Hari pertama pengambaran peserta-peserta mula
diperkenalkan. Aku belajar menyesuaikan diri dengan suasana baru. Sebelum ini
kebanyakan penyamaran aku berada dikalangan orang-orang miskin dan sederhana,
kali ini sedikit berbeza.
Farisha, seorang peserta yang bekerja
sebagai setiausaha. Dia anak seorang Tan Sri. Aku pun tak menyangka, anak
seorang Tan Sri akan turut serta dalam rancangan ini. Dikalangan kami dia yang
paling anggun dan bergaya. Sudah pastinya sebagai seorang setiausaha di
syarikat besar, pakaiannya up to date dengan fesyen terkini.
Fatin Nabila seorang guru yang
berkelulusan tinggi, mengajar di salah sebuah sekolah menengah di Kuala Lumpur.
Dia anak seorang Dato. Dengar kata, dia guru Bahasa Inggeris. Tak hairanlah
kalau dia fasih berbahasa Inggeris. Okey, dia sedikit tegas pada pandanganku.
Wajahnya manis namun payah nak senyum. Sejak bertemu dengannya, aku belum
berkesempatan lagi melihat bibirnya mengukirkan senyuman. Mahal sangat agaknya
senyuman dia?
Peserta ketiga, pendiam orangnya. Masih
belajar di KUIS, Kolej Universiti Islam Selangor dan dia memakai tudung labuh
semestinya. Setakat ini aku dan dia hanya berbalas pandang. Aku terperasan
sejak kami bertemu, dia akan menjawab setiap pertanyaan pengarah ataupun
penerbit, hatta jurusolek hanya dengan beberapa patah perkataan. Sepuluh
perkataan diutarakan adakalanya hanya dibalas dengan anggukan dan gelengan.
Dan peserta terakhir, Zahratul Aishah.
Hanya seorang pembantu rumah, yang datang bekerja di Kuala Lumpur untuk mencari
rezeki membantu keluarga di kampung. Alamatnya, adalah rumah mak Esah dan Pak
Mail tapi sebarang surat menyurat hendaklah dihantar ke rumah Dato Khuzairi.
‘’Aishah!’’ aku berpusing kalut bila
mendengar nama aku dilaung.
‘’Saya rasa pakaian awak ni tak
sesuailah untuk pengambaran kita. Awak tak ada baju yang okey sikit ke?’’ tuan
Pengarah sudah mula mempersoalkan pakaian yang aku pakai. Bila nak menyamar
sebagai orang gaji, pakaian yang aku bawa kebanyakannya baju kurung kain kapas,
T.shirt lengan panjang, seluar treck dan tudung labuh dengan niqab. Aku dah
buat research dah dalam internet. Kalau aku bawa baju yang glamour nanti, siapa
pula yang akan percaya, aku ni hanya orang gaji?
‘’Saya mana mampu nak beli pakaian yang
mahal-mahal tuan. Saya rasa pakaian saya ni tak bersalah pun tuan. Duit dalam
dompet saya yang bermasalah, lagi pun tuan kena faham, saya ni mana mampu nak
beli baju cantik-cantik. Kalau tuan tak setuju dengan apa yang saya pakai, saya
boleh tarik diri sekarang juga.’’ Aku memulakan serangan psikologi sebab aku
pun macam terdesak nak lari dari dunia selebriti di depan kamera ni. Pada
mulanya memang sekadar nak cari pengalaman tapi, bila difikirkan balik, dunia
di depan kamera memang tak sesuai dengan jiwa aku walaupun dulu, aku pernah
menyamar sebagai model. Itu pun model gantian saja.
‘’Kami nak buat show realiti tv tau.
Awak pernah tak tengok rancangan realiti tv berpakaian macam awak ni?’’ garang
dan serius sekali suara tuan pengarah.
‘’Minta maaflah tuan. Saya tak minat
rancangan realiti tv. Saya terima tawaran untuk masuk rancangan ni pun sebab
encik Amirul yang cadangkan. Lagi pun, encik Amirul cakap, encik Zafril tu
kawan dia. Sebab tu saya setuju.’’ Sengaja aku menjual nama Along. Wajah aku
memang sengaja aku kawal supaya nampak real. Bukan aku yang bersalah.
‘’Zafril!’’ tuan pengarah melaung
encik Zafril pula sambil mengamit dia supaya datang. Aku tayang riak wajah tak
bersalah sambil membelek jari-jemari sendiri.
‘’Macam mana ni? Peserta ni kata,
hanya pakaian ini saja yang dia ada. Nak teruskan ke?’’ sebaik saja encik
Zafril sampai di depan kami, tuan pengarah terus mengajukan soalan kepadanya.
‘’Teruskanlah. Pakaian tak penting. Yang
penting reputasi dan persembahan yang bakal ditunjukkan. Saya tak nak tengok
pakaian ataupun wajah yang cantik. Saya cuma mencari seorang wanita yang
mempunyai kekuatan jiwa dan iman. Hati yang bersih, jujur dan ikhlas.’’ Aku
cuba mencuri dengar kata-kata encik Zafril dan mencerna kata-katanya. Apa maksud dia sebenarnya?
‘’Aishah, hari ini pengambaran awak di
dalam rumah dulu. Esok baru awak akan buat pengambaran di luar. Peserta lain
semua akan sibuk dengan urusan harian mereka dan awak akan take over semua
kerja rumah. Awak faham tak?’’ aku angguk dan geleng serentak.
‘’Awak faham tak?’’ encik Zafril
mengulang soalannya. Aku angguk dan geleng lagi.
‘’Awak tak bisukan? Boleh tak awak
bagitau saya, apa yang awak faham dan apa yang awak tak faham?’’ aku terus
disoal.
‘’Saya faham bahasa melayu saja encik.
Bahasa inggeris saya tak faham langsung. Dulu saya sekolah takat darjah enam
saja, tu pun BI saya selalu masuk gaung. Kalau encik cakap melayu, In Sha Allah
saya akan faham. Tapi kalau cakap BI memang saya tak faham.’’ Nak sangat aku
cakapkan? Sekali aku cakap street to the point, non stop. Faham ke tak encik
Zafril? Aku membebel di dalam hati.
‘’Oh, okey.’’ Dia berkata sambil
kepalanya dianggukkan berkali-kali. Aku perhatikan tuan pengarah sudah
tersenyum dan sesaat kemudian dia sudah tergelak.
‘’She funny.’’ Tuan pengarah berkata
sambil terus tergelak. Ya ke? Apa yang lucu sangat tu? Sebab aku cakap senafas
saja tadi, jadi aku nampak macam buat lawak ke?
‘’Yupp..she different and I like her.’’
Hah? Suka aku? Apakah ini? Aku sudah membebel lagi di dalam hati mendengar
respon daripada encik Zafril sedangkan riak wajah aku sengaja aku bekukan
sambil terus bermain dengan jari jemari. Macam orang sedang mengelabah pun ada
reaksi aku ketika ini.
PENGAMBARAN pun bermula dan aku
melakukan tugas-tugas di dalam rumah dengan perasaan berdebar-debar. Nama saja
orang gaji tapi kekok sangat aku buat kerja rumah. Serius, sebelum ini
kebanyakan kerja-kerja rumah pembantu rumah yang lakukan. Kerja aku hanya
keluar meronda sambil cari ilham dan selebihnya berada di depan skrin komputer
sambil berimaginasi. Masak pun ala kadar saja. Taklah sedap sangat. Bolehlah
kalau nak makan tu, asalkan tak hangit dan tak mentah.
Pekerjaan mengemas rumah mengambil
masa beberapa jam sebab tuan pengarah banyak sangat merungut. Itu tak kena, ini
tak kena. Dahlah aku mengelabah nak buat kerja di depan kamera dan kru-kru
pengambaran yang terlalu ramai ni.
‘’Saya tak percayalah, awak ni orang
gaji. Hulur tangan saya nak chek. Betul ke awak ni orang gaji? Anis! Mari sini.
Awak try pegang tangan dia tengok. Buat kerja slow, tak macam orang gaji
langsung.’’ Aku sudah mula berpeluh mendengar omelan tuan pengarah. Wanita yang
bernama Anis yang merupakan salah seorang kru pengambaran datang kepadaku dan
memegang tanganku. Kantoi!
‘’Wow! Lembut lagi tangan dia dari
tangan saya ni bos.’’ Aku sudah berwajah pucat mendengar kata-kata Anis. Bibir
cuba untuk tersenyum namun ternyata begitu hambar dan dingin. Sebab aku pun sudah
berpeluh dingin.
‘’Awak guna krim tangan jenama apa
Aishah?’’ encik Zafril pula bertanya. Wajah dia memang serius sangat ketika dia
bertanya begitu. Aku sudah mula cuak, takut rahsia aku terbongkar.
‘’Entah! Datin Maimunah yang belikan.
Katanya ambil di butik cik Humaira.’’ Kali ini aku jual pula nama emak aku dan
nama Alang. Kebetulan Alang memang buka butik dan dia selalu hadiahkan aku
alat-alat solek dari butiknya. Sabun mandian, lulur badan dan krim badan dan
tangan semua tu selalu sangat aku dapat percuma. Orang dah beri, takkan aku nak
tolak pula? Itulah untungnya kalau ada adik beradik yang buka butik.
‘’What do you think Zafril? Are you
sure she’s maid?’’ aku semakin mengelabah mendengar kata-kata tuan pengarah.
Habislah aku kali ni. Inilah natijahnya kalau suka buat kerja bodoh ni. Kalau
menyamar di kampung tu bolehlah aku lepas diri. Bila di depan orang-orang besar
ni bukan senang tau. Tak kena gaya, semua pasal aku mereka akan siasat sampai
ke akar umbi. Aku bermain dengan jari-jemari aku sambil menundukkan wajah. Tak
berani aku nak panggung kepala dan melihat berpasang mata yang sedang menonton
gelagat aku ketika ini. Rasa bersalah terus menderu masuk ke dalam minda dan
hatiku.
‘’Well, actually I’m not sure. But,
I trust my friend. She is my friend maid. You know Amirul Dato Khuzairi?’’ aku
masih mendengar perbualan antara tuan pengarah dan encik Zafril. Ketika ini
hati aku sudah berada di dalam bilik aku dan sudah menangis semahu-mahunya.
Serius, aku menyesal datang ke sini dan berada dalam situasi ini. Aku macam tak
sanggup lagi nak meneruskan penyamaran ini.
‘’I have no idea. Kita teruskanlah.
Aishah, dah sampai masa untuk awak menunjukkan skil dalam masak- memasak pula.
Rasanya pembantu kita dah beli barang-barang masakan dah tadi. Mana Syikin?’’
tuan pengarah berkata sambil memerhati sekeliling. Lutut aku terus mengigil.
Tadi, aku ingatkan aku hanya akan ditinggalkan dengan seorang jurukamera saja
untuk merakam setiap kerja-kerja aku. Ternyata telahan aku salah sama sekali.
Di sini termasuk kru-kru, tuan pengarah dan encik Zafril, jumlahnya mungkin
antara 15 atau menjangkau 20 orang. Maunya aku tak ketar lutut.
‘’Dah siap dah bos. Saya dah letak atas
meja di dapur. Resepi ala-ala western food.’’ Aku sudah terbuntang mata.
Western food? Gila ke apa? Aku ni baru datang dari kampung, takkan nak suruh
masak western food? Tak masuk akal langsung!
‘’Tuan pengarah! Westen fud tu apa?’’
aku mengangkat tangan dan bertanya dengan beraninya. Buat-buat tak tahu,
padahal, aku pernah belajar masak sebelum ni, Cuma kurang yakin saja nak masak
di depan kamera.
‘’Saya cuma pandai masak yang
ringkas-ringkas saja. Macam kari, masak merah, ikan goreng, ikan bakar, masak
lemak.’’ Aku menyambung kata-kataku dan dapat aku lihat semua kru-kru sudah
melebarkan senyuman dengan kenyataan aku. Ada yang sudah ketawa sambil
mencebikkan bibir.
‘’ Zafril, kau sajalah buat
keputusan.’’ Nampaknya tuan pengarah sudah mengaku kalah. Encik Zafril pun
nampak macam tertekan saja. Itulah pasal, yang beli barang masakan untuk
memasak western food tu apasal? Aku bukannya chef. Kalau chef tu lainlah, semua
masakan dia boleh masak.
‘’Tak apalah, jom kita ke dapur. Saya
akan ajar awak memasak, lepas tu masa nak buat rakaman nanti, awak lakukan
sendiri. Jom, kita pergi dapur. Tak payah rakam lagi atau..’’ tiba-tiba encik
Zafril petik jarinya. Wajah dia nampak ceria dan berseri.
‘’Kita berlakon sikit. Aishah, awak dah
bersedia? Mana tahu, rating tinggi nanti bila hero masuk dapur dan mengajar
peserta memasak western food stail.’’ Encik Zafril berkata sambil ketawa. Aku
sudah mencebik di dalam hati.
Semua kru yang berkenaan, termasuk
aku, encik Zafril dan tuan pengarah berjalan menuju ke ruang dapur. Encik
Zafril sudah membelek barang-barang masakan. Aku hanya mengintai di sebelahnya
dan aku dapat meneka apa masakan yang bakal kami masak.
‘’Hari ini saya akan ajar awak masak spagetti bolognese dan chicken
chop. Boleh tak Aishah?’’ dia tanya aku dan semestinya aku sudah mengeleng
laju.
‘’Boleh tolong terjemah dalam
bahasa melayu tak encik Zafril nama masakan tu? Macam mana nak masak, kalau
nama masakan pun saya tak faham?’’ respon aku terhadap pertanyaan encik Zafril
membuatkan kru-kru yang ada bersama kami sudah menghamburkan tawa. Aku tayang
wajah kering lagi.
‘’Awak ni…’’ encik Zafril mungkin sudah
teramat bingung sekarang ni. Bersabarlah encik Zafril. Kalau tak sabar,
bubarkan saja nama aku sebagai peserta atau singkirkan saja aku seperti yang
telah dijanjikan. Aku berbisik di dalam hati sambil ketawa jahat. Di dalam hati
saja tau.