Bunyi loceng bergema dan sejurus kemudian pintu lif terbuka. Samsir
mengorak langkah kedepan. Sejenak dia terpaku diruang pejalan kaki yang
kelihatan sepi. Pintu lif rapat semula. Lelaki itu menarik nafasnya dengan
panjang. Ada harapan tersimpul kuat didalam hatinya. Dengan perlahan dia
bergerak menyusuri ruang pejalan kaki. Udara sejuk mengigit sekujur tubuhnya.
Cota yang tersisip kemas dipinggangnya diraba-raba dengan tangan. Lampu picit
digenggam kemas ditangan kanannya. Dari satu lot pejabat ke satu lot pejabat
disusurnya. Memastikan keadaan semuanya baik dan terkawal.
Samsir berhenti didepan pejabat Jennifer. Cuba mengintai dari
celahan bidai disebalik pintu utama pejabat. Kesamaran lampu dilobi pejabat itu
membataskan pandangannya. Lehernya dipanjangkan.
“Abang cari apa?” hampir Samsir menjerit kerana disapa dengan
tiba-tiba. Pantas dia berpusing dan mendapati Jennifer sudah pun berdiri
dibelakangnya. Sedang tersenyum manis. Dan senyuman itulah membuatkan dia tidak
keruan. Semakin diamuk dengan rasa rindu.
“Err... eh... Jennifer dari mana ni?” muka Samsir pucat sendiri.
Apakah gadis itu lihat apa yang dia lakukan tadi. Terhendap-hendap macam
pencuri? Alamak! Malunya aku!
“Dari toilet abang. Tadi saya nampak abang tengok-tengok dalam.
Abang cari apa?” soal gadis itu buat kali kedua.
Mampus aku! Apa aku nak jawap? Samsir masih cuba mengawal
perasaannya. Jennifer pula tegak berdiri didepannya. Masih tersenyum sumbing
seperti tadi. Apakah dia tahu apa yang aku cari? Soalan itu memenuhi ruang
mindanya. Seketika kemudian Samsir merasakan kulit mukanya makin tebal.
Kedua-dua belah lututnya terasa lenguh dengan tiba-tiba.
“Err... abang cari...,” berpeluh-peluh dia hendak menjawap
pertanyaan gadis itu. Mukanya juga sudah dirasakan berpetak.
“Abang cari saya?” renungan mata Jennifer makin menikam.
Bagaikan hendak gugur jantung Samsir mendengar usikkan itu. Kalau
tidak dikuatkan semangat lelakinya, mahu dia sudah terlentang diatas lantai
ketika itu juga. Ya! Memang aku cari engkau! Namun kata-kata itu sekadar
bergema didalam dadanya saja. Sudahnya Samsir tersipu-sipu sendiri.
Perlahan-lahan kepalanya ditundukkan kebawah. Jennifer ketawa lagi.
“Saya takut kalau abang betul-betul cari saya.”
Samsir mendongak. “Kenapa pulak?”
“Yalah... mesti ada orang marah kan?” galak Jennifer merenung
Samsir.
“Marah? Siapa pulak yang nak marah?”
“Teman wanita abanglah,” ucap Jennifer.
Seperti ada yang lucu, Samsir meledakkan ketawanya. Kali ini
kedengaran kuat. Langsung rasa malunya cair begitu saja.
“Kenapa abang ketawa?” Jennifer bertanya dengan riak hairan. “Saya
ada salah cakap ke?”
Samsir geleng. Ketawanya masih berderai lagi.
“Habis tu?”
“Jennifer jangan takut. Tak ada sesiapa yang akan marah pada
Jennifer,” tutur Samsir dengan wajah yakin.
“Maksud abang?”
“Abang mana ada teman wanita,” sahut Samsir. Senyuman yang paling
manis dilemparkan buat gadis itu.
“Abang bohong,” ujar Jennifer berpura-pura memasamkan mukanya.
Makin besar gelak Samsir. “Lah... nak buat apa saya bohong Jennifer?
Memang saya tak ada teman wanita.”
“Susah nak percaya. Lelaki biasanya simpan perempuan lebih dari
satu,” ujar Jennifer seolah-olah benar-benar merajuk dengan jejaka itu.
Samsir memeluk tubuhnya. Rasa dingin makin kuat mencengkam. Tiada
sesiapa diruang pejalan kaki itu melainkan mereka berdua.
“Kenapa Jennifer cakap macam tu? Macam ada pengalaman aje?” usik
Samsir. Kini dia tidak lagi merasa kekok bila berada didepan gadis itu. Yang
dia tahu semakin lama dia semakin intim dengan gadis tionghua itu. Hatinya
benar-benar telah tertarik dengan Jennifer.
“Bukan saya tapi kawan saya. Memang tak percayalah abang tidak ada
teman wanita,” sambung gadis itu lagi.
“Betul. Saya memang tak ada teman wanita,” sejenak dia terhenti.
Jennifer mencebikkan bibirnya. Masih tidak percaya. Reaksinya itu mengundang
ketawa Samsir.
“Kenapa pulak ketawa?” gadis itu memuncungkan bibirnya kedepan.
Nampak lucu. Antara sedar dan tidak Samsir makin tertawan dengan gelagat
Jennifer. Kebahagiaan yang lama hilang kini muncul bersinar semula.
“Abang mengaku, dulu memang ada tapi,” Samsir terhenti.
“Tapi abang clash dengan dia?”
Samsir angguk. Sebolehnya dia tidak ingin berbicara tentang itu
lagi. Biar saja kenangan pahit itu jauh terbenam didalam dasar hatinya. Tidak
mahu diungkit lagi. Hanya menambahkan rasa bersalah dan kecewa.
“Maaf... bukan maksud saya untuk buat abang...,” tutur Jennifer
apabila melihat perubahan pada wajah Samsir.
“Tak apa,” pantas Samsirmemotong. Sesaat pertemuan itu menjadi sepi.
Masing-masing bagaikan kehilangan kata-kata.
“Saya minta diri dulu abang. Masih ada kerja yang patut saya siapkan,”
akhirnya Jennifer bersuara kembali. Bibirnya dikulum memperlihatkan sikap
keanak-anakan. Manja. Samsir tidak membantah. Dia sekadar menghantar gadis itu masuk kepejabat dengan ekor
matanya saja. Rasa bahagia yang mengeluti kolam hatinya disimpan sebaik
mungkin. Bibirnya tidak putus-putus mengukir senyum.
Ketika dia berpusing dia terkejut. Seorang lelaki bertubuh sederhana
berdiri dibelakangnya. Memandang kearahnya dengan renungan yang tidak
berkerlip.
“Awak cari apa sini?” soal Samsir terlebih dulu.
“Oh... saya nak ambil barang yang tertinggal dalam pejabat,”
kemudian lelaki itu tergesa-gesa meninggalkannya. Kemudian menghilang disebalik
pintu dipejabat tidak jauh dari pejabat Jennifer. Samsir perasan sebelum lelaki
masuk kedalam, lelaki itu sempat melontarkan pandangan yang agak tajam padanya.
Pun begitu Samsir sengaja tidak mahu ambil pusing. Cemburu agaknya, fikir
Samsir.
Butang lif ditekan dan kemudian dia tercegat menunggu pintu lif
terbuka. Seperti biasa dia menyambung semula rutinnya malam itu. Dari satu
tingkat ke satu tingkat dia jelajah memastikan keadaan sentiasa berada didalam
keadaan baik dan terkawal.
Sewaktu dia berada ditingkat dua belas dia terdengar bunyi tapak
kaki berjalan. Kuat dan bergema. Samsir berpusing cuba mencari dari mana bunyi
tapak kaki itu muncul. Lehernya dipanjangkan sementara telinganya dipasang
dengan hati-hati. Bola matanya terus diliarkan. Cuba mencari kelibat seseorang.
Hampa.
Samsir berkalih kearah pintu kecemasan apabila telinganya menangkap
bunyi tapak kaki itu muncul. Dari situ! Desis hatinya. Segera dia melangkah
mendekati pintu itu.
Samsir menjengah kedalam. Liar dia memerhatikan arah tangga menuju
kebawah. Tidak pula dia melihat sesiapa disitu. Keadaan menjadi sepi semula.
Kemana dia pergi? Samsir tertanya-tanya sendiri. Kebawahkah atau keatas?
Kepalanya didongakkan. Bahagian tangga menuju ketingkat atas gelap. Memang dia
tahu tiada sesiapa ditingkat tiga belas.
Atau barangkali ada penceroboh dalam bangunan ini? Hatinya mula
diasak dengan rasa tidak enak. Beberapa minit Samsir masih lagi tercegat
disitu. Telinganya terus dipasang dengan hati-hati.
Bunyi tapak kaki berjalan kedengaran lagi disusuli dengan dentuman
pintu yang dihempas agak kuat. Samir terkejut. Kepalanya didongakkan keatas.
Kali ini dia yakin ada seseorang berada ditingkat atas. Segera di berlari
mendaki tangga.
Sesak juga dadanya bila berlari sambil mendaki begitu. Tangannya
ditumpang kebesi tangga sebaik saja dia sampai ditingkat atas. Mengawal alunan
nafasnya yang dirasakan laju. Kedua-dua betisnya juga terasa tengang dengan
tiba-tiba. Inilah akibatnya kalau tidak bersenam. Mudah letih. Peluh didahinya
disekanya dengan tangan.
“Hoi! Siapa tu?!” dia menjerit lantang. Suaranya yang keras melantun-lantun
disetiap penjuru dinding.
Panggilannya tidak bersahut.
Samsir merasa tidak puashati. Pintu kecemasan ditingkat tiga belas
ditolak dengan kuat. Hanya kegelapan menyambutnya disitu. Lampu picit dicapai
lalu dia menyuluh kearah ruang pejalan kaki ditingkat itu. Kosong. Samsir
menelan rengkungnya. Kerongkongnya terasa kering dan perit.
Entah dimana dia bersembunyi, gumam Samsir didalam hatinya. Lampu
suluh ditangannya digerak-gerakkan lagi. Dengan berat hati Samsir berjalan
menyusur ruang pejalan kaki yang diselubungi kegelapan itu. Dengan tidak
semena-mena bulu romanya meremang sendiri. Hawa disitu terasa sejuk. Sejuk yang
tidak pernah dia rasai selama ini.
Samsir berpusing lagi tatkala dia terdengar suara orang seperti
berbisik. Seketika kemudian dia terdengar lagi bunyi pintu ditolak dan dihempas
dengan kasar. Bunyi tapak kaki berlari ditangga kedengaran kuat dan jelas.
Tanpa membuang masa dia segera mengejar. Setibanya ditangga sekali
lagi dia terhenti. Memastikan arah mana bunyi tapak kaki itu muncul. Setelah
pasti yang bunyi itu menuju kebawah Samsir terus mengejar. Sekali lagi dia
terpaksa mengerahkan tenaganya. Dari satu tingkat ke satu tingkat dia bergerak.
Tiba ditingkat lima bunyi tapak kaki itu hilang dengan tiba-tiba.
Samsir kepenatan sendiri. Tangannya ditumpangkan kedinding. Segala
sendi-sendinya terasa sakit. Uratnya mula dirasakan tegang disana sini. Peha
dan betisnya terasa bisa dan sengal. Mampus aku macam ni, seranahnya didalam
hati. Tercunggap-cunggap dia mengawal pernafasannya sendiri. Kalau boleh dia
ingin melepaskan keletihannya disitu juga.
Mana dia pergi? Soalan itu bergema dalam mindanya. Samsir
menggeleng-gelengkan kepalanya lagi. Entah kemana si penceroboh itu hilang, dia
tidak pasti. Yang dia tahu dia memang merasa penat. Tak berbaloi langsung
gerutunya lagi didalam hati.
Lampu dibahagian tangga ditingkat lima itu berkelip-kelip sendiri.
Samsir mendongak ketas. Diwaktu yang sama kelihatan sesusuk tubuh berambut
panjang melintas dibelakangnya. Samsir menoleh kerana terasa seperti ada
sesuatu dibelakangnya. Bola matanya liar lagi. Tiada sesiapa disitu. Lampu
disiling tidak lagi berkelip seperti tadi. Samsir mendengus. Wajahnya yang
berminyak diraupnya dengan tangan. Terasa lekit. Telapak tangannya juga basah
dek peluhnya sendiri.
Hawa sejuk semakin kuat memeluk sekujur tubuhnya. Samsir mengigil
kecil. Tidak pula dia tahu kenapa malam ini sejuknya lain benar.
Samsir melangkah turun untuk ketingkat empat. Sekali lagi lampu
disiling berkelip- kelip. Adakalanya ia seakan-akan ingin terpadam sendiri.
Suasana menjadi samar dan menyeramkan. Sekali lagi Samsir mendongak. Apa kena
dengan lampu ni? Rosak ke? Rungutnya didalam hati. Dalam waktu yang sama
bayangan susuk tubuh berambut panjang mucul lagi dibelakangnya. Disebalik
rambutnya yang menutupi keseluruhan wajahnya tersembul mata memandang kearah
Samsir dengan garang. Samsir pula meraba tengkuknya sendiri. Mencanak bulu
romanya berdiri tanpa dipinta.
Bayang wanita itu segera menghilang sebaik saja Samsir menoleh
kebelakang. Pangkal tekuknya diraba-raba lagi dengan tangan. Terzahir riak
keliru pada air mukanya ketika itu. Lampu disiling pulih semula seperti
sediakala. Samsir berdengus dan kemudian dia menyambung semula langkahnya.
Entah kenapa tergerak pula dia hendak menjengah sekali lagi
ditingkat empat. Bayang wajah Jennifer serta merta menerkam didalam benaknya.
Samsir menolak pintu dan melangkah masuk keruang pejalan kaki.
Ketika pintu hampir tertutup, bayang wanita berambut panjang muncul
ditepi tangga. Tersenyum memandang kearah pintu. Perlahan-lahan suara hilai
ketawanya memenuhi ruang sepi itu.