Home Novel Cinta Takdir Yang Terpilih
Takdir Yang Terpilih
Wann Shazni
25/12/2019 20:51:55
23,986
Kategori: Novel
Genre: Cinta
PROLOG

KEPALANYA mendongak memandang langit biru yang luas itu. Cuaca hari ini begitu baik sekali. Tiada tanda-tanda hujan mahu turun. Bunyi ombak memukul pantai serta burung-burung yang berkicauan memeriahkan suasana di sekelilingnya. Angin sepoi-sepoi bahasa menampar lembut wajahnya. Tangannya membetulkan semula tudungnya yang sedikit senget selepas disapa angin pantai itu.

Dua hari yang lepas dia baru tiba di bumi Malaysia. Semenjak habis belajar, dia mengambil keputusan untuk melancong sendirian. Tiada siapa yang mengerti akan keputusannya. Dari negara ke satu negara tetapi hampa. Apa yang dia cari itu bukan mudah untuk ditemui.

Akhirnya dia kecewa. Setengah tahunnya dihabiskan dengan melancong tetapi segalanya hanya sia-sia. Akhirnya dia tetap juga pulang dengan tangan kosong.

Sudah berputus asakah dia? Tidak. Dia cuma mahu berehat untuk seketika. Australia, Dubai, Tokyo, Italy dan Kanada sudah di terokai tetapi tetap tiada jawapannya. Ke mana lagi harus dia mencari?

Mummy dan daddynya berkali-kali memintanya untuk terus pulang ke Paris tetapi dia masih menolaknya. Menggunakan alasan melancong untuk melepaskan diri daripada kedua ibu bapanya. Hakikat sebenar, dia sedang menghabiskan 6 bulannya dengan mencari sesuatu yang dia sendiri tidak tahu berada di mana.

‘Selamat tahun baru,’ desis Arisa perlahan. Lelah dan penuh kehampaan.

Tahun baru 2018. Dia ingin memulakan episod baru dalam hidupnya. Tetapi mampukah dia lalui semua itu tanpa berpaling ke belakang lagi? Andai dia tidak pernah bersikap begitu, sudah tentu keadaannya tidak sama. Barangkali ketika ini hubungan mereka lebih baik daripada sebelum ini.

Kalaulah dia boleh kembali ke masa lalu, dia akan berterus terang dengan lelaki itu. Kalaulah dia lebih berani, sudah tentu tidak akan melukakan hati lelaki itu.

Kheiry... maafkan aku.

Next: Bab 1

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Wann Shazni