Home Novel Cinta Takdir Yang Terpilih
Takdir Yang Terpilih
Wann Shazni
25/12/2019 20:51:55
3,762
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 8

SUDAH empat hari Nazrul berada di situ. Entah bila lelaki itu mahu pulang ke Perancis semula. Bukankah selalunya sibuk dengan restoran? Empat hari bukan masa yang singkat bagi orang sibuk seperti Nazrul.

Arisa melepaskan keluhan. Dia jadi tidak selesa. Dia masih tertunggu-tunggu bilakah abangnya mahu pulang. Apa yang dia mahu lakukan di dalam rumah itu jadi terhad kerana kedatangan Nazrul. Akhirnya dia hanya mampu berkurung di dalam bilik sahaja. Tetapi sampai bila?

Ah! Dia sudah kebosanan. Takkanlah hari minggunya hanya dihabiskan di dalam bilik sahaja?

Semenjak tadi dia hanya menconteng di atas kertas kosong. Contengan yang membawa maksud betapa serabutnya dia ketika itu. Hendak melukis, sudah tentulah tiada mood. Kalau dia keluar dari bilik, sudah tentu akan terserempak dengan abangnya. Malah setiap kali waktu makan pun, dia sengaja melewatkan dengan alasan ada tugasan yang perlu disiapkan. Hakikatnya dia cuma tidak mahu bertemu dengan abangnya sahaja.

Tok! Tok! Tok!

Serentak itu pandangan Arisa mengalih ke arah pintu biliknya. Laju tangannya mencapai buku yang berada di atas mejanya. Pura-pura sibuk membaca. Dia tidak tahu sama ada Kelvin mahupun Nazrul yang mengetuk pintu itu.

“Cik Arisa...”

Arisa menarik nafas lega. Dia segera menutup buku dan berjalan ke arah pintu. Tombol pintu dipulas dan dia memandang Kelvin yang berdiri di hadapannya.

“Tuan Muda Nazrul minta Cik Arisa turun ke ruang makan,” ujar Kelvin lembut.

Arisa membisu. Dia tahu Nazrul bukan memanggilnya tanpa sebab.

“Saya tak lapar lagi.” Arisa memberi alasan.

“Tuan Muda Nazrul masakkan makanan khas untuk Cik Arisa,” ujar Kelvin lagi, bagaikan cuba memujuk gadis itu.

“Kelvin...” Belum sempat Arisa hendak bersuara, satu batang tubuh muncul di belakang lelaki itu.

“Tak apa Kelvin, saya tahu apa yang saya nak buat.” Suara tegas itu mencelah di antara perbualan mereka.

Kelvin menunduk hormat sebelum berlalu pergi, memberi peluang kepada dua beradik itu berinteraksi.

Arisa membisu. Belum sempat dia hendak menutup pintu, Nazrul terlebih dahulu menahannya.

“Turun makan.” Ringkas kata-kata Nazrul namun tegas.

“Tak lapar,” balas Arisa, dingin.

“Dari pagi tak makan, apa yang tak lapar?” tanya Nazrul.

Arisa membisu. Dia lebih rela menahan lapar daripada berhadapan dengan abangnya itu.

“Jangan berdegil boleh tak?” Nazrul merenung wajah Arisa.

“Abang datang sini nak kawal Rie aje kan? 4 hari masih tak cukup ke? Ah! Sebelum ni 6 tahun abang kawal Rie. 4 hari ni memang la tak cukup kan?” ujar Arisa sinis.

Pang!

Arisa tergamam. Perlahan dia menyentuh pipinya yang terasa pedih itu.

“Abang datang sini cuma nak pastikan apa yang berlaku dulu takkan berulang lagi! Rie boleh tipu mummy dan daddy tapi Rie tak boleh tipu abang. Abang tahu Rie datang sini sebab dia kan!” Nazrul mula menyinga.

Arisa ketawa sinis. “Tak sangka abang takut dengan orang yang dah mati.”

“Sebab dia dah mati la Rie jadi macam ni!” tengking Nazrul.

Arisa menggengam jemarinya erat. Tidak kasihankah Nazrul atas apa yang berlaku pada Adriz? Malah abangnya berusaha untuk membuatkan dia lupa tentang kenangan lama tentang orang yang sudah meninggal dunia. Apa salah Adriz?

“Rie lupa ke apa yang berlaku pada Rie dulu?” tanya Nazrul keras, memperingatkan Arisa semula tentang apa yang pernah berlaku dahulu.

“Tak perlu la pura-pura ambil peduli pasal Rie. 6 tahun kat sana abang buat Rie macam robot. Abang kawal hidup Rie. Abang sekat Rie dari berhubung dengan keluarga abang Riz. Bila Rie dah berubah, abang salahkan Rie? Abang dah lupa ke yang abang buat pada Rie dulu? Abang dah lupa ke lebam yang penuh pada badan Rie? Abang lupa ke pinggan yang abang lempar pada Rie dulu? Abang lupa ke abang layan Rie macam binatang? Abang lupa ke?!” Suara lembut yang sinis pada mulanya diakhiri dengan tengkingan. Arisa cuba menahan air matanya agar tidak mengalir.

“Abang buat semua tu untuk selamatkan Rie!” Nazrul masih tidak mengalah.

Arisa memandang wajah Nazrul tanpa reaksi. “Selamatkan?” Sejurus itu Arisa ketawa sambil memekup mukanya.

Selamatkan dia dengan ‘menghadiahkan’ kekejaman? Itukah makna selamat? Kerana kejadian itu, dia melalui kehidupan yang mengerikan. Nazrul yang terkenal dengan sikap tenang akhirnya berubah menjadi seorang yang panas baran dan mudah naik tangan.

“Terima kasih untuk dunia yang penuh kekejaman...” Arisa terus menolak daun pintu. Kakinya melangkah perlahan keluar dari biliknya. Dia ketawa. Ketawa yang memeritkan. Satu persatu anak tangga dipijak, menuruni ke ruang makan. Biarpun perutnya minta diisi, tetapi keperitan dunia membuatkan dia hilang selera makan.

Sampai bila dia harus melalui semua itu?




6 TAHUN LALU

“MAKAN!” jerkah Nazrul kuat.

Dia sudah berang melihat Arisa yang duduk berpeluk tubuh di hujung katil. Keadaan itu masih tidak berubah semenjak tiba di Perancis. Sudah tiga hari Arisa tidak menjamah makanan. Wajah itu sudah pucat lesi dan tidak bertenaga. Tubuh itu juga semakin kurus dan cengkung.

Arisa membisu. Dia hanya memeluk erat lututnya. Suara abang sulungnya diabaikan.

“Rie nak balik rumah...” ujar Arisa lemah.

Sejurus itu Nazrul terus mendekati Arisa. “Ini rumah kita! Selamanya ni rumah kita!”

“Tak. Rumah kita kat Malaysia. Bukan kat sini...” Arisa menggeleng kepala.

“Arisa!” Nazrul memegang erat bahu Arisa. Dia memandang Arisa dengan wajah garang. “Cukup Rie! Faham tak!”

Mata layu Arisa memandang wajah abangnya. “Abang bawa Rie balik...” rayunya lemah.

“Makan dulu...” Nazrul jadi lemah mendengar rayuan itu. Dia tidak sanggup melihat adiknya sebegitu. Arisa baru berumur 12 tahun, mengapa perlu menyiksa diri sebegitu?

Arisa menolak tangan Nazrul. “Abang tipu! Abang takkan bawa Rie balik!” Arisa sudah naik angin. Dia tahu dia akan ditipu lagi. Abangnya takkan pernah bawa dia balik ke Malaysia semula. Dia dapat tahu yang mummy dan daddynya akan berpindah terus ke Perancis. Dia takkan dapat balik ke Malaysia! Dia takkan dapat bertemu dengan Adriz lagi!

Nazrul bingkas bangun. Dia mencapai pinggan yang diletakkan di atas meja kecil Arisa lalu dibawa ke arah Arisa. Dia duduk di hadapan gadis itu. Dia mencedok nasi berkuah kari ayam lalu disua ke mulut Arisa.

“Buka mulut.” Tegas Nazrul bersuara.

Tangan Arisa terus menepis sudu itu. Nasi dan ayam berselerak di atas karpet merah itu. “Abang penipu!”

“Kau tak nak makan sangat kan?” Nazrul bingkas bangun lalu melemparkan pinggan kaca itu ke dinding. Prang! Berkecai dan berselerakkan di atas lantai. Bilik yang kemas itu sudah dipenuhi dengan kotoran nasi dan kuah kari ayam.

Arisa tergamam. Terkejut dengan sikap Nazrul.

“Abang...” Menggeletar bibir Arisa melihat sikap itu. Sekali lagi abangnya berubah sikap. Perlahan dia mendekati Nazrul lalu dipeluk kaki itu dengan erat.

“Maafkan Rie. Maafkan Rie, abang. Abang jangan marah...” rayu Arisa sambil menangis teresak-esak. Dia takut apabila lelaki itu naik angin.

“Abang jangan marahkan Rie. Abang bukan macam ni. Maafkan Rie...” ujar Arisa lagi.

Nazrul menahan perasaan. Wajahnya yang putih bersih sudah kemerahan. Matanya memandang keadaan bilik itu. Hatinya beku. Arisa makin lama makin melampau. Tahap kesabarannya sudah tercabar.




NAZRUL menghela nafas berat. Dadanya terasa sesak apabila memikirkan kenangan itu. Itu kali kedua dia naik angin pada Arisa. Hanya kerana Arisa tidak mahu menjamah makanan, dia melemparkan pinggan ke dinding. Dia masih terbayang wajah takut Arisa memandangnya. Masih jelas rayuan dan esakkan Arisa meminta maaf kepadanya.

Dia bukanlah seorang yang panas baran. Tetapi kelakuan Arisa banyak mencabar kesabarannya. Dia mula menggunakan kekerasan untuk mengajar Arisa. Setiap kali Arisa tidak mengikuti kata-katanya, dia akan melemparkan sesuatu untuk menunjukkan amarahnya. Akhirnya sudah menjadi kebiasaan baginya apabila Arisa membuat onar.

Nazrul memandang tangannya. Tangan yang banyak mencederakan Arisa. Itu bukan kali pertama dia mengamuk. Dia pernah membaling pinggan ke arah Arisa hingga mencederakan tangan gadis itu. Dia pernah melibas tubuh kecil itu dengan tali pinggang sehingga Arisa tidak dapat bangun berhari-hari. Dia pernah mengurungkan Arisa di dalam tandas hanya kerana cuba curi-curi menelefon keluarga Adriz. Akhirnya gadis itu pengsan di dalam tandas kerana kesejukan.

Semenjak dari itu, dia mula mengawal ketat setiap gerakkan Arisa. Ke mana sahaja Arisa pergi, pasti ditemani Kelvin. Dia mengawal semua perlakuan Arisa selama 6 tahun itu. Dan dengan tiba-tiba sekarang Arisa membuat keputusan untuk kembali ke Malaysia. Keadaan itu membuatkan dia jadi takut.

Mendengar Arisa ketawa sebentar tadi, hatinya bagaikan ditusuk pisau. Pedih. Hubungan mereka banyak berubah. Arisa bukan lagi manja seperti dahulu. Mereka seperti orang asing yang ada di dalam satu rumah.

Dia yang membuatkan Arisa berubah. Dia yang menjadikan Arisa hidup dalam dunia yang penuh kekejaman itu. Tetapi kalau dia tidak bersikap begitu, hidup Arisa akan musnah. Dia lakukannya semua itu hanya untuk kebaikan adiknya.

“Maafkan abang Rie...” Perlahan dia menuturkan kata-kata itu sambil memandang tangannya. Tangan yang mengubah perhubungan mereka menjadi lebih teruk.




ERYNA hanya menongkat dagu memandang abangnya yang sibuk di bahagian dapur. Abangnya mempunyai karisma yang membuatkan orang lain tertarik padanya terutamanya apabila masuk di bahagian dapur. Bukan hanya kerana kebolehannya tetapi juga kecekapannya tatkala menggunakan peralatan dapur.

Ketangkasan itu membuatkan dia tersenyum sendiri. Sememangnya Ashraf seorang yang berbakat. Mungkin Ashraf memang ditakdirkan untuk menjadi chef yang berjaya.

Kerana dia terlalu bosan, dia keluar dari biliknya. Assignment lukisannya sudah siap jadi dia tidak tahu hendak melakukan apa untuk mengisi masa lapangnya. Lainlah abangnya. Masa lapangnya hanya berada di dapur. Kadangkala abangnya mengambil alih tugasan memasak di dapur. Sekali sekala lelaki itu mencipta resepi baru.

“Abang, jomlah ajak Rie keluar. Bosan la,” rengek Eryna manja.

Tangan Ashraf berhenti memotong dada ayam. Dia memandang Eryna. Aneh! “Aih? Sebelum ni tak pernah merungut pun. Sejak Rie balik, asyik sebut bosan aje.”

Eryna mencebik bibir. Mana tidaknya, semenjak Arisa pulang masanya banyak dihabiskan bersama kawan baiknya itu.

“Abang Naz ada kat rumah. Rie tak nak keluar,” ujar Ashraf.

Sebentar tadi dia sempat menghantar whatsapp kepada Arisa kononnya mahu Arisa datang ke rumahnya untuk merasakan masakan terbarunya. Jadi Arisa memberitahunya tentang perkara sebenar tanpa berselindung. Maka dia faham makna yang tersirat di sebalik mesej itu.

Eryna mencebik meluat. Dia menyandar tubuhnya ke kerusi sambil berpeluk tubuh. “Abang Naz tu suka sangat kongkong Rie. Rie dah besar kot.”

Ashraf hanya membisu. Tiada apa yang mampu dijawab. Eryna tidak tahu perkara sebenar meskipun Eryna rapat dengan Arisa. Mungkin kerana dia nampak segalanya secara tidak sengaja tetapi dia hanya mampu mendiamkan diri.

Mereka mungkin nampak rapat tetapi hakikatnya masih ada tembok di antara persahabatan mereka. Arisa mungkin nampak gila-gila tetapi apabila melibatkan keluarganya, gadis itu tidak pernah bersuarakan apa-apa.




SEDARI tadi pintunya diketuk bertalu-talu. Arisa hanya memekakkan telinganya. Sebentar tadi Kelvin memanggilnya tetapi dia bertindak mendiamkan diri. Gara-gara pergaduhan semalam, akhirnya hari minggunya hanya berkurung di dalam bilik. Dia hanya keluar dari bilik ketika waktu makan sahaja.

“Rie.” Suara tegas itu memanggil. Hilang sudah suara Kelvin.

Sekali lagi pintu biliknya diketuk. “Arisa.”

Arisa masih memekakkan telinganya. Dia tahu andai dia buka pintu itu, pasti akan berlaku pergaduhan lagi. Penampar yang hinggap di pipinya semalam sudah cukup membuktikan abangnya masih lagi mudah naik angin apabila menyentuh topik itu. Tidak mustahil hari ini dia akan makan tali pinggang sebagai makanan tengah harinya.

Lebih baik dia berdiam diri, pura-pura tidak dengar ketukan dan panggilan itu. Membuka pintu umpama membenarkan kekejaman kembali dalam hidupnya.

“Rie, abang balik dulu,” ujar Nazrul, sudah putus asa untuk memanggil Arisa. Kalau panggilan Kelvin pun Arisa tidak sahut, apatah lagi panggilannya.

Kata-kata itu hanya masuk telinga kanan keluar telinga kiri. Arisa tetap dengan keras kepalanya. Dia takkan sesekali keluar dari bilik itu meskipun untuk menghantar abangnya walau hanya di muka pintu. Lebih baik abangnya tak ada. Bersemuka dengan abangnya hanya mencetuskan pergaduhan sahaja.

“Hujung bulan depan abang datang lagi. Jaga diri. Jangan cuba buat benda yang bukan-bukan. Abang perhatikan Rie,” ujar Nazrul memberi amaran.

Arisa mencebik bibir. Kalaulah dia membuka pintu sebentar tadi, mulutnya akan petah membidas kata-kata Nazrul. Biarpun mereka terhalang dek pintu, tetapi kata-kata berbaur amaran itu sudah cukup jelas dirinya diperlakukan seperti robot yang hanya menurut perintah.

Hatinya sakit. Hatinya terluka. Bagaikan ditoreh pisau. Sejauh mana pun dia pergi, abangnya masih lagi mengawalnya. Sejauh mana pun dia pergi, dia masih tidak mampu untuk melakukan apa yang dia mahu.

6 tahun itu tidak cukup lagikah? Penderitaan apa lagi yang harus dia tanggung hanya kerana kisah 6 tahun yang lepas?

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Wann Shazni