Home Novelet Seram/Misteri Intuisi
Intuisi
Ruby Annas
20/2/2019 13:30:55
13,073
Kategori: Novelet
Genre: Seram/Misteri
Bab 5

AKU lapar...,” keluh Katy lemah, serentak dengan mimik muka kasihan.  Pandai betul Katy berlakon.

Tubuhku terjelepok ke lantai.  Aku ingatkan si Katy sudah dirasuk penunggu rumah tadi.  Rupa-rupanya dia lapar.  Aku tak tahu nak gambarkan perasaan aku ketika itu; sama ada lucu ataupun marah?

“Astaghfirullahaldzim… aku mati-mati ingat kau kena sampuk tadi,” luahku geram.  Katy ketawa geli hati.

“Aku ada mi segera je ni.  Nak ke tak nak?” tanya aku meminta kepastian.

“Nak!” laju betul Katy jawab.

Aku geleng kepala dengan telatah Katy, namun kadang kala telatah itulah yang buat aku terhibur.   Sementelah, dia saja yang aku ada di KL ini.  Aku menapak ke dapur.  Periuk kecil aku letak atas dapur gas berpenunu satu.  Sesuai dengan moto iklannya, ‘cepat dimasak lebih cepat dimakan,’ dalam masa beberapa minit, dua bungkus mi berjaya dimasak. 

Mi segera yang masih berasap aku hidangkan ke dalam mangkuk besar. 

“Katy, marilah ambil megi kau ni.  Aku ada dua tangan je ni,” laungku dari dapur. 

Terkedek-kedek Katy berjalan mengambil mangkuk mi segera dan dibawa ke ruang tamu.  Periuk memasak mi segera tadi aku letakkan ke dalam sinki dan direndam dengan air.  Kata ibu, kerja menyental kerak akan menjadi lebih mudah jika periuk itu direndam dengan air terlebih dahulu.

Dengan berhati-hati aku bawa satu lagi mangkuk panas itu ke ruang tamu.  Katy sudah berpeluh-peluh menghirup mi segera berperisa kari.  Aku masukkan sekali cili padi yang dipotong, barulah sedap.

“Dah baca doa ke belum?”  Aku sengaja menyakat Katy.  Dia menjeling tajam.

“Aku bergurau ajelah.” 

Kami menikmati makanan masing-masing dengan senyap.  Tiba-tiba notifikasi WhatsApp berbunyi menandakan ada mesej baru masuk.

Puan Joyah
Macam mana rumah baru?

Aku
Okey.  Terima kasih sebab dah
kemaskan bilik saya.


Puan Joyah
Sama-sama.

Aku
Puan ada nombor telefon rakan serumah saya tak?  Senang sikit saya nak hubungi dia.  Maklumlah, waktu kerja kami tak sama.


Puan Joyah
Boleh, boleh.  Nanti saya bagi.

Aku
Terima kasih sekali lagi.


Aktviti berbalas pesanan WhatsApp kami berakhir di situ.  Aku kerling Katy yang sudah duduk diam, terlentang macam ular sawa kekenyangan.  Kasihan pula, nampak penat sangat dia ke sana ke mari melayan kerenah aku mencari barang.

“Aku balik dululah.  Perut pun dah kenyang, jimat duit aku tak payah keluarkan belanja.  Hahaha,” seloroh Katy.

“Mi segera aje pun.  Bukannya makan ikan siakap masak stim ke, ketam bercili ke.” 

“Mi segera pun dah dikira rezeki.  Nanti kau ajaklah aku makan kat sini lagi.  Tapi lepas ni lauk special sikitlah.  Ayam golek pun sedap,”  Katy menyambung tawa.

“Amboi, bukan main tinggi lagi selera anak tekak kau.  Katy, terima kasih temankan aku.  Aku bersyukur sangat-sangat ada kawan macam kau.” 

Perasaan aku bertukar hiba dengan dalam sekelip mata.  Walaupun aku cuma tinggal sebulan di rumah Mak Teh, hubungan kami bertambah akrab dalam tempoh itu.  Aku bersalaman dan memeluk Katy yang turut membalas pelukanku.

“Hari ni aku tolong kau.  Mana tahu, esok-esok giliran kau pula.”  Aku mengangguk setuju.  Kelibat Katy hilang di sebalik dinding tangga. 

Aku menutup pintu rumah dengan rapat.  Sunyi juga suasana di sini.  Jiran-jiran bersebelahan pun buat hal masing-masing.  Semua pakat berkurung dalam rumah.  Berbeza benar dengan suasana kampung.

Aku masuk semula ke dalam bilik.  Sunyi menjentik hati.  Kalau ada Katy boleh berbual-bual kosong.  Aku baring sambil tengok dinding.  Selepas itu, mata dikalih ke tingkap.  Langsir tipis berkibaran ditiup angin pentang.  Lama-lama, kelopak mata semakin memberat.  Bayu petang berjaya mengulit diriku sehingga lena menjemput.

AKU terjaga bila bunyi petir menujah gegendang.  Langsir di bilik semakin laju berkibar.  Aku memeriksa jam di telefon pintar.  Sepuluh minit lagi azan Maghrib akan berkumandang.  Lama juga aku terlelap.  Mata digosok-digosok perlahan bagi menghilangkan kantuk yang masih bergayut di kelopak mata.  Aku paksa diri untuk bangun dan terus mencari tuala untuk membersihkan diri.

Ketika keluar dari bilik air, aku ternampak bayang hitam memasuki bilik depan.  Mungkin penghuninya telah pulang.  Bolehlah aku berkenalan dengan dia nanti.  Ada juga teman untuk berbual akhinrya.

Usai mengerjakan solat fardhu Maghrib, aku menyarungkan tudung di kepala.  Siang tadi aku ada nampak kedai runcit bersebelahan blok ini.  Bolehlah aku beli barang-barang dapur sikit.  Tak adalah besar mana pun kedai runcit berkenaan, tapi nampak macam ada jual bahan-bahan basah. 

“Semuanya RM25.60,” ujar pemilik kedai runcit tersebut. 

Aku membuat pembayaran dan mengambil duit baki.  Baru saja aku berkira-kira hendak pergi. Langkahku terbejat apabila si penjual menegurku.

“Baru pindah ke?” soalnya ramah.  Orangnya kecil molek, berkulit sawo matang dengan tahi lalat yang melekat elok di bawah mata kanan.

“Ya, kak.  Saya baru je pindah tadi,” ujarku sambil tersenyum.

“Awak menyewa di blok itu ke?” soalnya lagi.  Kali ni, riak wajahnya berubah, tak seceria tadi.

Aku mengangguk saja.  Nampak macam menggerunkan pula mimik wajah si penjual tadi.

“Lupa pula, orang-orang kat sini panggil akak, Kak Nab.  Awak nama apa?”

Ingatkan perbualan kami dah tamat di situ, kini masuk ke sesi perkenalan pula.

“Yuri,” jawabku sepatah.

“Yuri menyewa di tingkat berapa?”  Banyak pula soal Kak Nab.  Aku nak masuk dapur pula selepas ini.  Nak masak makan malam.  Boleh ajak kawan serumah makan sekali.

“Tingkat lima, kak.”

Kak Nab seperti cuba mengatakan sesuatu, tetapi tangisan anak kecilnya dari dalam buaian mematikan perbualan kami.  Aku meminta diri untuk pulang.

Nak masak apa, ya?  Mood rajin memasak timbul pula hari ini.  Setelah berfikir panjang, aku menyediakan bahan-bahan untuk memasak ayam masak merah.  Sesekali, aku mengerling ke arah pintu bilik di bahagian depan.  Bertutup rapat saja.  Atau, dia dah keluar semula?

Siap memasak, aku menghidangkan makanan di meja kopi ruang tamu.  Nak panggil dia ke tak?  Hatiku berbelah bagi pula.  Panggil ajelah.  Bila lagi nak berkenalan.  Aku susun langkah dengan tertib ke pintu bilik.  Nama dia pun aku tak tahu lagi. 

“Assalamualaikum… awak, jemputlah makan sama-sama.  Saya ada masak makan malam ni.”

Panggilanku tidak bersahut.  Telinga ditekap ke pintu bilik berwarna jingga itu.  Hanya kedengaran bunyi  bilah-bilah kipas yang berpusing laju.  Tidur agaknya.  Timbul rasa segan untuk panggil dia lagi.  Sudahnya, aku makan seorang diri, tapi aku ada tinggalkan sedikit ayam masak merah untuk dia.  Manalah tahu, bila dia sedar nanti dia rasa lapar.  Boleh terus makan sahaja.

Setelah berkemas, aku duduk di sofa sambil tengok TV.  Harapnya, kawan baru aku keluar dari bilik.  Dalam setengah jam menonton, mata kembali layu.  Jam di skrin telefon memaparkan angka 11.45 malam.  Aku kerling pintu bilik dia, masih bertutup rapat.  Aku dah berputus asa.  Siaran TV ditutup menggunakan alat kawalan jauh. 

Terasa nikmat yang berganda-ganda bila badan yang penat dengan tangki perut yang penuh dihempas ke katil.  Lampu bilik aku tutup dan membiarkan cahaya lampu tidur menerangi bilik, mencipta suasana tenang untuk beradu.

Dalam kemamaian, aku dengar sepasang tapak kaki di luar pintu bilikku.  Baru keluar bilik agaknya dia.  Takkan pemalu sangat sampai tunggu aku masuk bilik dulu baru dia nak keluar?  Kelopak mataku telah tertutup rapat.  Namun deria pendengaran masih dapat menangkap bunyi keriut pintu bilik yang ditolak seseorang dari luar.

Aku buka sedikit kelopak mata cuba mengintai siapakah yang berani menceroboh ke dalam bilikku saat ini.  Berpandukan simbahan cahaya lampu yang terhad, aku cuma nampak bayang-bayang seseorang yang sedang memerhatikan aku.  Dia menapak perlahan-lahan lalu berdiri di hujung kaki.  Aku tidak ingat apa yang berlaku selepas itu, sebab aku tewas dengan rasa mengantuk yang mengasak diri.

DERINGAN jam yang panjang membuat aku terjaga.  Terpisat-pisat mata digenyeh.  Sejuk betul malam tadi.  Aku selak selimut lalu duduk di birai katil.  Selipar Hello Kitty disarung dan aku terus ke bilik air.  Lantai berjubin hijau itu masih basah.  Mesti rakan serumah aku dah bangun.  Awal betul dia bangun.  Aku jeling ke dalam sinki, ada bekas makanan lauk semalam yang dah siap dicuci.  Bagus juga dia, tak berat tulang membantu apa yang patut.  Lega dapat kawan serumah begini.

Jam 6.45 pagi, aku sudah bersiap-siap ingin ke tempat kerja.  Takah tanggah dituruni satu persatu.  Masih ada lagi penghuninya yang sedang  nyenyak dibuai mimpi.  Kebanyakannya lampu di koridor masih terpasang.  Itu menandakan penghuninya masih belum keluar ke tempat kerja.

Walaupun  matahari baru menebarkan cahayanya, kebanyakan warga kota sudah sibuk bergerak ke destinasi masing-masing untuk mencari sesuap nasi.

Sedang aku sibuk memerhatikan kanak-kanak melakukan aktiviti mewarna, telefon pintarku bergetar di atas meja.

+06011249761
Hai, ni Yuri ke?

Spontan dahiku berkerut membaca sebaris pesanan itu.  Aku tidak tahu siapa pemilik nombor berkenaan.

Aku
Hai.  Ya, saya.  Ini siapa?


+060112444662
Saya Melor, rakan serumah awak.  Maaflah, kita tak berkesempatan untuk berjumpa.  Maklumlah, waktu kerja saya tak menentu.

Melor?  Klasik betul nama dia.  Tak sabar pula hendak bertemu dan mengenali lebih rapat dengan orangnya pula.

Aku
Tak apa,  ada masa kita berkenalan.


“Cikgu, Firdaus yak lagi!” jerit salah seorang murid di situ.

Entah apa yang dimakan oleh Firdaus.  Hari-hari mesti melabur di tadika.   Aku memimpin Firdaus ke bilik air, sekaligus perbualanku dengan Melor tertunda.

SAMPAI di rumah, hidungku dijamu dengan bau wangi yang membuatkan perutku lapar.  Bau nasi minyak!  Mesti Melor yang masak.  Rajin juga dia, bertuah badan dapat rakan yang punya minat yang sama.  Aku menerpa ke dapur dan membuka periuk nasi.  Kerana tidak tahan sabar, aku rasa nasi minyak itu secubit.  Memang enak, sama macam nasi minyak kat kedai.

Aku buka periuk yang bertutup di atas dapur gas.  Ada gulai daging bersama kentang.  Isyarat lapar dihantar ke otak, tapi aku kena bersihkan diri dahulu.  Ketika ingin melangkah keluar aku ternampak secebis kertas yang ditampal di peti sejuk.

Melor ada masak nasi minyak.  Makanlah.  Tak perlu tunggu saya sebab lepas habis kerja saya balik ke kampung.  Selepas syif malam saya dapat cuti kelepasan dua hari.  Jumpa lagi!’

Oh, dia balik kampung.  Tak ada rezeki lagilah nampaknya kami nak berkenalan.  Usai urusan diri sendiri dan Tuhan aku mengambil pinggan di rak.  Satu mangkuk kecil aku isi gulai daging.  Sambil makan aku memuji-muji kesedapan air tangan Melor.  Sedang leka menikmati juadah, tidak semena-mena pintu bilik Melor terkuak.  Aku memanjangkan leher melihat ke dalam.  Gelap saja.  Kenapa terbuka dengan sendiri?  Melor lupa kunci gamaknya.  Sekejap lagilah aku tutup.

Tanganku sudah menarik tombol pintu bilik Melor.  Tiba-tiba akalku berdetik untuk meninjau ke dalam bilik Melor.  Aku tahu perbuatan tersebut tidak sepatutnya aku lakukan.  Cuma aku ingin melihat rupa sebenar Melor.  Gambar profil WhatsApp pun agak kabur, iaitu gambar seorang gadis yang sedang duduk di atas buaian dan gambarnya diambil dari belakang.  Tapi rambut Melor cantik, panjang dan lebat kehitaman.

Tap!

Bilik Melor sudah diterangi lampu kalimantang.  Perabot di dalamnya tak banyak sangat, tetapi kemas dan teratur.  Entah kenapa dingin menyapu kulit.  Sekeping gambar Melor pun tiada disimpan.  Aku pusing belakang untuk keluar, kemudian leherku bagai dihembus angin hingga romaku berdiri tegak.




Previous: Bab 4
Next: Bab 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Ruby Annas