Home Novel Cinta Takdir Yang Terpilih
Takdir Yang Terpilih
Wann Shazni
25/12/2019 20:51:55
23,967
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 6

ARISA mengeliat kecil. Selepas habis kelas sebentar tadi, dia mengambil keputusan untuk bersiar-siar di kawasan Carnation Academy. Semenjak dia datang ke situ, dia masih tidak arif tentang selok belok di akademi itu. Kadangkala dia tersesat tanpa sedar.

Sudah cukup sebulan dia berada di situ. Kekecohan yang berlaku sebelum ini lenyap begitu sahaja. Eryna dan Ashraf tidak pernah bersuara tentang itu lagi. Dia juga tidak pernah terserempak dengan lelaki yang dipanggil Eiry itu lagi.

Memandangkan mereka dari department yang berbeza jadi agak sukar untuk mereka tersempak memandangkan Department of Culinary jauh dari departmentnya. Jadi dia tidak perlu risau untuk itu.

Kakinya terus melangkah menikmati keindahan akademi itu. Meskipun bertempat di Malaysia tetapi seni bina bangunan itu lebih kepada barat. Namun begitu setiap department memiliki warna tersendiri. Department of Art mewakili warna violet, Department of Culinary pula mewakili warna merah hati dan akhir sekali Department of Music mewakili warna turqouise. Setiap warna itu ada pada setiap uniform yang dipakai oleh para pelajar.

Bangunan di tengah-tengah kawasan akademi itu adalah untuk semua pelajar. Di situlah bangunan utama, mempunyai dewan, bilik-bilik tertentu seperti bilik mesyuarat dan juga bilik pengarah. Jadi tidak hairanlah kalau dia melihat uniform berlainan berada di situ kerana situ adalah tempat umum.

Kaki Arisa berhenti di hadapan satu pintu besar yang berwarna keemasan. Dari luar sudah nampak mewah dan megah, apatah lagi di dalamnya. Selama sebulan dia berada di situ, dia masih tidak berkesempatan untuk masuk ke tempat itu. Akhirnya hari ini dapat juga dia datang ke situ.

Satu tempat di dalam bangunan utama yang paling sunyi dan menyenangkan. Antara satu tempat untuk para pelajar mencari ilmu dan mengulang kaji pelajaran. Kaki Arisa melangkah masuk ke situ. Bibirnya tersenyum kecil melihat keindahan tempat itu. Kiri kanan penuh dengan buku. Dari tingkat pertama sehinggalah tingkat ketiga, penuh dengan buku. Inilah syurga ilmu. Kiri kanan penuh dengan ilmu.

Arisa menaiki tangga pertama. Matanya meliar sekeliling. Kagum melihat perpustakaan di Carnation Academy yang begitu mewah. Kemudian dia menaiki tingkat kedua pula. Dan kemudian, dia melangkah ke tingkat terakhir. Satu tempat yang paling tinggi di dalam perpustakaan itu.

Matanya meliar lagi. Pelajar tidak ramai di tingkat tiga. Dia menuju ke rak buku. Mencari beberapa jenis buku yang agak tebal kemudian dia terus berlalu ke tempat yang paling hujung. Agak tersorok dari tempat orang ramai.

“Hehh...” Keluhan dilepaskan perlahan. Sunyi. Tetapi lagi sunyi apabila dia bersendirian. Eryna tinggalkannya sendirian kerana terlibat dalam kerja modeling di butik milik mamanya, Datin Suhana. Gadis itu mula berjinak dalam dunia modeling sejak berumur 5 tahun lagi. Bermula dengan menjadi model cilik di butik mamanya dan kemudian mula mengambil job dari luar. Berbekalkan wajah yang lembut dan senyuman yang manis membuatkan tugasan itu sangat serasi dengannya.

Arisa masih begitu. Dia masih tidak mempunyai idea untuk projek seterusnya. Menjadi seseorang yang terkenal adakalanya sangat merimaskan. Dia sering diajukan soalan tentang projek seterusnya. Tetapi sehingga kini dia masih tidak mampu memberi jawapan. Hidupnya sibuk dengan pelajaran. Dia juga tidak menyertai apa-apa pertandingan sebaik sahaja pulang ke Malaysia.

Arisa mencapai buku yang tebal itu. Dibelek-belek tanpa berminat. Sedikit pun dia tidak memahami apa yang ditulis dalam bukunya itu. Mana tidaknya, buku yang diambil itu adalah buku berkaitan kulinari. Manalah dia tahu tentang seni kulinari. Dia cuma tahu tentang seni lukisan sahaja.

Buku itu ditutup. Dia merebahkan kepalanya di atas buku tebal itu. Ah! Library bukan sahaja tempat sesuai untuk belajar dan mengulang kaji. Tetapi sesuai juga untuk dia tidur dan melepak sendirian. Kerana tempat sunyi itu bebas dari gangguan orang ramai.

Matanya dipejam rapat. Dia mahu kosongkan fikirannya.

“Rie...”

Satu suara menegur dalam keadaan perlahan. Arisa mengangkat kepala. Matanya sedikit terbeliak.

Kerusi di hadapannya di tarik. Ashraf menggeleng kepala memandangnya.

“Kau datang library semata-mata nak tidur ke? Masih tak ubah lagi perangai kau ni,” ujar Ashraf.

Arisa mencebik. Ah! Kenapalah jumpa mereka ini? Matanya memandang sekilas Kheiry yang mengambil tempat di meja sebelah. Masih sombong seperti sebelum ini.

“Kalau aku balik rumah pun bukan ada apa,” jawab Arisa selamba. Dia tahu Ashraf sudah tentu memahami maksudnya.

“Ada orang tu tak bagi aku join, aku buang masa ajelah kat sini,” sambung Arisa lagi, menjeling tajam ke arah Kheiry.

Ashraf membuat isyarat diam kepada Arisa. Dia mengerling sekilas ke arah Kheiry. Lelaki itu tidak beriak.

Arisa kembali membaringkan kepalanya di atas buku itu. Malas hendak melayan Ashraf. Lagipun dia datang ke situ untuk tenangkan diri. Tak sangka pula boleh bertemu dalam keadaan sebegini. Kiranya keluasan di akademi ni tidak membawa apa-apa makna pun. Meskipun department mereka berjauhan tetapi mereka masih boleh bertemu di bangunan pertama.

Ah! Kenapalah dia tidak terfikir tentang itu?




NESCAFE panas dihirup perlahan. Terasa kesegarannya selepas selesai menyiapkan tugasannya di library sebentar tadi.

“Eiry...”

“Emm...” Mata Kheiry masih fokus pada buku.

“Apasal kau marah sangat dengan Rie?” tanya Ashraf. Sebenarnya dia tertanya-tanya mengapa Kheiry sanggup tinggikan suara kepada Arisa sedangkan dia kenal Kheiry bagaimana. Agak mustahil untuk lihat Kheiry naik angin dengan tiba-tiba.

“Kau tak dengar ke apa dia cakap waktu tu? Dia nak join sekadar suka-suka aje. Dari awal lagi dia dah buat masalah, akan datang nanti macam mana?” ujar Kheiry tegas.

Ashraf hanya tersenyum kecil. “Eiry, tahu tak ni kali pertama kau bergaduh dengan orang.”

Kheiry membisu.

“Rie tu dari dulu sampai sekarang tak pernah berubah. Dia masih tak suka balik rumah awal-awal. Dulu lepas habis kelas di sekolah mesti di akan lepak kat library. Ambil buku tebal dan tidur. Kemudian dia bangun dan balik macam biasa. Dan keesokkannya dan hari-hari seterusnya akan berlaku perkara yang sama. Dia cakap dia tak suka balik rumah,” cerita Ashraf panjang lebar.

“Apasal kau cerita benda ni kat aku?” tanya Kheiry tanpa riak.

“Tak, aku cuma tak nak kau terus salah faham pasal dia. Rie mungkin nampak gila-gila tapi jauh di sudut hati dia, ada sesuatu yang dia simpan,” ujar Ashraf penuh makna. Mungkin 3 tahun bersama Arisa nampak singkat tetapi ada perkara yang membuatkan dia mengerti mengapa Arisa jadi begitu.

“Aku tak nak ambil tahu pasal dia. Dah cukup dia bagi aku mimpi ngeri,” bidas Kheiry.

Ashraf ketawa.

“Kau tahu tak Eiry. Rie susah nak bercakap dengan orang yang dia tak kenal. Mula-mula kitorang dekat dengan dia pun, dia masih suka duduk sorang-sorang. Aku tak tahu kenapa dia tiba-tiba berubah jadi macam sekarang. Dia mungkin nampak ceria tapi sebenarnya tak pun.”

Kheiry menutup bukunya dan memandang Ashraf. “Kau nak cakap apa sebenarnya?”

“Eiry... tak boleh ke kau bagi peluang kat dia untuk join MPP?” tanya Ashraf berhati-hati.

Kheiry senyap.

“Aku tahu dia takkan masuk mana-mana kelab sebab dia tak suka bergaul dengan orang. Kau pun macam tu jadi kau mesti faham apa yang dia rasa.”

Saat itu Ashraf mula mengerti mengapa Arisa beria-ria hendak join mereka. Sewaktu dia melihat Arisa tidur di library sebentar tadi barulah dia terfikir apa yang pernah berlaku di Perancis dahulu. Arisa tidak suka pulang ke rumah. Sebentar tadi pun Arisa mengulangi kata-kata yang sama kepadanya.

‘Kat rumah tak ada sesiapa. Sunyi sepi. Lebih baik duduk kat library ni. Tak beza banyak pun.’

Dia masih teringat kali pertama dia menegur Arisa tidur di dalam library. Baginya agak aneh pelajar cemerlang seperti Arisa boleh tidur di dalam library. Sampai ke hari ini dia masih ingat kata-kata itu. Dari dulu sehingga sekarang, Arisa hanya bersendirian.

Sehingga sekarang dia masih yakin ada sesuatu yang berlaku di Perancis hingga menyebabkan Arisa mengambil keputusan pulang ke sini.

Suatu masa dahulu di Perancis, dia melihat Arisa bergaduh dengan abang sulungnya, Nazrul. Itu pun kerana dia tidak sengaja melihat pergaduhan itu. Arisa tidak pernah bercerita apa-apa pun tentang kejadian itu. Gadis itu masih dengan perangai selambanya seolah-olah tiada apa yang pernah berlaku. Jadi dia tidak pernah tanya tentang itu meskipun dia ingin tahu. Dia hanya mampu membuat andaian sendiri bahawa Arisa dilahirkan dari keluarga yang sangat tegas. Melihat sikap abang sulung Arisa pun sudah cukup membuktikan segalanya. Mungkin kerana itu sikap Arisa banyak berubah.

Kheiry terus membisu tanpa suara. Terus dicapai bukunya dan kembali fokus pada pembacaannya. Dari dulu sehingga sekarang, bukan masalahnya untuk memikirkan masalah orang lain.




KETUKAN meja itu memaksa Arisa mengangkat kepala. Bersama mata layunya, dia cuba fokus pada satu batang tubuh yang berdiri di hadapannya.

Ah! Mamat sombong tu!

“Apahal kau ni?” tanya Arisa malas-malas sambil mengeliat kecil. Dia sendiri tidak sedar berapa lama dia tertidur di situ.

“Jumpa aku dekat bilik MPP kejap,” ujar Kheiry ringkas.

“Hah?” Arisa sudah berkerut dahi. Ah! Jangan cakap mamat ni nak denda dia cukuplah!

Kheiry terus melangkah namun dia terhenti langkahnya. Tubuhnya berpaling melihat Arisa yang masih terkebil-kebil di meja itu.

“Kau dengar ke tak?” tanya Kheiry tegas namun masih mampu mengawal suaranya.

Sejurus itu Arisa terus bangun dan mengekori langkah lelaki itu. Aneh! Mengapa dia mudah sahaja mengikut kata-kata lelaki itu? Terus dia menepuk mukanya berkali-kali. Barangkali dia masih mamai.

“Apasal kau nak jumpa aku? Mana Ash?” tanya Arisa. Matanya mencari kelibat Ashraf tapi tiada pula. Yang peliknya kenapa Kheiry datang ke library semata-mata untuk berjumpa dengan dia?

Kheiry masih membisu. Sehinggalah mereka tiba di bilik Majlis Perwakilan Pelajar, mereka masih lagi membisu. Arisa duduk di atas sofa manakala Kheiry sudahpun menghilang.

Arisa berpeluk tubuh. Tidak berpuas hati. Semalam bukan main sombong lelaki itu di hadapannya. Tiba-tiba hari ini sudah berubah sikap. Paling penting mengapa Kheiry mahu bertemu dengannya.

Kheiry tiba dengan dua gelas di tangannya. Dia meletakkan segelas air oren di hadapan Arisa dan satu di hadapannya.

“Ash mana?” tanya Arisa.

“Balik,” ringkas sahaja jawapan Kheiry.

Arisa merengus.

Kheiry mengeluarkan kertas dari fail yang berada di atas meja itu lalu ditolak ke arah Arisa. Kemudian dia meletakkan pen di hadapan gadis itu.

Dahi Arisa berkerut. “Apa benda ni?”

“Tak pandai membaca ke?” Kheiry membuat isyarat mata pada kertas itu.

Arisa membuat muka mendengar sindiran itu. Laju tangannya mencapai kertas bersaiz A4 itu. Serta merta dahinya berkerut.

“Apa maksud kau?” tanya Arisa. Dia memandang Kheiry dengan penuh tanda tanya.

Kheiry meneguk air oren itu sehingga tinggal separuh. “Kau pura-pura tak faham ke atau memang tak faham?”

“Aku faham. Cuma aku pelik sebabnya hari tu bukan main kau marahkan aku. Apasal tiba-tiba kau bagi borang ahli pula?” tanya Arisa pelik. Buang tabiat ke mamat sombong ni?

“Kau nak ke tak?” tanya Kheiry tegas tanpa menjawab soalan Arisa.

“Ah okey!” Arisa terus mencapai pen dan menulis maklumat di dalam borang ahli itu. Kalau berterusan bertanya, silap-silap lelaki itu ubah fikiran pula. Setelah selesai menulis, dia menghulurkan borang itu kepada Kheiry.

Kheiry mencapai borang itu. Tanpa melihat apa yang tertulis di dalam borang itu, dia terus memasukkan ke dalam fail.

“Weh budak sombong,” celah Arisa selamba.

Kheiry memandang wajah gadis itu.

“Apasal kau tiba-tiba ubah fikiran?” tanya Arisa aneh.

“Saja,” jawab Kheiry ringkas.

“Hah? Jawapan apakah itu?” Dahi Arisa berkerut.

“Aku pengerusi, aku boleh buat apa yang aku suka. Lagipun aku berhak buat keputusan,” balas Kheiry tegas.

“Kau tak takut ke kalau aku buat kecoh nanti?” duga Arisa.

Kheiry bingkas bangun bersama fail itu. Dia meletakkan fail itu di dalam rak sebelum berpaling ke arah Arisa.

“Aku dah siap sedia hukuman yang sesuai untuk kau kalau ada sesuatu yang berlaku nanti.”

Arisa mencebik mendengar kata-kata itu.

“Jadi, sebelum kau buat kerja gila yang boleh merosakkan nama MPP, lebih baik aku tutup mulut kau siap-siap,” sambung Kheiry lagi.

“Hah? Weh! Teruk sangat ke aku ni!” Arisa bergumam geram. Agak-agak la!

Kheiry hanya mempamerkan wajah selamba. Kemudian dia mencapai satu kain lalu diletakkan di hadapan Arisa.

“Apa benda ni?” tanya Arisa pelik.

“Kain. Takkan tak nampak?”

Arisa menjeling tajam. Tahulah kain! Bukannya dia buta pun!

“Aku tak nak ada satu habuk pun dalam bilik ni. Of course, kau kena lap semuanya sampai licin,” ujar Kheiry selamba.

“Haa?” Mata Arisa sudah terjegil.

“Ah, anak orang kaya macam kau mesti tak pernah buat kerja macam ni kan?” Kening Kheiry terjongket sebelah, memandang sinis pada Arisa.

Pantas Arisa terus mencapai kain tuala kecil itu dengan kasar. Pantang sungguh kalau ada orang memandang sinis terhadapnya. Dia bingkas bangun. “Dari mana aku nak mula?”

Kheiry merunding jari ke arah satu rak yang dipenuhi dengan piala. Tanpa suara, dia terus mencapai bukunya dan duduk di atas sofa.

“Ni cuma hukuman ringan untuk kesalahan yang ringan. Akan datang kalau kau cuba buat sesuatu yang lebih gila, aku akan pastikan kau lebih gila sebab join MPP,” ujar Kheiry tegas.

Arisa merengus. Geram! Lelaki itu bukannya pendiam tetapi sebenarnya sadis! Narcissistic!

Previous: Bab 5
Next: Bab 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Wann Shazni