Home Cerpen Thriller/Aksi BEBASKAN AKU SAYANG
BEBASKAN AKU SAYANG
Aurian
17/9/2013 16:12:10
12,564
Kategori: Cerpen
Genre: Thriller/Aksi
Beli Sekarang
Dada Zarina berdebar-debar, semalaman dia tidak tidur. Hatinya rawan dan gelisah. Dia takut jika Amir pulang. Dia tidak melihat Amir sejak pergaduhan petang semalam. Entah di mana suaminya itu tidur, dia tidak ambil pusing. Hatinya lebih tenang jika lelaki itu pergi. Semalam Zarina ingat benar dia melawan Amir, botol kaca perhiasan pecah bertaburan, darah menitis di lantai. Dia pasti Amir cedera. Kapal kecil di dalam botol kaca terhumban di lantai. Zarina hanya biarkan, dia puas kapal itu sudah bebas. Suatu hari nanti dia juga akan bebas dari lelaki itu.

Zarina mengepal-ngepal kedua jari. Apa yang harus dia buat? Dia bimbang jika Amir pulang membalas dendam. Maka dia bersedia. Dia letakkan sebilah pisau di bawah bantal. Dia persiapkan kunci dan mangga baru. Pagi-pagi lagi dia sudah bersiap mahu keluar berjumpa Sarah kawan baik yang paling dipercayai. Mujur Sarah yang berkerja sebagai guru KAFA sentiasa punya waktu untuknya.

“Kau ni mundar mandir, duduk la dulu minum air tu.” Tegas Sarah apabila rimas melihat kelakuan Zarina.

“Apa aku nak buat Sarah? Aku takut!”

“Apa sebenarnya Amir buat pada kau?”

“Aku rasa dari awal lagi semua dah dirancang Sarah. Perkahwinan aku satu perangkap.”

“Siapa yang perangkap kau, Amir? Ina aku tau kau selalu gaduh dengan dia, tapi aku belum nampak kau lebam-lebam kena pukul.”

“Kau faham tak deraan emosi?. Dia kurung aku dalam rumah, cemburu tak bertempat, dia kawal apa aku pakai, apa aku makan, bahkan semua pergerakan aku dia jejak. Dekat rumah dia pasang kamera untuk intip pergerakan aku.”

“Ish takkan macam tu sekali Ina?”

“Kau tak percaya datang rumah aku, aku tunjukkan bukti.” Sarah terdiam, dia benar-benar tidak faham apa punca masalah rumahtangga Zarina yang sebenar. Tetapi dia merasa ada yang tidak kena dengan sikap Amir. Dalam hati dia kasihan dengan Zarina. Sejak zaman persekolahan dia mengenal Zarina. Dia tahu Zarina datang dari keluarga yang bermasalah. Ayah Zarina berada di penjara kerana pelbagai kesalahan jenayah. Zarina dibesarkan ibu dan neneknya. Semasa di Universiti hubungan mereka terputus kerana masing-masing melanjutkan pelajaran di tempat berbeza. Dia menyambung pelajaran di Al-Azhar Mesir. Manakala Zarina menyambung pelajaran di Universiti tempatan. Kerana majlis reunion sekolah mereka bertemu kembali. Kini dia kembali melihat Zarina yang dulu, tak banyak berubah. Sedangkan dirinya sudah mengenakan tudung labuh, anak sudah tiga orang. Zarina masih seperti dulu. Kelihatan sedih, cemas dan ketakutan. Tak jauh beza dari zaman persekolahan. Jauh di sudut hati Sarah, dia simpati dengan nasib Zarina. Sudahlah ayah tak berguna, dapat suami pula begini halnya.

“Aku mesti buat sesuatu!” Zarina mengepal tangan.

“Sudahlah, kalau tiada jalan penyelesaikan, perkahwinan kau pun sudah membawa mudarat, kau boleh minta fasakh.” Terkeluar juga perkataan itu dari bibir Sarah. Sebagai seorang yang punya pendidikan agama, dia segan mahu cadangkan perkara yang di benci Allah itu. Tetapi terlepas juga dibibir.

“Kau ingat dia nak ceraikan aku? Jangan harap! Dia akan bunuh aku kalau aku mintak cerai.”

“Kalau macam tu kau report polis saja. Ataupun kau keluar dari rumah tu, pergi ke tempat selamat.”

“Bukan semudah tu Sarah, dia mesti akan buru aku sampai lubang cacing. Kau lihat ni…” Zarina membuka beg tangan yang agak besar. Dia keluarkan beberapa keratan akbar. Antaranya laporan penangkapan ayah kandung Zarina. Ada satu keratan mengenai Zarina yang mengharumkan nama sekolah dalam pertandingan pidato. Selain itu buku tahunan sekolah menengah mereka berdua. Gambar Zarina di bulatkan. Beberapa keping gambar-gambar Zarina yang di ambil secara sembunyi. Sarah berkerut dahi melihat semua itu, dia merenung Zarina tajam, mohon penjelasan.

“Aku jumpa dalam meja pejabat Amir, sebahagiannya tersorok dalam almari. Ni, keratan akbar ayah aku, ni kan dah lama sejak zaman kita sekolah. Mana dia dapat.? Sarah selama ni Amir mengintip aku, sejak sebelum kami kawin. Dia memang gila!” Sarah hanya diam, hatinya berdebar. Dia mula rasa takut melihat semua itu.

“A..pa tujuan dia?”

“Aku tak tahu, dia memang psycho!

Sarah tersentap. “Kau kena cepat tinggalkan rumah tu. Kalau kau nak minta tolong aku tumpang tidur kat sini ke, aku boleh tanya suami aku. Ini dah kes berat. Aku risaukan keselamatan kau!”

“Terima kasih Sarah, kau lah sahabat aku dunia akhirat. Apa-apa pun biar aku cuba selesaikan sendiri. Kalau perlu bantuan, aku minta tolong kau.” Zarina memeluk Sarah. Hati sahabatnya sangat bimbang, dalam hati dia berdoa Zarina akan selamat.

……………………………

Hampir petang Zarina baru sampai ke rumah. Dia kaget kerana kereta Amir ada di depan rumah. Tetapi dia harus masuk juga, barang-barang penting berada dalam rumah. Kunci mangga yang baru sudah dipotong. Amir pasti marah dan membuat perhitungan dengan dirinya. Perlahan Zarina membuka pintu dan melangkah masuk. Bau asap rokok menerjah lubang hidungnya. Memang Amir berada di dalam rumah tetapi kelibatnya tidak kelihatan.

“Sayang dah balik?”

Zarina tersentap, dadanya berderau. Amir berdiri di pintu dapur dengan rokok dan segelas air. Zarina pandang sekilas sebelum masuk ke bilik dan mengunci pintu. Dia terus duduk di birai katil. Tidak lama kemudian kedengaran pintu diketuk. Zarina makin kaget.

“Sayang buka pintu ni, abang minta maaf pasal semalam. Salah abang…” Zarina hanya berdiam diri. Dia tidak percaya dengan kemaafan itu. Dia tahu Amir berpura-pura baik dengannya untuk menutup perbuatan keji yang dia lakukan. Dia tahu Amir boleh berubah watak sekelip mata. Pintu masih di ketuk bertalu-talu tetapi perlahan. Zarina meraba-raba pisau di bawah bantal. Setelah memastikan pisau itu berada di tempatnya, dia bangkit dan membuka pintu. Amir berdiri di tegak di hadapannya. Lengkap dengan kemeja putih gading bergaris dan seluar slack hitam, pakaian pejabat. Pemuda tinggi hampir enam kaki itu merenung wajah Zarina dengan sayu. Kemudian dia tersenyum sedikit mempamerkan lesung pipit di kanan dan kiri pipi yang sedikit berjambang. Amir memang lelaki manis dan kacak. Dia muda empat tahun dari Zarina. Tetapi bayangan lelaki itu sahaja membuat Zarina kecut perut. Manis dan kacak, tetapi hati umpama syaitan!. Zarina menghindar apabila Amir cuba menyentuh pipinya.

“Sayang sudahlah tu, kita berbincang baik-baik o.k. Nanti kita jumpa pakar untuk selesaikan masalah ni…” Pujuk Amir, dia melangkah masuk ke bilik. Zarina berundur ke belakang, sesekali dia mengerling pada bantal. Kalau Amir macam-macam dia akan bertindak untuk mempertahankan dirinya. Zarina berundur hingga terhenti di dinding, Amir membelai rambut Zarina kemudian mencium rambut itu lembut. Tangan sasa pemuda itu membelai lengan Zarina.

“Abang sayang Ina sangat-sangat..” Zarina menarik nafas, dia tidak akan mudah terpesona dengan penipuan dan pujukan palsu Amir. Amir merapatkan wajahnya pada pipi Zarina, Zarina mengelak dan menolak lengan suaminya.

“Aucchhh!” Amir menjerit kecil sambil memegang lengan yang berbalut. Itu luka semalam.

“Keluar! Keluar!” Zarina menolak tubuh Amir keluar dari bilik. Badannya menggigil. Dada berdegup kencang. Dia tahu, pada bila-bila masa Amir akan berubah sikap. Dia harus lebih berhati-hati. Semalaman dia mengunci pintu bilik. Mujur bilik tidur itu punya tandas di dalam.

………………..

Pagi itu selesai mandi dan bersiap, dengan perlahan Zarina membuka pintu bilik. Dia mahu membeli tiket untuk pulang ke kampung. Dia juga sudah mengemas semua kain baju.

“Sayang nak sarapan..?” Suara Amir memanggil dari dapur. Zarina menarik nafas cuba menguatkan hati. Dia harus berpura-pura seperti biasa. Kerana Amir juga sering berpura-pura seperti tiada apa-apa berlaku antara mereka. Dia harus berhati-hati supaya Amir tidak tahu rancangannya untuk melarikan diri. Zarina mara ke dapur dan tersenyum pada Amir. Kelihatan Amir sedang meletak sepinggan roti goreng bersalut telur atas meja. Bau harum roti itu semerbak membuatkan perut Zarina lapar. Amir menggamit Zarina ke meja makan, menarik kerusi dan mempersilakan isterinya duduk. Pantas dia mengambil seteko air kopi dari dapur ke atas meja.

“Sayang, saya ambil cuti hari ni, boleh kita keluar, jumpa doktor terapi yang abang cakap hari tu. Lepas tu kita boleh jalan-jalan luangkan masa bersama.” Saran Amir sambil menuang air kopi pada cawan Zarina.

“Saya ada hal pagi ni..” perlahan Zarina menjawab tapi tegas. Amir menggigit bibir.

“Sayang balik cepat tak? Abang tunggu sayang balik baru kita pergi o.k” Amir mengharap. Matanya redup memandang Zarina penuh kasih sayang.

‘Sudah-sudahlah dengan lakonan kau!’ getus Zarina dalam hati. Dia masih belum menjamah makanan. Dia hanya memerhati Amir mengambil sekeping roti dan menghirup air kopi. Manalah tahu jika Amir cuba meracunnya. Sikap lelaki itu sangat mencurigakan. Setelah melihat Amir mengunyah kepingan roti itu dengan berselera, Zarina mencapai satu. Matanya memerhati lengan Amir yang berbalut. ‘Mustahil dia hanya buat tak tahu mengenai luka yang aku buat tu. Pasti ada rancangan untuk balas balik sakit dia tu pada aku!’ Gumam Zarina curiga. Dia sempat makan dua keping roti dan menghirup air kopi sebelum bergegas keluar. Amir pantas bangun dan menyusul Zarina. Dia berdiri depan pintu.

“Sayang balik awal ya..” pesan itu penuh pengharapan. Zarina tidak menjawab melainkan berlalu ke kereta.

Hampir tengah malam barulah Zarina pulang. Amir yang menunggu sepanjang hari lantas bangun dari kerusi beranda mendapatkan Zarina. Isteri yang ditunggu hanya berlalu masuk dan mengunci pintu bilik. Amir mengeluh.

“Kau tak bagi aku duit aku jual budak ni!!”

“Abang jangan buat macam tu abang, tu anak kita!!”

“Bagi aku duit perempuan bodoh!!” bentak lelaki tua itu sambil menyepak tubuh kurus isterinya. Zarina yang hanya berumur 12 tahun menangis sekuat-kuatnya. Lengannya sakit direntap oleh ayah kandungnya sendiri. Serasa mahu tercabut lengan diheret ke pintu.
“Abang! Lepaskan Ina bang”

“Diam bodoh!! Bagi aku duittt!!” pantas tangan kekar itu merentap rambut isterinya dan dihentak ke dinding. Melantun tubuh kurus wanita itu lalu terjatuh ke lantai. Darah mengalir dari dahi.

“Abang nak duit pergi cari sendiri, dasar jantan tak guna!!”

“Apa kau cakap berani kauu!” Serentak itu juga lengan Zarina dilepas. Ayahnya melulu pada ibunya melepaskan tendangan bertubi-tubi. Terdengar erangan ibunya kesakitan. Zarina mengensot ke dinding. Matanya terbias ketakutan melihat kezaliman ayahnya. Dia melihat tubuh lembik ibunya diasak bertubi-tubi. Akhirnya ibunya tidak bersuara lagi, hampir pengsan, hanya nafas turun naik kelihatan. Zarina ketakutan. Terlintas di benaknya, jika ibunya mati, apakah akan jadi pada nasibnya. Kaki yang menggigil dia gagahkan untuk berdiri, kedua tangan yang kurus mengangkat pasu seramik besar yang ada di tepi meja. Dia menghampiri ayahnya dari belakang.

“Mati kau!!! Mati kau!”

Serentak itu terdengar jeritan ayahnya sambil memegang kepala yang berdarah. Zarina tak puas hati. Dia mencapai teko dan menghentak lagi.

“Mati kau! Mati kau!” terdengar suara ayahnya mengerang kesakitan.

“Zarina, sudah..” Ibunya yang lemah menggagahkan diri untuk menghalang Zarina.

“Mati kau! Mati kau!”

“Sayang, sayang kenapa ni bangun… aduh!”

“Mati kau! Matiii!” jerit Zarina sambil memukul sekuat hati. Amir mengelak dan cuba menenteramkan Zarina. “Sayang bangun lah, awak mimpi tu!” sergah Amir. Zarina tercungap-cungap, nafasnya turun naik. Dia memerhatikan sekeliling. Tiada ayah atau ibunya. Dia berada di bilik sendiri. Di hadapan matanya adalah suaminya Amir. Melihat Zarina makin tenang Amir menghampiri.

“Apa awak buat kat sini!” sergah Zarina marah.

“Dah sayang mengigau , terjerit-jerit. Saya kan suami sayang. Dah tenang, sambung tidur ya..” Amir memeluk Zarina kembali di pembaringan. Dia mengesat peluh di dahi Zarina kemudian keluar dan kembali semula dengan segelas air dan ubat.

“Awak nak racun saya ye?”

“Astagfirullah ini ubat awak sayang, nanti awak akan o.k. Makan ni, tolong lah.” Zarina merenung Amir tajam. Dia rasa sangsi tetapi ditelan juga ubat yang disua. ‘Aku mesti lari selepas ni!’ dia nekad kali ini dia menurut kehendak Amir. Kerana lelaki itu dalam biliknya. Jika tidak diturut Zarina khuatir dia akan dia apa-apakan. Perlahan-lahan Zarina rasa terawang-awang. Tubuhnya longlai..

“Apa awak bagi kat saya…?”soalnya lemah. Kemudian dia lihat Amir mengangkat tubuhnya dan dibaringkan ke katil. Perlahan dia menyentuh tubuh Zarina membetulkan pakaian tidur jadi rapi.

‘Jangan sentuh saya’. Tetapi kata-kata itu tidak terkeluar dari bibirnya. Dia tidak mampu berbuat apa-apa selain membiarkan Amir berbuat apa pun. Perlahan pemuda itu baring di sebelah Zarina, memeluk, mencium dahi dan mengusap rambutnya. Selepas itu Zarina tidak ingat apa-apa lagi.

Perlahan Zarina membuka mata, dia merasakan Amir masih disebelahnya.

“Sayang..” panggilan Amir itu membuatkan Zarina menoleh ke sebelah. Dia terperanjat melihat Amir memegang pisau.

“Jangannnnn…..!!” jerit Zarina menerpa Amir.

“Sayang apa ni!!” Amir kaget, pisau terjatuh ke lantai. Pantas Zarina mencapai pisau itu.

“Mati kau!! Mati kau!!” Kedengaran jeritan Amir bergema. Darah menyimbah lantai. Zarina masih belum puas. Dia menikam bertubi-tubi.

“Mati kau! Mati kau! Sebelum kau bunuh aku, aku bunuh kau duluuu!!!” jerit Zarina sekuat hati. Dia berhenti apabila Amir sudah diam. Nafas Zarina tercungap-cungap. Dia puas, dia bebas. Mulut Amir dipenuhi darah membuak. Dia sudah terbaring tidak bermaya, jari jemarinya yang penuh tompokan darah cuba menggapai wajah Zarina.

“Ke..kenapa.. Ina, abang sayangkan Ina…” Air mata Amir menitis bergabung dengan darah jatuh ke lantai. Zarina pantas bangun. “Penipu! Penipuuu! Dasar jantan semua penipu!!” Zarina menjerit lantas keluar dari bilik.

…………..

Sarah bergegas datang ke rumah Zarina setelah dihubungi dengan cemas.Dia menerpa Zarina yang berlumuran darah.

“Ya Allah, Zarina, kau tak apa-apa?”Sarah kaget melihat Zarina.

“Amir, Amir kat dalam bilik..”

Pantas Sarah menerpa dalam bilik. Terkejut bukan kepalang dia melihat mayat Amir terdampar di lantai. “Ya Allah kita kena hubungi polis!!”

“Dia nak bunuh aku Sarah, dia nak bunuh aku!”

“Tak apa yang penting kena panggil polis dulu” pantas Sarah berlari ke kereta.

………………………..

“Dia nak bunuh aku! Aku bunuh dia dulu sebelum dia bunuh aku!! Hahahaha!”Ayat itu berulang kali disebut oleh Zarina, berulang-ulang kali hingga hari Sarah jadi makin sedih.Dia akhirnya meninggalkan Zarina di bilik berkunci itu dengan perasaan kesal dan bungkam.

“Puan Zarina sudah mengidap penyakit mental tahap kritikal puan Sarah.Mahkamah sudah menetapkan dia harus di tahan di hospital mental.”Terang peguam pembela Zarina yang dilantik mahkamah.

“Tetapi mungkinkah suami Zarina benar-benar mahu bunuh dia?”

“Itu tidak mungkin puan Sarah.Selama ini puan Zarina memang sudah mendapatkan rawatan mental.Tetapi dia selalu mengelak untuk jumpa doktor. Sudah pelbagai cara suami dia lakukan. Amir itu suami yang baik, dia sentiasa sabar dan berharap puan Zarina akan sembuh. Tapi malangnya begini pula jadinya.Rekod hospital pun dah menunjukkan, arwah suami Zarina kerap mendapatkan rawatan di hospital kerana kecederaan yang pelbagai. Semuanya berpunca dari sikap agresif puan Zarina. Dia sudah cuba membantu Zarina pelbagai cara termasuk mengkaji punca puan Zarina sakit begini. Bahkan dia pasang kamera di rumah untuk pantau kelakuan puan Zarina.”

Sarah tunduk, dia teringat segala keraguan Zarina pada suaminya.Rupa-rupanya Zarina yang bermasalah.Dia kesal tidak dapat mengagak masalah mental Zarina dari awal.Dia rasa kesal, tetapi nasi sudah jadi bubur. Terbayang wajah Amir dengan senyuman manisnya. Memang dia tidak mengenali Amir yang merupakan junior Zarina di Universiti. Tetapi dia sendiri tidak mengenali siapa Zarina sebenarnya.Sepatutnya sedari dulu, sewaktu Zarina kecil datang ke rumahnya menunjukkan bekas-bekas deraan, dia seharusnya membantu.Tetapi apakah dayanya, dia pada masa itu hanyalah seorang anak kecil yang tidak berdaya. Air mata Sarah menitis….

Jauhilah kejahatan kerana ia umpama mencapak benih menumbuhkan kejahatan yang baru...

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.