Home Cerpen Kanak-kanak Sahabat dari Marikh
Sahabat dari Marikh
SHUKRIAH RODZI
13/2/2018 17:59:50
6,275
Kategori: Cerpen
Genre: Kanak-kanak


Petang itu, Daim termenung seorang diri di taman permainan. Kenapa hari ini tiada sambutan hari lahir untuknya? Bukankah hari ini ulang tahun kelahirannya yang kelapan? Ibu dan ayah sibuk bekerja sehingga lupa untuk meraikan hari lahir Daim. Daim rasa sangat sedih.


Tiba-tiba, ada seorang lelaki tua datang menghampiri Daim.


“Atuk nampak kamu macam sedih sahaja... Kamu ada masalah?” Tanya lelaki tua itu kepada Daim. Mukanya kelihatan garang. Bermisai hitam melentik dan berkening putih.


“Erkkk... Tak ada apa-apalah atuk. ” Daim menjawab ringkas kerana dia tidak mengenali lelaki tua itu.


“Bagi tahu lah... Jangan takut. Mana tahu atuk boleh tolong.”


“Sebenarnya, hari ini hari jadi saya.  Tetapi, ibu dan ayah lupa.” Daim menjelaskan kepada lelaki tua itu dengan rasa hiba.


“Oh! Patutlah kamu sedih. Nak tak, atuk hadiahkan kamu sesuatu?”


“Hadiah? Hadiah apa yang atuk nak berikan kepada saya?”


“Hadiah ini istimewa tau... Nah! ambillah.” lelaki tua itu menghulurkan pemain media digital MP4 bersaiz sebesar tapak tangan kepada Daim.


“MP4?” Daim tergamam. Mulanya Daim menolak untuk menerimanya tetapi tetap dipaksa oleh lelaki tua itu sehingga Daim akhirnya mengalah. Inilah kali pertama dia mengambil hadiah dari orang yang tidak dikenali.


“Kamu akan tahu keajaiban MP4 ini bila kamu sudah bermain dengannya. Tentu kamu akan rasa sangat seronok.”


Selepas mengucapkan terima kasih kepada lelaki tua itu, Daim pun pulang ke rumahnya. 


Malam itu, Daim mencuba permainan kapal angkasa melalui pemain media digital yang dihadiahkan oleh lelaki tua tersebut. Memang seronok. Tiba-tiba, Daim disinari satu cahaya yang sangat terang. Cahaya yang menyedut Daim ke satu kawasan lapang. Daim sekarang bukan lagi berada di dalam biliknya.


Daim memerhati kawasan sekitar. Tiada sesiapa pun. Tidak jauh dari situ, Daim ternampak pula sebiji kapal angkasa berbentuk piring yang menyerupai kapal angkasa UFO seperti yang selalu dilihatnya dalam filem. Daim menghampiri kapal angkasa itu. Dia membuka pintu dan melangkah masuk ke dalam. Berkali-kali Daim menampar pipinya. Memang dia tidak bermimpi. Dia kini berada di dalam kapal angkasa. 


Namun, tidak semena-mena Daim sukar berdiri dengan betul. Dia terhoyong-hayang. Rupa-rupanya kapal angkasa itu sudah bergerak laju ke angkasa. Daim dapat melihat dari cermin tingkap, kapal itu sedang bergerak meninggalkan bumi. Rasa takut Daim berselang seli dengan rasa teruja kerana dapat berada di dalam kapal angkasa.


Tidak lama kemudian, terdengar bunyi derapan kaki. Cepat-cepat Daim bersembunyi di sebalik dinding. Ada dua orang makhluk kerdil sedang berjalan. Rupanya seperti manusia tetapi lengannya lebih panjang dan keempat-empat jari tangan dan kaki mereka berselaput.


“Kamu tak payah bersembunyi. Kami tahu kamu berada di sebalik dinding. Keluarlah! Kami cuma ingin bersahabat dengan kamu.” Kata makhluk asing itu kepada Daim.


Dalam keadaan takut-takut, Daim keluar dari persembunyiannya dan berdiri di hadapan makhluk asing itu.


“Nama aku Yoe dan dia, Tox. Kami berasal dari planet Marikh. Nama kamu Daim kan? Kami tahu cita-cita kamu mahu menjadi angkasawan. Oleh sebab itu, kami mahu bawa kamu mengembara ke planet kami sebagai hadiah hari jadi. Nak tak?” Tanya salah seorang makhluk asing itu.


“Wah! Tentulah nak...Tapi, kamu janji akan hantar saya pulang ke bumi nanti sebelum hari siang? Jika tidak tentu ibu dan ayah saya risau melihat saya tiada di rumah.” Daim bagaikan mahu melompat sahaja kerana dapat mengembara ke angkasa lepas, walaupun dia pelik bagaimana makhluk asing itu tahu cita-citanya.


“Tentulah!” Kata makhluk asing itu serentak.


Sepanjang perjalanan itu, Daim dapat melihat asteroid, meteor, komet dan satelit. Perjalanan mereka amat mengasyikkan. Tidak lama selepas itu, kapal angkasa mula menghampiri planet yang berwarna kemerah-merahan.


“Inilah planet kami. Marikh. Cantik kan? Planet keempat dari matahari dalam sistem suria. Marikh mempunyai dua bulan iaitu Phobos dan Deimos. Planet kami ni jauhnya 227.9 juta kilometer dari matahari. Penduduk di sini dikenali sebagai Martian.”


“Oh! Saya ingat tiada makhluk yang tinggal di Marikh.” Daim memberitahu jujur.


“Mestilah ada.” Kata Tox tertawa.


“Pertukaran siang dan malam di Marikh hampir sama dengan bumi. Ini menyebabkan musimnya pun lebih kurang serupa dengan bumi. Sekarang musim sejuk sebab itu zon putih di kawasan kutub lebih besar dan zon gelap mengecil.” Kata Yoe.


“Hmmm... Macam tu. Baru saya tahu.” Daim mengangguk-anggukkan kepala.


“Kamu juga perlu tahu bahawa langit kami kelihatan berwarna jingga. Tidak sama dengan langit di bumi yang kelihatan kebiru-biruan.” Yoe menambah lagi.


“Jom kita pusing-pusing Marikh. Hohoho... Pandang ke sana! Itulah gunung yang tertinggi dalam sistem suria. Gunung Olympus. Setinggi 27 kilometer. Ia gunung berapi yang tidak aktif.” Kata Tox kepada Daim.


“Hebatnya! Mujur ia tidak meletus. Saya tidak dapat bayangkan kalau ia gunung berapi yang aktif. Tentu lavanya sangat panas dan memancut tinggi ke atas sebelum mengalir ke bawah.” Mulut Daim ternganga kerana terlalu kagum.


Namun, kegembiraan mereka tidak lama. Tiba-tiba datang satu kapal angkasa yang lebih besar cuba melanggar kapal angkasa Yoe dan Tox. Mereka di tembak bertubi-tubi oleh kapal angkasa itu. Kapal angkasa Yoe dan Tox mengelak ke kiri dan ke kanan. Sekejap ke atas dan sekejap ke bawah.


“Itu Zod dan rakan-rakannya. Zod musuh kami. Dia memang tidak suka Martian ada hubungan dengan manusia di bumi. Kami perlu hantar kamu pulang dengan segera. Jika tidak, dia pasti menangkap kamu sebagai tebusan. Kamu akan dikurung di dalam makmal dan dijadikan uji kaji mereka.” Kata Yoe kepada Daim. Ini menyebabkan Daim berasa sangat takut.


Laju kapal angkasa Yoe dan Tox menghala ke bumi. Mereka dikejar dan cuba dipintas oleh kapal angkasa Zod. Mujurlah kapal angkasa Yoe dan Tox sangat laju walaupun kecil. Bergegar-gegar kapal angkasa Yoe dan Tox kerana dipandu melebihi kelajuan yang sepatutnya. Meter kelajuan berpusing-pusing tanda tidak stabil. Akhirnya, mereka berjaya juga melepasi atmosfera bumi walaupun kapal angkasa itu seakan-akan mahu terhempas bila-bila masa sahaja. Bunyi berdengung menganggu pendengaran telinga Daim. Daim melindungi matanya dengan tangan kerana tiba-tiba sahaja ada cahaya yang menyilaukan mengganggu penglihatan.


“Cepat Daim! Keluar dari sini dan musnahkan MP4 itu supaya Zod dan kawan-kawannya tidak dapat mendarat di bumi. Putuskan segera signal permainan media digital itu ke angkasa lepas. Kami akan segera beredar dari sini. Selamat tinggal Daim!” Kata Tox kepada Daim. Yoe segera membuka pintu untuk Daim keluar. Mereka melambai-lambai tangan kepada Daim. Pintu segera ditutup dan kapal angkasa itu bergerak laju meninggalkan Daim.


Bila kapal angkasa tersebut berlepas, Daim sedar dia sekarang sudah kembali berada di dalam biliknya.


Daim segera melontar dengan kuat pemain media digital MP4 yang masih lagi memainkan permainan angkasa lepas yang dimainkannya tadi ke dinding. Pecah berderai alat permainan itu. Satu sinaran cahaya yang terang hilang bersama-sama alat permainan itu. Langsung tiada satu kesan pun di lantai bilik Daim. Daim terkesima.


Jadi, sekarang selamatlah Daim dari menjadi tebusan Zod dan rakan-rakannya. Namun, dia berharap suatu hari nanti dia masih berpeluang untuk berhubung dan berjumpa lagi dengan Yoe dan Tox si Martian dari Marikh. Belum puas rasanya dia mengembara ke angkasa lepas bersama sahabat barunya itu.


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.