Home Novel Cinta SHIA
Bab 55
Wajah penuh tanda tanya Shia menyapa Nedim tatkala lelaki itu menguak daun pintu. 


 "Di sini rupanya awak, Shia. Saya ingatkan ke manalah awak menghilangkan diri. Bahaya awak berseorangan di tempat sunyi macam ni."

 Memang benar kata-kata Nedim. Dia baru mengharungi saat-saat bahaya. Kini, suasana tegang menghilang ditelan sepi. Sebelum masuk semula ke dalam bangunan, Shia berpaling ke belakang sejenak. Matanya mengitari semula kawasan di situ. Sepertimana kemunculan lelaki tadi, perginya jua misteri, tanpa sebarang jejak atau tanda. 

 Kelakuan Nedim selepas itu memang melucukan. Entah berapa kali dia mengintai pintu lif, berpatah balik ke tempat Shia dan berulang ke sana semula. Setelah pasti tiada pengguna lain di pintu masuk lif, Nedim cepat-cepat memanggil Shia. Kali ini mereka selamat tiba di tingkat teratas di mana kereta diparkir. 

Nedim letakkan bungkusan makanan di tempat penumpang belakang. Setelah Shia menutup pintu, Nedim memandu kereta keluar garisan parkir, mengundur kemudian memasuki petak parkir yang sama. Hanya berubah arah. Bahagian hadapan kereta kini menghadap perut kota. 

 "Kita makan dalam kereta, boleh?" 

 "Saya ikut aje Nedim." 

 Nedim mengangkat kedua keningnya tinggi seraya bertanya lagi, "Macam ni boleh?" 

Usai bertanya, bumbung kereta bergerak. Bumbung terangkat lapisan demi lapisan. Kini, kepala mereka berbumbungkan taburan bintang. Shia anggukkan kepala sambil ketawa. Dia sukakan pilihan rancangan Nedim. Enjin kereta dimatikan. Dengan keadaan kereta yang terlopong, angin segera menyerbu ke wajah Shia. Tudungnya membuai-buai. Dia sukakan suasana sebegitu. Duduk santai beratapkan langit dunia. Tubuh rasa segar bergelumang angin malam. Sudah tentu, suasana itu mengingatkan Shia akan Adam... 

hurm... dan lelaki misteri. 

Kejadian tadi cuba diimbas kembali perlahan-lahan. Tayangan awal yang terakam dalam kotak fikiran sememangnya susuk Adam. Entah dari mana munculnya lelaki misteri itu. Ada sesuatu yang membelit hatinya. Wajah lelaki itu seperti pernah dia lihat, tetapi di mana? 

Nedim juga tenggelam dengan panorama malam. Dari atas bumbung bangunan setinggi empat tingkat itu, pemandangan kota saujana mata memandang. Dari kejauhan, tiang lampu bagaikan susunan obor kerdil manakala jalan raya bak jaluran kecil yang bersambung-sambung hingga ke hujung sempadan mata. Nedim turut membiarkan angin melibas rambut. Bahkan wajahnya itu sengaja ditadah. Biar dielus udara. Biar terasa nyaman, agar hatinya turut damai dan cepat sembuh. Bungkusan makanan dicapai. Makanan dan minuman dikeluarkan lalu di bahagi dua. 

 "Nah! Satu untuk aku, satu untuk kamu. Satu untuk aku, satu lagi untuk kamu." 

 Shia lepaskan ketawa. "Terima kasih ketua Penyamun." 

Setelah itu sepi merajai suasana. Mulut Nedim dan Shia penuh dengan sandwich. Atau sebenarnya masing-masing sedang melayan fikiran sendiri. Nedim masih teringat-ingat akan Syakila. Shia masih terfikir-fikir lagi tentang lelaki misteri tadi. Di gigitan yang terakhir, Shia berhenti mengunyah. Spontan Shia berpaling ke arah Nedim. Matanya sama bulat dengan pipi yang penuh makanan. Niatnya bukan untuk berkongsi cerita, sekadar berkongsi cetusan rasa. 

Dia sudah tahu siapa lelaki misteri itu! Lelaki itu pernah muncul di hutan meraikan detik bahagianya. Tetapi siapakah dia? 

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.