Home Cerpen Lucu TIN BISKUT
TIN BISKUT
MIKA JAIHA
5/5/2021 23:57:40
3,821
Kategori: Cerpen
Genre: Lucu

Hari jumaat tiba lagi, setelah seminggu bersekolah. Apabila hari cuti begini, aktiviti yang paling digemari ialah TIDUR. Ada juga sebahagian pelajar yang membasuh pakaian dan juga membuat kerja sekolah yang bertimbun ditangguh.

Tehah, Sehah dan Lehah merupakan tiga orang kawan baik. Mereka bukan sahaja suka membuat masalah, malah pemalas untuk ke sekolah. Naik buntu penjaga asrama memikirkan tentang mereka bertiga.

“GOTONG-ROYONG!”

Bergema suara penjaga asrama ketika membuat pengunguman menggunakan mikrofon. Pelajar yang sedang membasuh baju, kelam-kabut menyiapkan basuhan mereka,begitu juga yang sedang tidur bingkas bangun dari tilam yang empuk.

10 minit menunggu, tiga sekawan itu masih belum memunculkan diri di padang di mana mereka sedang berkumpul untuk diberikan tugasan.

“Mana budak tiga orang tu?”

Tiada seorang yang berani menjawab pertanyaan penjaga mereka.

“Kami dah panggil tapi depa tak mau turun.” Jawab Syareen yang merupakan ketua pelajar asrama.

“Oh nak tidur je kerja ye, hangpa tunggu sat.”

Sehelai kertas yang lengkap dengan senarai nama dan tugasan diserahkan kepada Syareen. Dia segera menjalankan tugasnya membahagikan mereka kepada beberapa kumpulan gotong-royong mengikut senarai yang diberi.

Melihat penjaga mereka berjalan dengan pantas menuju ke bilik asrama,bisik-bisik suara pelajar mula kedengaran.

“Habislah depa nanti…”

“Degil sangat tak nak bangun.”

“Shutt diam, tugas aku dah bagi, jom mula sekarang.” Arah Syareen mendiamkan mereka semua.

Tehah, Sehah dan Lehah yang masih sedap tidur tidak menyedari kehadiran penjaga mereka yang bila-bila masa akan menghamburkan amarahnya.

“Bangun! Apa nak jadi dengan hangpa ni?” kejutnya seorang demi seorang. Dia masih boleh menahan marahnya jika mereka memberi kerjasama.

“Ish kacaulah, orang mengantuk ni.” Sehah mendengus marah kerana tidurnya diganggu.

Lehah yang lebih senang terjaga terbeliak matanya melihat penjaga mereka sedang berdiri tegak di hadapan mereka bertiga yang bergolek tidur di lantai berlapikkan tilam masing-masing.

“Err…” Lehah gugup lalu bingkas bangun membasuh muka kemudian menyarungkan tudung. Belum sempat dia hendak mengejutkan Sehah yang masih sedap lena, kedengaran bunyi tin biskut Tehah yang diketuk-ketuk penjaga mereka.

Tehah pula sudah duduk bersila sambil menggosok mata. Dia terpinga-pinga sebentar, sangkanya Syareen yang berdiri di hadapannya kini. Muka garang penjaga itu ditenung dengan rasa gerun.

“Pergi basuh muka, keluar sekarang!” arahan itu dipatuhi dengan tergesa-gesa.

Lehah dan Tehah mula risau memikirkan nasib mereka selepas ini. Melihatkan Sehah yang tidur mati tadi, mereka dapat mengagak habuan berat yang bakal dikenakan ke atas rakan mereka itu.

“Ketekung!”

Lehah dan Tehah saling berpandangan sesama sendiri apabila mendengar bunyi aneh yang datang dari asrama. Tidak lama selepas itu kelihatan Sehah yang berlari keluar dengan sangat laju menuju kearah mereka.

“Hang nak lari mana?!” laung penjaga mereka bersama tin biskut di tangannya.

Lehah, Tehah dan  Sehah yang cuak terus sama berlari menjauhi penjaga mereka. Tanpa disangka-sangka tin biskut itu melayang di belakang mereka hasil balingan padu orang tua tersebut. Jangan dibuat main dengan juara tuju kasut tu.

“Aduh!!” Tehah menjerit kesakitan apabila tin biskut tepat mengenai belakang badannya.

Sehah dan Lehah langsung berhenti berlari apabila melihat teman mereka sudah bergolek jatuh. Disampingnya terdapat tin biskut yang sudah kemik.

Terhambur ketawa pelajar asrama yang sedang bergotong-royong melihat situasi tersebut.

“Hang okey ka Tehah?” tanya Sehah dan Lehah serentak.

“Apalah nasib aku, tin makan tuan…” Tehah mengeluh perlahan kemudian ketawa.

 

 

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.