Home Novel Fantasi Ekspres Jupiter (Sudah Terbit)
Ekspres Jupiter (Sudah Terbit)
Meja Editor
10/10/2023 10:05:24
5,192
Kategori: Novel
Genre: Fantasi
Senarai Bab
Bab 3

TEJA mengemaskan ikatan tali jerut treknya. Kembali duduk bersila di tepi gelanggang senaman lantai, dia mahu mencapai beg dufel apabila menyedari yang dia masih belum menanggalkan handgrip. Lalu dia menarik pelekat velkro handgrip di sekeliling pergelangan. Kemudian tingkahnya itu terhenti. Teragak-agak dia seketika sebelum perlahan menoleh ke kanan.

Sesaat cuma memandang radas palang bertingkat, namun sudah cukup membuatkan seluruh tubuhnya terasa bagai disedut ke dalam perut. Merengus, dia lekas-lekas mengalihkan pandangan. Tegang wajahnya lalu menanggalkan handgrip dengan kasar. Tidak puas dengan itu, handgrip yang tidak bersalah itu dicampak sekuat hati ke lantai. Terus merenung alat bantuan itu, perasaannya berbaur-baur.

"Apa dah jadi, Teja? Kenapa kau buat macam itu tadi? Astaga, bahaya betul kau ni, Teja!"

"Jatuh."

"Sebelum awak naik low bar tadi saya dah perasan awak macam takut-takut. Waktu floor, vault dan beam awak tak nampak takut macam tadi."

"Jatuh."

"Mengaku terbaik konon, tapi takut kat uneven bars. Terbaik apanya macam tu?"

"Dia akan jatuh!"

"Jadi, awak okey tak ni? Jatuh macam tadi tu, syukur awak tak apa-apa, tahu tak?"

"Dia mesti jatuh!"

"Sebenarnya apa masalah kau ni Teja?"

"Jatuh!"

*****

KASAR Teja meraup muka cuba menghilangkan suara-suara yang bercampur garis masanya itu. Sebaik sahaja menyedari tangannya akan terlepas daripada palang tadi, Teja berfikir sekurangnya-kurangnya dia boleh melakukan pendaratan, walaupun bukan pendaratan yang sempurna. Tetapi mungkin dia tidak tahu bahawa daya yang terkumpul akibat gerakan tap swing tadi akan menggagalkan niatnya. Lalu jatuh terhempaslah dia di atas tikar pendaratan.

Teja yakin kepalanya terhantuk kuat sewaktu terhempas berdasarkan jeritan Coach Flora dan Coach Badrol tadi. Berbanding kesakitan, Teja lebih merasakan kekecewaan akibat kekalahan. Sehingga dia bagaikan tidak mampu untuk bangun. Dan sekali lagi membuatkan kedua-dua jurulatih riuh kerisauan. Jika bukan kerana Teja berkeras yang dia berada dalam keadaan baik-baik, tentu sahaja Coach Badrol akan membawanya ke bilik rawatan dalam kompleks sukan itu.

Teja berhenti meraup muka. Mungkinkah ini balasan buatnya kerana bercakap besar tadi? Berani mahu bersaing dengan gimnas lain, walhal dia sampai sekarang pun masih tidak dapat melakukan rutin penuh di radas palang bertingkat. Melihat radas gimnastik itu pun dia sudah berdebar-debar. Ternyata dia masih belum 100 peratus melupakan insiden 11 tahun lalu yang mendorongnya untuk berhenti berlatih sukan ini.

Perasaan putus asa begitu kuat mahu berdamping dengannya sehingga Teja berasa mahu teresak di dalam dewan latihan yang kini hanya tinggal dia sendirian di dalamnya. Namun lekas-lekas dia menelan liur, berdeham dan mengutip kembali handgrip-nya tadi.

"Aku tak akan pulang selagi aku tak dapat selesaikan rutin tu."

"Helo, jiranku."

"Hoi!" Terjerit Teja sehingga terlempar handgrip dari tangan.

*****

SUARA tawa yang meledak membuatkan Teja berpaling ke arah pintu masuk dewan. Cuak di wajahnya langsung hilang sebaik melihat Jimmy di situ, memegang perut dan ketawa sehingga tenggelam matanya. Teja menelan liur, cuba menenangkan debaran di dada. Ternyata biarpun sudah beberapa tahun berlalu, jantung Teja tetap berpesta setiap kali terlihat Jimmy. Mungkin tidak serancak dulu, namun tetap boleh membuatkannya gementar.

"Aiyah jiran, itu pun mahu terkejut?" komen Jimmy dengan gelaknya yang masih bersisa.

Teja berdeham kecil, tergesa-gesa menarik keluar jaket berhud dari dalam beg sebelum menyarung ke tubuh. Dari hujung mata dia sempat mengimbas penampilan Jimmy ketika itu. Berbaju-T, bertrek, berkasut kanvas serta menyandang beg raket badminton. Pakaian rasmi Jimmy setiap kali pulang dari latihan badminton.

Jimmy tersengih, mungkin menyedari Teja sedang merenungnya dan langsung sahaja menayang senyuman bertaringnya sambil menguak rambut hadapan. Teja terus mengalihkan pandangan.

Melihat senyuman Jimmy tadi, Teja tidak terlalu hairan apabila Jimmy dikatakan sebagai salah seorang hot stuff di kompleks sukan ini. Charming. Iras pelakon kacak Hong Kong tahun 90-an. Memang sejak zaman sekolah menengah lagi anak jiran sebelah rumahnya yang berbangsa Tionghua itu mudah membuatkan orang terpikat.

Dan Teja adalah salah seorang daripada pemuja Jimmy tika itu. Dia merasakan yang dia memiliki kelebihan kerana tinggal berjiran dengan lelaki itu di Taman Tulip. Pendek kata, peratusan untuk dia melihat Jimmy lebih tinggi berbanding peminat-peminat Jimmy yang lain. Tetapi apa yang dikatakan orang sebagai childhood crush terhadap Jimmy hanya memberinya kenangan memalukan. Sebab itu Teja berasa tidak begitu selesa apabila melihat kehadiran Jimmy di situ, setelah sekian lama.

"Kau buat apa datang sini?" soalnya acuh tak acuh sambil berdiri.

Dewan Sri Cempaka, tempat Kelab Gimnastik Sparrow berlatih ini jaraknya hanya berjalan kaki dengan Kompleks Sukan Kota Kinabalu. Tetapi tiada keperluan pun untuk Jimmy datang ke situ setiap kali selesai latihan badminton di kompleks sukan sana.

"Nak tengok kaulah, jiran. Aku tahu time macam ini kau sudah habis training, sebab tu aku datang."

Teja mencebik perlahan dan mengutip handgrip-nya semula. Dia mahu segera beredar dari situ. Sepatutnya dia terus pulang sahaja tadi sebaik tamat latihan, bukannya melayan perasaan. Biar dia tidak perlu terserempak dengan Jimmy.

"Aku hantar kau balik ke flat. Kat Asia City, kan? Jom." Jimmy menawarkan apabila melihat Teja mulai mengemas beg.

"Bas masih ada lagi waktu ni. Tak ada bas, aku boleh naik e-hailing."

"Aku ada kereta, tapi kau masih susah-susah nak naik bas pula? Apalah kau ni, jiran." Jimmy berkata.

"It's okay. Aku dah biasa naik baslah, Jimmy." Teja terus berdalih. Senyuman Jimmy kendur.

Dia memerhatikan Teja menyarung stoking sebelum merenung kasut di sisi Teja. Perasan akan mata Jimmy itu, Teja lekas-lekas menyarung kasut kanvas merah gelapnya.

"Kau cakap kau kerja di Centre Point, kan? Kedai mana?"

"Kedai gambar saja."

"Tingkat berapa? Ahad ni aku cuti, masa lunch aku belanja makan. Kau belum pernah makan kat Borenos, kan? Nanti kita makan kat situ."

"Madam memang dah sediakan makan tengah hari. Jadi kami tak keluar makan kat luar. Jimat masa dan duit."

"Takkanlah bos kau tak boleh bagi kelonggaran untuk staf dia makan kat luar?"

"Alang-alang Madam dah sponsor makan tengah hari kan, sayang pula aku rasa kalau nak makan kat luar. Kenalah berjimat cermat, kehidupan keras sekarang ni."

Teja cuba menayang senyum, namun sedar barangkali senyuman itu kelihatan kekok apabila melihat Jimmy hanya berdeham kecil.

Kalau tadi senyuman Jimmy lebar pada standardnya, kini lelaki itu terlihat memasang riak serius. Tanpa berkata apa-apa lagi, dia hanya merenung Teja sehingga kurang selesa Teja jadinya. Lalu Teja berdiri, menepuk-nepuk belakang treknya.

"Okeylah, aku balik dul–"

"Serius aku tak faham dengan kau sekarang ni, jiran," Jimmy memotong ayatnya.

Teja tercengang.

"Tak faham?" soalnya kemudian.

Jimmy tergeleng-geleng sebelum melepaskan keluhan panjang.

"Aku nak tumpangkan kau pulang, kau tak nak. Aku pelawa keluar makan, pun kau tolak." Katanya.

Teja terus diam, masih tidak faham maksud Jimmy.

"Kalau semuanya kau tolak, aku tak faham. Buat apa kau datang ke KK ni?"

Bertambah-tambah bingung Teja apabila mendengar soalan itu. Dia memandang sekeliling dewan, memerhati setiap radas gimnastik yang ada di situ sebelum kembali memandang Jimmy.

"Sebab apa lagi aku datang ke sini?" Dipulangkannya soalan itu semula.

Jimmy mendengus perlahan, tergeleng-geleng dalam senyum. Dia menyandar pada pintu dewan.

"Aku tahu. Aku faham, bukan senang nak lupakan seseorang. Kadang makan masa bertahun. Lagipun bila last sekali kau nampak aku? Bila ya? Oh ya, waktu aku pulang ke Tawau dua tahun lalu kalau tak silap, kan?"

Teja tidak menjawab. Jimmy mungkin tidak menyedari kebingungan pada mata Teja dan terus sahaja menyambung.

"Aku terkejut juga apabila nampak kau training kat kompleks ni. Sebab Joyce pernah cakap kau ni sampai bila-bila pun tak akan keluar dari Tawau." Jimmy gelak kecil lalu tergeleng-geleng.

Teja lantas membayangkan wajah adik perempuan Jimmy yang lima tahun lebih muda daripada mereka berdua. Joyce merupakan rakan sepasukannya dalam pasukan gimnastik artistik di sekolah menengah dulu. Walaupun berjiran, malah sepasukan pula tetapi Teja tidak berapa rapat dengan adik Jimmy itu. Mungkin sebab dia tidak tahan melihat senyuman Joyce yang seolah-olah mengejeknya kerana berani menyimpan perasaan pada Jimmy. Maka Teja sedaya upaya mengelak daripada bertemu empat mata dengan adik-beradik Lee itu.

"Sebab aku tahu tak mudah kau nak buat keputusan untuk datang ke sini. That is why jiran, I'm trying my best to be nice to you." Jimmy menyambung.

Teja bercekak pinggang.

"Sebab apa aku datang ke sini?" Dia ulang soalan itu.

Jimmy menjongket bahu, mengangkat kening tinggi-tinggi.

"Sebabkau masih suka aku, kan?"

=====

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.