Home Cerpen Keluarga MAK, AYAH MANA?
MAK, AYAH MANA?
MIKA JAIHA
2/5/2021 16:03:39
3,887
Kategori: Cerpen
Genre: Keluarga

“KRING!!!”

Bunyi loceng menandakan tamatnya sesi persekolahan pada hari ini. Berpusu-pusu pelajar keluar dari bilik kelas menuju ke destinasi masing-masing. Yang tinggal di asrama bergelak ketawa bersama teman mereka dengan menggalas beg dibahu bersama beberapa buah buku teks di tangan menuju ke bangunan asrama tidak jauh dari bangunan belajar.

Sederetan kereta dan motorsikal ibu bapa di luar pagar sekolah bersedia menunggu kedatangan anak mereka yang tampak ceria walaupun separuh hari diluangkan di sekolah. Guru-guru juga tidak terkecuali pulang awal ke rumah selepas bertungkus-lumus berkongsi ilmu tanpa jemu.

Di sudut bangunan sekolah, muncul seorang gadis yang berbadan sedikit gempal memeluk buku setebal 3 inci sambil menunggu temannya yang sedang berbual dengan rakan-rakan asrama yang masih belum pulang. Dia tidak sedikit pun bersuara atau menyampuk perbualan mereka yang sedang rancak. Jam tangan berharga RM15.00 yang dibelinya di pasar malam sebulan yang lalu dikerling.

“Som, aku nak tanya sikit boleh?” suara yang menyapanya dari belakang membuatkan gadis yang dipanggil Som itu terkejut. Dia berpaling kebelakang untuk melihatnya. Oh Syasya, rakannya yang berlainan kelas. Mereka hanya sekadar mengenali nama tapi belum pernah berbual sebelumnya.

“Tanyalah.” Som memberi keizinan sambil tersenyum malu.

“Aku tengok kau ulang-alik naik bas setiap hari, kenapa kau tak minta duduk asrama?” soalan yang tidak disangka itu menyentakkan Som, namun dia pandai menyembunyikan rasa terkejutnya.

“Aku lebih suka tinggal di rumah dari asrama.” Som berterus-terang sambil tersenyum menyembunyikan rasa sayu dalam hatinya.

Mereka tidak tahu siapa dirinya. Mereka tidak merasai apa yang dirasainya. Biarlah mereka tidak mengetahuinya kerana Som bahagia dengan cara itu.

“Woi gemuk! Jalan cepat sikit boleh tak? Terhegeh-hegeh!” sergah seorang lelaki saat Som hendak menaiki tangga bas. Tubuhnya yang gempal menyukarkannya untuk mendaki anak tangga pertama yang sedikit tinggi. Terkial-kial langkahnya dengan buku teks yang banyak di tangan.

“Lain kali kalau dah tahu lambat pergi naik bas bapak kau.” Ayat sinis itu benar-benar menyentuh tangkai hati Som. Dia menahan sebak sambil tersenyum pahit kepada lelaki yang menyindirnya sinis itu.

Sebelum bas sampai di rumahnya berjarak 100 meter, Som menekan loceng bas namun loceng yang ditekannya rosak dan tidak berbunyi, Som cemas kerana sudah sangat hampir bas itu dengan rumahnya, tiada pilihan lain selain menjerit ke arah pemandu bas, Som membuang jauh rasa malunya.

“Kringgg!” bunyi loceng membantutkan niat Som, dia menghela nafas lega. Sebelum turun dia tercari-cari gerangan yang menolongnya namun reaksi mereka seperti tiada apa-apa yang berlaku. Som sedikit kecewa.

Dari dalam bas di tepi tingkap bahagian kerusi paling belakang, seorang lelaki mencuri pandang ke arah rumah Som. Terbit rasa kesal di hatinya kerana memarahi gadis itu sebelumnya.Matanya sempat membaca sepintas lalu nama yang terpampang di papan besar yang terpacak teguh di hadapan rumah besar itu.

‘PUSAT DIDIKAN ANAK-ANAK YATIM UMMU SOFIAH’

 

Beberapa bulan kemudian…

Gagang telefon awam diletak selepas menghubungi emaknya, Som tersenyum sendiri. Terbang rasa rindu yang bersarang dihatinya kepada emak yang berada di kampung. Seorang pelajar yang kebetulan melintas di hadapannya menyapa,

“Eh Som,, telefon siapa?” Som tersenyum ceria dan menjawab,

“Telefon mak…” jawapan ringkas itu ternyata mengejutkan pelajar itu. Dahinya sedikit berkerut seperti memikirkan sesuatu. Som sudah dapat mengagak soalan apa yang bakal diajukan.Bukan seorang dua yang bertanya tentangnya malah tidak terbilang di jari sejak namanya tersenarai dalam penerima sumbangan anak-anak yatim di sekolahnya.

“Saya tinggal di asrama anak yatim…” Som memberi keterangan ringkas sebelum diajukan soalan. Kini tiada rahsia lagi.

Perbualannya dengan lelaki yang pernah memarahinya suatu ketika dahulu kembali terimbas di fikiran ketika dalam perjalanan ke rumah dengan menaiki bas hariannya.

“Arwah ayah kau meninggal sebab apa?”

“Mak aku kata sakit buah pinggang, waktu tu aku baru 5 tahun, kalau orang tanya macamana rupa ayah aku, aku pun dah tak ingat kecuali aku tengok gambar. Dulu masa ayah aku nak dikebumikan aku tak tahu apa-apa, mak kata aku baring tidur sebelah jenazah ayah aku. Bangun-bangun je ayah dah takde, aku nangis-nangis tanya mak, “Ayah mana? Ayah mana?” bila dah besar sikit baru aku faham kubur siapa yang mak selalu bawa aku pergi ziarah setiap kali raya. Aku tak tanya mak lagi dah mana ayah…” panjang lebar Som bercerita kepada lelaki tersebut yang kini  telah menjadi sahabatnya susah dan senang.

“Jauh mengelamun, dah nak sampai.” Teguran Acap mengejutkan Som, dia termalu sendiri. Beg galasnya disandang kemas, sebelum turun dia sempat berpesan,

“Esok ada majlis besar dekat asrama, doakan aku…” Acap hanya mengangguk. Dia tidak dapat hadir kerana perlu menghadiri kelas tambahan yang dianjurkan pihak sekolah.

Seusai majlis yang dianjurkan pihak Islamic Rilief Malaysia dalam memberi sumbangan kepada anak yatim, fakir miskin dan ibu tunggal yang tinggal di sekitar kawasan itu, Som yang sedang menikmati juadah di sapa kerani merangkap penyelaras majlis.

“Som, mak balik dah?”hanya anggukan diberi sebagai jawapan. Gembira hati Som kerana emaknya telah diundang, begitu juga emak teman-teman asramanya turut sama menerima sumbangan berupa makanan dan wang ringgit.

“Menangis tadi Baba dekat belakang pentas waktu korang menyanyi.” Ujarnya tanpa disangka.

“Kami semua atas pentas pun sama, menangis..” sahut yang lain.

“Ingat tak lagi masa kita sama-sama kena nasyid tu, belum nyanyi Som dah nangis dulu.” Muka Som kemerahan kerana menjadi bahan usikan teman-temannya.

“Itu sebab tiba-tiba teremosi.” Sangkal Som dan disambut ketawa teman-temannya.

Mana mungkin Som melupakan memori itu. Lirik lagunya sahaja sudah cukup memilukan apalagi dinyanyikan. Som tersenyum sendiri. Terngiang-ngiang di telinganya lagu yang baru dinyanyikan oleh mereka di atas pentas tengahari tadi, bagai menggamit memori lama. Segar dalam ingatan.

 

Pada kelembutan seraut senyuman

Pada kelunakkan tutur perkataan

Ada terlukis wajah kerinduan

Seorang ayah jauh dirantauan

 

Ayah selalu menghilang diri

Tinggalkan ibu seorang diri

Terkadang tiada khabar berita

Namun ibu tak pernah berduka

 

Sesekali hati rasa cemburu

Melihat teman semuanya berayah

Bermanja bermesra setiap waktu

Hidup gembira tiada gundah

 

Tidak tertahan menanggung rasa

Kepada ibu segera bertanya

Ke manakah ayah sekian lama

Hingga kini belum menjelma

 

Ibu tersenyum di dalam sayu

Senyumnya pudar tiada indah

Mungkin batinnya terlalu pilu

Bila anak rindukan ayah

 

Nada memujuk ibu menjawab

Tuturnya lembut penuh hikmah

Ayah pergi tak kembali lagi

Pergi menyahut seruan ilahi

Ayah pergi tak kembali lagi

Pergi menyahut seruan ilahi…

 

Khas buat mereka:

Allahyarham SARIF B BAHAROM (AL-FATIHAH)

Mak; SALMIAH BT DIN

Penjaga PDAYUMMUSOFIAH

Rakan-rakan sekolah

Rakan-rakan PDAYUMMUSOFIAH

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.