Samsirmenongkat
motorsikalnya dengan kemas. Kemudian dia mencapai termos dari dalam bakul.
Setelah memastikan yang dia mengunci motornya, pemuda bertubuh sederhana itu
melangkah memasuki lobi bangunan. Langsung dia tidak menghiraukan akan orang
ramai yang berpusu-pusu keluar. Kebanyakan dari mereka adalah kakitangan yang
bekerja di dalam bangunan setinggi 20 tingkat itu. Banyak syarikat-syarikat
kecil yang menyewa lot-lot yang ada di situ. Kebanyakannya di sewa oleh
syarikat swasta.
Samsir terus melangkah ke arah sebuah meja yang sememangnya
disediakan untuknya. Terus saja dia meletakkan termos di atas meja. Didapatinya
tiada sesiapapun disitu. Melilau dia mencari kelibat seseorang. Tidak pula
kelihatan di mana-mana, hatinya membentak sendiri. Orang ramai yang
berpusu-pusu keluar dari dalam bangunan tidak dipedulikan. Beberapa kakitangan
syarikat memandang ke arahnya. Dia sekadar tersenyum mesra. Seketika kemudian
dia mengerling jam dipergelangan tangannya.
“Eh... takkan tak datang lagi,” ujar Samsir mengomel sendiri.
Seperti tadi bola matanya diliarkan ke sana dan ke mari. Ruang lobi
sudah mula lenggang. Di kaunter pertanyaan ruang itu juga tidak ada sesiapa
lagi. Gadis yang biasa duduk dan melayani setiap tetamu yang hadir sudah
pulang.
Samsir melepaskan keluhannya.
Samsir baru saja ditugaskan untuk mengawal bangunan itu dari pegawai
rondanya. Arahan itu tidak dibantah. Ke mana pun jua dia ditugaskan dia tetap
tidak akan menolaknya. Lagipun dia siapa untuk besar kepala. Sekadar pengawal
keselamatan yang tidak mampu untuk membantah kata-kata orang atasan.
Sebelum ini dia ditugaskan untuk mengawal sebuah bank dipinggir
kota. Namun kerana ada masalah yang tidak mampu diselesaikan, dia ditukarkan ke
sini bersama seorang lagi pengawal keselamatan bernama Mustafa. Gilirannya pula
waktu malam! Lagipun dia memang tidak kisah kerana masih bujang lagi biarpun
umur sudah melangkau 30 tahun. Belum ada rezeki, ucapnya setiap kali
teman-temannya bertanya.
Ya... semuanya masih belum sempurna lagi, fikir Samsir. Dengan gaji
yang dia perolehi, keadaan belum mengizinkan untuk dia mendirikan rumah tangga
dengan wanita yang dia cintai. Lantaran kerana terlalu lama menunggu teman
wanitanya berlalu pergi meninggalkannya. Samsir kesal. Apa lagi yang mampu dia
lakukan? Tidak patut pula baginya untuk menyalahkan takdir yang sudah tertulis
ke atas dirinya. Memang berat rasanya ditinggalkkan kekasih. Barangkali kerana
terlalu lama menunggu membuatkan hati wanita yang dicintainya itu terdera tanpa
rela. Siapa yang sangggup mahu menunggu begitu lama? Emm...nasib akulah!
Hatinya mentertawakan dirinya sendiri. Sejurus kemudian kepalanya digelengkan.
“Ni apa hal menggeleng sorang-sorang ni?”
Samsir tersentak apabila ada suara menegurnya dengan tiba-tiba.
Lantas dia menoleh. Dilihatnya Mustafa sedang berdiri di belakangnya sambil
tersengih.
“Huh! Baru datang ke? Kau tengok dah pukul berapa ni,” seranah
Samsir pada teman sekerjanya.
“Aku dah sampai dah tadi.”
“Habis tu kau pergi mana?”
“Toiletlah. Tak tahan aku. Perut memulas aje dari tadi,” sahut
Mustafa sambil melabuhkan punggungnya dikerusi.
“Kau makan apa sampai memulas?” soal Samsir tersengih. Entah apa
yang ‘dibaham’ oleh lelaki itu Samsir tidak pasti.
“Entahlah Sam... aku pun tak tahu. Tau-tau memulas tak tentu pasal.”
“Ni mesti kau salah makan ni. Ada benda yang kau tak boleh makan
tapi kau lantak jugak,” perli Samsir. Memandang Mustafa tanpa berkerlip.
“Salah makan apa pulak. Mana ada aku makan benda yang pelik-pelik.
Selera aku tak macam tulah,” tepis Mustafa dengan wajah berkeriut.
“Habis tu? Cuba kau ingat balik apa yang bini kau masak,” soal
Samsir lagi.
Lama Mustafa termenung. Memutar kembali apa yang dihadamkan kedalam
perutnya siang tadi.
“Tak ada apa –apa pulak. Bini aku masak macam biasa aje.”
“Kau ada makan kat tempat lain ke?”
Sekali lagi Mustafa termenung. Kali ini lebih lama dari tadi. “Aku
rasalah kan...,” dahinya berkerut seribu. “Aku ada singgah tadi dekat warung
Tipah.”
Telaga mata masing-masing bertemu. Samsir tersengih “Kau singgah
warung mak janda tu lagi ke?” masih dia ingat pada Tipah yang sudah bergelar
janda. Mustafa pernah membawa dia makan diwarung itu sekali.
Tipah, nama dan susuk tubuh wanita itu tergambar jelas diruang
fikirannya. Tipah memang cantik orangnya. Tubuhnya tidak terlalu besar dan
tidak terlalu kecil. Memang ada potongan. Boleh terliur juga kalau dilihat
lama-lama. Layanan Tipah pada pelanggan-pelanggannya tidak kurang hebatnya.
Senyum manis Tipah mampu membuat hati lelaki cair dan tergoda. Apatahlagi
melihat lenggok wanita berusia lewat dua puluhan itu berjalan. Mahu tak lena
tidur dibuatnya.
Tidak hairanlah kalau warung kecil itu sentiasa penuh sesak dengan
pelanggan yang rata-ratanya terdiri dari lelaki. Termasuk Mustafa. Jarang
perempuan hendak makan diwarung itu. Dan Samsir tahu mana-mana lelaki yang bawa
isteri tidak akan singgah disitu. Macam cari penyakit! Lantas Samsir tersenyum
sendiri.
“Yang kau sengih sorang-sorang ni apa pasal?” Mustafa menegurnya
dengan tiba-tiba.
Pantas Samsir menggeleng-gelengkan kepalanya “Tak ada apa-apa.
Tulah... singgah warung mak janda tu tak cakap dengan aku. Kan dah kena,” sakat
Samsir sebelum meledakkan ketawanya agak kuat hingga menarik perhatian beberapa
orang kaki tangan yang lalu disitu.
“Banyaklah kau!” kuat Mustafa menempelak dan kemudian dia sendiri
ikut ketawa.
“Kalau kau tak sihat, kau balik ajelah,” ujar Samsir sambil
membetulkan bajunya. Seragam yang menyaluti tubuhnya terasa kasar dan berat.
Cota disisipkan kemas dipinggangnya.
“Ah... tak adalah teruk sangat sakit perut aku ni. Sikit aje,”
sanggah Mustafa.
“Sekarang memanglah. Karang kalau nak terburai tiba-tiba, amacam?”
Samsir membulatkan biji matanya.
“Alah... tandaskan banyak. Pilih ajelah karang,” sahut Musfata agak
kuat.
“Sukahati engkaulah Mus. Perut engkau bukan perut aku,” ucap Samsir
dengan wajah selamba. Sesaat kemudian masing-masing menyepikan diri. Lobi itu
terasa sunyi. Tidak ada lagi kaki tangan yang lalu disitu.
“Aku gerak dulu,” ujar Samsir dengan tiba-tiba. Dia harus melakukan
rondaannya seperti biasa. Mereka berdua akan bergilir-gilir melakukan rondaan
setiap malam. Jika Samsir keletihan, Mustafa akan mengambil giliran. Begitu
juga sebaliknya. Apabila bertemu semula dilobi mereka akan berbual sambil
bergurau. Tidaklah terasa sunyi.
Samsir melakukan rondaan ditingkat bawah bangunan. Setelah
memastikan yang semuanya didalam keadaan baik dan terkawal, dia akan beralih
pula pada tingkat seterusnya. Begitulah sehingga habis. Kemudian dia akan
menuliskan didalam buku laporan yang disediakan.
Tidak semua lot yang disewa didalam bangunan itu kosong. Masih ada
lagi kaki tangan yang bertugas. Mungkin kerana kerja perlu dibereskan dengan
cepat memaksa mereka mengambil ‘overtime’.
Samsir perlahan-lahan bergerak dari satu tingkat ke satu tingkat.
Memastikan tidak ada sesuatu yang mencurigakan berlaku. Jika tidak dia terpaksa
mengambil tindakan. Lagi pun dia tahu benar dengan tanggungjawap yang terpaksa
dia pikul. Keselamatan bangunan dan kaki tangan yang masih lagi bertugas
dibawah jagaannya. Kalau sesuatu yang buruk berlaku, dia juga yang terpaksa
menjawapnya. Keluhan nipis dilepaskan.
Kalau hendak diikutkan hatinya memang dia tidak mahu semua ini.
Meski pun begitu apa yang boleh dia lakukan? Kelulusannya tidak setinggi mana.
Jawatan penting apa yang boleh ditawarkan padanya? Syarikat besar mana yang
mahu memandangnya?
Lalu dalam kegalauan itu dia menyesali akan nasibnya sendiri. Waktu
sekolah dulu dia selalu main-main. Tidak ambil peduli dengan pelajarannya
sendiri. Bila ditegur oleh ibu atau ayahnya, dia akan membentak marah. Mukanya
masam. Bila telinganya tidak tahan mendengar leteran kedua ibu bapanya dia mula
angkat kaki. Bila lapar tahu pula dia balik kerumah dan menyelak tudung saji
diatas meja dapur. Itulah perangai yang semakin lama semakin sebati dengan
dirinya.
Kelulusannya tidak setinggi mana. Hendak diusung kesana dan kemari
pun terasa malu. Kata orang sijilnya itu hanya layak dibuat bungkus kacang
putih. Tidak lebih dari itu. Dikampungnya dulu pun dia tidak buat apa-apa.
Hendak ke kebun yang sekangkang kera dibelakang rumah pun dia rasa malas. Dia
tidak tahan berjemur dibawah terik matahari. Baru tiga empat kali mencangkul
dia sudah terasa penat. Akhirnya dia mati kutu. Sudahnya dia hanya membazirkan
masanya dengan duduk melepak diwarung disimpang kampung atau duduk berlonggok
dengan kacang hantu dikampungnya ditembok simpang. Lain tidak ada.
Hampir setahun dia begitu. Kemunculan salah seorang dari temannya
mempelawa dia bekerja kilang di Kuala Lumpur. Tidak mahu berfikir panjang dia
bersetuju. Dari situ dia mula merasai akan keperitan hidup.
Kalau dikampung segala-galanya sudah tersedia. Tetapi dikota besar
itu dia terpaksa melakukannya sendiri. Dari mula dia celik mata hinggalah
hendak tidur, dia terpaksa menguruskan semuanya sendiri tanpa bantuan dari ibu
dan ayahnya. Baru dia tahu akan langit itu tinggi atau rendah. Terkial-kial dia
sendiri. Kalau putus duit lagi parah. Dan itu memang pernah berlaku sewaktu dia
mula-mula sampai dulu. Poketnya kering. Hendak makan pun berkira. Memang dia
ada pengalaman makan tenghari dengan jemput-jemput. Seksanya cuma Tuhan saja
yang tahu.
“Belajar-belajarlah hidup sendiri,” ucap teman sekampung merangkap
teman serumahnya dulu.
“Kalau ada duit jangan boros. Ingat, kita nak makan bukan sehari.
Tapi sebulan,” kata-kata nasihat itu masih lagi terngiang-ngiang dicuping
telinganya. Malah nasihat itu makin lama makin kuat melekat didalam hati dan
mindanya.
Samsir akui kata-kata itu menjadikan dia semakin berhati-hati.
Setiap langkah yang ingin diambilnya perlu ditimbang dengan sebaik mungkin.
Tidak mahu terjerumus dalam lubang sengsara. Kelak diri sendiri juga yang akan
susah menanggungnya. Dia sudah serik. Samsir juga akui kesusahan yang dia tanggung adalah motivasi
terbaik yang belum pernah dirasakan sebelum ini. Kota sebesar Kuala Lumpur ini
benar-benar menjadikan dia manusia. Kesengsaraan yang pernah dia tanggung
menjadikan dia semakin dewasa dari hari ke hari.
Sebagai operator biasa dikilang, gajinya tidaklah setinggi mana.
Kerap kali juga dia terpaksa menambahkan pendapatannya dengan mengambil kerja
lebih masa. Kalau hendak diharapkan gajinya bulat-bulat alamat memang tidak
pernah cukup. Bayar itu, bayar ini berapa sangat yang tinggal? Hendak bersalin
baju tiga bulan sekali pun berkira. Hendak makan dikedai hari-hari memang dia
tidak mampu. Baru dia sedar bagaimana sukarnya untuk menyara hidup. Mungkin sesusah
itu jugalah bapanya dulu membesarkan dirinya dan adik beradiknya yang lain.
Samsir insaf.
Lantaran sehingga umurnya yang sudah masuk awal 30an tidak berkahwin bukan sesuatu yang
menghairankan. Biar apa pun orang lain kata , dia tidak ambil pusing. Hendak
buat apa berumahtangga kalau hidup melarat tidak serupa orang, fikir Samsir
lagi. Keluhan nipis dilepaskan lagi. Bujang pun bujanglah. Yang penting dia
ingin penuhkan poketnya dulu. Yang lain-lain cerita kemudian, hatinya berbisik
sendiri.
Pintu lif ditingkat lima terbuka lantas dia keluar. Melangkah
perlahan-lahan disepanjang ruang pejalan kaki yang sepi. Lot yang ada disitu
sudah ditutup. Terasa benar-benar sunyi. Samsir menelan air liurnya jauh
kedalam. Rasa tidak enak mula mengeluti perasaan lelakinya. Kesunyian yang ada
itu membuatkan dirinya dimamah dengan rasa takut tidak semena-mena.
Ah! Tak ada apa-apalah, dia menguatkan semangatnya. Samsir terus
melangkah. Bunyi derap sepatunya yang menginjak marmar jelas kedengaran mengisi
ruang itu. Sesekali Samsir menoleh kebelakang. Setiap lot yang disitu dijenguk.
Memastikan keadaan berkunci. Jika ada sesuatu yang mencurigakan dia tidak
teragak-agak untuk menghubungi Mustafa.
Memikirkan tentang lelaki itu hatinya tertanya-tanya sendiri. Entah
apa yang sedang dilakukan oleh rakannya itu? Masih meragam lagikah perutnya?
Atau mungkin sekarang teman sekerjanya itu sedang ‘memerut’ dalam tandas?
Samsir tersenyum sendiri.
Samsir menyusur perlahan-lahan diruang pejalan kaki. Hawa dikawasan
sekitar terasa sejuk. Dia mengosok-gosokkan lengannya dengan tangan. Kenapa
sejuk pulak ni? Hatinya berbisik sendiri. Mula rasa tidak tenteram. Samsir
terhenti dan menoleh kebelakang. Sebentar tadi dia merasakan seperti ada
seseorang. Pun begitu dia tidak melihat kelibat sesiapa pun. Alah... perasaan
engaku saja, rumusnya lagi didalam hati. Kembali Samsir mengaturkan langkah
kakinya. Setiap lot yang ada disitu diperiksanya.
Seketika kemudian dia terhenti apabila terdengr bunyi loceng lif.
Lama dia berdiri tercegat dan menanti. Nafasnya dilepaskan dengan perlahan.
Siapa?
Dia binggung apabila tidak melihat sesiapa yang muncul diruang
pejalan kaki itu. Tak kan pintu lif terbuka sendiri? Hatinya mula diasak dengan
pertanyaan itu.
Pemuda bertubuh sederhana itu merasa tidak puashati lalu berpatah
semula menuju ke lif. Pintu lif tertutup rapat. Dia memerhatikan butang nombor dibahagaian atas pintu lif.
Tidak ada apa-apa yang musykil. Tapi tadi...
Bulu romanya merinding dengan tiba-tiba. Dengan tidak semena-mena
dia merasa tidak sedap hati. Entah kenapa dia merasakan seperti ada sepasang
mata yang sedang memerhatikan kearahnya. Samsir berpusing dan mengawasi kawasan
sekitar. Tidak ada apa-apa yang aneh, pada pandangan matanya. Air liurnya
ditelan dengan penuh rasa seksa.
Samsir baru saja ingin menekan butang lif apabila dia terdengar
bunyi muncul tidak jauh dari tempat dia berdiri. Bunyi sesuatu berlaga. Samsir
mengerutkan dahinya. Bunyi apa yang dia dengar tadi? Dadanya berdebar-debar.
Rasa tidak tenteram makin kuat bersarang dikolam hati mudanya.
Matanya dicerunkan kearah bunyi yang muncul tadi. Langkah kakinya
diatur perlahan-lahan sambil telinganya terus dipasang dengan hati-hati.
Bunyi itu muncul lagi. Bunyi pintu ditutup agak kasar. Pantas Samsir
bergerak kearah lot itu. Sejenak dia berdiri didepan pintu cermin pejabat.
Tirai yang menutup pintu kaca itu membatasi pandangannya. Terjengah-jengah
dia sendirian. Masih ada orang ke
didalam? Samsir masaih tidak puashati.
Samsir memegang tombol pintu dan cuba membukannya. Jelas! Ianya berkunci.
Mustahil ada orang didalam, fikirnya. Atau mungkin pintu itu dikunci dari
dalam? Apa yang dibuatnya? Samsir mengetuk pintu kaca beberapakali. Mahu
menarik perhatian walau seiapa pun yang ada didalam. Jam ditangannya dilirik.
Waktu sudah merangkak ke angka lapan malam. Masih ada yang kerja lebih masa,
fikir pemuda itu lagi.
Pintu kaca diketuk lagi beberapakali. Kali ini lebih kuat dari tadi.
Pun begitu ketukannya tidak bersahut. Tidak ada kelibat sesiapa yang muncul
dari dalam pejabat. Samsir merengus dengan wajah yang mencuka.
“Hello!” dia menyeru agak lantang.
Sepi. Tidak ada yang menyahut panggilannya. Apa aku nak buat ni,
fikirannya menimbang-nimbang sesuatu. Haruskah dia menghubungi Mustafa? Tapi
untuk apa? Bukannya dia punya kunci pendua. Samsir mengintai lagi kedalam.
Kemudian dia mengeluh kasar. Tirai didalam benar-benar menghalang pandangannya.
Samsir kemudiannya mendongak memerhatikan papan tanda syarikat dibahagian atas
pintu pejabat. Pejabat itu milik sebuah agensi pelancongan. Bagaikan patung,
Samsir berdiri tegak seperti orang dungu. Sesekali matanya mengintai lagi
kedalam. Seperti tadi tidak ada apa-apa yang anehnya didalam. Bayang manusia
pun tidak kelihatan. Tapi bunyi tadi...
Perasaan aku saja kot? Rumusnya didalam hati. Mengerahkan mindanya
lagi. Menimbang apakah yang dia dengar tadi satu realiti atau pun sekadar
mainan perasaannya saja. Samsir menjungkitkan bahunya lalu dia kembali menuju
kearah elevetor. Masih banyak lagi kerja yang dia perlu selesaikan.