Home Novel Kisah Hidup Senaskhah Hidup (Sudah Terbit)
Senaskhah Hidup (Sudah Terbit)
Meja Editor
10/10/2023 10:45:08
1,221
Kategori: Novel
Genre: Kisah Hidup
Senarai Bab
Bab 3

Firus Penthouse Studio, Kuala Lumpur.

"MENYESAL aku kumpul novel-novel dia. Aku nak duit aku balik!"

"Rasa bodohlah. Buta-buta kena tipu macam ni. Sia-sia sepuluh tahun aku habiskan masa baca novel dia."

"Muka lawa, perangai Yahudi!"

"Lawa ke? Aku kalau tengok perangai buruk macam ni, automatik muka dia pun nampak buruk."

"ALLAHU ... tak takut ke balasan di akhirat? Sanggup makan duit hasil menipu orang."

"Sebagai penulis, anda sepatutnya bijak menulis, bukan bijak meniru!"

"Dia ni memang kuat bragging kan. Sekarang dah makan diri."

"Siapa suruh minat dia? Padan muka."

"Dah buat salah, tak minta maaf pula. Diam macam tu je. Patutlah tak kahwin kahwin, ego tinggi."

"Kau ni apa? Kau tinggal sini ke?'

"Makan duit hasil mencuri, menipu. Boleh pula hidup senang-lenang. Inilah yang dinamakan istidraj."

"Tak kenal. Next."

Zara mencampakkan iPad ke bean bag. Nafasnya kencang. Matanya berair, tetapi tidak menitis. Giginya digetap-getap kuat. Dia memegang kedua-dua pipi, silih berganti.

'Panas.'

Gadis itu bangun menuju ke singki dapur. Dibasuhnya muka berkali-kali. Nafas masih kencang.

Dia memejam mata, mula menghela nafas dalam-dalam dan menghembuskannya perlahan-lahan. Beberapa kali diulang, hingga pernafasannya kembali teratur. Dia mencapai gelas, mengisikannya dengan air dingin daripada mesin penapis. Dia duduk, membaca selawat tiga kali, lalu minum.

Loceng berbunyi. Zara bangun dan menjenguk skrin video interkom. Terus dia menekan butang Door 1.

Pintu terbuka. Ji Ah masuk.

"Aku nak tidur."

"Lah! Aku baru sampai kut."

"Siapa suruh kau datang?"

"Oi!"

*****

JI AH duduk memeluk lutut di sisi Zara yang berselimut rapi di atas katil. Sesekali, sahabatnya itu ditoleh. Kemudian, dia mengeluh.

"Sampai bila kau nak macam ni?"

Tiada respons.

"Kau ingat, kau buat perangai macam ni, ALLAH nak tolong tarik balik bala tu?"

"Diamlah."

Mengeluh lagi Ji Ah, lebih berat daripada tadi.

"Yang kau pergi baca semua komen netizen tu, siapa suruh?"

Zara bangun sedikit, mengangkat bantal lalu menekup kepalanya.

Ji Ah menggetap gigi dan beraksi seolah-olah mahu menumbuk Zara.

"Kau buat macam ni, lagi orang yakin kau memang salah, tahu tak?"

"Hei, bisinglah!"

Zara bingkas bangun. Matanya merah. Sembap. Dia merenung tajam Ji Ah. Ji Ah membalas dengan renungan lebih tajam.

"Kenapa orang maki aku sampai macam tu? Kenapa orang percaya cakap perempuan tu? Dia siapa?"

Ji Ah menjongket kening.

"Aku bukan baru sebulan dua dalam industri ni. Sepuluh tahun! Tapi, orang percaya cakap dia. Dia siapa? Novel apa dia tulis? Krystal? Krystal who? Eh, bodohlah semua ni!"

"Hai, Zahra binti Razif. Selamat datang ke zaman distopia."

Zara menggenggam kuat kedua-dua tangan. Nafas ditarik dalam-dalam dan kali ini dihembus kuat.

Ji Ah sambung berujar, "Sekarang ni, orang dah tak peduli dosa. Nikmat bersembunyi di sebalik skrin. Kalau ada dua orang bertelagah, seorang selebriti dan seorang lagi tak dikenali, maka secara automatik selebritilah yang dihukum. Sebab, selebriti ni memang dah dikenali, jadi mereka tak perlu susah payah tabayyun. Boleh terus saja dihentam."

"Kenapa bebal sangat? Kenapa mereka berfikiran dangkal macam tu sekali?"

Ji Ah jongket bahu. "Kesan penjajahan."

Mata Zara mengecil memandang Ji Ah.

"Kau pun sama. Laju menghukum penjajah."

"Excuse me. Aku lain. Aku dah tabayyun, okey. SPH terbitkan banyak buku sejarah, semua aku baca. Jadi aku buat kesimpulan, ini semua salah penjajah. To be specific, the Brits."

"Dah lebih 60 tahun kita bebas daripada penjajah. Hampir 70 tahun kita dipimpin oleh bangsa kita sendiri. Takkan masih salah penjajah?"

"70 tahun tu salah ahli politik. Mereka yang sambung tradisi penjajah membodohkan rakyat. Parti apa pun sama je. Dah kenapa kita berbincang soal bangsa dan penjajahan ni sekarang?"

Zara memuncung.

"Fidel balik bila?"

"Manalah aku tahu."

"Bos kau, takkan kau tak tahu?"

"Aku ketua editor, bukan PA dia. Lagipun dah dekat dua minggu kami tak dapat hubungi dia langsung. Entah apa hal di Eropah tu."

"Takkan dia tak kisah pasal Hanani?"

Ji Ah jongket bahu.

"Pelik juga. Mustahil sangat kalau dia tak kisah. Loving couple kut."

"Tapi kalau dia tahu, mesti dia bergegas balik, kan? Dah lama ni."

Wajah Ji Ah berubah. "Entah, entah ... sebab tu dia tak balik-balik, dan ... OMG, tak dapat dihubungi!"

Ji Ah ternganga mendengar kata-kata sendiri. Bulat matanya memandang Zara.

"Kau rasa ...."

Laju Zara menampar paha Ji Ah.

"Hoi! Minta jauh! Tak mungkinlah!"

Berkerut-kerut kening Zara. Katanya disambung, "Aku kenal sangat dia. Tak mungkin dia buat benda tak elok. Dia masih ada Idie, kan."

Ji Ah angguk. Zara termenung seketika.

"Harap dia balik cepat."

*****

LAMBAT-LAMBAT Zara menyuap sepotong epal Fuji Korea ke mulut. Matanya terarah ke skrin TV, tetapi pandangannya kosong.

"Kau rasa, apa akan jadi pada aku lepas ni?"

Ji Ah mencerunkan mata memandang Zara.

"Apa akan jadi pada kau lepas ni, kau yang tentukan."

Zara mengeluh berat.

"Nak tentukan macam mana? Kau tengoklah, dah dua minggu, orang masih belum berhenti kecam aku. Siap selongkar butiran peribadi aku, paparkan gambar keluarga aku, kereta aku, rumah ayah aku, rumah ni. Aku takutlah."

Zara menguis-nguis potongan epal dengan garpu.

"Fidel pula hilang entah ke mana. I'm so lost."

Ji Ah tidak peduli. Matanya tekun menonton rancangan aneka ragam Korea di TV.

"Kau tahu, hari tu aku turun nak ambil makanan Grabfood. Kau tahu apa budak rider tu cakap?"

"Apa?"

"Dia cakap ... 'ni akak yang curi novel orang tu, kan?'"

Ji Ah mengeluh. "Rider pun kenal kau?"

Wajah Zara sepertinya akan hujan kembali.

"Apa salah aku, Ji Ah?"

"Salah kau ialah kau tak ke depan untuk tegakkan kebenaran."

Zara terkulat-kulat.

Telefon Ji Ah berbunyi tanda mesej masuk. Dia membukanya. Kening berkerut. Mata terbelalak!

"WTH!"

Terkejut Zara. Dia memandang sahabatnya dengan wajah hairan.

"Apa?"

"Perempuan tu."

"Siapa?"

Belum sempat Ji Ah menjawab, Zara merampas telefon. Tertera Instagram Story berlatar merah jambu terang dengan beberapa stiker api dan hati menari-nari. Pemiliknya, Krystal Ali. Perempuan itu.

"Guys, novelis tu bukan just kaki plagiat you know. Kaki penyondol laki orang too. Nak tahu? Bos company yang publish novel dia tu, ex bf dia. Campus couple. That guy tu now dah kahwin dengan girl lain, dah ada kids. Tapi that so-called novelist still masih not shame terbit novel with that guy tu. Uols rasa?"

Merah padam wajah Zara. Dia menekup wajah ke bantal dan meneriakkan kata-kata makian dalam segala bahasa yang dia tahu. Kemudian, dia meletakkan semula bantal itu.

Tercungap-cungap Zara berkata, "Apa hal dia ni? Apa yang dia tak puas hati sangat dengan aku?"

"Entahnya! Kau kenal dia pun tak. Tiba-tiba buat serangan berdas-das macam ni. Kau caras laki dia ke?"

Bulat mata Zara. "Itu soalan cari gaduh ke apa? Kau sendiri tahu, lepas Fidel aku tak ada sesiapa."

Ji Ah menjongket bahu. "Manalah tahu."

Zara duduk memeluk lutut. Tubuhnya berayun-ayun ke hadapan dan ke belakang.

"Matilah aku. Lagi teruklah aku kena kecam sekejap lagi."

Sekali lagi telefon Ji Ah berbunyi. Tertera nama penghantar mesej: "Muaz Editor".

Muaz: Laju betul portal-portal ni pick up. Gambar bos dah tersebar.

Ji Ah mengeluh. Masuk satu lagi mesej.

Muaz: Tapi netizen puji bos handsome.

Ji Ah mengerling sekilas kepada Zara, kemudian berdeham. Dia menaip mesej balas.

Ji Ah: Well. Itu memang betul, tapi tak penting. Sekarang ni, netizen tulis apa pasal Zara?

Muaz: Akak kena baca sendirilah. Saya tak sanggup nak skrinsyot. 😭

Ji Ah: 🤔

Ji Ah: Belum ada apa-apa berita daripada bos?

Muaz: Belum, kak. Tapi Tuan Izman ada beritahu, bos patutnya balik lusa.

Ji Ah: Harap diabetul-betul balik.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.