Home Cerpen Cinta Kasih Bersemi Di Aidilfitri
Kasih Bersemi Di Aidilfitri
Siti Norshimah Binti Md Yasan
5/7/2015 10:38:43
8,973
Kategori: Cerpen
Genre: Cinta

KASIH BERSEMI DI AIDILFITRI

Shah Adam tenang sambil menghadap note booknya. Pintu biliknya diketuk saat jarinya mahu menari di papan kekunci. Kelihatan Kak Chom yang ditugaskan mencuci pejabatnya sarat dengan barang-barang cucian. Senyuman yang dilemparkan oleh Kak Chom itu sambut mesra.

“Amboi Kak Chom…. Berseri-seri nampak hari. Ada apa-apa ke?” Tanya Shah Adam rianng.

“Hish! Ecik Adam ni…. Mana ada. Esok kan dah mula cuti raya. Itu yang tak sabar rasanya. Nak tunggu anak menantu balik.” Ujar Kak Chom ceria. Shah Ada mengangguk. Lupa dengan aidilfitri yang bakal menjelang.

“Untunglah…. Dah ada menantu. Kalau dah ada cucu mahu senyum sampai ke telinga kan Kak Chom.” Usik Shah Adam.

Kak Chom tersenyum sambil tangannya pantas mencuci meja Shah Adam.

“Kalau dah ada cucu baik Kak Chom pencen kerja ni jaga cucu.”

“Amboi, macam tu sekali Kak Chom?” Meledak tawa Shah Adam mendengarkan pengakuan Kak Chom itu.

“Encik Adam tak balik kampug ke?” Tawa Shah Adam menjadi perlahan. Pertanyaan Kak Chom itu tidak segera dijawab. Dia diam dan memerhatikan Kak Chom membersihkan mejanya.

“Saya mana ada kampung, Kak Chom. Lagi pun saya kan hidup sendiri. Macamlah Kak Chom tak tahu. Sajalah tu nak uji saya.” Kak Chom ketawa. Kak Chom merupakan pekerja yang paling lama di dalam syarikat itu. Lebih lama dari Shah Adam. Dengan Kak Chomlah ada masa dia menumpang manja. Semenjak ibu dan bapanya meninggal dunia Shah Adam sudah tiada sesiapa lagi. Kalau bukan dengan Kak Chom dengan Rafiqielah tempat dia meluahkan perasaan.

“Itulah…. Dah berbuih dah Kak Chom beritahu. Kahwin. Kalau kahwin bukan ke senang. Ada cuti balik kampung. Seronok tau kahwin ni. Ada orang jaga makan minum kita. Ada tempat kita nak menumpang manja.” Jeling Kak Chom kepada Shah Adam. Cuba untuk dia melihatkan tindak balas Shah Adam.

“Macam dah tak sayangkan saya ke Kak Chom.”

“Tak adalah sampai macam tu sekali. Kita hidup kena ada pasangannya. Percayalah cakap Kak Chom ni. Tak rugi kalau kita kahwin tau.” Shah Adam memandang sekilas kepada Kak Chom. Dia mengeluh.

“Ala… Kak Chom…. Siapa yang nakkan saya ni.”

“Merendah diri sangat tu. Muka dah ada. Harta tak boleh nak kira. Cuma….” Kata-kata Kak Chom mati disitu.

“Kak Chom….” Kak Chom tersenggeh. Dia dah biasa dengan Shah Adam. Dia menganggap Shah Adam seperti anaknya sendiri. Marah Shah Adam sekejap saja.

“Encik Adam ni serius. Tegas sangat. Dengan staff pun payah nak senyum. Payah nak gurau. Manalah orang nak dekat.” Kata-kata Kak Chom itu membuatkan Shah Adam meledak tawanya.

“Mana ada Kak Chom. Dengan Kak Chom saya okey je. Fitnah tu Kak Chom.” Ujar Shah Adam dengan tawa yang masih bersisa.

“Dengan Kak Chom okeylah. Dengan yang lain dah macam apa Kak Chom tengok. Kalau boleh nak terkeluar anak mata Encik Adam ni marahkan budak-budak tu.”

“Apa? Kak Chom ingat kahwin ni macam main pondok ke?”

“Nak Kak Chom carikan?” Terbuntang mata Shah Adam mendengarkan cadangan Kak Chom itu.

“Hish! Kak Chom ni…. Dah buat kerja tu.” Shah Adam mula mengubah tajuk.

“Susah sangat kahwin je dengan…” Belum sempat Kak Chom menyambung pintu bilik Shah Adam berbunyi.

“Ha… itu mesti jodoh tu.” Usik Kak Chom.

Pintu bilik dikuak. Kelihatan wajah Zulaika jelas memenuhi ruang mata Shah Adam dan Kak Chom. Zulaika memegang fail sambil mengusap perutnya yang memboyot. Hish Kak Chom ni agak-agaklah nak ‘lagakan’ dengan budak ni. Dah sarat tu.

“Assalamualaikum Ika…” Sapa Kak Chom ceria.

“Walaikumsalam Kak Chom. Senyum je pagi-pagi ni. Ini mesti tak sabar nak bercuti.”

“Nampak gayanya macam tu lah Ika.”

Zulaika menghulurkan fail kepada Shah Adam sambil membaca agenda untuk hari itu. Shah Adam hanya menyampuk mana yang perlu. Dan seperti biasa dia hanya menjadi pendengar dan jarang untuk dia melemparkan senyuman kepada pekerjanya walaupun dengan setiausahanya sendiri.

“Nampak macam dah tak larat je Ika.” Tegur Kak Chom.

“Tunggu hari je Kak Chom. Nak settle mana yang patut. Buatnya bersalin raya nanti mahu pening bos saya ni Kak Chom.” Usik Zulaika. Shah Adam? Kelihatan dia cuma tahu buat kerja sendiri! Memandang Zulaika pun tidak.

“Ni…. Nak buat kerja ke atau nak berborak? Kalau dah habis kerja tu boleh keluar dari bilik ni.” Arah Shah Adam. Zulaika yang faham meminta izin. Macam singa jantan dalam hutan. Kalau tak menjerit satu hari memang tak sah. Dengan perlahan dia meninggalkan Shah Adam dan Kak Chom. Kak Chom menggelengkan kepala.

“Encik Adam ni tak baik tau buat ibu mengandung macam tu. Kesian dia.” Tegur Kak Chom yang agak tegas suaranya.

“Ala… Kak Chom jangan diberi muka sangat. Nanti mengada.” Dia tidak mahu jika dia terlalu baik akan menjadi kesempatan kepada dirinya juga. Nanti bukannya nak buat kerja, nak bermain ke ingatnya nanti.

“Erm…. Yelah… tunggulah Encik Adam kahwin nanti. Silap hari bulan bini baru masuk satu minggu dah menatang macam minyak yang penuh.”

“Kak Chom…..” Shah Adam bersuara keras tetapi manja. Kak Chom menutup mulutnya. Sudah melebih pula dia mengusik majikannya itu.

“Okey….Okey, Kak Chom keluar. Selamat Hari Raya, Encik Adam. Selamat mencari jodoh juga.” Kak Chom keluar sambil melemparkan senyuman kepada Shah Adam. Shah Adam menyambut senyuman dengan diiringi gelengan kepala. Kak Chom…. Kak Chom…. Suka sangat nak mengusik.

Shah Adam meneruskan kerja tanpa menghiraukan keriuhan di luar pejabatnya. Masing-masing dah hilang mood untuk bekerja. Otak kepala dah ingat nak balik kampung je. Shah Adam menggeluh perlahan. Sudah sepuluh tahun dia tidak menyambut hari raya bersama keluarga. Kampung? Tiada di dalam kamus hidupnya. Umi dan ayahnya orang Kuala Lumpur. Kampung mana yang ingin dia tuju? Lagi pun dia sebatang kara dikota metropolitan ini. Dan Kuala Lumpurlah tempat dia menyambut hari raya. Kalau ada jemputan barulah dia pergi. Kalau tidak dia hanya memerap di rumah sahaja.

Shah Adam kelihatan kalut saat dia menerima panggilan telefon itu. Aduh! Masa inilah nak proposal awal. Lepas raya pulak tu. Aduh! Buat kepala pusing je. Butang intercom ditekan. Nama Zulaika dipanggil. Tidak lama kemudian Zulaika sudah muncul di pintu biliknya. Nama Zulaika dipanggil buat kali kedua.

“Memandangkan awak akan bercuti lama awak kena balik lewat hari ni. Mungkin lewat malam.” Arahan dari Shah Adam itu membuatkan dia terkejut. Bos ni betul ke tidak. Bukan dia tak tahu orang dah nak balik raya ni? Mentang-mentang tak ada kampung selamba badak je suruh orang balik lambat.

“Tapi Encik Adam….” Zulaika mula dilanda rasa serba-salah.

“Tak ada tapi-tapi. Saya nak proposal ni siap sebelum esok pagi. Sebab naik cuti saja pelanggan nak kita bentangkan kertas cadangan tu. Kalau dah siap kalau awak nak cuti pun cutilah.” Ujar Shah Adam tegas. Wajah Zulaika berubah. Macam mana ni? Tiket bas pukul sembilan. Sempat ke nak sampai ke TBS sebelum pukul sembilan? Hish! Bos ni, hati kering macam batu!

“Saya nak balik kampung. Tiket bas saya pukul sembilan malam.” Rayu Zulaika. Air matanya hampir mengalir. Takut jika dia tidak sempat untuk pulang ke kampung. Sudahlah dia sukar untuk bergerak dengan keadaan yang kian sarat. Kalau dia tidak dapat pulang ke kampung malam nanti…. Ah, dia tidak boleh fikirkan akibatnya.

“Saya kata apa tadi?” Kali ini suara Shah Adam agak tinggi. Dia merenung ke arah Zulaika sehinggakan Zulaika hilang kata-kata. Zulaika berlalu tanpa sebarang suara. Namun di dalam hati dia bagaikan mahu menjerit geram.

Zulaika mengalirkan air mata saat dia tiba di tempatnya. Sebak dia rasakan bila Shah Adam mengarahkan untuk dia pulang lewat. Dia merenung beg pakaian yang berada di sisinya. Memang tak ada hati perut langsung! Buat orang macam tak ada keluarga! Hati span kering betul! Sudahlah aku berbadan dua.

“Maafkan ibu sayang, kalau kita lewat jumpa nenek ye.” Saja Zulaika memujuk hatinya sambil mengusap perutnya. Zulaika meneruskan kerja-kerjanya sambil melayani perasaan sedih yang sering kali bertamu. Sambil itu juga dia mengutuk habis-habisan majikannya itu. Kering kasih sayang betul! Huh! Kurang pahala puasa hari ini!

Jam sudah menginjak ke jam 10 malam. Air mata Zulaika sudah kering sepenuhnya. Saat jam bertandang di jam sembilan air matanya bertalu-talu menghiasi wajahnya. Sudahlah dia hanya menjamah biskut kering di pantry berbuka tadi. Sekarang, dia keseorangan dan bas sudah meninggalkannya! Wajah ibuya acapkali menghiasi di ruang matanya. Sempat juga dia menghubungi ibunya untuk memberitahu akan hal yang sebenarnya. Buatnya ibu menunggu lagi haru nanti.

Zulaika tersentak apabila dia dikunjungi oleh Rafiqie, kawan baik Shah Adam. La… tak balik lagi rupanya. Ingatkan dia tinggal berdua dengan Shah Adam. Rupa-rupanya ada lagi yang masih belum balik lagi. Melihatkan Zulaika masih lagi di meja, Rafiqie singgah di meja setiausaha Shah Adam itu.

“Encik Afiq tak balik lagi?” Tanya Zulaika melihatkan Rafiqie sudah pun melonggarkan tali lehernya. Rafiqie melemparkan senyuman kepada Zulaika. Rasa kasihan singgah di hati lelakinya. Hish! Budak Adam ni.

“Sepatutnya saya tanya awak. Yang awak ni kenapa tak balik lagi? Bukan ke tiket bas awak pukul sembilan tadi?” Zulaika mengangguk tanpa bersuara.

“Saya kena habiskan kerja yang disuruh oleh Encik Adam. Ada pelanggan nak kertas cadangan naik raya ni. Kena siapkan hari ni juga.” Adu Zulaika. Ada getar di suaranya. Sedih dan marah pun ada.

“Hish! Adam ni. Takkan dia tak tahu yang awak nak balik kampung?” Zulaika mengangkat bahu dan semahunya dia tidak mahu lagi bercerita lagi tentang itu. Buat sakit hati je!

“Tak apalah. Saya pergi jumpa dengan dia. Memang dia nak kena ni.” Ujar Rafiqie bagaikan tidak berpuas hati. Pembuli wanita mengandung.

Pinti bilik Shah Adam dikuak.

“Adam! Apa yang kau dah buat dengan Zulaika?” Berkerut dahi Shah Adam. Sudahlah masuk tak bagi salam. Masuk je dah sergah orang.

“Buat apa? Tak ada buat apa pun. Salah ke aku suruh dia balik lambat. Ada urgent kes nak buat. Buatnya dia terberanak raya nanti apa aku nak jawab dengan pelanggan?” Ujar Shah Adam dengan mempamerkan wajah yang tidak bersalah.

“Tak salah kata kau? Hey, aku rasa aku pun boleh tolong kaulah. Yang kau susahkan dia tu kenapa? Kau tak baik buat dia macam tu, Adam.” Ada suara kesal di nada Rafiqie. Kesal dengan tindakan Shah Adam itu.

“Amboi, ambil perhatian nampak.” Usik Shah Adam. Rafiqie merapatkan dirinya kepada Shah Adam. Dia merenung tajam kepada Shah Adam.

“Bukanlah…. Kesian dia tau. Sudahlah dia tu sarat mengandung. Balik kampung sorang-sorang. Suami dah tiada. Kau ingat senang ke dia nak bergerak sana sini. Kau ni cubalah ambil berat sikit. Kau tak kesiankan dia ke?” Rafiqie masih lagi tak puas hati.

“Habis kau nak suruh aku buat apa? Nak sambut dia bersalin?” Kali ini Shah Adam memandang kepada Rafiqie. Ada rasa tidak puas hati di situ.

“Bukanlah macam tu. Kau tahukan tiket bas dia dah lepas. Habis tu kau nak suruh dia naik bas esok ke? Mana ada tiket lagi sekarang ni. Nak dia naik turun naik bas ke?” Macam mesin gun Rafiqie bertanya. Geram dengan apa yang telah dilakukan oleh Shah Adam.

“Ala… teksi ada. Aku bayarlah. Berapa sangat kot yang nak kena bayar. Kau ingat aku ni kejam sangat ke?” Kata-kata Shah Adam membuatkan Rafiqie hilang sabar.

“Adam, kau ni memang hati kering ye. Aku tahu kau ni banyak duit. Tapi bukan alasan yang kau boleh buat sesuka hati.”

Shah Adam diam. Dia hanya menjadi pendengar setia tanpa bersuara. Tangannya masih lagi bergerak menyelesaikan baki kerja. Kata-kata Rafiqie itu bagaikan angin lalu. Masuk telinga kanan dan keluar telinga kiri.

“Nanti kalau kau dah kahwin baru kau tahu macam mana perasaan isteri tu mengandung. Aku kesian tengok dia, Dam. Sudahlah dia hilang tempat dia bergantung, kau buat dia macam ni. Mesti sedih hati dia. Aku tengok mata dia pun dah bengkak sebab banyak menangis.”

“Kau ni banyak sangat cakaplah. Kalau kau dah habis kerja balik jelah. Tu, bini dah tunggu kat rumah. Tak sabar dah nak balik kampung.” Rafiqie memandang kepada Shah Adam.

“Zulaika dah makan ke belum?” Pertanyaan dari Rafiqie membuatkan dia tersentak.

“Ha! Itulah. Kau kunci pejabat ni sampai dia nak keluar beli makan pun tak boleh. Kau tahu dia makan biskut je?” Benggang Rafiqie rasakan apa yang telah Shah Adam lakukan kepada Zulaika. Memang tidak perikemanusiaan langsung.

“Biskut?” Hati Shah Adam mula dilanda serba salah. Aduh! Macam mana boleh lupa ni! Dia sendiri pun hanya meneguk air kosong untuk berbuka tadi. Walhal dia melalui meja Zulaika dan mulutnya berat untuk bertanya.

“Ha, elok sangatlah perangai tu. Patutlah kau tak kahwin lagi. Entah-entah kalau dah kahwin bini kat rumah pun kau boleh lupa.”

Shah Adam tidak bersuara. Dia tahu akan salahnya juga.

“Banyak lagi ke? Boleh aku tolong.” Rafiqie memberi tawaran.

“Tak payalah. Dah siap ni. Sekejap lagi boleh balik. Balik saing. Aku kemaskan dulu ni.” Rafiqie membantu Shah Adam mengemaskan mejanya.

“Aku nak kau hantar dia balik.” Kata-kata Rafiqie itu membuatkan Shah Adam tersentak. Dia berpaling kepada Rafiqie. Cuba menyelami akan kata-kata sahabatnya itu. Budak Rafiqie ni saja je ke atau nak mengenakan orang?

“Yelah… aku tahu. Aku hantar dia balik.” Shah Adam akur. Dia juga merasa serba salah dengan apa yang telah dia lakukan tadi.

“Bukan balik rumahlah. Balik kampung!” Mendengar kata-kata Rafiqie membuatkan Shah Adam memandang kepada rakannya itu. Biar betul. Dia ni gila ke apa? Nak hantar balik kampung. Banyak dia punya hal. Besar sangat ke pangkat sampai nak hantar ke pintu rumah keluarga.

“Kau jangan banyak alasan. Sebab kau dia tertinggal bas tau. Dah, jangan banyak cakap. Aku nak kau hantar dia sampai kampung. Tebus balik apa yang kau dah buat.” Terbuntang mata Shah Adam mendengarkan kata-kata Rafiqie itu.

“Bukan ke dia boleh naik teksi. Esok aku carikan teksi untuk dia. Kau jangan risaulah.” Rafiqie bercekak pinggang.

“Banyaklah kau punya teksi. Aku nak kau hantar dia. Muktamad!”

“Kau ni agak-agaklah. Dah malam ni. Apa pulak kata keluarga dia. Kau ni otak kat mana?” Shah Adam dan Rafiqie masih lagi bertegang leher. Nasib baiklah bilik Shah Adam tu kalis bunyi. Kalau tidak mesti Zulaika menonton drama swasta dengan pelakon yang tidak berbakat itu.

“Kau ni nak kata cerdik, tapi tak pandai. Nak kata bodoh kau marah pulak. Kau hantarlah dia esok. Telefon dulu orang tua dia. Itu pun aku nak ajar ke?” Shah Adam menggarukan kepalanya. Kalau tahu kena hantar balik kampung tak adalah nak suruh dia stay sampai malam. Baik suruh Rafiqie buat lagi baik. Nak buat macam mana? Perkara dah lepas.

“Wei, seganlah aku.”

“Tahu pulak. Yang kau tak bagi dia balik kau tak fikir pulak. Apa yang aku tahu kau hantar dia balik kampung. No alasan!” Mak ai! Dah macam bapak tiri pulak. Terkedu Shah Adam dengan kata-kata Rafiqie itu.

“Kau dengar tak?”

“Ye… aku dengar. Dah cukup kau membebel kat aku ni? Aku nak balik ni. Kalau lama lagi mahu bernanah telinga aku ni dengar kau membebel. Orang kalau dah kahwin memang macam ni ke?” Amboi!!! Sedapnya bahasa. Rafiqie mencekak pinggang.

“Aku nak tengok bila sampai masa kau nanti.” Shah Adam terdiam. Kenapalah lancang sangat mulut ni. Kalau kena paku buah keras mahu gelak besar si Rafiqie ni. Bukan tak kenal dengan budak ni. Muka serius tapi perangai macam spongebob!

Shah Adam menutup lampu sambil ditemani dengan Rafiqie. Meja Zulaika disinggah. Zulaika mengemas mejanya dan lantas dia mencapai beg tangan dan beg pakaiannya. Rafiqie menyiku Shah Adam.

“Apa dia?” Ujar Shah Adam perlahan.

“Pergilah tolong dia bawa beg tu.” Ujar Rafiqie.

“Gila kau. Kau jelah yang pergi.” Shah Adam menggeleng. Malu wei!

“Aku ni laki orang. Kau tu kan bos dia. Pergi jelah. Lagi pun kau tu bujang lagi. Orang tak ada nak mengata punya.” Shah Adam menggeluh bila Rafiqie berkata sedemikian. Banyak kacaulah mamat ni.

“Mari saya bawakan beg awak ni.” Zulaika melongo. Biar betul bos ni. Tak pernah nak tolong orang, apa pulak mimpi dia hari ni? Zulaika membiarkan sahaja Shah Adam membawa beg pakaiannya. Entah mengapa hatinya tiba-tiba rasa sebak. Kalaulah arwah Iskandar masih hidup mungkin dia akan membawakan beg itu. Dan dia tidak akan sesusah ini.

Zulaika cuba untuk tidak mengalirkan air mata. Walau pun dia hanya sempat bersama dengan Iskandar cuma hanya 3 bulan sahaja namun sudah cukup membuatkan hatinya parah. Dan saat benih yang bercambah di dalam rahimnya membuatkan dia kembali semangat untuk meneruskan hidup.

Di dalam kereta Zulaika tidak banyak berbual. Dia hanya melayani perasaan yang berbaur. Juga dia memikirkan untuk pulang ke kampung esok pagi. Walau bagaimana pun dia perlu balik ke kampung esok pagi kerana lusa sudah pun hari raya.

“Subhanaallah…. Sayang, janganlah macam ni.” Tiba-tiba Zulaika bersuara. Shah Adam berpaling. Ah sudah! Nak bersalin pulak ke?

“Awak jangan nak buat lawak kat sini boleh tak?” Shah Adam memandang kepada Zulaika dengan perasaan gelisah. Buatnya Zulaika bersalin dalam kereta… Oh, no! tak dapat bayangkan.

“Jangan risaulah Encik Adam. Baby saya ni saja je nak bermain. Dia memang macam tu. Kalau dia lapar.” Shah Adam menepuk dahi. Memang dari tadi dia berhajat untuk membawa Zulaika untuk makan. Macam manalah boleh terlupa ni. Macam nenek betullah.

“Saya tahu awak lapar. Kita singgah makan ye.” Zulaika tidak memberikan apa-apa alasan kerana memang dia sudah lapar ketika itu. Tetapi bila dia mendengarkan nada suara Shah Adam membuatkan Zulaikan rasa tidak senang. Dia berpaling kepada Shah Adam. Pelik dengan perangai dia ni.

Zulaika keluar dari kereta sambil menegakkan pinggang seharian dia duduk menghadap kerjanya. Sehinggakan lupa akan kesihatannya sendiri. Sudahlah pulak tu, berbuka tadi dia hanya menikmati bsikut kering sahaja. Itu pun nasib baik ada dalam pantry. Kalau tidak minum air kosong je. Bosnya lalu tadi pun buat muka bodoh je.

“Sakit pinggang ke dik?” Tegur seorang wanita yang berusia lingkungan empat puluhan. Zulaika tersenyum dan mengangguk.

“Biasalah tu. Nampak macam dah sarat sangat ni. Tunggu hari ke?”

“Ye kak.”

“Perut dah ke bawah sangat tu. Silap haribulan dua tiga hari bersalinlah ni.” Pucat wajah Zulaika menengarnya. Biar betul kakak ni. Dia memandang kepada bawah dan mengusap perutnya.

“Dik, jaga isteri baik-baik. Jangan bagi dia kerja kuat. Dah tak lama lagi ni.” Ujar wanita itu kepada Shah Adam. Shah Adam yang belum sempat untuk berkata-kata hanya sempat menghantar wanita itu hilang dari pandangan matanya. Kakak! Ini bukan bini sayalah! Nak sahaja Shah Adam melaung.

“Esok awak nak balik kampung naik apa?” He’s back. Nada suara Shah Adam perlahan dan tegas.

“Saya naik bas sambut-sambut. Tiket bas mana ada lagi dah. Naik teksi mahal pulak. Tak apa Encik Adam. Saya okey. Encik Adam tak payahlah nak risaukan saya.”

“Dengan keadaan awak macam ni, saya hantar awak baliklah.” Berkelip mata Zulaika mendengarnya. Mimpikah aku? Somebody! Please slap me. Tak aku aku tak mimpi. Ah, betul ke Shah Adam yang berada di hadapannya?

“Encik Adam biar betul. Tak payahlah Encik Adam. Menyusahkan pulak nanti.” Zulaika menolak pelawaan itu.

“Buatnya awak bersalin dalam bas macam mana?” Hish! Dia ni doakan yang bukan-bukan je. Tersirap darah Zulaika mendengarkan bicara Shah Adam itu. Bersalin dalam bas? Tidak pernah terfikir dalam kotak fikirannya langsung.

“Dah, awak jangan nak banyak bunyi. Esok saya akan ambil awak pukul 7 pagi. Bertolak awal sejuk sikit. Saya sudah beritahu dengan ibu awak. Dia benarkan saya hantar awak balik.” Macam tu sekali? Zulaika ingin sekali bersuara. Namun bila mendengarkan ‘awak jangan nak banyak bunyi’ membuatkan dia menguncikan mulutnya untuk bersuara.

Keesokkan harinya Zulaika menantikan Shah Adam di hadapan rumah sewanya. Satu yang dia suka dengan Shah Adam adalah majikannya itu suka menepati masa. Kalau pukul tujuh silap hari bulan sebelum pukul tujuh dia sudah terpacak memunculkan dirinya.

Mereka sampai di Melaka saat jam hampir ke jam 1030 pagi. Halimah sedari pagi sudah menantikan kedatangan Zulaika. Walau pun di dapur sesekali dia menjenguk ke luar rumah. Takut-takut anaknya sudah pulang. Saat melihatkan kelibat Zulaika hati Halimah dilimpahi rasa gembira. Senyumanya terlukis sehingga ke telinga. Kesyukuran dipanjat dengan rasa yang tidak ternilai. Senyumannya kian manis dengan keadaan Zulaika yang sudah kian sarat. Tidak sabar untuk dia menimang cucu.

“Balik pun anak ibu. Anak ibu sihat?” Halimah memeluk erat anaknya itu sambil mengucup lembut pipi anaknya itu. Shah Adam menjadi pemerhati dari jauh. Dia tersenyum dengan adegan itu. Ah! Alangkah bahagianya mereka.

“Eh, ajak masuk kawannya tu. Marilah nak. Masuk rumah makcik ni. Tak besar mana pun.” Shah Adam akur sambil membawakan beg pakaian. Dia melangkah masuk ke dalam rumah papan milik keluarga Zulaika. Dia meletakkan beg pakaian dan melabuhkan punggung di atas tikar.

Dia kemudiannya menjadi pemerhati seketika. Kelihatan kehidupan Zulaika tidak sesenang dirinya. Patutlah Zulaika kuat bekerja. Semuanya untuk keluarganya. Shah Adam merasa kekok saat berada di situ. Nak buat apa ni? Erm…. Buat bodohlah dulu. Kalau pandai sendiri nanti dikatakan budak tak tahu malu pulak.

“Encik Adam okey tak? Kalau nak rehat boleh masuk bilik adik saya, Hamdan. Saya dah beritahu dengan dia.” Ujar Zulaika tiba-tiba yang membuatkan Shah Adam tersentak. Senyuman yang dilemparkan oleh Zulaika disambut oleh Shah Adam dengan bersahaja.

“Tak apalah. Saya nak duduk sini sekejap.”

“Ni….jantan mana pulak yang kau bawak ni Ika?” Tersentak Zulaika dan Shah Adam bila mereka disergah begitu.

“Kak Long.” Zulaika cuba untuk bersalam namun tiada reaksi dari Sarah. Sarah menjeling tajam kepada Zulaika.

“Dah pandai nak bawa lelaki nampak. Tak sangka pula orang dah janda dan memboyot macam ni ada juga orang yang nak.” Wah! Ini dah melampau. Shah Adam bangkit. Mulut tak ada insuran langsung! Tenyeh dengan cili api kat mulut tu bukan ke bagus. Seminggu bisu baru dia tahu. Walau pun Zulaika itu hanya pekerjanya namun dia tidak selesa bila Zulaika diperlakukan sebegitu.

“Kak long, ini Ika kenalkan…”

“Adam, bakal suami Zulaika.” Belum sempat Zulaika memperkenalkan diri, Shah Adam sudah mendahului bersuara. Terbuntang mata Sarah mendengarkan pengakuan Shah Adam itu. Zulaika? Dia merasakan sesak ketika itu. Encik Adam! janganlah sampai begitu sekali.

“Ika, kubur Is masih merah lagi kau dah cari pengganti.” Kata-kata Sarah itu benar-benar membuatkan hatinya sakit. Bagaikan pisau menghiris hati dan nalurinya.

“Apa ni kak long. Kak long salah faham.” Air mata Zulaika murah ketika itu. Tidak faham dengan tingkah laku kakaknya itu.

“Salah faham apanya kalau dah sampai bawa balik rumah?”

“Dia cuma menolong je kak long. Tak lebih dari itu. Lagi pun dia bos Ika.” Zulaika cuba untuk mempertahankan dirinya.

“Alasan.”

“Sarah, pergi tolong adik kau kat luar tu. Tak baik bising macam ni. Tetamu tengok tak manis. Dari dulu ada saja kamu tak puas hati dengan dia ni.” Tiba-tiba Halimah muncul dari dapur. Terima kasih, mak.

“Ye! Memang saya tak puas hati. Sebab dialah yang rampas Is dari saya.” Wajah Zulaika merona merah menahan marah.

“Siapa yang merampas? Kalau kakak tak buat hal tak adalah saya jadi macam ni!” Bentak Zulaika sedih. Tanpa menghiraukan kehadiran Shah Adam Zulaika berlalu. Hatinya sakit ketika itu. Hatinya pedih di saat itu. Kak long, betapa tegarnya kak long menuduh begitu.

“Maafkan makcik, nak. Sarah memang macam tu. Jangan ambil hati, ye.” Halimah mula rasa serba salah.

“Tak apa makcik. Zulaika tu. Kesian tengok dia.” Halimah tersenyum tawar.

“Tak apa. Nanti makcik pujuk dia. Kalau tak keberatan berayalah dengan kami. Kami berbesar hati kalau Adam beraya di sini. Makcik dengar Adam sebatang kara. Itu pun kalau Adam sudi.”

“Tak menyusahkan makcik ke?” Halimah menggeleng.

“Kami lagi seronok. Si Hamdan tak ada kawan nak berborak. Marilah makcik kenalkan dengan dia. Dia sibuk merebus ketupat kat luar tu.” Ajak Halimah. Shah Adam akur. Dia hanya menurut sahaja ke mana sahaja Halimah pergi dan sampai sahaja di dapur saat dia bertemu mata dengan Sarah dia menjeling tajam dengan rasa tidak puas hati. Nanti kau!

Shah Adam membantu Hamdan sambil berborak. Hamdan merasa gembira dengan kehadiran Shah Adam yang juga ramah untuk bercerita. Dulu ada juga tempat dia berbual. Kini dengan pemergian Iskandar dia bagaikan mencari teman untuk dia berbual. Kak long? Tahu cerita make up dia saja!

Shah Adam memandang kepada Hamdan dengan pandangan yang dalam. Zulaika dan Hamdan punya sifat yang sama. Baik dan penuh santun. Tidak sama dengan Sarah yang bagaikan langit dan bumi. Mungkin inilah masanya untuk dia mengetahui segalanya.

“Hamdan, kalau abang bertanya boleh?” Tanya Shah Adam yang sudah pun memulakan perbualan. Bila Hamdan sudah mula bersikap ramah, ketika itulah dia cuba untuk bertanyakan apa yang telah berlaku di dalam keluarga itu.

“Apa dia bang? Tanyalah tak jadi hallah.” Shah Adam cuba untuk mengumpul soalan untuk dia bertanyakan kepada Hamdan.

“Tadi abang dengar dari mulut Sarah yang Zulaika rampas Iskandar.” Hamdan senyum seperti ada makna.

“Abang percaya? Kak long tu bukan suka tengok orang senang.”

“Maksud Hamdan?” Shah Adam membantu menolak kayu api untuk lebih marak. Baru dia berkenalan dengan Hamdan dia suka mula suka dengan anak muda itu. Hamdan begitu mesra dengannya. Bagaikan sudah kenal lama. Korek dan gali cerita best juga ni. Kerana dia tidak faham mengapa Sarah begitu marah dengan Zulaika.

“Yang sebenarnya abang Is tu kekasih kak long. Mereka dah lama bercinta dan kemudiannya ala… biasalah…. Kahwinlah apa lagi. Tapi bila sampai masa, kak long lari. Khemah dah diri. Orang dah panggil. Lauk dah masak. Alasan kak long dia belum bersedia.”

“Kalau belum bersedia kenapa dia terima pinangan?”

“Sebab abang Is ada kanser. Sebab itu dia tak nak ada ikatan dengan abang Is.” Ada nada getar di kotak suara Hamdan.

“Jadi Kak Ika jadi pengganti?” Begitu sekali Zulaika mengorbankan dirinya?

“Kak Ika tak nak tengok ibu malu. Ibu menangis tak henti. Abang Is pun dah mengambil keputusan untuk mengambil Kak Ika sebagai isteri. Kesian Kak Ika. Tapi abang Is menjaga Kak Ika dengan penuh kasih sayang. Bila dia tengok Kak Ika gembira di samping abang Is kak long tak puas hati. Kak long tinggalkan kami lagi. Hanya Kak Ika kami bergantung hidup.”

Ada getaran di hati Shah Adam mendengarkan cerita Hamdan. Besar pengorbanan yang diberikan oleh Zulaika untuk keluarganya. Shah Adam memandang kepada Hamdan yang kelihatan sayu dan sedih.

“Abang minta maaf sebab buatkan Hamdan sedih.” Hamdan menggeleng. Dia tidak menyangka akan kebahagiaan yang diperolehi oleh kakaknya Zulaika hanya sementara. Tidak terbendung rasa kasihannya kepada Zulaika. Tambahan lagi bila Zulaika kehilangan Iskandar. Kakaknya itu benar-benar tabah.

“Hamdan kesiankan Kak Ika. Dulu, Kak Ika dapat keputusan cemerlang dia terpaksa lupakan hasrat untuk sambung belajar kerana kak log pun nak sambung belajar. Kak Ika kerja dan tanggung kami adik beradik. Kak Ika dah banyak berkorban tapi bahagia cuma seketika.” Tanpa disedari air mata Hamdan mula mengalir saat mengenangkan pengorbanan kakaknya itu.

“Abang faham, Hamdan.” Shah Adam menepuk lembut bahu Hamdan. Entah mengapa hatinya bagaikan tersentuh dengan apa yang baru didengarinya. Huh! Patutlah tak ada yang nak pinang si Sarah tu lagi. Orang macam tu tak ada siapa yang nak. Perangai jelek mulut pun busuk macam longkang! Hati Shah Adam bagaikan membara. Panas dan geram.

“Esok abang pakai baju melayu warna apa?” Hamdan mula mengubah tajuk. Sebak rasa hatinya cuba ditepis dengan bertanyakan kepada Shah Adam.

“Er… er… abang tak ada baju melayulah Hamdan.” Senggeh Shah Adam seperti kerang busuk. Hehehe…. Malu wei! Orang semua ada baju melayu dan baju baru. Dia? Dia tidak pernah untuk berbelanja untuk hari raya. Kerana dia tiada sesiapa.

“Pakai baju abah jelah. Kalau tak Hamdan boleh teman abang pergi pekan sekejap beli baju melayu untuk abang. Kita beli songkok dengan sampin sekali. Baru meriah sikit raya. Orang perempuan kata bila orang lelaki pakai baju melayu ni handsome tau.” Shah Adam ketawa. Tak pernah pula dia mendengarkan kata-kata itu. Handsome ke? Erm, mungkin juga. Kena tanya orang perempuan baru tahu, kan?

Malam itu Shah Adam berdiri di jendela sambil melihat kanak-kanak bermain bunga api. Hatinya mula diselimuti rasa tenang. Memang benar kata orang, bila di kampung otak serabut boleh menjadi kosong.

“Encik Adam, air.” Shah Adam berpaling saat mendengarkan suara Zulaika. Shah Adam berlalu dan bersila sambil menikmati hidangan yang dibawa oleh Zulaika.

“Terima kasih.”

“Ika, kau balik KL bila?” Tersentak Zulaika dengan suara Sarah yang tiba-tiba muncul.

“Kenapa Kak? Ika cuti seminggu.”

“Bukan apa, raya ketiga ada orang nak meminang aku. Orang kaya pulak tu. Aku tak nak kau ada kat sini. Nanti apa pulak kata bakal mertua aku. Kau tu dahlah janda. Mengandung pulak tu. Nanti orang kata anak kau tu mengandung tak ada bapa.” Amboi! Memang nak kena kerat mulut perempuan ni. Shah Adam sudah hilang sabar.

“Kak long! Sampai hati kak long. Hina sangat ke Ika kak long sampai kak long sindir Ika macam tu sekali.” Air mata Zulaika mengalir.

“Kenalah sedar diri tu.”

“Ika faham kak. Tak apa, kalau macam tu kata kak long raya kedua Ika pulang ke KL. Ika pun dah rasa tak nak ada kena mengena dengan kakak.” Tegas sahaj suara yang dilontarkan oleh Zulaika itu. Perasaan sakit hatinya sudah bertukar menjadi benci.

Zulaika mengusap lembut perutnya. Niat di hati untuk dia berpantang di kampung. Esok lusa dia akan bersalin. Masakan untuk dia bersendirian. Ya Allah! Tabahkanlah hati ini. Shah Adam berpaling kepada Zulaika dengan perasaan sayu.

“Yang awak ni takut sangat si Ika ni ada masa orang datang pinang kenapa? Takut rahsia awak terbongkar ke?” Sarah terkejut dengan keberanian Shah Adam itu. Zulaika jua begitu.

“Jangan harap dengan perangai awak ni orang nak awaklah. Hey, dengar sini. Lagi sekali awak hina dia saya tak teragak-agak naikkan tangan ke muka awak yang kematu tu.” Jerkah Shah Adam.

“Awak!”

“Apa? Nak merasa sangat? Marilah sini!” Shah Adam sudah mula menaikkan tangannya. Sarah berlalu dengan membentak. Zulaika menyeka air matanya.

“Sudahlah tu. Saya yakin lepas ni tak berani nak kacau awak lagi. Kalau dia kacau lagi awak beritahu dengan saya. Biar saya pulas mulut dia sampai dia tak boleh nak bercakap.” Pujuk Shah Adam lembut. Zulaika tersenyum. Pandai juga buat lawak sempoi kat sini.

“Terima kasih Encik Adam.” Zulaika berlalu dengan baki air mata yang mengalir.

Pagi Syawal begitu mendamaikan. Shah Adam sudah pun mengenakan baju melayu berwarna pucuk pisang. Dia kelihatan kacak dengan sampin yang kena dengan baju melayunya. Sudah lama dia tidak mengenakan baju melayu. Dia menggerakkan badannya. Memang kacak! Lepas ni mesti ramai awek beratur nak isi borang teman wanita. Senyum Shah Adam.

Balik dari sembahyang sunat hari raya Shah Adam menikmati hidangan ketupat dan rendang yang dibuat semalam. Berselera dia menikmati hidangan pagi itu. Sambil itu matanya tidak lepas memandang kepada Zulaika yang turut berseri pada pagi itu. Namun belum sempat dia menghabiskan hidangannya kelihatan wajah Zulaikan berkerut seribu.

“Awak okey tak ni.” Shah Adam seperti tidak tentu arah. Hidangan ditolak tepi. Dia mendekati Zulaika yang sudah kelihatan pucat itu.

“Mak!!! Sakit!!!” laung Zulaika membuatkan Halimah keluar dari dapur.

“Ya allah, air ketuban dah pecah. Adam, Ika dah nak bersalin ni. kena bawa dia ke hospital. Cepat!”

Hah? Bersalin? Shah Adam dan Halimah memapah Zulaika sehingga ke kereta. Halimah mencari kelibat Hamdan. Hish! Mana pulak budak ni. Shah Adam dan Halimah terus ke hospital tanpa menantikan yang lain.

Shah Adam dan Halimah menantikan dengan penuh sabar. Sudah hampir dua jam Zulaika di dalam bilik bersalin. Shah Adam tidak senang duduk. Perasaan risau dan gelisah mula bertandang di hatinya. Ah, mengapakah ini terjadi? Tidak lama kemudian, seorang jururawat keluar dan memanggil waris Zulaika.

“Puan Zulaika sudah selamat bersalin anak lelaki. Anak dah boleh diazankan.” Ujar jururawat itu membuatkan Shah Adam berpaling kepada Halimah.

“Makcik izinkan saya mengazankan cucu makcik.” Hampir berlinang air mata Halimah mendengarkannya. Kalaulah Iskandar masih hidup lagi sudah tentu Iskandar yang akan mengazankan cucunya itu. Halimah mengangguk tiada suara.

Shah Adam masuk ke dalam wad bersalin dan melangkah menuju kepada anak kecil yang sedia menanti untuk diazankan. Shah Adam memangku dan sayup suara Shah Adam mengalunkan azan. Saat dia mengalunkan azan ada perasaan yang tidak boleh digambarkan olehnya menyelinap disegenap perasaan dan hati. Dia memandang anak kecil itu dengan perasaan kasih dan dia melemparkan seyuman untuk insan kecil itu.

“Selamat datang, sayang.” Ucap Shah Adam perlahan.

Zulaika mengalirkan air mata saat Shah Adam mengazankan anaknya. Betapa dia bersyukur anak yang dikandung dapat diazankan. Betapa dia tidak dapat menggambarkan dengan kata-kata dengan apa yang telah dilakukan oleh Shah Adam. Shah Adam berlalu dan menyerahkan bayi lelaki itu kepangkuan Zulaika.

“Maafkan ibu sayang. Kau lahir disaat ayahmu sudah berlalu meninggalkan kita. Kau membesar tanpa ayah di sisi. Ibu berjanji sayang. Selagi ada hayat ibu akan ibu jaga seperti nyawa ibu sendiri.” Ujar Zulaika lembut.

“Terima kasih, Encik Adam. Kalau Encik Adam saya tak tahu apa yang akan terjadi.” Zulaika menyeka air matanya. Dia terhutang budi dengan lelaki itu.

“Saya buat demi tanggung jawab saya. Lagi pun Hamdan tak ada tadi. Saya minta maaf kalau saya buat awak rasa serba salah.” Ujar Shah Adam perlahan.

“Tak mengapa Encik Adam. saya faham. Saya sebenarnya yang perlu minta maaf dan berterima kasih dengan Encik Adam.” Zulaika memandang sayu kepada anak kecilnya.

“Dah tahu nak letakkan nama apa?”

“Fitri. Sebab dia lahir pada hari raya.” Ujar Zulaika yang sudah berubah menjadi ceria. Inilah buah hatinya. Pengarang jantungnya. Shah Adam memandang kepada Fitri dengan penuh kasih. Kasihnya tumpah saat dia mengazankan anak itu. Pandangan itu disulami dengan senyuman.

“Encik Adam okey ke?” Pertanyaan itu kemudiannya disambut oleh Shah Adam dengan mengangkat keningnya. Zulaika? Dia mengerut dahi tanda tidak faham. Lain benar pula perangai bos ni.

Dua tahun berlalu…..

Shah Adam tenang sambil menghadap note booknya. Pintu biliknya diketuk saat jarinya mahu menari di papan kekunci. Kelihatan Kak Chom yang ditugaskan mencuci pejabatnya sarat dengan barang-barang cucian. Dia melemparkan senyuman kepada Kak Chom.

“Amboi Encik Adam, senyum meleret nampak.” Tegur Kak Chom bila melihatkan senyuman Shah Adam. Jika sebelum ini Shah Adam yang akan menegur dan kali ini Kak Chom pula yang mengusik.

“Tak sabar nak balik kampung, Kak Chom.” Ujar Shah Adam dengan senyuman yang lebar. Hatinya bagaikan memanggil untuk dia pulang ke kampung. Wajah ibu mertuanya dan juga adi-adik iparnya mula terbayang di ruang mata.

“Itulah…. Betul tak apa yang Kak Chom cakap dulu. Sekarang siapa yang untung?” Kak Chom mula mengungkit akan kata-katanya.

Shah Adam mengangguk. Malu pula bila dia diusik begitu. Kalau sekali lagi Kak Chom mengusik dia mahu saja dia menyorok di belakang kerusi. Bukan dia tak kenal dengan Kak Chom yang suka mengusik.

“Macam mana dengan jodoh….” Belum sempat Kak Chom menyambung kata pintu bilik Shah Adam berbunyi.

“Ha, tu dia jodoh dah sampai.” Ujar Kak Chom sambil tersenyum.

Pintu bilik dia kuak. Kak Chom tersenyum. Wajah Zulaika jelas di ruang matanya.

“Kak Chom keluar dulu. Orang kata kalau dah bertiga ni menyemak.” Kak Chom berlalu dengan senyuman yang begitu bermakna.

“La… kenapa tak intercom abang je.” Shah Adam bangkit dan memberikan isterinya duduk. Lantas tangannya mengusap lembut di perut isterinya itu. Jari kanannya menggenggam erat tangan isterinya.

“Anak abang nakal tak hari ini?”

“Tak…. Hari ni dia baik. Dia tahu nak jumpa dengan nenek dia.” Shah Adam tersenyum.

“Ini anak yang nak jumpa ke ibu dia yang dah tak sabar?” Shah Adam cuba untuk bermain mata.

“Abang ni kan, sama jelah tu. Abang banyak kerja lagi ke?” Zulaika membalas genggaman Shah Adam. Erat dan padu.

“Tak banyak dah. Inysaallah tengahari ni dah boleh balik. Isteri abang ni dah habis kerja tak?” Zulaika mengangguk.

“Nanti abang habis kerja kita ambil Fitri. Mesti dia seronok nak balik kampung.”

“Er… abang.”

“Urm…”

“Mak kata kak long dah bercerai. Minggu lepas. Kesian kak long.” Cerita Zulaika tiba-tiba. Panggilan ibunya dengan cerita memeranjatkan itu ada kalanya membuatkan dia rasa kasihan. Namun setiap perbuatan ada balasannya. Dia tahu mungkin ada hikmahnya dengan apa yang terjadi kepada kakaknya. Dia berharap akan akaknya itu berubah sikap.

“Memang itu balasan dia. Sayang dah lupa macam mana dia layan sayang dulu. Nasib baik masa tu abang tak jadi suami lagi. Kalau tidak dah lama abang humban dia dalam sungai rejang. Biar dia rasa.”

“Tak baik abang cakap macam tu. Buruk macam mana pun dia tetap kakak Ika.”

“Abang tahu suami dia tu perompak besar. Memang dah kena buku dengan ruas. Sekarang abang dapat rasakan yang dia segan nak berjumpa dengan sayang. Abang berjanji sayang. Andai sesiapa yang berani usik isteri abang yang manis ni, tahulah apa yang abang kerjakan.”

“Abang,”

“Apa lagi sayang?”

“Terima kasih kerana sudi terima Ika dengan anak.” Shah Adam melemparkan senyuman manis untuk isterinya itu.

“Kenapa pulak cakap macam tu? Abang yang sepatutnya mengucapkan terima kasih sebab terima abang yang sebatang kara ni.” Zulaika senyum.

“Tak sabarnya nak azankan anak abang yang seorang lagi ni.” Shah Adam memandang Zulaika dengan penuh rasa kasih dah sayang. Kini dia yakin cintanya kian mekar setelah dia menikahi Zulaika. Zulaika berhak untuk mengecapi kebahagiaan seperti yang lain.

“Abang, Ika sayang dan cintakan abang.”

“Abang tahu.” Senyum Shah Adam penuh pengertian. Dia menggenggam erat tangan Zulaika dan mengucupnya lembut. Kasihnya kian bersimpul dengan kehadiran orang baru yang bakal hadir.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.