Home Novel Cinta Demi Andrea
Demi Andrea
Ann Hann
1/3/2020 15:27:33
691
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
Bab 2

“Kau berasal dari mana di Sepanyol?”


“Granada.”


Karius mengangguk-angguk. Jelaslah dia sudah tahu di mana kedudukan Granada sebab dia tidak bertanya lagi tentang keadaan Granada itu macam mana? Berbukitkah? Kekampungan kah? Dia hanya mengangguk kerana tahu benar tentang negeri yang terkenal dengan sejarahnya pada suatu masa dahulu. Jadi Andrea pun tidak menceritakan lebih lanjut.

Langkah mereka berdua semakin jauh meninggalkan kawasan pusat judi yang terkenal di dunia itu.


“Aku baru berhenti kerja,” kata Andrea selepas mereka tidak bercakap untuk seketika. Bunyinya macam betul biarpun Andrea sedar yang dia sebenarnya sudah terus-menerus membohongi Karius. “Aku nak bercuti dan makan angin di Amerika ni, sebulan dua agaknya dan pergi melawat kakak aku di New York,” cerita itu seakan-akan sudah dituliskan dalam sebuah nota dan Andrea terkejut dia seperti sudah menghafalnya sebagai bahan perbualan antara dia dan Karius.


“Oh, baguslah, banyak tempat cantik di New York boleh kau lawat nanti,” jawab Karius tanpa merasa curiga.


“Kau kerja apa di Washington?” giliran Andrea pula bertanya.


“Askar. Bekas askar.”


“Oh!” Andrea terkejut sekejap. Dia menutup mulutnya kerana betul-betul terkejut mendengar pekerjaan Karius itu sehingga dia tidak pasti samada hendak meneruskan perjalanannya. Bahkan dia sendiri mejadi ragu dan entah kenapa dia boleh bersikap tiba-tiba gugup. Andrea menoleh kepada Karius yang turut memandang  dengan senyuman dan kening yang terangkat.


“Kau terkejut?” Karius tersenyum.


“Sebab kau bekas askar. Err, akukan hampir tertangkap di pusat judi tadi sebab tu aku terkejut, tapi kenapa kau berhenti dari bidang pertahanan itu?”


“PTSD. (Post Traumatic Stress Disorder) Kecelaruan emosi berpanjangan yang berlaku selepas seseorang berhadapan dengan sesuatu tragedi dalam hidup mereka. Jangan risau aku takkan tangkap kau,” jelas Karius dengan begitu tenang sebelum ketawa kecil.


“Apa yang berlaku?”


Karius menghela nafas panjang sebelum bersuara. “Kerja di medan perang bukan saja melibatkan fizikal tapi juga kekuatan mental. Perang di Syria dan negara Arab lainnya buat aku tertekan. Aku bertugas sebagai penembak tepat. Kau tahu apa tugas penembak tepat?”

Andrea  menggeleng laju. Mereka berdua kembali melangkah menyusuri tepian bangunan yang bercahaya terang-benderang.


“Aku diarahkan menembak sesiapa saja yang boleh menyebabkan ancaman kepada rakan setugas yang lain. Tak kira sasaran aku tu lelaki, perempuan, malahan anak kecil. Kadang-kadang ada budak-budak yang dijadikan umpan sebagai kubu untuk buat rasa belas wujud. Tapi aku sudah dilatih untuk tidak menunjukkan belas. Lama-kelamaan,  semua itu menganggu emosiku, aku tak sanggup melihat kanak-kanak menjadi mangsa, kematian mereka sia-sia dan ramai lagi yang menjadi mangsa penderaan emosi akibat perang di negara mereka sendiri. Gambaran-gambaran buruk, hilangnya perikemanusiaan…ahh… aku tak sanggup hadapnya lagi. Selepas pulang dari sana lima tahun yang lalu aku mengalami rawatan mental yang serius. Trauma dan ketakutan,” cerita Karius itu belum lagi berakhir, dia cuma terdiam seketika mungkin sebab dia tidak mahu mengingatinya semula.


“Karius? Err… kau okey ke?” tegur Andrea.


“Ya… ya…” Karius seperti baru tersedar dari hayalannya dan berpaling melihat Andrea. “Oh, aku okey, aku dah sembuh sepenuhnya, tanpa dadah.” Dia tersenyum kemudian.


“Aku pernah tengok dokumentari pasal perang di Syria. Rancangan tu sangat menyayat hati. Kadang-kadang aku tak faham sangat juga apa yang terjadi kepada mereka tapi aku menangis melihat dokumentari tu… aku dapat rasakan kekecewaan, ketakutan doktor-doktor, jururawat, pembantu hospital bawah tanah itu, mereka sangat menderita.” Andrea berhenti bercerita, dadanya sebak. Karius pula terlalu sopan dan setia menjadi pendengar. Oleh lelaki itu langsung tidak menyampuk Andrea menghabiskan luahan cerita pasal perang.


“Aku tak habis fikir kenapa ada sebahagian kawasan di dunia ini ada orang yang masih menderita akibat peperangan…” sambungnya dengan nada sedih dan mereka berdua masih jalan beriringan melalui tepi-tepi lorong yang mula sunyi sambil Andrea berwaspada.


“Sentiasa ada sebabnya kenapa perang berlaku,” sahut Karius dengan suaranya yang perlahan tetapi menusuk hati.


“Tapi aku tak faham kenapa, kenapa mereka harus bertelagah, kenapa ada pemimpin yang kejam kepada rakyatnya sendiri, kenapa kanak-kanak, wanita-wanita yang tak bersalah jadi mangsa…” Andrea masih bernada sedih.


“Ketamakan, gila kuasa memang selalu jadi punca tercetusnya peperangan,” Karius menjawab dengan jujur.


“Tapi, tanpa sesiapa sedar ada juga wanita yang tinggal di luar dari kancah peperangan hidup teraniaya, kau tahu?”


Pandangan mereka berdua bertembung dengan Karius mengangguk kecil tetapi enggan menganggu cerita Andrea.


“Wanita yang jadi hamba seks, hidup semata-mata demi meneruskan kelangsungan hidup. Mereka dianiaya oleh lelaki yang tak bertanggungjawab dan perempuan-perempuan itu tidak pernah meminta melakukan itu semua, mereka dipaksa, didera…” Andrea kembali sebak mengenangnya. Hidup dalam kegelapan dan tanpa hala tuju, tanpa masa depan. Tiada sesiapa yang mahu memilih kehidupan begitu. Malah kalau diberi pilihan, dia lebih suka hidup di dalam hutan sendirian. Bunyi di sekelilingnya seakan-akan senyap lalu digantikan dengan suara-suara kasar membentak dan berbaur ketakutan. Tidak ada kebebasan. Tidak ada jalan keluar. Keadilan tidak wujud di tempat seperti itu.


“Andrea…”


Dia mendengar namanya disebut. Tetapi suara itu seperti dalam bekas kedap udara. Jauh dan sayup-sayup kedengaran.


“Andrea…” panggil suara itu lagi.

Kemudian bahunya dipegang.


Andrea tersentak, dia seperti baru sahaja ditarik keluar dari dunia kegelapan tadi dan bangunan-bangunan tinggi, jalanan yang di latari lampu-lampu jalan menjelma di hadapan mata. Andrea menoleh kepada Karius, wajahnya seperti habis dipukau dan kosong.


“Kenapa? Kau nampak pelik?” Karius kehairanan.

Sesaat yang berdetik Andrea hanya tersengih dan menggeleng. “Tak, tak ada apa-apa.”


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Ann Hann