Home Untold Story Umum DUNIA ITU BUKAN DUNIA AKU
DUNIA ITU BUKAN DUNIA AKU
Farhah Aiddin
24/8/2018 15:18:42
5,044
Kategori: Untold Story
Genre: Umum
Senarai Bab
Cerpen

Dunia Itu Bukan Dunia Aku

“Abah, orang nak sambung Mesir.” Serangkap ayat itu aku tutur dengan berani.

Aku yang sebelum ini bertekad sejak kecil untuk tidak menjejakkan kaki ke negara berdebu itu tiba-tiba sahaja berubah fikiran. Mana tidak terkejutnya keluarga aku. Pernah satu ketika bila guru-guru yang mengajar subjek Sijil Menengah Agama (SMA) bertanya pada aku; adakah aku teringin belajar di timur tengah? Dengan pantas tanpa berfikir panjang aku terus menggeleng. Aku tak perlu berfikir untuk membalasnya. Kenapa? Sebab itu bukan minat aku. Ringkas.. kerana minat dan keinginan itu sangat penting dalam hidup aku.

Tetapi hati itu Allah yang pegang. Jika Dia berkehendak untuk memutarkan hati aku, nescaya terputarlah ia. 

Selepas habis Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) aku terima surat untuk masuk PLKN. Tempat yang sudah pasti aku akan stress kerana aku seorang beat deafness. Aku tak boleh ikut rentak orang berkawad, makin aku ikut, makin teruk rentak yang aku lakukan. Atas dasar itu aku pilih untuk terima tawaran masuk STAM, ketika itu niat aku hanya untuk lari dari PLKN.

Sekali lagi aku tegaskan, hati itu Allah yang pengang, jika Dia berkehendak untuk memutarkan hati aku, nescaya terputarlah ia. Aku tak tahu bagaimana dan mengapa tiba-tiba sahaja aku cukup terpaut dengan Mesir sehingga aku beranikan diri cakap pada ayah aku untuk sambung belajar di sana. Ayah aku cakap mungkin ustaz dan ustazah yang mengajar subjek STAM kebanyakkannya Azhari dan Azhariah. Aku hanya angkat bahu dan menggeleng, kerana aku sendiri tiada jawapan untuk itu.

Semua itu sudah hampir lima tahun berlalu. Sekarang aku sudah menamatkan pelajaran di sana dengan cemerlang dan aku juga bawa pulang bersama satu peristiwa yang aku panggil pengalaman yang tidak akan luput dari ingatan sampai bila-bila.

Aku datang tika zaman evakuasi. Zaman kejatuhan Mursi. 

Hari yang indah itu, kelas Markaz Lughah berakhir seperti biasa dan seperti biasa juga kelas aku antara kelas terakhir yang keluar. Aku keluar dari bangunan markaz lughah dan menuju ke babu rois (pintu utama) seperti selalunya, kereta kebal dan askar-askar Mesir yang berdiri berdekatan babu rois, aku pandang tanpa perasaan. Dari hari pertama aku menjejakkan kaki ke universiti ini, aku sudah melihat mereka di situ, berdiri tanpa henti dengan senjata ditangan dan diacukan ke suatu arah. Mungkin disebabkan terlampau biasa melihat mereka, hati aku dan kawan-kawan sudah lali untuk tidak ada rasa takut akan mereka yang mengacu senjata.

Aku ingat lagi, masa itu aku berjalan di antara yang paling depan antara kawan-kawan aku. Aku teruja untuk tunggu bas dihujung jalan dan balik ke rumah. Dihadapan aku masa itu cuma ada dua tiga orang lelaki arab Mesir yang mungkin juga pelajar Azhar seperti aku. Masa itu aku perasan ada kereta kebal berjalan menuju ke jalan utama tempat yang aku bakal lintas untuk menunggu bas dibawah jejantas hujung jalan itu. Aku pandang macam biasa tanpa sebarang syak wasangka. Aku juga sempat menjeling ke kanan jalan dan melihat ramai orang arab yang padat di dalam bas dan tremco (van). Aku sedar mereka umpama memanggil kami untuk naik ke dalam bas cepat-cepat tetapi aku tak pedulikan sebab itu bukan bas dan tremco yang menuju ke tempat tinggal aku.

Kejadian itu berlaku sangat pantas dan bagi aku sangat drastik. Aku nampak asap berkepuk dihujung jalan yang aku ingin tuju dan tiba-tiba sahaja lelaki-lelaki arab yang berada dihadapan aku berlari lintang-pukang dan menyuruh kami menyelamatkan diri. Orang-orang yang berada di dalam kenderaan di sebelah kanan aku juga menjerit suruh aku dan kawan-kawan aku lari. Aku termenggu dan terdiam. Aku hanya berdiri dan menonton mereka menjerit dan berlari. Aku hairan dengan mereka, tetapi yang lebih menghairankan aku sampai saat ini, aku langsung tidak bertindak untuk menyelamatkan diri saat kekalutan itu.

“Kenapa ni?” aku bertanya pada kawan aku yang berdiri disebelah.

Dia bersungguh jawab tak tahu dan dia juga sama seperti aku, termenggu dan terdiam.

“Weh lari weh! Tengok depan tu!” 

Mata aku terus membulat melihat asap yang makin berkepuk. Mula-mula jauh tapi makin lama makin mendekati kami yang hanya berdiri terpaku di situ. Bila asap makin dekat, kawan yang berdiri disebelah aku menarik lengan aku sekuat mungkin dan ia menyebabkan kaki aku terus bergerak pantas. Jantung berdetak laju. Hati menjerit takut. Takut pada sesuatu yang aku sendiri tidak pasti.

Asap pemedih mata penuh dibelakang sehingga menyebabkan mata aku sedikit pedih, kereta-kereta kebal berpusu-pusu ke arah kami dengan askar-askar yang memacukan senjata ke arah kami. Dihadapan aku pula, manusia-manusia berlari lintang-pukang bagaikan kiamat datang menjengah. Bayangan itu masih sangat jelas dalam ingatan aku. Lelaki atau perempuan, ustaz atau ustazah, tua atau muda, masing-masing berlari berlanggaran untuk menyelamatkan diri sendiri. Perlanggaran itu langsung tidak memberi impak pada hati, yang ada cuma ingin menyelamatkan diri sendiri. Tika itu aku sedar manusia memang sedang pentingkan nyawa sendiri. 

Sesampai sahaja dihadapan bangunan kuliah Dakwah dan Terjemah, aku yang bergandingan dengan kawan aku tidak sempat masuk ke dalam kerana pintu sudah ditutup. Aku sedar pelajar yang berdiri didepan pintu masjid Zahra’ yang bersebelahan dengan Kuliah Dakwah dan Terjemah menjerit menyuruh kami berlari ke sana tetapi kereta kebal yang membawa pemedih mata itu sangat hampir dengan aku. Tanpa berfikir lebih panjang, aku terus mengajak kawan aku itu menyorok ke dalam semak-samun berdekatan kami. Aku dapat rasakan gementar yang kawan aku itu rasakan. 

Tiba-tiba kereta kebal itu masuk terus ke dalam dan tidak belok ke kiri, ke arah aku dan kawan aku bersembunyi. Saat kami baru menghembuskan nafas kelegaan, sekongyong-kongyong aku dengar pelajar yang sedang menyorok di dalam masjid Zahra’ menjerit menyuruh kami masuk ke dalam. Baru aku perasan bukan hanya aku dan kawan aku sahaja yang bijak sangat menyorok di dalam semak yang tak berapa nak semak itu. Ada lebih kurang enam orang pelajar termasuk aku dan kawan aku.

Semakin aku mendekati masjid Zahra’ semakin aku dengar suara seseorang menjerit mencari aku. Mulanya aku tak perasan orang yang dia cari itu adalah aku tetapi bila aku makin fokuskan pendengaran aku, aku tersenyum tercuit hati. 

“Akak okey tak ni? Akak pergi mana?” riak dimukanya sangat jelas menggambarkan yang dia risaukan aku.

“Okey je, jangan risaulah.” Aku senyum membalas.

Dia terus merangkul bahu aku. Sebenarnya aku tak sangka yang dia bakal serisau itu pada aku. Kejadian itu buat aku sedar, orang yang selama ini tidak begitu menyerlahkan diri menyatakan sayang pada kita sebenarnya benar-benar menyanyagi. Seperti abang aku. Sampai saat ini raut wajah kerisauan abang aku masih segar bermain diminda aku. Aku tahu dia sayangkan aku walau dia tak pernah menyatakan ‘ya’ setiap kali aku bergurau tentang kejadian hari itu.

Selepas keadaan kembali reda dengan jeritan orang-orang arab Mesir menyuruh askar-askar itu supaya tidak mengganggu wafidin (pelajar bukan arab), melegakan kami yang ketakutan. Dengan diiringi beberapa orang arab menuju ke pintu keluar berdekatan masjid Zahra’, kami berjaya naik ke dalam bas dan pulang ke rumah masing-masing dengan selamat.

Sampai sekarang, setiap kali aku melihat kawasan semak tempat aku dan kawan aku menyorok, aku akan tersengih geli hati. Dalam fikiran asyik mengutuk diri sendiri yang bijak sangat menyorok di situ. Kalau pun askar-askar itu tak nampak kami, asap pemedih mata tetap akan terkena.

Itu pengalaman yang tidak akan pernah hilang dari ingatan aku. Pengalaman yang mengajar aku erti syukur kerana hidup dinegara yang aman seperti Malaysia. Pengalaman yang menyedarkan aku betapa kasihnya abang aku pada aku. Dan pengalaman yang menggambarkan aku peristiwa hari kiamat, yang tika manusia hanya fikir untuk selamatkan nyawa sendiri tanpa pedulikan orang lain.

Dunia itu bukan dunia aku tetapi kenangannya sebati dalam hidup aku, selamanya.


...


Kisah benar yang dikongsikan seseorang pada penulis. Ya, 100% benar belaka.


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.