Home Novelet Thriller/Aksi Exotika : Haru Biru
Exotika : Haru Biru
Syafiqah Kadir
2/4/2021 18:42:17
32,272
Kategori: Novelet
Genre: Thriller/Aksi
Bab 9

Syam duduk berlunjur di atas rumput. Taman permainan yang lengang dilihat sekilas. Sesekali dia hela nafas. Fikirannya serabut mengenangkan kes bunuh baru-baru ini yang koheren dengan manuskrip yang diusahakannya itu.


Dia keluar dari rumah pun sebab abangnya suruh. Lebih tepat, dia paksa sebenarnya. Siap dipanggil zombi lagi kalau berkeras mahu terus duduk dalam bilik. Bertuah punya abang.


"Assalamualaikum," tegur satu suara dari belakang. Syam menoleh ke belakang, sedikit terkejut.


"Waalaikummussalam," Syam membalas salam kawan baiknya itu. Senyum kecil dilemparkan.


"Aku pergi rumah kau tadi, tapi abang kau kata kau keluar, pergi taman," kata Bray lalu duduk bersila di sebelah Syam. "Kau ada tengok berita pagi tadi?" Soalan itu ditanya lagi, seakan meminta kepastian.


"Ada," jawab Syam perlahan. Angin lembut berhembus perlahan. Bagaikan cuba untuk menenangkan jiwa yang sedang kusut itu.


"Kau rasa, 'dia' muncul semula?"


Syam angkat bahu. "Entahlah. Aku tak tahu. Tak ada pula mimpi pasal 'dia' sejak kebelakangan ni."


Bray diam, berfikir. Sesekali matanya mengerling ke arah wajah Syam yang jelas sedang tertekan.


"Hari Ahad ni, kita pergi jungle trekking, nak?"


Syam pandang Bray, lama. "Nak jungle trekking di mana? Sini bandar, kan."


"Ada la tempatnya. Kau tu selalu terperuk dalam bilik, sibuk dengan novel kau je. Tak adanya kau ambil tahu tempat macam ni wujud atau tak."


Syam mencebik. Bray terus tertawa kecil.


"Hutan Lipur Tanjung Pangku. Tak jauh pun," tambah Bray lagi. "Lebih kurang 10 kilometer je dari sini. Amacam?" 


Lama Syam diam, menimbang cadangan Bray itu. Bray pula sempat mengeluarkan telefon bimbitnya, menghantar mesej kepada rakan-rakannya. 


"Hm... Fahmi balik kampung pula hujung minggu ni. Safuan pula kata nak join..." Bray membebel perlahan.


"Okey. Aku pergi. Sesekali rehatkan minda, tengok alam semula jadi. Mana tahu dapat ilham baru," kata Syam. Bray terus senyum.


"Ilham baru. Cerita baru. Watak baru... Jangan watak baru tu macam Tombiruo, sudahlah. Bahaya. Ada hakcipta tu." 


Syam mencebik lagi. Bray pula terus tertawa kecil.


(...)


Raz memerhatikan Syam yang baru masuk ke dalam kawasan rumah. Sesekali dia kesat peluhnya. Boleh tahan bau kepam bilik adiknya. Banyak kali juga dia sembur pewangi Febreze di bilik adiknya itu.


Sebenarnya Raz dapat rasakan ada sesuatu yang tidak kena apabila Syam berkelakuan pelik apabila tonton berita pagi tadi. Itu yang buatkan dia 'halau' adiknya keluar rumah untuk sejam dua. Nalurinya jarang salah. Pedang samurai milik adiknya yang nampak seperti baru sahaja dibersihkan diteliti. Ada sedikit kesan darah kering berhampiran hulu pedang itu.


"Erzen... Dia muncul kembali? Tapi, bukankah siri 'Dark Hunter' dah selesai?" Raz menggumam perlahan.


Syam melangkah masuk ke dalam rumah, menyedari yang abangnya pandang dia macam seorang pegawai polis yang ingin memulakan sesi soal siasat. 


"Kau ada projek baru?" Raz bertanya. 


"Er... Memang ada buat cerita baru, tapi baru mula bulan lepas. Tak banyak pun yang dah siap. Tak ada idea nak sambung," kata Syam jujur.


Raz angguk, berfikir.


"Aaa... Ahad ni Bray ajak pergi jungle trekking. Syam ingat nak ikut serta. Boleh, kan?" Syam bertanya, mematikan lamunan Raz. Raz tenung dalam-dalam anak mata Syam.


"Di mana?" Raz bertanya, siap angkat sebelah kening.


"Hutan Lipur Tanjung Pangku. Er, boleh kan?"


"Tak pernah-pernah kau nak buat aktiviti luar rumah ni. Abang ajak kau main bola depan rumah pun, kau marah. Ada apa-apa ke ni?" Raz bertanya lagi, masih ragu-ragu.


Syam garu kepala. "Er... Sesekali menikmati alam semula jadi. Mana tahu dapat idea nak siapkan manuskrip baru tu."


Raz diam seketika, seakan berfikir. "Abang nak ikut," kata Raz kemudiannya, penuh selamba. Syam sedikit terkejut.


"Habis, rumah ni, siapa nak jaga?" Syam bertanya. Di rumah hanya ada mereka bertiga saja sekarang ni. Jika Raz ikut serta, bolehkah harapkan Ash yang suka jalan-jalan di luar itu untuk jaga rumah?


"Tu. Ash ada di rumah Ahad nanti," kata Raz, mengekalkan reaksi selambanya. "Lagipun, kau ada pengalaman masuk hutan ke? Pergi camping pun tak pernah. Sesat dalam hutan tu karang, aku juga nak kena menjawab dengan Papa nanti."


Syam bungkam. Nampak gayanya dia terpaksa beritahu Bray akan kehadiran 'ahli tambahan' untuk jungle trekking ini.

Previous: Bab 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.