Home Novelet Seram/Misteri Intuisi
Intuisi
Ruby Annas
20/2/2019 13:30:55
13,124
Kategori: Novelet
Genre: Seram/Misteri
Bab 1

“Yuri, sini!”


Bola mataku jenuh mencari suara si pemanggil.  Kemudian lensa mata terjatuh kepada seorang gadis bercermin mata yang tersengih menggamitku.


“Rindunya aku kat kau.  Dah dua tahun tak jumpa.”  Tak sempat aku menyua tangan untuk bersalaman, tubuh kurusku terus ditarik ke dalam dakapannya.


Itu kawan baik aku semasa di universiti, Khatijah namanya.  Tapi lebih senang dipanggil Katy.  Orangnya ramah dan kecil molek.


“Aku pun rindu sangat kat kau.  Kau sihat?”


“Sihat, Alhamdulillah.  Kita pergi makan dulu, nanti aku bawa kau balik.”


“Okey.”  Tanpa banyak soal aku menurut.  Lagipun, aku memang lapar.  


“Ni kereta kau ke?” soal aku sebaik saja masuk ke dalam kereta.


“Ya.  Ni je yang aku mampu.  Tapi kereta ni banyak berjasa tahu,” jawab Katy seraya mengusap stereng kereta Kelisanya.


“Inipun dah bagus.  Aku ni baru je nak berkayuh cari duit.  Nama aje siswazah, tapi nak cari kerja punyalah payah.”


Semenjak habis belajar, aku tidak pernah menerima apa-apa tawaran kerja.  Sudah banyak kali aku menghadiri temuduga untuk jawatan yang bersesuaian.  Namun, apakan daya, rezeki belum berpihak kepadaku.


“Biasalah tu, Yuri.   Zaman sekarang ni kalau takde orang dalam atau kabel, memang susahlah nak dapat kerja.  Bila pergi temuduga mereka pula nakkan calon yang ada pengalaman kerja.  Kalau kita tak pernah dapat kerja macam mana nak dapat pengalaman tu.  Betul tak?”  Panjang lebar Katy berceloteh.


“Lepas tu cakap kita memilih kerja.  Tak sanggup mula bekerja dari bawah.  Hmmm….”  Aku pula mengomel menyuarakan rasa ketidakpuasan hati kami.


Kelisa milik Katy meluncur keluar dari Terminal Bersepadu Selatan (TBS) ke lokasi yang aku tidak tahu di mana.


Jalan raya agak sesak dengan pelbagai jenis kenderaan.   Begini rupa-rupanya suasana yang terpaksa diharungi oleh warga kota.  Perjalanan yang sepatutnya singkat sebaliknya memakan masa lebih lama.  Akhirnya kami tiba juga ke destinasi setelah hampir satu jam di atas jalan raya.


“Kita makan kat sinilah,” kata Katy sambil tersenyum.


“Ini Kampung Baru, kan?” tanya aku teruja.  


Yalah, ini pertama kali aku menjejakkan kaki di ibu negara Malaysia.  Keterujaannya tentulah luar biasa.


“Pandai pun kau.  Jom!”


Aku membontoti langkah Katy.  Bermacam lauk-pauk ada disediakan.  Rambang mata dibuatnya.  Setelah perut diisi Katy membawa aku pulang ke tempat tinggalnya.  Mengikut papan tanda yang aku baca nama tempat tersebut ialah Setapak.  Selang beberapa minit, Katy memarkirkan keretanya di ruang parkir yang masih kosong.  Itupun setelah beberapa kali kami berpusing-pusing mencarinya.


“Sinilah tempat tinggal aku.”


Aku mendongak ke arah bangunan tinggi yang dimaksudkan oleh Katy.  Nampak gaya macam rumah pangsa.  Aku tak biasa tinggal di rumah begini.  Mahu atau tidak aku tiada pilihan.  Kau kenalah biasakan diri, Yuri!


Pintu lif terbuka di tingkat 12.  Aku menarik bagasi dan menurut saja langkah yang dibawa Katy.


“Masuklah.  Jangan segan-segan,” pelawa Katy.


Ruang tamunya tidaklah besar mana.  Bilik tidur pun ada tiga buah semuanya.  Ada sesuatu yang mengasak dadaku untuk bertanya sesuatu kepada Katy.


“Berapa orang yang tinggal di sini?”


Katy tersengih.   Dari raut wajahnya aku dapat mengesan ada sesuatu yang tidak kena.


“Lima.  Sebenarnya… ini rumah mak cik aku.  Aku cuma menumpang aje kat sini.  Tapi jangan risau, mak cik aku tu okey.”


Aku berasa tidak sedap hati.  Lima orang penghuni dalam satu rumah sekecil ini bukanlah sesuatu yang mudah.  Aku bukan mahu merungut atau tidak bersyukur.  Cuma hati ini berdetik sesuatu yang sukar untuk aku luahkan.


“Ini bilik kita.”


Aku meletakkan bagasi di tepi dinding.  Bilik Katy hanya dilengkapi dengan sebuah katil bujang dan rak kain.  Seakan dapat membaca fikiranku Katy mencelah, “Kau tidur ajelah kat atas katil tu.  Aku boleh tidur kat bawah.”


“Eh, takpelah.  Aku boleh je tidur kat bawah,” jawabku ikhlas.


“Kau kan tetamu.  Kenalah tidur kat atas.  Esok kau lapor diri kan?”  tanya Katy sambil menanggalkan tudung bawalnya.


“Ya.  Tapi….”


“Jangan risau.  Esok aku cuti.  Aku akan hantar kau ke sana.”


“Terima kasih, Katy.  Aku dah banyak terhutang budi kat kau.”


“Ala… kita kan kawan.”


Bunyi pintu utama dikuak seseorang menarik perhatianku.  Kedengaran suara kanak-kanak sedang bercakap-cakap di ruang tamu.


“Sepupu-sepupu aku dah balik sekolah,” terang Katy tanpa dipinta.


Aku cuma mengangguk.  Terasa semakin sesak nafasku.  Katy tidak pernah memberitahuku bahawa dia juga menumpang di sini.  Kalau aku tahu lebih awal pasti aku tak akan tinggal di sini.  Terasa seperti membebankan orang lain pula.


Katy memanggilku untuk makan malam.  Aku serba-salah hendak keluar.  Ini bermakna aku akan berjumpa dengan ibu saudara Katy buat pertama kali.  Tudung yang tersangkut di penyangkut aku sarungkan ke kepala.


“Duduklah.”  Katy menepuk-nepuk kerusi di sebelahnya. 


Aku berasa janggal bila ditenung oleh orang yang tak dikenali.


“Ini mak cik aku.  Aku panggil dia Mak Teh.  Itu suaminya, Pak Teh.  Dan anak-anak mereka, Daus dan Shila.”


Aku menyua tangan untuk bersalam dengan Mak Teh.  Salamku disambut dingin.  Ujian apakah ini?  Dia langsung tidak memandang mukaku.  Lagilah hatiku meronta-ronta dengan rasa bersalah.


“Ini kawan Katy, ya?  Nama apa?” tanya Pak Teh sambil tersenyum.


“Yuri, Pak Teh.”


“Oh, Yuri.  Jemputlah makan.  Lauk biasa-biasa je ni.”


Aku menggangguk dan memaksa diri untuk senyum.  Senyuman Pak Teh nampak lain.  Macam…..  Ah!  Aku malas nak fikir bukan-bukan.  Anak-anak mereka hanya mendiamkan diri dan makan dengan berselera.  Berbeza pula dengan aku.  Nak menelan nasi pun terasa berpasir.  Wajah kelat Mak Teh cukup aku fahami.  Aku tidak dialu-alukan di rumah ini.


Usai makan aku mengutip pinggan-pinggan kotor ke sinki.  Adat menumpang kenalah buat cara menumpang.  Jangan jadi berat tulang, pesanku pada diri sendiri.


Aku dapat melihat dengan ekor mata Mak Teh menarik tubuh Katy menjauhi aku.  Telinga dipasang untuk mencuri dengar.


“Siapa suruh kau bawa kawan kau ke mari?  Tak bincang dengan aku pun?”


Bergoyang kepala lututku dengan tiba-tiba.  Patutlah wajah Mak Teh masam mencuka.


“Dia kawan baik saya masa kat universiti, Mak Teh.  Dia tak biasa dengan selok-belok di KL.  Sebab tu saya ajak dia ke sini,” jelas Katy separuh berbisik.  Mungkin takut aku dengar.  Hakikatnya aku memang sengaja pasang telinga.


“Tak kisahlah.  Kau pun hidup menumpang, kau ajak lagi orang luar yang entah siapa-siapa duduk di sini.  Kau nak aku tanggung sekor lagi biawak hidup?”  


Pang!


Aku rasa seperti ditampar dengan kuat di pipi.  Pedihnya kenyataan yang terpaksa aku dengari.  Mak Teh menganggap aku sebagai biawak hidup, menyusahkan dan membebankan.


“Maaf, Mak Teh.  Saya janji akan bayar sewa bagi pihak kawan saya tu.”  Sayu kedengaran suara Katy yang cuba membela diriku.


“Menyusahkan betullah!”


Mak Teh berlalu setelah bertekak dengan Katy.  Sedang aku mencuci pinggan terasa hembusan nafas yang panas di cuping telingaku.  Pantas aku menoleh.


“Pak Teh!” Hampir terjerit aku melihat jarak antara kami yang begitu hampir.  Pak Teh tersengih melihat reaksiku yang terkejut.  Segera aku menjarakkan tubuh kami.


“Maaf, buat Yuri terkejut.  Pak Teh cuma nak basuh tangan," ujarnya tersengih.  


Tangan kami hampir bersentuhan.  Pak Teh seperti sengaja mengambil peluang untuk mendekatiku dengan cara begini.  Hatiku sudah tidak keruan dan detak jantung semakin kencang.  Aku rasa ni dah masuk kali kedua Pak Teh membasuh tangan.  Dia nyanyuk ke atau dia memang sengaja?







Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Ruby Annas