KESEMBILAN
Samsir membetul-betulkan seluarnya. Cota disisipkan kemas
dipinggang. Melihat kasutnya yang tidak berkilat. Memang dia malas hendak
mengilatkan kasut hitamnya. Tidak punya masa, itulah alasan yang selalu dia
berikan jika ada yang bertanya. Manakan tidak, pulang dari kerja dia akan
tidur. Jaganya bila matahari sudah condong kebarat. Kemudian tergesa-gesa dia
keluar untuk makan. Bila pulang semula kerumah, dia bersiap-siap untuk ketempat
kerja. Kesesakan jalan raya memaksa dia bertolak awal dari rumah. Kalau tidak,
alamat dia akan lambat sampai. Itulah yang sebolehnya cuba untuk dielakkan.
“Abang nak meronda,” ucap Samsir pada Zaidi. Pemuda itu hanya
menganggukkan kepalanya.
Samsir melangkah menuju kelif. Butang ditekan dan sebentar kemudian
dia mula bergerak menuju ketingkat yang seterusnya.
Ditingkat dua masih ada satu pejabat yang masih lagi beroperasi.
Kemudian dia ketingkat tiga. Ruang disitu sepi. Menandakan tiada sesiapa yang
berada disitu. Butang lif ditekan lagi. Entah kenapa dia dadanya berdebar-debar
sewaktu lif menuju ketingkat empat. Samsir tersenyum nipis kerana dia tahu apa yang membuatkan dadanya
berdebar-debar. Tidak lain dan tidak bukan semuanya kerana gadis cantik yang
bertugas ditingkat tersebut. Sekali lagi dia membetulkan duduk seluarnya. Biar
nampak kemas, fikir jejaka itu.
Loceng lif bergema dan sejurus kemudian pintu terbuka luas. Sempat Samsir
berdehem sebelum melangkah keluar. Ruang pejalan kaki yang sepi direnungnya.
Debaran didadanya kian rancak. Bagaikan dipalu-palu dari dalam. Dilayar
fikirannya tidak ada lain, melainkan wajah dan susuk tubuh gadis tadi yang
terbayang jelas. Dia betul-betul kerasukan. Apa makna semua ini? Dengan tidak
semena-mena hatinya bertanya sendiri.
Jatuh hati? Bisikkan itu menguasai fikirannya. Benarkah dia jatuh
hati pada gadis itu? Samsir tersenyum lagi. Kakinya mula melangkah sambil
fikirannya terus melayang-layang. Tetapi mungkinkah begitu? Jatuh hati pada
gadis yang berlainan bangsa dengannya.
Cinta itu buta! Kenyataan itu bergema dalam ruang mindanya. Orang
kata cinta itu sememangnya buta. Cinta itu tidak mengenal usia. Tidak kenal
pada warna kulit. Tidak kenal pada susur keturunan. Tidak kenal pada pangkat.
Tidak kenal pada kedudukan. Buta pada kasta. Buta tentang bangsa.
Segala-galanya buta.
Bukan perkara pelik lagi menghairankan kalau dia boleh jatuh hati
pada bangsa selain dari bangsanya. Selama ini perkahwinan campur bukan sesuatu
yang baru. Biar terpisah antara tujuh benua sekali pun, andainya sudah jodoh
akan bertemu juga. Kata orang tua ikan dilaut, asam didarat, dalam kuali
bertemu jua.
Ah kenapa harus aku berfikir sejauh ini, rungut Samsir dalam hati.
Dia bukannya sudah jatuh cinta dengan gadis itu. Sekadar memuja kecantikannya.
Tidak lebih dari itu pun. Salahkah dia merasa begitu? Memang adat manusia, suka
pada kecantikan. Biasalah tu, dia tersenyum lagi.
Semakin dia dekat dengan pejabat milik gadis itu semakin hatinya
menjadi tidak keruan. Entah kenapa sepasang lututnya terasa lembik dengan
tiba-tiba. Hendak melangkah pun dirasakan tidak larat. Pun begitu Samsir terus
mengagahi kakinya untuk terus berjalan. Bola matanya mula diliarkan. Pintu kaca
pejabat yang tertutup rapat itu direnungnya. Tirai yang menutup pintu kaca
menjadikan pandangannya cukup terbatas. Jantungnya berdegup makin kencang.
Nafasnya diatur perlahan-lahan. Dia cuba mengintai bayang gadis itu jika ada.
Hampa. Dari celahan tirai putih itu Samsir mendapati tiada sesiapa diruang
depan pejabat agensi pelancongan itu. Mana dia pergi? Mungkin dia ada dalam
pejabat, hati Samsir mengagak. Lalu dengan langkah lesu dia bergerak hingga
kehujung bangunan. Seketika kemudian dia berpatah semula kearah lif.
Sebaik saja dia melintasi pejabat tadi, dia merasakan seperti ada
angin dingin menerpa kearahnya dari belakang. Samsir kesejukan. Lalu dia
menoleh. Terkejut apabila dia melihat gadis tadi sedang berdiri dibelakangnya
sambil tersenyum.
“Kenapa abang? Terperanjat ke?” senyuman gadis itu terus
dipandangnya lama-lama. Samsir kaku sendiri. Degup jantungnya dirasakan semakin
rancak, bagaikan dipalu-palu dari dalam. Sepasang kakinya pula bagaikan melekat
kuat dilantai. Langsung tidak dapat digerakkan. Matanya terbelalak besar.
“Abang?” gadis itu menyeru dengan lembut. Pun begitu senyum manis
masih terlukis dibibirnya.
Seperti terkena kejutan eletkrik, Samsir tersentak. Kembali semula
dialam nyata. Tersengih-sengih dia menahan malu. Apakah si jelita itu tahu akan
perasaannya?
“Abang okay ke?” gadis misteri yang masih tidak diketahui akan namanya,
bertanya lagi. Kali ini dia bergerak semakin rapat dengan Samsir. Aroma minyak
wangi segera menyusuk kelubang hidungnya.
“Err... abang err... saya okay,” sahut Samsir mengelabah sendiri.
Sesaat senyum kedua mereka bertaut. Mesra dan mengasyikkan.
“Abang meronda sini ke?” ternyata sigadis masih bernafsu untuk
bermesra.
Samsir angguk dalam serba salah. Entah kenapa lidahnya terasa kelu.
Payah untuk dia menuturkan kata-kata. Yang dia tahu matanya tidak dapat lari
dari menatap sepasang mata sepet milik gadis itu. Sepasang bibirnya nipis dan
cantik. Apatahlagi tahi lalat dipipi kirinya menambahkan lagi kecantikan milik
gadis itu.
“Ya... ya abang ronda sini. Eerr... awak tak balik lagi?” biar pun
sudah tahu namun Samsir tetap mahu bertanya. Bukankah tadi dia sudah melihat
gadis itu berserta dengan temannya dilobi tadi?
“Ya abang. Saya kerja lebih masa,” sahut si gadis dengan senyum dan
sopan. Lirikkan matanya membuatkan hati lelaki Samsir jadi tidak keruan.
Berdiri tegak dirasakan salah. Hendak bercekak pinggang dirasakan macam
samseng. Hendak menumpang tangan didinding dirasakan macam along hendak minta
hutang. Apa aku nak buat ni, rungutnya didalam hati. Yang dia pasti kedua belah
lututnya mula mengigil. Dahinya sudah berpeluh. Silap-silap boleh terlentang
aku karang kalau lutut terus buat fiil, sumpahnya lagi.
“Macam itulah abang. Kami kena pastikan pelanggan kami puashati
dengan layanan kami. Kalau tak nanti takut pelanggan akan lari pula,” suara
halus itu menerobos masuk kedalam cuping telinganya. Kedengaran bergermersik.
Samsir mula dilambung oleh perasaannya sendiri.
“Saya faham,” sahut Samsir. Apa yang aku faham? Hatinya berteriak
sendiri. Kemudian dia tergelak didalam hati.
“Habis kerja pukul berapa?” soal Samsir.
“Sekejap lagi. Tunggu kawan saya,” ujar gadis bertubuh langsing itu.
Telunjukkan diarahkan kedalam pejabat. “Oh...,” melopong besar mulut Samsir.
Cuba mengintai kedalam. Tidak pula dia lihat gadis berambut pendek disitu.
Mungkin dekat belakang atau dalam pejabat, rumus Samsir lagi.
“Oh... saya nak ke toilet,” pinta gadis itu dengan sopan. Senyum
langsung tidak lekang dari bibirnya. Samsir tersentak dan membiarkan gadis itu
berlalu. Dia masih lagi memandang kearah gadis itu hingga hilang dari
penglihatannya. Sewaktu pintu lif tertutup, gadis berambut pendek menjengahkan
kepalanya dari pintu pejabat. Memandang kearah ruang pejalan kaki yang sudah
pun kosong. Kemudian dia menjuihkan bibir sambil menjungkitkan bahunya.
Sebaik saja selesai
melakukan rondaan, Samsir turun semula kelobi. Ketika dia keluar dari perut lif
dia melihat Zaidi sedang duduk bersendirian. Bersandar sambil kepalanya
ditutupi dengan topi. Perlahan telinganya menangkap alunan musik. Rupanya
pemuda itu sedang leka mendengar radio melalui telefon bimbitnya. Samsir buat tidak
kisah. Elok juga dari terus dipeluk sepi, bisik hati kecil Samsir.
Sekurang-kurangnya terhibur juga bila mendengar celoteh juruhebah radio.
“Eh... abang dah balik,” Zaidi tersedar apabila terdengar bunyi
kerusi ditarik oleh Samsir.
“Baru aje habis ronda,” ujar Samsir acuh dengan tidak. Buku laporan
dicapai. Kemudian seperti biasa dia akan melaporkan hasil dari rondaanya tadi.
Setiap dua jam mereka dikehendaki meronda. Pun begitu kebiasaannya Samsir atau
pun pengawal yang lain akan meronda kalli terakhir jam dua belas malam. Tiada
sesiapa lagi yang berani untuk ketingkat atas selepas itu. Tentu saja bangunan
setinggi dua puluh tingkat itu kosong. Yang beroperasi pun setakat hingga
ketingkat dua belas saja. Selebihnya masih kosong dan menanti untuk disewa.
“Parking kat bawah kau dah tengok?” tidak semena-mena Samsir menoleh
dan bertanya pada Zaidi.
“Belum lagi bang,” nyata mulut pemuda itu tidak lekang dari
memanggilnya dengan panggillan ‘abang’.
Mengingatkan itu Samsir segera tersengih. Wajahnya juga bertukar
ceria dengan tiba - tiba. Ya!
Gadis manis tadi memanggil aku dengan panggilan ‘abang’. Hatinya berbunga
sendiri. Terasa bahagia. Ya... sudah lama dia tidak merasa sebahagia ini. Waktu
kekasihnya memutuskan hubungan mereka lima tahun yang lalu, hatinya sering
dilanda sepi. Terasa dia hidup terasing sendiri. Manakan tidak. Tidak ada
sesiapa yang mahu bertanyakan khabar tentang dirinya. Bagaimana makan minumnya?
Sakit peningnya? Hari-hari yang dilaluinya cukup sepi dan terseksa. Tidak ada
teman yang boleh dikongsikan masalah hidup. Suka dan duka hanya dia yang
merasakannya sendiri. Tidak keterlaluan jika dia sendiri lupa bagaimana rasanya
bahagia itu. Kebahagian sudah lama menjauh dari hidupnya. Yang ada kesepian dan
kesengsaraan.
Namun sejak mengenali gadis bertahi lalat dipipi kiri itu, dia mula
terasa ada kelainan. Sinar bahagia yang dulunya hilang kini mula bersinar.
Bunga keceriaan yang dulunya layu, kini mekar dan kembang semula. Kenapa ya?
Dia tertanya - tanya sendiri.
Apakah dia memang benar sudah jatuh hati dengan gadis itu?
Cepat-cepat dia menghalau perasaan itu pergi. Dia masih cuba untuk
terus menafikannnya. Atau sebenarnya engkau takut untuk mengaku yang engkau
memang dah jatuh hati dengan dia? Pertanyaan itu bergema dalam mindanya. Samsir
diterkam dengan rasa serba salah. Keegoan engkau terlalu tinggi! Suara yang
entah dari mana itu muncu lagi. Samsir terpaku. Tangannya terhenti menulis.
Zaidi yang duduk dihujung meja masih lagi menundukkan kepalanya. Irama muzik
memenuhi ruang lobi yang sepi itu.
Ah! Apa yang aku fikirkan ni, seketika kemudian dia memarahi dirinya
sendiri. Tidak pantas untuk dia berfikir begitu. Segala-galanya masih terlalu
awal lagi. Samsir menulis lagi. Kemudian dia menutup buku laporan. Jam
ditangannya dikerling. Sudah pukul sepuluh lebih, rungutnya dialam hati.
“Di... kau pergi check parking,” arah Samsir. Pemuda itu terkejut.
Kemudian cepat-cepat dia mematikan telefon bimbitnya. Dengan langkah yang agak
lesu dia meninggalkan lobi menuju kepintu yang bersambung ketempat letak lereta.
Samsir mengambil peluang itu untuk merenggangkan urat-urat kakinya yang
tiba-tiba terasa tengang.
Wajah dan susuk gadis tadi kembali menjelma dalam fikirannya. Wajah
itu tersenyum manis. Mendepangkan tangan seolah-olah mengajak dia supaya menari
bersamanya. Samsir mula larut dalam fikirannya sendiri.
Dia akui setiap kali berdepan dengan gadis cin itu, dia menjadi
tidak keruan. Hatinya sering berdebar-debar. Puas dia mengawal, namun tidak
juga berhasil. Adakalanya dia gagal untuk menafsirkan apa yang bermain didalam
dirinya. Apa yang dia tahu dia ingin mengenali gadis itu dengan lebih dekat
lagi. Pun begitu dalam waktu yang sama dia merasa ragu-ragu.
Apakah gadis manis itu akan menerimanya? Dia takut dia akan
kecundang. Mampukah dia menerima kekecewaan? Tanpa disedarinya satu keluhan
dilepaskan dengan panjang. Air mukanya juga nampak keruh.
Samsir melorongkan matanya kearah pintu lif apabila terdengar bunyi
loceng. Menandakan seseorang akan keluar dari perut lif. Samsir tergamam
apabila melihat gadis yang dipujanya muncul bersama-sama dengan temannya yang
seorang lagi. Semakin mereka dekat, semakin kuat debaran didadanya. Sekujur
tubuhnya bagaikan terpaku. Dia sekadar terpaku dikerusinya. Halkumnya nampak
bergerak-gerak. Peluh dingin mendarat didahinya.
Ketika melintasi depan meja Samsir, sigadis berambut panjang hingga
kedada itu melemparkan senyumnya buat Samsir. Segera Samsir membalasnya.
Manakala teman gadis tadi teragak-agak mengukirkan senyum.
“Nak balik,” tegur Samsir dengan suara yangn bergetar.
“Ya...,” sahut gadis berambut pendek. Suaranya kedengaran perlahan.
Ketika gadis itu keluar
dari dalam bangunan, Samsir merasakan ada angin kuat menerobos masuk kedalam.
Tubuhnya diserang dengan rasa sejuk. Nak hujan ke? Dia mendongak memerhatikan
kearah langit diluar.
Derap tapak kaki mengejutnya. Samsir berkalih dan mendapati Zaidi
sedang berjalan kearahnya dalam keadaan tergesa - gesa.
Zaidi duduk tidak bersuara. Hanya matanya saja yang melinggas
seakan-akan mengawasi kawasan sekitar.
“Kau dah check parking?” soal Samsir. Cuba lagi mengintai kearah
luar. Namun bayang gadis yang diminatinya sudah lama menghilang. Entah kenapa
hati lelakinya menjadi sayu. Terasa bagaikan kehilangan sesuatu.
Zaidi angguk tapi diam lagi. Sekilas Samsir menjeling. Dilihatnya
Zaidi hanya menundukkan kepalanya.
“Semuanya okay ke?” soal Samsir lagi. Buku laporan sudah dibuka dan
bersedia untuk menuliskan laporan hasil dari rondaan yang dilakukan oleh Zaidi.
Sepi. Tidak ada jawapan dari pemuda itu.
“Kau dengar tak aku tanya ni,” Samsir jeling lagi. Zaidi masih
seperti tadi.Tunduk tidak menjawap.
“Zaidi,” tegur Samsir. Kali ini dia merenung kearah lelaki itu.
Tubuh pemuda yang agak kurus itu mengigil kesejukan. Jelas sepasang
tangannya mengeletar. Kakinya juga begitu.
“Heh... kau okay ke ni?’ Samsir mula tidak sedap hati. Apa sudah
jadi, hatinya berkocak sendiri. Kali ini dia mengadap teman sekerjanya itu.
Wajah dan tubuh Zaidi dipandangnya lama-lama.
“Aku tanya kau ni. Kau okay ke?”
Zaidi tetap membatukan diri. Yang jelas tubuhnya semakin kuat
mengeletar. Seolah-olah sedang duduk didalam bongkah ais. Sesekali lelaki itu
melurutkan lengannya.
Budak ni lain macam aje, sumpah Samsir didalam hati. Tidak lepas dia
memandang lelaki itu dari atas hingga kebawah. Memang ada yang tidak kena
dengan lelaki ini, rumusnya lagi.
“Zaidi,” bahu lelaki itu disentuh dengan lembut.
Zaidi terkejut. Tubuhnya tersentak kuat. Ketika itu Samsir dapat
meilhat wajah anak muda itu pucat lesi.
“Eh... kau ni lain macam ni. Kau biar betul,” ada andaian sedang
berlegar didalam tempurung kepalanya ketika itu.
Tidak ada jawapan dari Zaidi.
“Kau ada ambil ‘barang’ ke?” soal Samsir. Kali ini suaranya
kedengaran tegas. Zaidi menggeleng-gelengkan kepalanya.
“Kau jangan main-main dengan aku. Kau cakap betul-betul. Kau ada
main ‘barang’ ke? Jangan nak bohong,” Samsir tidak dapat menahan perasaannya.
‘Barang’ yang dimaksudkannya ialah dadah. Dia memang pantang sejak dulu lagi.
Zaidi geleng lagi.
“Kau jangan nak bohong. Habis ni, badan mengigil macam orang tak
dapat ‘barang’. Ni apa cerita ni!” sergah Samsir. Bola matanya kelihatan galak.
Perasaannya mula terbakar didalam. Namun Zaidi tetap menafikannya dengan
gelenggan dikepalanya. Tangan Zaidi makin kuat mengigil. Kulit mukanya juga
makin pucat. Dari celahan topi, Samsir dapat melihat sepasang mata lelaki itu
nampak bulat dan besar. Reaksinya seolah-olah terkejut.
“Kalau betul kau tak main ‘barang’ kenapa muka kau pucat lesi. Ni
mengigil tak tentu arah ni kenapa?” soal Samsir yang sememangnya punya sedikit pengalaman
dalam soal ini. Dia memang tidak pernah terlibat dengan anasir kurang sihat
itu. Cuma dikampungnya dulu dia selalu bercampur dan rapat dengan
kawan-kawannya yang mengambil benda haram menjadah itu. Dia serik dan takut
melihat nasib mereka. Hidup pun tak serupa orang. Yang ada dalam fikiran mereka
ialah dimana mereka hendak dapatkan bekalan. Lain tidak.
Dan untuk mendapatkan bekalan, mereka perlukan wang. Macam mana
mereka dapat beli bekalan kalau duit pun tak ada dalam kocek. Sudahnya mereka
jadi pencuri. Pantang barang -
barang milik penduduk kampung lepa sedikit. Sekelip mata boleh hilang.
Sudahlah menagih, mencuri pula. Samsir memang benci begitu. Memang dia ada
pengalaman rumahnya dikampung pernah dipecah masuk oleh budak-budak dadah.
Itulah sebabnya kenapa dia marah sangat.
“Kau cakap dengan aku betul-betul Zaidi. Jangan buat masalah kat
sini,” sergah Samsir lagi. Tubuh badan Zaidi diperhatikan lagi.
“Tak bang...,” suara Zaidi kedengaran bergetar seiring dengan
tubuhnya yang mengigil kuat.
“Habis tu?”
Zaidi mengangkat tangannya daan menujukkan kearah tangga dipintu
kecemasan. Samsir ikut menoleh.
“Apa hal ni?”
“Kat tempat parking... bang.”
“Kenapa?”
“Saya... saya...,” suara Zaidi tersekat-sekat. Gagal untuk
menghabiskan kalimahnya.
“Saya, apa?”
“Saya... dengar...,” semakin payah Zaidi dibuatnya.
Samsir segera mencapai botol air mineral lalu dia membaca selawat
lalu dimeminta Zaidi meneguknya. “ Dah... bawak mengucap,” arah Samsir. Syak
wasangkanya tadi mula surut dan tidak berbekas lagi. Ada perkara lain yang
menimpa pemuda itu, fikirnya.Samsir meminta anak muda itu menenangkan dirinya.
Zaidi akur. Tubuhnya disandarkan. Nafasnya yang kencang cuba dikawal. Pun
begitu dia tidak dapat menepis ingatannya tentang apa yang baru menimpa dirinya
sebentar tadi.
“Rilek Di,” pujuk Samsir. Buku laporan diatas meja ditutup kembali.
“Kau dengar apa tadi?” tidak lama kemudian Samsir bertanya lagi.
Sebolehnya dia ingin tahu apa yang berlaku pada anak muda itu. Zaidi diam lagi.
Matanya tampak merenung jauh. Barangkali sedang memutarkan kembali pengalaman
yang dilaluinya tadi. Samsir memberikan sedikit masa
“Masa saya ronda tadi saya ada dengar suara bang.”
“Suara siapa?”
Perlahan-lahan Zaidi membalas pandangan Samsir. “Saya tak tahu. Saya
toleh tapi tak nampak sesiapa pun.”
Wah! Berat ni, sungut hati kecil Samsir. “Kau biar betul Di,” ucap
Samsir dengan wajah separuh cuak. Dadanya berdebar-debar.
“Betul bang. Tak kan saya nak bohong pulak,” sahut Zaidi. Kulit
mukanya masih pucat lagi seperti tadi.
Kata-kata itu membuatkan Samsir terdiam. Fikirannya berputar-putar.
Menimbang akan ucapan Zaidi tadi.
“Perasan kau je tak?” Samsir cuba menimbulkan keraguan dipihak
Zaidi.
“Betul bang. Saya tak tipu. Nak buat apa saya tipu. Saya bukan pekak
lagi,” nyata Zaidi tersinggung dengan kata-katanya tadi. Samsir tersengih dan
berharap pemuda itu dapat mententeramkan perasaannya.
“Yelah... kadang-kadang tu bila kita sorang-sorang macam-macam benda
boleh kita bayangkan. Benda tak ada pun kita boleh kata ada,” Samsir cuba untuk
memujuk perasaan rakan sekerjanya itu.
“Tapi apa yang saya dengar tadi memang betul. Memang saya dengar
betul dengan telinga saya ni,” beriya-iya benar pemuda itu mempertahankan apa
yang diucapkan tadi. Samsir angguk perlahan-lahan. Membenarkan apa yang
didengarnya itu.
“Apa yang kau dengar?”
Sekali lagi Zaidi diam. Kali ini agak lama. Pengalaman tadi
diimbasnya kembali. Satu persatu disisipkan kemas didalam ingatan.
“Saya dengar suara orang bercakap.”
“Cakap?” dahi Samsir berkerut seribu. Zaidi angguk macam belatuk.
“Siapa?” dek kerana tidak berpuashati Samsir bertanya lagi.
“Tak tahu bang. Saya memang tahu. Macam yang saya cakap tadi, bila
saya toleh tak ada sesiapa pun kat bawah.”
Samsir menarik nafas lalu dilepaskan perlahan-lahan. Fikirannya
masih lagi berkisarkan tentang cerita Zaidi. Sesekali wajah jejaka itu
direnungnya. Biar betul budak ni, sumpahnya lagi didalam hati. Hendak kata
mabuk, mustahil pula.
“Dia cakap apa?”
Zaidi yang terkejut mendongak menatap Samsir. “Tak tahu. Saya cuma
sempat dengar dia bercakap aje. Lepas tu saya cabut. Tak sanggup bang nak
tunggu lama-lama,” sahut Zaidi. Gementar ditubuhnya mula berkurangan.
Susah hendak percaya. Setelah puas dia menimbang itulah rumusan yang
tersimpul dalam akalnya dikala itu. Mungkin benar itu semua hanyalah andaian
pemuda itu saja. Tidak lebih dari itu. Memang dia tahu ada pengawal keselamatan
yang lain bercerita tentang bangunan ini. Cerita yang menakutkan. Ada perempuan
bunuh dirilah. Ada perempuan mati ditangga dan macam-macam lagi. Meski pun
begitu dia susah hendak menghadam semua cerita itu didalam mindanya. Macam tak
masuk akal, hatinya bergumam lagi.
Kalau benarlah seperti apa yang mereka katakan, kenapa dia tidak
pernah diganggu? Tidak pernah sekali pun dia diusik. Walau pun sesekali memang
bulu romanya meremang setiap kali meronda dari tingkat demi tingkat, namun
tidak sekali pun dia dikacau oleh ‘penunggu’ bangunan ini. Keluhan berat
dilepaskan dengan wajah separuh keruh.
“Tak apa. Kau rilek ajelah,” bahu anak muda itu ditepuknya dengan
mesra. Zaidi tidak memberikan sebarang reaksi. Masih termanggu-manggu seperti
tadi. Mamai sendiri.