Home Novel Cinta SHIA
Bab 31

Dari tepi tebing tadi, Shia dah nampak kepala Walid yang tenggelam dan timbul bersama alunan air. Begitu juga halnya dengan keadaan Shia sekarang. Mereka berdua berusaha melawan arus sungai yang deras. Tubuh dah beberapa kali terhenyak batu-batu keras. Walid tahan sahaja.

 

Walaupun payah, Shia cuba  merapatkan jarak dengan Walid. Air yang selalunya bersifat lembut kini bukan calang-calang lawan. Tubuh Shia diasak teruk. Itu bukan kali pertama dia melihat kepala air. Cuma aliran deras kali ini agak berlainan daripada biasa. Arus sejuk itu membadai hanya dalam alur tertentu dan tidak terlalu keruh. Memang aneh. Agak jauh juga mereka hanyut. Mujur dia masih bersama Walid ketika sungai terpecah alurnya. Setelah itu barulah arus itu mengalir seperti sediakala.


Shia yang terdahulu selamat tiba ke tepian hanya mampu berpaut pada batu besar. Perlahan-lahan dia merangkak ke tempat dingkir lalu memuntahkan semula air sungai yang banyak ditelan tadi. Telinganya menangkap bunyi muntah yang sama tak jauh dari situ. Shia tak menoleh tapi dia tahu itu adalah Walid. Kelegaannya berganda. Dek sebabkan tubuh merasa lebih lega dan kerana mereka sama-sama selamat. Setelah itu Shia hanya bersandar pada batu. Pernafasannya  masih kencang. Ada sekelumit senyuman di wajah gadis itu apabila melihat Walid terbaring di pasir kasar. Mata lelaki itu terkatup. Dadanya juga masih berombak laju.


Biarpun hanya beberapa minit mereka  berdiam diri, alam telah bertukar warna. Nyanyian cengkerik bingit menyambut kelam. Hutan dara itu memang menakutkan di malam hari. Tak banyak benda mampu dilihat dengan mata kasar. 


“Kau dah gila, Shia!”

Meskipun lemah, Walid masih sempat memakinya. Suara garang itu mengundang senyuman Shia. Hatinya lega. Keadaan Walid jelas baik-baik sahaja selain daripada kepenatan. Lelaki itu merangkak perlahan-lahan merapati tempat Shia bersandar. Setelah itu dia rebah semula di atas batuan kecil. Sebahagian air sungai masih membasahi bahagian bawah tubuh mereka.


“Maunya aku tak gila tengok kau terkapai-kapai dalam air tu. Takkan aku nak tengok sahaja.”

Kali ini Walid diam, tidak lawan berbalah. Mungkin kepenatan masih menguasai dirinya.

“Kau larat bangun tak Walid?” Shia menoleh ke sisi. Badan Walid panjang dan tinggi. Memang tak larat kalau dia nak tarik lelaki itu ke tebing. 

“Tak.”

Shia sandarkan tenaga pada batu untuk bangun. Kaki dipaksa berjalan walaupun setiap langkah terasa amat berat.

“Aku nak cari tempat yang selamat sikit. Takut ada hantu air malam-malam ni.”

Dalam lelah sempat lagi dia ketawa tatkala mendengar jeritan Walid di belakang.

“Tak guna Shia! Jahatnya kau!”

Previous: Bab 30
Next: Bab 32

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.