Bab 31

Dia cuba mengikuti pesanan Zakiah. Bertahan, sabar dan tunggu penjelasan lanjut dari pihak berwajib. Jangan buat keputusan sendiri dan berhati-hati.

Bagaimanapun... perasaan berkecamuk dengan linangan airmata tidak dapat dicegahnya dengan nasihat terbaik sekalipun. Zakiah tak berada di tempatnya, tidak berada dalam kasutnya di mana semua jawapan perlu dijawab oleh Amr. Adakah dia perlu ke balai esok? Mungkinkah dia akan didakwa bersubahat dengan suaminya? Mahukah Amr berjumpa dengannya? Soalan mudah yang tidak ada jawapannya.

Kepalanya masih terbayangkan tangan Amr yang digari tanpa menoleh kepadanya sedikitpun dan riak wajahnya ketika itu sangat pedih, seolah-olah dia sedang bergelut dengan hukuman yang bakal ditanggungnya. Hanya setelah tiba di rumah Nika melepas tangisnya. Dia berdiri di muka pintu dengan rasa kecewa tanpa batas lalu melebar ke segenap arah seperti ternanti-nanti, tercari-cari berapa banyak rahsia lagi yang akan dibenam dalam kepalanya.

Perlahan tangannya menekan pemegang pintu dan terus tertolak ke bawah tanpa perlu dia menyucuk kunci. Sekilas dia mula pelik. Mungkin dia terlupa mengunci pintu sejak keluar kerja tadi. Sikap pelupanya menjadi-jadi sejak kebelakangan ini. Tak, sejak hidup dengan Amr.

Nika melangkah masuk dalam kesunyian yang semakin bermaharalela dalam rumah itu. Dia nekad mahu melarikan diri tetapi dia tak tahu bagaimana caranya. Peristiwa tadi betul-betul menakutkan, dia terperangkap dan sedang berdiri di ruangan bersantai sambil berfikir apa yang hendak dibuatnya sekarang. Ketika masih sedih memikirkan nasibnya...

“Selamat malam isteri kepada Amr,” sapa satu suara dalam kegelapan.

Kemudian sedikit cahaya kekuningan dihidupkan oleh seseorang yang duduk di meja makan mewah di ruang yang berhadapan dengan ruang tamu yang tak pernah digunakan oleh Nika dan Amr walaupun sekali.

Dadanya mula berdetak laju. Kedengaran seorang lagi lelaki mengekeh dari tepi pintu masuk yang langsung tidak diperasannya.

Tidak menunggu lagi pantas Nika berlari menuju ke safe room yang berada di dalam ruang santai itu seperti yang pernah Amr beritahu kepadanya. Pantas bunga sakura merah itu ditekan dan dengan tangan bergetar dia menekan nombor pada skrin kecil segiempat kecil yang terlindung dalam dindingnya sebelum meluru masuk ke dalam safe room. Pintu safe room tertutup dengan pantas.

“Sh**” maki dua lelaki yang tidak sempat menjangka tindakannya.

Bunyi kod mengaktifkan bilik itu kedengaran sebaik dia berada di dalamnya dengan nafas tercungap-cungap kerana takut. Lampu menyala dan sistem kamera pengawasan pada enam skrin tv kecil automatik beroperasi. Dia bersyukur Amr memberitahunya pasal bilik itu, kalau tidak dengan sikap cuainya itu.. Ini semua tidak menyedapkan perasaan. Terperangkap dalam bilik itu sekarang dengan dua lelaki sedang menunggunya di luar bukan hal yang melegakan.

Segera Nika mencari butang merah sebagai simbol kecemasan yang akan mengaktifkan alarm untuk disambungkan ke balai polis berdekatan. Namun, skrin kecil di tepinya hanya memaparkan tulisan error yang berkelip-kelip. Bijak. Dia memang tak patut berharap dengan alarm di rumah Amr. Ia sudah disekat oleh penceroboh yang masuk awal-awal lagi. Penjenayah, seperti kata Amr memang mahir dalam membuat jenayah.

Dia melihat salah satu dari mereka, lelaki tegap berbangsa india menendang bilik itu dari luar yang langsung tidak didengari oleh Nika kerana konkritnya yang sangat kukuh dan kalis bunyi. Rasa ketakutan yang mencengkam begitu menekan dada namun sebagai jururawat terlatih bahagian kecemasan dia berusaha berada dalam keadaan tenang dan menumpukan perhatian dengan apa yang berlaku. Dia tidak boleh larut dalam ketakutan.

Beberapa minit dia cuba memerhatikan skrin kamera pengawasan mencari di mana kelibat dua orang lelaki tadi. Kedua-duanya masih berada di luar bilik kecemasan itu sedang berusaha mencari akal bagaimana hendak membuka bilik yang menjadi kubu Nika sekarang. Setiap kali melihat lelaki itu cuba mengorek entah apa-apa pada dindingnya, dia ikut cemas. Takut kalau mereka berjaya membuka bilik itu. Tetapi selepas beberapa minit berlalu ternyata ia kebal dari sebarang pencerobohan.

Bagaimanapun, dua lelaki itu tidak berputus asa, Nika terus memerhatikan tingkah mereka. Lelaki yang kurus sedang menaip sesuatu pada telefon pintarnya. Mengingatkan telefon pintar Nika tiba-tiba teringat handphonenya juga. Tetapi... tidak ada. Di mana? Beg tangannya tidak ada bersamanya? Oh Tuhan, ia tertinggal dalam kereta Zakiah! Terlampau memikirkan Amr dia terlupa pula beg tangannya. 

“Jangan datang Zakiah, jangan datang...” katanya seorang diri. Biar Zakiah tak nampak beg itu ada di bawah lantai kereta. Dia tak mahu Zakiah mengembalikan beg itu ke rumahnya malam ini juga. Bahaya!

Nika kembali menjaga skrin tv untuk mengawasi penceroboh. Kemudian lelaki india tadi mengambil bangku meja makan dan meletaknya di depan bilik lalu naik di atas kerusi.

“Apa yang dia cuba buat?” telah Nika.

Satu mesej penting terpapar pada salah satu skrin, rupanya lelaki itu mendekatkan handphonenya pada kamera pengawasan. Mereka tahu ada skrin pengawasan dalam bilik kecemasan itu dan mahu Nika membaca pesanan mereka.

‘RAYLAN AMR AKAN PULANG.KAMI TAHU,DIA SPY POLIS’

“Raylan Amr akan pulang, kami tahu dia spy polis...” Nika mengulang baca mesej itu. “Betul ke?” bisiknya sendirian.

Satu lagi mesej terpapar.

‘KALAU AMR DATANG NANTI KAMI AKAN MEMBUNUHNYA!!

Oh Tuhan. Dia mula takut, darahnya gemuruh. Jantungnya semakin berdebar. Tubuhnya menggigil. Tidak dapat memikirkan apa-apa.

Kemudian satu lagi mesej diberikan kali ini lebih panjang.

‘KAU ADA PILIHAN. KELUAR DARI SITU DAN IKUT KAMI SEBAGAI TEBUSAN ATAU RAYLAN AKAN MATI MALAM INI JUGA!!’

Semuanya sudah terjawab. Amr rupa-rupanya menyamar sebagai orang Samuel? Bolehkah dia  mempercayainya? Bukankah itu melegakan.

Nika terduduk, bersandar lemah pada dinding konkritnya. Dia keletihan bersendirian dan mengenang Amr yang ditangkap tanpa mengetahui keadaan Nika di rumah sekarang berdepan maut. Kenapa Amr tidak mahu memberitahunya dia seorang penyiasat. Susah sangatkah hendak mengatakannya. Rasanya mudah, itu lebih mudah pada pemahaman Nika. Kalau dia tahu dari awal taklah dia curiga berlebihan dengan sikap misteri Amr selama ini.

Lelaki india di luar itu juga mengingatkan Nika pada Asp Suresh yang pernah dilihatnya bersama Amr, tapi di mana? Dia terlupa. Asp Suresh yang pipinya ada tahi lalat besar.

Hospital?

Memang ada kaitan dengan hospital tetapi....

Nika menepuk dahinya. Kenapalah dia tak gunakan memorinya itu sebelum ini. Dalam waktu terdesak begini baru dia teringat yang Asp Suresh pernah datang dengan Amr ke Seventh Mall dengan Amr sewaktu menderma darah! Amr berkawan dengan Asp Suresh. Ada sesuatu yang jelas di situ. Semuanya kena benar. Amr memang polis. Astaga kenapalah dia tak perasan. Kenapalah Amr mahu merahsiakan perkara itu. Bukankah semuanya akan selesai jika dia mengatakan semuanya dari awal.

Amr diarahkan masuk ke dalam kumpulan Samuel untuk memerangkap ketua sindiket yang amat dikehendaki oleh pihak polis. Setelah penangkapan Samuel identiti Amr terbongkar dan orang-orang Samuel mula mencari orang yang paling hampir dengan Amr itu dia! Isteri Amr. Semuanya serba kena. Dari kisah dia datang ke wad kecemasan kerana cedera hingga kepada pembunuhan ayahnya Amr berusaha menyembunyikan identitinya.

Dan tentulah motif utama dua lelaki di luar panic room mahu menangkapnya sebagai tebusan untuk membebaskan ketua mereka agaknya. Itulah yang sedang bermain dalam fikiran Nika sekarang ini. 

Dalam lega Nika gerun dengan mesej-mesej penjenayah tadi. Amr akan pulang malam ini untuk menjelaskan semuanya bahawa dia tidak bersubahat dengan Samuel. Dia cuma bekerja. Nika perlu menyampaikan mesej itu pada Amr dan bagaimana caranya?

Nika berdiri semula mencari sesuatu yang boleh digunakan sebagai penghubung. Ada telefon selular kata Amr dulu. Nika membuka rak di bawah dan tepat... dia menemui telefon selular berhabuk yang tak telah rosak kerana terlalu lama agaknya tidak digunakan. Dia cuba menekan-nekan keypad nombor tetapi langsung tidak berfungsi pun.

Dia mengeluh kecewa dengan matanya meliar ke sekeliling bilik sebelum perasan satu lagi kotak di atas meja di bawah skrin pengawasan. Pantas dia membuka kotak itu dan mengeluarkan walkie-talkie berwarna hitam, terdapat resit pembelian disisip pada tepi kotak. Nika menarik keluar resit itu dan membaca tarikhnya sebulan yang lalu. Maksudnya, Amr baru beli walkie-talkie itu selepas dia dapat tahu telefon selular tidak dapat digunakan. Dia sudah bersedia dengan segala kemungkinan. Patutlah ada satu sahaja walkie-talkie itu dan yang satu lagi tidak ada. Mungkin ada bersama Amr.

Nika belajar sekejap cara menggunakannya, dan tak banyak fikir dia menekan punat penghubung sambil menyebut nama Amr. 

“Amr... Amr...!”

“Hello, ada sesiapa di situ...hello...”

Tetapi yang kedengaran hanya siaran kusut yang bising. Dia tidak begitu faham dengan fungsi walkie-talkie itu sepenuhnya. Dia meletakkan walkie-talkie dengan kasar di atas meja dan kembali risau.

Dia risau memikirkan kalau Amr tak dapat mesej darinya tentang orang Samuel, nyawa Amr turut terancam. Dia tak mahu bayangkan Amr masuk ke dalam rumah dan.... tidakk! Bagaimana jika dia menyerah diri dan menjadikan dirinya tebusan. Sekurang-kurangnya masih ada cara dia melihat Amr dalam keadaan hidup pada keesokannya jika pihak polis terbabit sama dalam usaha menyelamatkannya.


Previous: Bab 30
Next: Bab 32

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.