Home Cerpen Alternatif CATATAN BOSAN
CATATAN BOSAN
Aurian
13/6/2015 13:29:13
3,084
Kategori: Cerpen
Genre: Alternatif

Baik, aku campak kan nota latihan penggunaan asas Microsoft Outlook 2010 di atas meja. Sepatutnya ini sudah aku pelajari dari zaman persekolahan, tetapi aku lupa. Manusia memang mudah lupa. Lebih lagi apabila teknologi berlumba-lumba. Ini masa aku mula menulis, masa aku bercerita. Tentang kehidupan yang hambar dan bosan… (Maaf TUHAN, jika ia keluhan, kadang kala kami lupa bahawa tujuan kami berada di dunia untuk beribadat kepada MU). Kerja juga satu ibadat, ibadat untuk memakmurkan bumi MU ya Rahman. Tetapi kadangkala aku fikir kerja bagi manusia adalah untuk memenuhi kehendak materialist dan nafsu-nafsi hendoisme sahaja. Melengkapkan fitrahnya sebagai manusia dan keperluan-kehendaknya. Ianya mudah, teramat mudah melalui hidup sebegitu. Tetapi selayaknya bagi orang yang tidak ‘berfikir’. Sedangkan di kalam suciMU, sudah tertulis “Amat beruntunglah bagi orang yang berfikir” Cuba lihat seberapa banyak ayat “BERFIKIR” di sebut dalam KalamMULLAH. Jadi adakah kita orang yang berfikir dan menerima peringatan?

Baik, di mana harusku mulakan? Aku seorang penulis, aku boleh menulis pelbagai jenis cerita yang menarik, teruja, sedih, seram dan segalanya yang kamu mahu rasa. Tetapi bukankah aku sudah memilih tema ‘bosan’ dalam karanganku ini? Aku hanya mahu menulis tanpa mempedulikan kosa kata dan ayatku yang salah. Biarlah editor marah, kali ini sahaja aku mahu ‘bebas’ dan aku mahu membosankan semua orang. Sebagai balas dendam terhadap perasaan bosanku hari ini…

Jadi sampai bilakah aku mahu menulis naratif yang tanpa cerita ini? Pasti sudah ada yang berhenti membaca di paras ini. Atau masih teringin tahu apakah yang mahu aku bosankan kalian. Cerita mengenai masyarakat? Aku teringat minggu yang lalu aku berjalan ke Pavillion, menyusuri orang ramai yang berpusu-pusu mencari hiburan kecil dan besar. Ada yang sekadar meluangkan masa makan-makan bersama teman. Ada yang menghiburkan hati dengan membeli belah. Juga yang masih mengerah keringat mencari sesuap nasi. (Aku fikir ayat yang lebih tepat mengerah keringat untuk hidup macam orang lain) itu yang secara asasnya. Kalau kamu mahu hidup tanpa menghiraukan orang. Hidup dengan caramu tanpa sibuk memikirkan apa yang orang ada dan apa yang kamu tiada. Aku fikir hidupmu pasti lebih bahagia, walaupun orang lain melihatmu derita. Tapi itu sukar kerana manusia hidup berkelompok dan bermasyarakat.

Baik, sambung cerita jalan-jalan di Pavi. Aku melintasi pemuda pemudi yang segak dan jelita. Pakaian fesyen terkini, bergaya serba serbi. Kawasan bukit bintang adalah tempat untuk melaram, happening! Aku suka. Pada zahirnya semua manusia sukakan keindahan. Wangian berjenama menusuk deria bauku. Aman, damai, menyenangkan. Pemuda pemudi bandar yang menyenangkan deria penglihatan dan bau. Duniawi? Nafsu nafsi? Tidak juga kerana Tuhan itu indah, dan sukakan keindahan… Cuma prinsip menutup aurat jangan dilupakan sebagai disiplin untuk mengenal Tuhan dan kemanusiaan… Lagipun kamu tak mahu jadi hiburan orang lain di kala bosan, kan? Seperti aku yang jalan keseorangan dan bosan di waktu itu. Aku menilik segenap segi manusia yang berpakaian menarik, lucu, aneh, keterlaluan. Dalam hati puas kuumpat mereka. Segala-galanya, dan ya, ia cukup menghilangkan bosan. Aku hairan, dulu aku benci bandaraya Kuala Lumpur yang sesak dan bingit. Tetapi hari itu aku menyenanginya. Mudah, kerana sudah lama tidak melihat wajah Kuala Lumpur, ia berdaya membuatku terhibur. Percayalah, satu masa dahulu aku tinggal di sana dan aku bosan dengan rutin pandangan dan pendengaranku.

Selalunya jika bosan aku pergi melihat live band apabila dipelawa rakan-rakan. Akal dan fikiranku menyatakan, lebih baik aku berada di masjid dari berada di hotel 5 bintang dengan mendengar muzik yang sia-sia. Aku tak peduli kerana aku mahu keluar dari kebosanan. Aku benar-benar gembira, mendengar Bruno Mars hingga Anuar Zain dilagukan penyanyi kelab yang berbakat. Dahulu semua ini membosankan, maklum lah aku pernah kerja sementara di hotel 5 bintang untuk mencari wang saku setelah tamat persekolahan. Aku rasa lebih baik tidur di rumah daripada melihat penyanyi-penyanyi itu. Kini tahun demi tahun berlalu, aku terhibur dengan tarian, vokal dan gaya penghibur penuh pesona mereka. Untuk menambah tarikan, aku melihat tetamu di kiri dan kananku. Seorang jejaka yang kacak, tinggi dan berpakaian gaya ranggi menarik perhatianku. (Seperti biasa manusia suka melihat yang indah sahaja). Dia berkaca mata, segak berwibawa meminta lagu Anuar Zain di nyanyikan penghibur. Gembiranya dia apabila lagu itu didendangkan. Matanya tak berkelip merenung jejaka penyanyi itu. Anehnya dia langsung tidak memberi perhatian kepada gadis-gadis seksi di kelilingnya. Hingga aku menduga, bahawa dia meminati kaum sejenis. Lihat… (itulah sikap buruk manusia apabila bosan, buruk sangka dan meneka-neka). Percayalah, jika kamu hari-hari mendatangi tempat itu, kamu juga akan bosan dengannya. Anehnya aku pernah melihat pengunjung kelab dan pusat maksiat yang tak pernah bosan. Bukan kah maksiat itu lazatnya sekejap, tetapi deritanya berpanjangan? Aku beranggapan mereka tidak di tunjuk jalan, hilang pedoman. Jadi adalah tanggungjawab kita bersama untuk menunjukkan ‘jalan’ itu. Kononnya. :-p

Kau mahu tahu di mana tempat yang tidak bosan? Walau bertahun engkau lakukannya engkau tidak akan pernah bosan. Pertama, berada di belakang imam, sebagai makmum di dalam masjid, percayalah engkau takkan pernah bosan. Kedua, menghadiri majlis ilmu, takkan engkau pernah jemu dan bosan. Sejam di majlis ilmu seperti seminit berlalu, kerana malaikat sentiasa berdoa untukmu waktu itu, supaya ALLAH merahmatimu. Maka perasaanmu sentiasa dibuai keindahan. Ilmu engkau juga makin bertambah. Majlis ilmu adalah taman-taman syurgawi di dunia. Indah, tenang dan damai. Damai hingga ke akhirnya (apabila masuk syurga). Hiburan dan maksiat jalan mudah manusia menghilangkan bosan tetapi ia nikmat sementara, derita selama-lamanya (sampai ke mati derita kerana masuk neraka) Aku terfikir juga, para pemaksiat itu tidak kah bosan dengan maksiat? Bukankah manusia mudah bosan dengan rutin yang sama. Hati-hatilah, tak pernah bosan dengan maksiat tanda hati engkau sudah keras kejung, hitam lohong. Jika ada terdetik sedikitpun bosan dengan maksiat petanda hatimu masih punya iman. Bosan dengan ibadat? hati-hati, ini tanda munafik. huhu

Oh, ada satu lagi perkara yang manusia inginkan jika bosan dan sunyi. Mereka mahu berpasangan. Hari-hari mengadah tangan meminta jodoh. Anehnya apabila sudah berkahwin mereka tetap bosan. Buktinya masih mengaku bujang walau anak setaraf buah rambai. Bergugus-gugus. Rupanya bila bertahun mengadap muka pasangan bosan juga. Jadi aku pun bosan berfikir pasal kahwin, Lebih-lebih lagi bosan dengan percubaan cinta yang tak menjadi. Lebih-lebih lagi mendengar cerita bosan. Penderaan pasangan, tak beri nafkah, curang. Jadi apapun yang kamu lakukan, di manapun kamu berada, kamu tetap akan bosan. Jika kaya kamu akan bosan dengan kekayaan itu, jika miskin kamu akan bosan dengan kemiskinan. Nampak tak? Nampak tak? Dunia ini adalah tempat… yang tak ada apa-apa pun, sebenarnya.

Baik, aku sudah bosan dan mengantuk… Aku berhenti di sini. Jika aku berjaya membuatmu bosan, maka cerpen bosanku ini berjaya… Engkau lupa tajuk cerpen ini, Catatan Bosan?

Sekian, Terima Kasih.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.