Home Novelet Seram/Misteri CINCIN BERDARAH
CINCIN BERDARAH
AD Rahman Ahmad
8/3/2015 01:23:39
9,452
Kategori: Novelet
Genre: Seram/Misteri
Senarai Bab
Bab 2


“Telinga… Siti! Aku mahu telinga… . Telinga!!” jeritnya berserta hilaian yang panjang.

Bergetar tubuhku mendengar laungannya, jauh sekali bagiku untuk melihat wajah orang tuaku tika itu. ‘Tapi kenapa telinga aku? Kenapaaaa?’ hatiku menjerit.

Dengusannya begitu jelas di halwa pendengaranku, dalam masa yang sama bola mataku mulai berlegar kiri dan kanan. Adakah sesuatu yang kejam telah merasuk dirinya? `Ya ALLAH, kau jauhkanlah aku dan orang tuaku dari gangguan syaitan, Ya ALLAH…’ mohonku berulang kali. Hatiku tidak berhenti dari terus berzikir dan diselang-seli dengan bacaan ayat-ayat suci AL-QURAN.

“Siti… Siti… aku nak makan! Nak makaaannn!!” pekiknya lagi. “Bagi aku telinga kau tu, Siti! Bagiiii!!” Menderam suara emak hingga meremang bulu tengkokku. Kipas angin yang berputar ligat di siling tidak langsung terasa dingin. Malah rintik-rintik kecil sudah memenuhi dahiku.  Menggigil tubuhku menahan ketakutan. Kewarasanku juga hampir terbius.

“Astagfirullah hal azim… mak!” laungku. Cahaya suram sedikitpun tidak mengganggu penglihatanku dari cuba melihat raut wajahnya. Keadaan emak sudah jauh berbeza. Renungannya tajam, menikam hingga aku seakan mahu pitam. “Mak… jangan main-main mak! Siti… siti…” belum sempat aku menyudahkan luahan kataku. Tangannya terus menangkap cuping telingaku.

`SEJUK.’

“Mak!!” laungku sekuat hati. Sepantas kilat, aku menepis tangannya. Terjegil mata putihnya memandang aku. Selimut yang menutupi separuh dari tubuh segera kutarik dan kuselubungkan diri di dalamnya. Gementar seluruh urat nadiku. Dalam debar dan seram, aku hanya mampu membaca surah-surah yang terlintas dibenak. Mata kukejam rapat-rapat. Bantal yang sepatutnya menjadi santapan kepala kini menjadi mangsa tekupan di telinga.


“Ya ALLAH… ampun. Anak dara oiii! Matahari dah tinggi melangit, tak reti nak bangun ke!” sergah wanita yang berdiri di hadapan aku. Dia yang berpakaian cantik tiba-tiba menarik selimut yang menutupi tubuhku.

Terkelip-kelip kelopak mataku memandang siapa dia yang kelihatan begitu cantik sekali. `Bidadari kah?’ soalku dalam hati sambil kedua-dua tanganku mengesel-gesel kelopak mata.

“Mak!” jeritku. Melantun aku bangun dan berdiri di hadapannya. Spontan, kedua-dua tanganku memegang pipinya lalu menekan hingga termuncung bibirnya. “Mak! Ni mak Siti kan… bukan hantu kan?” tekanku lagi. Bulat retinaku beradu dengan retinanya. Merenung sambil menanti jawapan daripada dia yang kelihatan sungguh ayu.

“Eh Siti! Apa yang kau buat ni?” sergah emak sambil menepis kedua-dua tanganku. Menjarakkan sedikit tubuhnya daripada aku yang masih lagi terpaku seribu erti. Menatapi wajah yang tidak asing lagi dalam hidupku.

“Mak…” lirih panggillanku. Lantas tubuhnya kudakap erat dan mengucap panjang dalam pelukannya. Nafas kuhela perlahan-lahan. Air mata yang bergenang di kelopak mata segera kusapu dengan telapak tangan.

“Kenapa ni… sayang? Tiba-tiba peluk emak. Iskkk tak eloklah, anak dara bangun pagi… cengeng,” tegur emak sambil membelai belakang tubuhku.

“Mak… Siti takut…” aduku. “Takut…” rintihku.

“Dah… tak payah nak buat drama kat dalam bilik mak ni. Sekarang kau pergi mandi, lepas tu kita boleh sarapan. Mak dah siapkan makanan kesukaan kau,” terang emak sambil menepuk-nepuk belakang badanku

“Mak masak apa? Banyak tau yang Siti suka… tambah-tambah kalau mak masak nasi lemak. Tak pun… kuih,” rengekku yang masih dalam pelukannya.

“Kuih Peniram… alahhhh, kat kampung mak panggil kuih `Telinga Keling’,” terangnya. “Kebetulan ada lebihan bancuhannya semalam. Semasa mak buat untuk Mak Cik Leha kau tu. Kau suka kan…” tebak emak tanpa kupinta.

“Telinga Keling!” pantas aku melepaskan diriku dalam pelukan emak. “Telinga!” Sekali lagi aku menjerit lantang.

Pandangan bertembung seakan bertarung. Terbuntang bola mataku melihat orang tuaku yang tersengih-sengih seorang diri. Sepantas kilat tangan kananku mencubit pipi kananku. Sakit, pedih, ini bukan mimpi. Menelan liur beberapa kali, wajahnya ku tatap lagi dengan rasa gundah di hati.

“Dah… kenapa dengan kamu ni, Siti. Tengok mak macam tengok hantu? Iskkk dahlah, pergi mandi. Mak nak lipat kain selimut ni. Harapkan kamu… sampai kesudahlah tak kan buat. Cepat, mandi! Mak nak bancuh air pulak lepas ni, boleh kita sarapan sekali,” arah emak sambil menolak tubuhku agar keluar dari biliknya.

“Uiskkk, mak ni… . Nanti Siti cerita kat mak. Tapiii… mak kena tunggu sampai Siti habis mandi dulu," kataku sambil menarik tangannya agar mengikut aku hingga ke bilik air.

“Isk… anak dara, dah besar pun penakut. Sudah! pergi mandi!!” jerkah emak. Arahan emak kuturuti dengan wajah cemburut. Namun rasa takut dalam diri masih terus bermaharajalela dalam hati.

Setengah jam kemudian, aku yang hanya berseluar `track-suit’ warna hitam serta ber`t-shirt’ warna ungu keluar dari bilik sambil berlagu riang. Aku melihat emak begitu leka membaca Akhbar Berita Mingguan. Aku menarik kerusi meja di hadapannya dan menghenyakkan punggungku. Duduk bersila di atas kerusi sambil memerhati hidangan yang terhidang di depan mata.

Kerlingannya di sebalik kertas berwarna-warni berserta segaris senyuman mengambarkan keceriaan di wajah orang tuaku. Lantas kertas yang berwarna-warni itu diletakan di tepi meja. Gesit tangan emak mencapai teko yang masih berasap muncungnya. Dia segera menuang teh `o’ panas ke dalam cawan. Satu untuk aku dan satu lagi sudah tentulah untuknya. Siapalah lagi yang ada di dalam rumah ini? Kakak dan abangku semua sudah mendirikan rumahtangga. Masing-masing sibuk dengan kerjaya mereka sendiri.

Menompang dagu di meja makan sambil enak menggantung asap. Tiba-tiba aku dikejutkan dengan jeritan emak sambil tangan kanan menerawang di hadapanku. Seakan terjaga dari lena, aku terpinga-pinga melihat tingkah lakunya. Kelihatan dua lapis lengkung nipis mengibarkan senyuman di hadapanku lalu menegur.

“Dah… dah! Tok sah dok termenung sangatlah. Ni, tadi kata nak cerita kan. Hah! Ceritalah sekarang mak nak dengar… dan satu lagi, kenapa mulut kau melopong tika mak cakap mak buat kuih tu?" soal emak lagi. Serta hujung jari telunjuk kanannya menunjuk ke arah piring yang terletak di atas meja makan.

Melirik mataku mengikut telunjuk emak. Melihat kuih kegemaranku terhidang di atas meja makan. Kutelan liur berulang kali sebelum aku memulakan bicara.

“Gini mak! Malam tadi…” terhenti bicaraku apabila emak sepantas kilat memotong ungkapanku.

“Hah! Kenapa dengan malam tadi?” soal emak tanpa sempat aku menyudahkan cerita.

“Iskkk mak ni… dengarlah dulu apa yang Siti nak cakap niii!” tegas aku meminta emak bersabar. “Malam tadi, orang kena usik,” perlahan aku melepaskan bicara. Nafas ku tarik dalam-dalam. Wajah emak kuperhatian dalam diam.

“Siapa usik kau?” terjegel biji mata emak menyoal aku yang terdiam seketika. Cawan yang masih berasap di tangannya tidak jadi dibawa ke bibir. Malah cawan itu diletakan kembali di atas pelapiknya.

“Si dia.”

“Yelah… si dia. Tapi siapa? Anak siapa?” soal emak bertubi-tubi.

“Manalah Siti tau anak siapa, mak ni? Tapi mak… kalau anak orang pasti ada kakinya. Dah tentulah tampan orangnya dan tak kanlah nak ganggu anak mak ni malam-malam buta,” bebelku. Geram rasa hati bila peneranganku, emak acuh tak acuh mendengarnya. Aku terus membatukan diri. Malas untuk bercerita lagi.

“Ala… sekadar menyakat. Itulah… masuk tidur tak reti nak basuh kaki,” sindir emak.

“Mak, apa benda menyakatnya. Kalau ye pun meyakat… tak kanlah sampai masuk dalam tubuh mak?”

“Apa? Tubuh mak ni? Kau jangan buat cerita Siti…” rengus emak. Bulat anak matanya memandang aku.

“Apa buat cerita? Betullah mak… . Depan mata Siti tau. Mak merengek-rengek minta nak makan. Asyik sebut nak makan aje… . Meremang bulu roma Siti tau?” aduku. Teh `o’ yang masih berasap kutiup dan kuhirup sedikit. Setelah meletakkan kembali cawannya di atas pasangannya, aku kembali bercerita. Emak menjadi pendengar yang paling setia sambil mengeleng tanda tidak percaya.

“Mengarutlah kau ni Siti, zaman serba moden ni… zaman siber ke apa namanya, mana ada hantu? Kalau Jin tu… ye ada. Dah memang tugas dia, untuk mengusik anak-anak Adam yang leka dengan kerenah dunia sekarang.”

“Mengarut? Tak kena kat mak… memanglah mengarut. Cuba kalau dah kena… mau tercabut gigi palsu mak tu…” selorohku. Ketawa emak mendengar celotehku.

“Mak minta nak makan kan… habis tu kau bagilah?” soal emak setelah ketawa mulai menipis.

“Nak bagi apa… kecut perut Siti dibuatnya adalah. Ada ke patut mak minta nak makan telinga Siti? Dahlah rupa mak masa tu… ngeeee… menakutkan. Mata mak yang dah tak berupa mata lagi. Putih mak… putih. Bagai nak putus jantung Siti ni, mak tau tak?” aduku kembali sambil menepuk-nepuk dada.

“Ooooo… sebab tulah kau terkejut ye, bila dengar mak sebut nama kuih tu. Hahhh, sekarang mak nak makan telinga kau, boleh?” emak menunjuk kuih itu sambil ketawa geli hati.

Aku bangun dari tempat duduk dan berjalan ke arah emak sambil menyua telingaku ke wajahnya. Sambil ketawa suka, emak menepis manja pipiku. Lantas aku terus mendakap tubuhnya. Dia memang ratu dalam hidupku. Ratu yang penuh kasih sayang.

“Tapi kan mak… dah lama `dia’ tak mengusik kan? Kenapa sejak cincin ini di jari Siti, `dia’ selalu muncul. Kenapa ye, mak?” soalku sambil anak mata melorot jatuh ke jari manis di tangan kananku. Cincin itu kusentuh dan kuputar-putarkannya berkali-kali. “Tapi… mak! Kenapa?” soalku lagi. Wajah emak kupandang mohon pengertian.

“Siti… bukan sekarang sayang. Bukan masanya,” pujuk emak. Jari jemarinya mula menggamit jari jemariku. Meramas dan menepuk-nepuk seketika. Pandangan bertemu, berlaga bagaikan ingin memberitahu sesuatu. Gelora hatiku membuak-buak ingin tahu.

“Tapi mak…”

“Dengar cakap mak!” Keras suara emak mematikan ungkapanku. Terdengar keluhan emak. Lantas wajahnya kutatap. Renungan matanya menikam, memanah dan menusuk hingga aku terdiam . Apakah ada rahsia di sebalik semua yang terjadi? `Dia’ dengan permintaannya, dalam jasad yang bernyawa.

Previous: Bab 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.