Home Novel Cinta CINTA HILANG ARAH
CINTA HILANG ARAH
Noreey
2/12/2015 00:20:27
1,864
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
Bab 29

BAB 29

MI TOMYAM DI DALAM mangkuk yang masih berasap itu dicedok-cedok kuahnya, biar wap panasnya segera berlalu. Bau wangi kuah tomyam itu menusuk ke hidungnya. Nak saja dihirup-hirup, namun dia terpaksa bersabar bila wap panas di dalam mangkuk belum juga beredar.

Perasaan tidak puas hati terhadap Karmilla, benar-benar menguasai emosinya. Rasa cemburu di dalam diri berasap-asap juga seperti mi tomyam di dalam mangkuk yang berada di depannya.

Pagi tadi, perut yang lapar jadi kenyang tiba-tiba selepas mendengar cerita sang puterinya yang kini dirampas orang. Puterinya yang satu, cinta hatinya yang satu itu bak bunga sekuntum yang dibelai dan dibaja. Hati mana yang tidak sakit bila mendengar bunga dipuja dipetik orang dengan tiba-tiba.

Waktu yang mula menjengah tengahari, membawa pergi waktu sarapan paginya juga. Baru terasa perut benar-benar minta diisi, seperti hatinya juga yang minta untuk dikasihi dan dicintai kembali seperti dulu.

Dengan menggunakan garpu, mi yang berlingkar itu di belit-belit, lalu dia mula menikmatinya. Dalam masa tidak berapa lama habis sudah mi tomyam kegemarannya itu. Kuah yang masih bersisa itu dihirup pula. Peluh memercik di wajah akibat rasa pedas dan panas. Kedua rasa itu bersatu pula dengan rasa hati yang sedang mendidih, buatkan pemuda itu sudah tidak senang duduknya. Sirap bandungditeguk rakus untuk meneyejukkan ke semua rasa itu.

Satu persatu masih juga terhafal di benaknya peristiwa padi tadi...

“Ziq, kau kat mana tu?”

“Aku kat rumah, kenapa?”

“Aku nak jumpa sekejap boleh ke?”

“Ada apa?”

“Boleh jumpa ke tak, aku yang tanya dulu!” serius saja suara yang amat dikenali itu. Macam ada sesuatu, dia terus bingkas bangun mencampakkan selimut ke tepi dinding. Katil besi itu bergoyangan bila dia terjun turun. Di pandang katil bawah, kosong sudah.

Sambil melayan perbualan melalui telefon yang sedang dipegangnya, dia menuju ke tingkap, menyelak langsir. Dari tingkat tiga rumah banglo milik bapanya dia nampak kereta sudah bertali arus di jalan raya. Tidurnya yang lewat malam tadi buat dia kesiangan sudah.

“Kita jumpa di pantai cahaya, pukul 11 aku sampai!” putusnya. Dia mencampakkan telefon bimbitnya ke atas katil abangnya yang sudah kosong. Pantas menuju ke bilik mandi. Tanpa sempat menjamah sarapan dia terus memecut motorsikalnya ke Pantai Cahaya. Cepat sikit, kalau bawa kereta lambat sampai.

Dia menghampiri seorang gadis yang sedang duduk di bangku, mengadap lautan. Cam benar dia akan gadis itu. Dia Cuma berdehem beberapa kali dan tanpa memberi salam dia dudukNOR RIHA KADIR

bersebelahan. Gadis itu menoleh, sambil menghadiahkan senyum. Wangian Haziq menerjah deria baunya. Saat pemuda itu melabuhkan punggung pejalnya di sebelah tempat duduknya, dia segera menjauh sedikit.

“Ada hal apa, mana Milla?” itulah soalan pertamanya. Matanya melilau mencari seseorang.

“Aku sorang je, dia tak datang!” ujar Mazlin. Nampak sangat rasa hampa terpamer di wajah Haziq.

“Kenapa tak ajak Milla sekali?”

“Dia dah balik kolej.”

“Ada apa kau nak jumpa aku?”

“Err…aku cuma nak tahu, kau dengan Milla kenapa sebenarnya…kau…kau ada masalah dengan dia ke?” Soal Mazlin, Haziq tertunduk dan terdiam sebentar.

“Dia tak ada cerita apa-apa pada kau?”

Mazlin geleng. Haziq menarik nafas sebelum memulakan ceritanya.

“Dia nampak aku dengan perempuan lain. Aku bukan ada apa-apa pun dengan gadis itu, kami bertiga sebenarnya, bukan berdua seperti yang dia nampak. Gadis yang seorang lagi keluar kat luar restoran, tinggal kami berdua kebetulan dia masuk. Dia dah salah sangka, yang aku geram sangat dia tukar nombor telefon, bila jumpa langsung dia tak beri peluang untuk aku cerita hal sebenar,” jelas Haziq.

“Ohh…dia cemburulah tu sebenarnya…”

“Kau rasa…, dia masih sayang aku tak?”

“Err…mungkin, kau cubalah pujuk dia!”

“Tapi dia langsung tak beri ruang.”

Haziq mengeluh sendiri. Mangkuk yang sudah tinggal sedikit kuah itu ditolak ke depan. Sirap bandung yang masih bersisa habis diteguk rakus sekali lagi dengan perasaan geram yang tak padam-padam.

 Cemburunya menggila bila dapat tahu Karmilla menjalin hubungan dengan lelaki lain. Hati yang berbunga rindu setelah sekian lama terputus hubungan mesra dengan Karmilla bertukar pedih berbenih dendam.

Fikirannya sebu dengan rasa marah hingga dia terlupa ingin bertanya, siapakah lelaki yang sedang didampingi Karmilla? Mazlin tidak mengatakan dengan jelas siapa lelaki itu. Cuma kata Mazlin, Karmilla sekarang tidak seperti dulu. Cerita Mazlin hanya tiba separuh jalan saja bila dia menerima panggilan telefon dari seseorang. Jelas Mazlin, panggilan itu dari tunangnya. Mereka sudah berjanji untuk lunch bersama tengahari itu.

Mazlin hanya sempat memberitahunya yang Karmilla sedang mabuk cinta dengan seseorang. Mazlin cuma mengatakan, dia tidak mahu Haziq membiarkan Karmilla terus bersama lelaki itu. Tetapi siapa? Rasa marah dan cemburu telah memenuhi rongga fikirnya.

Jika boleh dia ingin bersemuka dengan lelaki itu, agar boleh dia membuat perhitungan. Sungguhpun dia boleh memilih gadis lain, tetapi Karmilla tetap menjadi keinginannya! Kegelisahan terus mengikat dirinya.


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.