajahnya berbahang panas. Dia tak jadi melangkah ke meja makan, sebaliknya dia terus berpusing dan menuju ke ruang tamu semula. Dia mencapai kunci kereta dan keluar dari rumah.

Darah Azim bergemuruh sakan. Dia ingin, dia teringin tapi dia segan setiap kali berhadapan dengan Lela. Dia beruntung dapat isteri cantik macam Lela namun dia tak dapat mengawal satu rasa dalam jiwanya. Darah gemuruh yang menyerbu naik ke muka setiap kali dia bersama dengan Lela. Dia malu dan turut menjadi kaku. Dia hendak namun perutnya pula yang senak walau hanya memandang senyuman Lela. Ahhh....memang letih mengawal rasa.


*****

Lela di rumah sudah menangis hiba. Esakannya menjadi-jadi setiap kali terkenangkan nasib diri yang sudah bersuami tapi terpaksa menjeruk hati. Dalam kesedihan yang melampau Lela masuk ke dalam bilik dan merebahkan tubuhnya. Dia cuba melelapkan mata agar dapat melupakan semua masalah yang membelenggu jiwanya.

Akhirnya Lela terlelap bersama air mata yang berderai laju menuruni pipinya. Dalam tidurnya Lela bermimpi memohon cerai kerana tidak tahan lagi menanggung beban di jiwa. Lela menangis tersedu-sedu di dalam mimpinya.

“Lela….bangun Lela. Anak dara ni, maghrib- maghrib ni boleh pula dia membuta.” Mak Piah menepuk perlahan belakang Lela.

“Bangunlah!...” semakin kuat suara Mak Piah, semakin kuat juga tepukannya di belakang Lela.

“Mak, Lela nak bercerai mak. Lela dah tak tahan mak. Lela tak sanggup lagi tinggal dengan abang Azim mak. Lela nak bercerai…” Lela mengongoi sambil memeluk ibunya.

“Kau ni kenapa Lela? Nikah pun belum, tau-tau nak bercerai. Mimpi apa ni? Tulah, maghrib-maghrib boleh pula membuta. Dah..bangun solat!” Mak Piah bersuara lantang. Teringin nak ketawa tapi tak sampai hati pula tengok Lela yang beria-ia menangis.

“Hah? Apa mak? Lela belum nikah ya mak? Eh, Ira anak pak Dolah tu dah beranak ke belum mak?” demi mendengar pertanyaan Lela, mak Piah sudah menunjal kuat dahi Lela.

“Mamai tak habis lagi ke? Ira tu kan dah putus tunang.Beranak apanya?” Lela mengecilkan matanya. Teringat pula dengan Ani sahabat baiknya sejak kecil.

Inna Lillah Hi Wa Inna Hi Ra Ji’un..Ani dah meninggal seminggu yang lepas kerana kemalangan jalan raya. Rupa-rupanya aku bermimpi saja tadi. Lela yang baru tersedar dari alam mimpinya yang panjang mengelap air matanya yang masih bersisa dengan kasar.

“Lela belum nikahkan mak?” Lela menyoal soalan bodoh kepada ibunya. Terbuntang mata mak Piah mendengarnya.

“Dah...bangun solat maghrib. Melayan sasau kamu ni, habis pula waktu maghrib ni karang.” Mak Piah berkata sambil bangun dan meninggalkan Lela yang masih terkebil-kebil.


******

Sebulan Kemudian..


Kompang dipalu pengantin baru,

Duduk bersanding tersipu malu.

Kedengaran lagu dari corong speaker di rumah mak Piah menyambut ketibaan pengantin lelaki disertai dengan paluan kompang bertalu-talu. Lela sudah berdebar-debar di dalam hati menunggu sang suami datang meraikan dirinya yang sudah menunggu untuk disandingkan.

“Selamat pengantin baru, semoga berkekalan hingga ke anak cucu buat pasangan pengantin Norlaila binti Ahmad dengan pasangannya Muhamad Azim bin Alias.” suara dj sudah berkumandang kuat. Semakin kuat debaran jantung Lela mendengar nama suaminya di sebut-sebut.

Ya Allah! Jangan jadikan mimpi aku satu kenyataan. Lela berdoa di dalam hati. Mimpinya sebulan yang lalu masih segar dalam ingatannya.


*******

Selesai sudah sehari suntuk menyambut tetamu dan diraikan oleh sanak saudara dan sahabat handai. Kini malam sudah menjelma. Lela yang baru selesai mandi masuk ke dalam bilik dengan kain tuala membalut tubuh. Tanpa diduga, sebaik saja keluar dari bilik air, Azim sudah menguak pintu bilik dari luar. Tak sempat Lela mengenakan pakaian Azim sudah melangkah laju ke arahnya sambil tersenyum nakal.

“Isteri abang ni, baru masuk waktu maghrib, dah cuba goda abang ya? Kalau nak goda sekali pun, tunggulah lepas Isya nanti. Sekarang masih awal lagilah sayang.” Azim berbisik ke telinga Lela sambil mengenyit mata. Sempat pula menghadiahkan sebuah ciuman tulus di pipi gebu Lela. Terdiam lama Lela dengan gelagat suaminya itu.

“Sayang..jangan nak berangan lagi. Cepat bersiap. Kita solat berjemaah. Abang nak mandi dan ambil wudhuk dulu. Sayang bersiap cepat ya. Maghrib sekejap saja ni.” Lela baru pulih ingatannya mendengar ayat-ayat Azim yang seterusnya lantas bibirnya menguntum senyum dan serentak dengan itu dia mengucapkan syukur.

“Nasib baik suamiku bukan lembab PLUS malu tahap kritikal! Nasib baik mimpi aku tak menjadi kenyataan.” Lela berkata perlahan sebaik Azim menghilang di dalam bilik air. Bibir Lela terhias lagi dengan senyuman.


Keesokan paginya…

“Sayang...dah subuh. Bangun solat sayang.” tubuh Lela ditepuk-tepuk perlahan. Lela membuka mata dan bibir sudah tersenyum bahagia.

“Abang dah mandi?” sempat Lela menyoal bila melihat Azim sudah berpakaian kemas.

“Dah..cepatlah bangun. Kita berjemaah. Abang tunggu sayang.” Azim berkata sambil menarik tangan Lela supaya bangun.

“Jangan lupa mandi wajib pula.” sempat pula Azim mengusik Lela sambil ketawa ceria. Lela hanya mengangguk dengan wajah yang sudah berubah warna namun dia bersyukur kerana Azim bukanlah suami yang pernah wujud di dalam mimpinya.

Nota : Cerita ini hanya sekadar mengasah minda. Terima kasih sudi membacanya. Pengajarannya..jangan tidur siang terutamanya selepas asar menjelang maghrib. Percayalah..mimpinya di siang hari tu macam tengok filem.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.