Pukul 7.00 malam- hari mulai suram.
Ruang tamu remang-remang.
“No!
No! No! Papa, No!”
Seorang gadis kecil dalam
lingkungan lima tahun menjerit dan menangis di atas katil. Jeritannya nyaring
dan panjang namun gagal memanggil sesiapa menyelamatkannya. Dan seorang lelaki,
bertubuh besar sedang menghimpitnya tanpa belas kasihan. Pintu bilik
perlahan-lahan tertutup walaupun jeritan gadis kecil itu masih kedengaran.
Babak berubah.
Noni terkebil-kebil. Sejak sejam
yang lalu, dia duduk di hadapan televisyen menyaksikan filem yang ditayangkan.
Cerita tentang seorang budak perempuan. Bagi Noni budak itu comel, rambutnya
perang, berketak-ketak, matanya biru. Dia tidak faham kenapa budak itu menjerit
tetapi jeritan budak itu sangat menyentuh hatinya. Dia rasa kasihan. Tidak
sedar, dia sedang diperhatikan dari belakang.
“Mama mana?” Papanya masuk
bertanya. Matanya melingas mencari-cari wajah lain selain wajah Noni.
Noni tersentak lalu menoleh. Dengan
senyuman lebar dia menjawab, “Mama pergi kelas buat kek.”
“Noni tak ikut? Kak long mana? Ikut
mama?”
Langkah kaki papa berhenti di pintu
dapur. Kain langsir diselak sedikit. Matanya liar menyeluruhi seluruh ruang
dapur yang tidak sebesar mana.
“Along ikut mama.”
Noni kembali menonton sambungan
filem tadi. Sekarang budak itu sudah besar, rambutnya pendek. Wajahnya tidak
lagi comel. Matanya menyimpan banyak kesengsaraan. Noni mula bosan. Dia belum
puas melihat budak perempuan tadi tetapi dia tahu, dia tidak boleh buat apa-apa
kerana itu cerita dalam TV. Akhirnya dia tunduk memandang buku latihan yang
terbuka lebar di hadapannya.
Kerja rumah yang disuruh oleh guru
tadika, masih tidak berusik banyak. Noni malas hendak buat. Bosan. Banyak
sangat huruf ABC kena tulis. Jari Noni sakit.
Sedar-sedar kepalanya digosok
lembut. Tapak tangan papa mendarat di situ, kemudian beralih ke atas bahu. Noni
menoleh ke arah papa yang sudah duduk di sebelah Noni. Noni tahu papa baru
balik kerja. Papa penat. Badan papa bau busuk.
“Noni tengok cerita apa ni?” Mata
papa beralih ke kaca televisyen.
Noni angkat bahu. Noni sendiri
tidak tahu cerita apa yang ditontonnya. Cuma Noni tidak suka sebab budak
perempuan comel tadi sudah tidak ada. Bagaimanapun Noni simpan semuanya dalam
hati.
Tangan papa merayap ke arah buku
latihan Noni. Buku latihan yang bersaiz besar dan masih banyak kosong itu papa
pandang.
“Kenapa Noni tak buat? Nanti cikgu
marah,” kata papa.
Papa cium kepala Noni sambil
tangannya mengusap lembut rambut Noni. Kepala Noni ditarik rapat ke dada papa
yang hangat.
Noni tidak selesa. Noni tarik
semula kepalanya. Buku latihan pun, Noni tarik semula.
Tangan papa merayap lagi ke arah
buku. Terkena peha Noni yang terdedah sedikit apabila skirt Noni terselak.
“Mari papa ajar bagaimana nak
tulis,” kata papa. Papa semakin mendekati Noni.
Noni tarik nafas panjang. Bau rokok
dari mulut papa buat Noni rasa hendak muntah. Noni tidak suka bau rokok.
Sayangnya, Noni tidak dapat bergerak jauh. Tangan kiri papa sudah berada di
belakang Noni, tangan kanan pula di hadapan. Melintang di atas riba Noni,
kemudian merayap ke peha. Noni rasa dadanya sakit. Tangan papa, Noni tolak
sampai jatuh ke lantai.
Papa menoleh ke belakang. Setelah
pasti pintu rumah tertutup dan berkunci, papa pandang semula ke arah Noni yang
mula tekun menulis. Perlahan-lahan tangan kanannya hinggap di kepala Noni lagi.
Tangannya menguis rambut perang Noni ke belakang. Menyerlahkan leher Noni yang
jinjang.
“Noni,” panggil papa.
Noni menoleh dengan rasa tidak
suka. Dia tidak suka papa sentuh dia begitu. Dia rimas dan bau mulut papa
busuk. Dia mahu masuk ke dalam bilik tetapi belum sempat dia angkat punggung,
papa pegang tangan Noni kuat-kuat.
“Papa nak ajar Noni. Noni tentu
suka,” kata papa seraya menarik bahu Noni hingga jatuh ke atas karpet.
Noni terpinga-pinga. Noni cuba bangkit
apabila papa menyelak kain yang Noni pakai. Noni panik. Noni teringat apa yang
dilihatnya dalam televisyen tadi.
“No,
papa! No!” kata Noni walaupun dia tahu kata-kata itu tidak ada
maknanya lagi apabila papa sudah jadi seperti lelaki dalam televisyen tadi. Noni
juga menjerit seperti budak comel tadi buat. Cuma lama-lama... suara Noni
habis. Sangkaannya memang benar. Sekarang... baru dia faham kenapa budak itu
menjerit. Dia menangis, untuk dirinya dan untuk budak comel tadi.
Setengah jam selepas itu, Noni
terbaring lesu di atas karpet. Segala kesakitan tubuh yang dirasa, segala
keperitan jiwa yang ditanggung, segala kekecewaan yang menimpa... menjadikan
dia bingung. Pandangan matanya kosong.
“Jangan beritahu mama. Kalau mama
tahu... papa hantar Noni balik ke rumah anak yatim. Biar Noni tak dapat
sekolah, tak dapat baju cantik, tak dapat tinggal dengan mama.”
Papa nyalakan sebatang rokok. Papa
sedut dengan penuh rasa lega. Kemudian papa bangun, masuk ke bilik tidur dan
tidak lama selepas itu terdengar pintu bilik air dihempas. Papa mandi.
Balik ke rumah anak yatim? Tak
dapat tinggal dengan mama? Tak dapat sekolah tadika? Tak dapat jumpa
kawan-kawan? Macam-macam perkara hadir dalam fikiran Noni. Berpusing-pusing
bagaikan roda kereta yang laju. Akhirnya Noni tarik badannya supaya
meninggalkan lantai. Noni heret segala beban jiwanya ke dalam bilik tidur. Di
situ Noni berbaring sambil memejamkan mata.
Noni cuba lupakan apa yang dilihat di kaca televisyen. Noni cuba lupakan
apa yang telah papa buat. Noni cuba lupakan segala-galanya tetapi, bukan papa.
Kejadian itu berulang dan terus
berulang lagi. Noni menangis dan terus menangis. Untuk dirinya dan budak comel
itu...
*****
Pukul 7.00 pm –di belakang dapur.
Langit gelap seakan-akan mahu hujan.
“Ah!!!” Kak long menjerit sekuat
hati sambil berlari mencari mama dan papa di ruang tamu.
Mama dan papa meluru ke arah kak
long. Kemudian melajukan langkah mengikut kak long yang sudah meluru ke dapur
semula. Setibanya di dapur, mulut mama terlopong. Mata mama terbeliak.
“Ya, Allah! Noni! Kenapa Noni buat
macam ni?” tengking mama. Pisau di tangan Noni, mama rampas.
***********************
Baca kesudahan cerita ini dalam ANTOLOGI JIWA KACAU yang akan diterbitkan tidak lama nanti. Nantikan ya.