“Ingat, sebelum tetamu sampai kalian kena bersiap sedia berada di pondok menunggu.” Pesanan tegas Puan Raudhah yang lebih mesra dipanggil ibu dibalas serentak oleh pelatih-pelatih kelas memasak yang ditempatkan khas di sebuah rumah banglo dua tingkat. Mereka datang dari pelbagai latar belakang berbeza dan juga pelbagai peringkat umur bermula dari umur 20 sehingga 30 tahun.
Program memasak selama 5 hari ini dibuka khas bagi sesiapa sahaja yang berminat mendalami ilmu memasak dari seringan-ringan masakan sehingga makanan yang berat.
Hari ini merupakan hari ke 3 mereka mengikuti kelas memasak yang dianjurkan pihak Komuniti Wanita Berjaya dan dikendalikan oleh Puan Raudhah selaku pemilik rumah.
Mengikut apa yang telah dimaklumkan Puan Raudhah pada malam semalam,terdapat sekumpulan Kelab Motorsikal berkuasa tinggi ingin mengadakan aktiviti memasak bersama para pelatih pada malam ini memandangkan secara kebetulan mereka membuat program 1 hari Bersama Anak-anak kurang upaya yang berada berdekatan dengan penempatan kelas memasak tersebut.
Sebilangan kecil dari pelatih mula memasang angan-angan untuk berganding dengan ahli Kelab Motor yang bakal kunjung tiba, kata mereka ahli Kelab Motorsikal berkuasa tinggi kebanyakannya tergolong dari golongan kaya.
“Audry, kau nanti jangan menyorok pula bawah meja.” Ujar Sonia sambil ketawa menutup mulutnya.
“Apehal pula aku nak menyorok?” Audry menjeling kawan yang baru dikenalinya di kelas memasak ini. Sonia Soraya walaupun datang dari keluarga yang kaya, namun sikapnya yang mesra dan tidak memilih kawan berdasarkan darjat membuatkan Audry senang berkawan dengannya.
“Audry kan pemalu orangnya…” Sonia meleretkan suaranya sambil menyambung ketawa. Sengaja dia mengusik Audry yang pada pemerhatiannya sangat pemalu apabila berdepan dengan lelaki. Selama dua hari mereka belajar memasak dengan chef jemputan, ada sahaja gelagat Audry dari mengelak untuk bercakap dengan chef tersebut. Kadangkala apabila melihat chef lelaki tersebut datang mendekati meja mereka, audry cepat-cepat menunduk ke bawah meja dengan alasan bawang terjatuh ataupun sudu. Sonia hanya menjadi pemerhati.
“Merepek, eh apa kata kita ganding berdua je?” Audry mencuba nasib.
“Tak nak lah, Sonia nak berganding dengan abang kacak…” bantah Sonia sambil membetulkan baju kurung Pahang yang tersarung cantik di tubuh langsingnya. Biasalah kalau dah cantik pakai apa pun cantik.
Pada permulaan perkenalan mereka, Audry hairan juga kenapa Sonia mengikuti kelas memasak ini sedangkan dia anak orang kaya dan mempunyai ramai orang gaji yang menyediakan makan minumnya setiap hari. Sonia hanya memberi alasan, dia perlu belajar memasak supaya ada lelaki yang mahu mengahwininya.
Audry tersenyum sendiri mengenangkan alasan itu, sedangkan dia datang belajar memasak kerana dia perlu dapatkan kerja yang lebih bagus di restoran, tidak sebagai tukang masak, sebagai pembantu di dapur sudah memadai. Boleh juga dia mengisi perutnya sambi memasak memandangkan minatnya terlalu mendalam dalam dunia masakan cuma untuk dia masuk ke Institut Kulinari yang diimpikannya suatu ketika dahulu dia tidak mampu. Bebanan keluarga yang terpaksa digalasnya selepas ayahnya jatuh sakit memaksa dia untuk membuat dua kerja dalam satu hari selama 4 tahun. Segalanya berubah selepas ayahnya meninggal.
“Tersenyum-senyum..” teguran seorang pelatih yang melintas dihadapannya membuatkan senyuman Audry memudar.
“Audry, tolong akak sekejap.” Laung suara seorang pelatih yang lebih tua dari Audry di pintu tandas. Mereka tinggal di tingkat atas rumah banglo tersebut, manakala dapur dan kantin yang luas terletak di bahagian bawah. Audry melihat jam tangan hadiah pemberian terakhir ayahnya 5 tahun yang lalu, masih elok berdetik.
“Alamak kak, tetamu dah sampai!” Audry cuba untuk mengelak kerana risau terlambat turun. Kedengaran bunyi nyaring ekzos motorsikal berkuasa tinggi menderum masuk ke perkarangan banglo. Namun Rozita yang masih di dalam tandas merayu meminta pertolongan Audry. Kerana sedikit rasa simpati Audry menuruti juga.
“Tolong akak seterika baju yang bersangkut di pintu almari akak boleh?”dengan muka yang dijengulkan sedikit di pintu, Rozita meminta. Audry diam sambil mengangguk perlahan. Hatinya menggerutu geram dengan perangai Rozita yang suka membuat kerja di saat-saat genting.
“Sorry ye Audry, akak sakit perut tadi, ingat sempat nak gosok lepas maghrib tadi.” Rozita memberi alasan setelah siap menyarungkan kebaya nyonya yang diseterika Audry sebentar tadi. Audry hanya tersenyum manis walau dihatinya gundah memikirkan kelewatan mereka seperti yang diarahkan Ibu Raudhah.
“Kita lambat dah ni kak, Audry turun dulu ye sebab tetamu dah sampai.”Audry mengundur diri dengan pantas menuruni anak tangga.
“Eh tetamu dah sampai?” Rozita terpinga-pinga, sangkaannya tetamu akan hadir selepas solat isyak. Rozita juga tergesa-gesa turun ke bawah.
Di pondok menunggu, Audry melihat ramai tetamu yang membuka langkah menuju ke kantin setelah diraikan kedatangan mereka. Kira-kira 30 orang juga tetamu yang hadir tergolong dari golongan muda dan tua. Audry menundukkan kepalanya kerana kelewatannya menjadi perhatian tetamu.
Belum sempat Audry ingin melangkah, kedengaran suara tegas Ibu Raudhah di pondok memanggil para pelatih yang lewat turun ke bawah.
Audry melangkah dengan berat hati sambil menundukkan kepalanya. Ini semua salah kak Rozita. Dikerling orang-orang di sebelahnya, ramai juga yang lewat rupanya. 6 daripada 15 orang pelatih termasuk Rozita dan Audry.
“Ibu dah pesan semalam turun sebelum tetamu tiba, kenapa kalian turun lambat?” satu-persatu wajah mereka diperhatikan dengan rasa marah. Pantang bagi Raudhah orang yang tidak menepati masa dan janji.
“Minta maaf Ibu, kami… kami…” salah seorang daripada kami cuba memberi alasan namun Ibu Raudhah segera memberikan denda sebagai pengajaran.
“Junjung kerusi seorang satu sambil berkawad 10 pusingan pondok ni.”Audry teguk air liur. Rozita di sebelahnya sudah kerut muka. Nak membantah tidak boleh, nak melarikan diri pun sudah terlambat. Akhirnya dalam keterpaksaan mereka mengangkat kerusi plastik seorang satu, diletakkan atas kepala masing-masing.
“Kawad cepat!!!” jerit Ibu Raudhah. Mujur sahaja kantin terletak jauh dari pondok, ditambah pula cahaya suram mengaburkan pandangan para tetamu dari melihat adegan denda yang memalukan ini. Selesai 10 pusingan kawad, mereka melangkah masuk ke ruangan kantin di dalam rumah banglo.
Para pelatih sudah bersedia di meja masing-masing bersama pasangan ahli Kelab Motorsikal berkuasa tinggi. Sonia yang melihat Audry melangkah penuh longlai segera menggamit temannya.
“Audry, kau kena apa tadi dekat luar?” Sonia sedikit berbisik sambil tangannya memaut kemas lengan Audry.
“Biasalah denda.. macam zaman sekolah dulu.” Audry tersengih sehingga membuatkan seorang lelaki tinggi lampai yang baru tiba di pintu masuk rumah terpana melihat keindahan itu. Tidak sangka dengan kelewatannya tiba di rumah banglo kelas memasak itu membuatkan dia bertemu dengan cinta pandang pertamanya.
“Ehem, dah habis berbual?” teguran Ibu Raudhah di belakang mereka benar-benar mengejutkan sehingga Audry melompat memeluk Sonia kerana terlampau terkejut. Lelaki di pintu masuk tersebut ketawa perlahan.
“Sonia, pergi ke meja kamu sekarang.” Arahan Ibu Raudhah dipatuhi tanpa banyak bicara. Ternyata pasangan gandingan Sonia bukan calang-calang orangnya. Audry sendiri terpikat melihat lelaki berbadan sasa yang menunggu di meja Sonia, di sampingnya seorang wanita dalam lingkungan 40-an. Untunglah kau Sonia dapat gandingan kacak. Audry sendiri tidak kisah jika digandingkan dengan lelaki tua, alah aktiviti memasak je bukan cari jodoh.
“Audry, mari sini.” Panggil satu suara garau seorang lelaki di meja yang masih kosong. Audry mengalihkan pandangan ke arah suara itu lalu menapak perlahan. Masin mulut kau Audry dapat lelaki tua. Audry tersenyum tanda perkenalan. Setelah diberi taklimat dan mengambil bahan masakan, mereka memulakan aktiviti itu.
15 minit telah berlalu dengan bahan-bahan masakan memenuhi meja,berdasarkan menu masing-masing untuk menyedikan hidangan selama 30 minit dan masa tambahan untuk dekorasi selama 5 minit.
“Pakcik, tolong ambilkan serbuk lada tu.” Audry dan Pakcik bernamaZulkarnain itu bertungkus lumus memasak menu yang dipilih iaitu daging masak hitam berlada.
“Panggil ayah je Audry, nah.” Zulkarnain memberi keizinan kepada Audry.Perkenalan singkat mereka menimbulkan kemesraan seperti anak dan ayah, lagi pula Zulkarnain sendiri tidak mempunyai anak perempuan. Gembira sungguh hatinya dapat memasak bersama-sama Audry.
“Eh pakcik, salah ni. Lada hitam yang tu.” Audry memulangkan semula plastik berisi bunga cengkih sambil jari telunjuknya dituding ke arah plastik lada hitam. Dia masih kekok untuk memanggil lelaki itu ayah. Zulkarnain garu janggutnya yang tidak gatal.
“Oh, ayah ingat lada hitam yang ni.” Zulkarnain sudah ketawa menutup malu.
“Selalu arwah isteri ayah yang masak dan sediakan bahan, tapi semenjak dia meninggal anak ayah yang ambil alih tugas memasak di rumah.” Ujar Zulkarnain tanpa dipinta. Audry tertunduk, timbul rasa bersalah di hatinya.
“Kenapa tak beli je atau makan di kedai?” Audry bertanya berani sambil tangannya lincah mengacau daging masak hitam berlada di atas kuali.
“Sebab saya tak benarkan ayah makan di luar.” Muncul seorang lelaki bersama kamera di tangannya. Audry terpana seketika. Lelaki ini yang dilihatnya berada di pintu masuk ketika dia memeluk Sonia.
“Dah selesai tangkap gambar?” anggukkan dibalas sebagai menjawab pertanyaan ayahnya, Zulkarnain.
“Audry, kenalkan ini anak ayah, Zulfikar.” Tangan tua lelaki itu menepuk perlahan bahu anaknya. Audry tertunduk malu apabila dirinya direnung lelaki itu.
“Masa tinggal lagi 5 minit, diharapkan semua sudah bersedia ye.” Kata Ibu Raudhah sambil tersenyum puas hati melihat para pelatihnya yang nampak bersemangat menyediakan masakan.
“Mari saya tolong.” Zulfikar dengan pantas menghias hidangan yang telah dimasak Audry dan ayahnya. Audry hanya membiarkan kerana dia sendiri sudah tidak menang tangan mengemas meja yang sedikit bersepah.
Hidangan yang siap dihias diletakkan di hadapan meja. Zulfikar tersenyum memandang ayahnya seperti menyampaikan hasrat hatinya yang tersembunyi. Zulkarnain mengangguk tanda mengerti.
Motorsikal berkuasa tinggi bergerak perlahan keluar dari perkarangan banglo Raudhah pada jam 12 malam. Selesai menunaikan solat isyak berjemaah,mereka beramai-ramai menjamu selera hasil hidangan yang telah dimasak. Ternyata Zulfikar sangat menyukai daging masak hitam berlada yang dimasak Audry. Audry pula tanpa banyak bicara hanya mengikuti menu yang telah dipilih sendiri oleh Zulkarnain.
Satu kad bisnes dilihatnya berulang kali. Audry tidak pernah terfikirakan ditawarkan kerja di restoran lelaki bernama Zulfikar itu. Sonia perlahan-lahan memaut bahu Audry sambil matanya mengerling kearah kad bisnes yang sama. ‘RESTORAN KASIH’.
“Lepasni makan nasi minyak la.” Tersungging senyuman di bibir Sonia.
“Sonia pula macamana?” terjungkit keningnya sambil membalas pautan dibahu Sonia.
“Lambat lagi…”
Setahun kemudian…
“Audry, order.” Kertas kecil itu disambut Audry yang sedang menyiapkan hidangan di bahagian dapur. Bibirnya tersenyum melihat menu itu. Daging masak hitam berlada. Tiba-tiba dia teringatkan detik perkenalannya dengan pemilik restoran ini. Zulfikar bin Zulkarnain.
“Jauh mengelamun, fikirkan abang ke?” suara garau lunak lelaki itu mengembalikan Audry ke alam nyata.
“Tak de lah, Audry tengah fikir macamana abang boleh terfikir nak tukar nama restoran ni jadi nama Restoran Junjung Kasih.” Jarinya bermain-main dibibir.
“Err, sebab Audry kot.”
“Jangan cakap yang abang nampak waktu Audry kena denda junjung kerusi tu.” Audry sudah membeliakkan mata melihat senyuman suaminya. Rasa malu bertandang di hatinya. Dahulu dia berharap sangat tiada siapa yang melihatnya ketika didenda oleh Ibu Raudhah, ternyata sangkaannya meleset sama sekali.
“Abang jatuh cinta pandang pertama selepas lihat Audry.” Jujur Zulfikar sambil mengusap jemari isterinya yang dicintai.
“Tapi junjung kerusi tu memalukan betul, Audry tak sangka abang nampak.”Tutur Audry bersama sebak yang tiba-tiba hadir. Bergetar bibirnya ketika itu menahan tangis.
“Ehh sayang jangan lah emosional sangat, tak bagus untuk baby dalam perut ni.” Zulfikar kaget melihat isterinya yang mudah menangis sejak disahkan hamil anak sulung mereka. Audry kesat tubir mata sebelum air matanya jatuh ke pipi.
“Terima kasih terima Audry seadanya.” Ucap Audry dengan senyuman manja.Jika tiada Zulfikar entah kemana hala tujunya selepas tamat kelas memasaknya dulu. Zulfikar mengusap pipi Audry sambil tersenyum.
“Jangan lupa daging masak hitam berlada yang pelanggan order tadi.”Seperti terkena renjatan elektrik, Audry tergesa-gesa ke dapur.
“Abang lah ni kacau Audry, terlupa terus order tadi.” Rungutnya sambil membasuh tangan di sinki.
“Hahaha! Tak pe, makanan tu abang yang order, tiba-tiba mengidam nak makan.” Zulfikar mengenyitkan mata kanannya.
“Kat rumah pun boleh minta, mengada.” Audry kembali kearah suaminya lalu mencubit pinggang lelaki itu. Zulfikar berdecit kegelian.
“Kat rumah tak sama, abang nak dekat restoran juga.”
“Apa yang tak samanya?” Audry kehairanan. Dia tetap orang yang sama di restoran atau dirumah, resepi juga tidak berubah atau ditokok tambah.
“Sebab Audry di rumah jadi Puan Audry Aulia, abang yang akan masak khas untuk tuan puteri yang sedang berbadan dua. Di restoran Audry jadi Chef Junjung Kerusi.”Jelas Zulfikar tanpa disedari ayat terakhirnya telah mengundang marah Audry.
“Apadia?? Chef Junjung Kerusi?!” senduk di tangan sudah diketuk-ketuk pada permukaan meja.
“Ehh tak tak! Abang bergurau je.” Kedua-dua tangannya diangkat sebagai tanda bersalah. Audry sudah melenting dan terus berlalu masuk ke bahagian dapur.
“Abang minta maaf Chef Junjung Kerusi! Eh salah, Chef Junjung Kasih!” laungan Zulfikar menjadi perhatian pelanggan yang sedang menikmati makan tengahari.
“Tak nak masak order tadi.” Audry meneruskan rajuknya. Zulfikar pula sudah tersengih sendiri. Nasib badanlah tak dapat makan bila mengidam.
-TAMAT-