Home Novelet Seram/Misteri Intuisi
Intuisi
Ruby Annas
20/2/2019 13:30:55
13,052
Kategori: Novelet
Genre: Seram/Misteri
Bab 7

AKU membatukan diri di dalam selimut dan berpura-pura tidur.  Setiap hembusan nafasku terasa panas menyentuh kulit muka.  Kelopak mata dipejam serapat-rapatnya.

Tiap persoalan menerjah ruang minda.  Menafsir apakah gangguan yang sedang aku hadapi kini.  Adakah entiti yang dilihat tadi yang datang menggangguku?  Atau adakah sebenarnya perompak yang ingin merompak isi rumah mahupun mencabut nyawaku juga?  Memikirkan tentang kemungkinan itu membuat tubuhku menggigil ketakutan.

Detakan tapak kaki misteri itu tidak pula menghampiriku.  Malah, ia semakin menjauh.  Setelah itu, aku terdengar keriut pintu almari dibuka seseorang.  Selang dua minit kemudian, ditutup kembali.  Hanya perompak yang akan menyelongkar almari sebegitu.  Andaian momok yang mengacau ketenteraman malamku ini terkeluar dari carta.

Dum! 

Pintu bilik ditutup kembali dengan kuat. Bunyi tapak kaki kini sudah tiada.  Namun, degupan jantungku masih lagi kencang persis si pelari pecut.  Aku gagahkan diri menyelak selimut.  Anak mataku meliar ke setiap ceruk bilik.  Baju-baju yang tergantung di dalam almari berselerakan di lantai.  Aku cuba mendail nombor telefon Melor beberapa kali malangnya tidak diangkat.  Panggilanku disalurkan ke peti simpanan suara setelah nada deringnya berakhir.

Mana si Melor ni?  Susah sangat nak jawab panggilan.  Akhirnya aku berputus asa dan nekad untuk bersemuka dengan Melor bila dia pulang nanti.  Mengikut perkiraanku, cuti Melor akan tamat pada esok hari.  Banyak benda yang aku akan bincangkan dengan Melor nanti.

KEESOKANNYA, nada dering aplikasi WhatsApp bertalu-talu masuk ke telefon pintar.  Ketika di dalam tren, barulah aku sempat membacanya.

Melor
Hai, Yuri.  Maaf semalam telefon saya kehabisan bateri.  Kenapa, ya?

Aku
Tak apa.  Awak balik hari ni, kan?  Ada beberapa perkara yang saya nak bincangkan dengan awak nanti.


Melor
Berkenaan dengan apa?

Aku
Rasanya hal tersebut lebih sesuai
dibincangkan apabila kita bersemuka nanti.


Melor
Baiklah, tapi selepas habis kerja saya pulang sekejap saja.  Selepas tu, saya akan ke Pulau Pinang menghadiri kursus selama seminggu.

Susahnya nak berjumpa dengan Melor.  Adakah profesion sebagai seorang jururawat begitu sibuk sehingga jarang sekali berada di rumah?  Keluhanku terzahir di bibir sehingga lelaki berkaca mata di depanku menoleh kepadaku sekilas.

“Cikgu, Cikgu!  Warna merah dalam Bahasa Inggeris apa?” Soalan yang terpacul dari seorang budak perempuan yang montel memecahkan lamunanku.  Hujung bajuku ditarik-tarik bagi meraih perhatian.

“Hah?  Er… red, sayang,” jawabku sambil tersenyum.  Fikiranku melayang jauh entah ke mana.  Hati ini dikocak hebat oleh peristiwa  semalam yang membuat otakku buntu memikirkannya.

“Oh, red.  R… e… d,” eja si cilik comel itu dengan gembira.

“Pandai anak murid cikgu.”  Aku menepuk tangan sebagai pujian atas kebijaksanaanya.

“Saya rasa, elok awak buat laporan saja, Yuri.  Entah-entah tu kerja orang jahat,” cadang Cikgu Miza apabila aku menceritakan hal tersebut kepadanya.

“Tapi, Cikgu… langsung tak ada tanda-tanda pecah rumah ataupun kesan jenayah,” sanggahku.

“Betul, tapi tak salah kalau awak lebih berhati-hati,” nasihat Cikgu Miza lagi.

Aku mengangguk lemah, namun hatiku tetap berbolak-balik.  Perlukah aku melibatkan campur tangan polis dalam hal ini, ataupun membiarkan saja?

Pancuran air hujan yang deras membasahi kulit tubuhku yang dicemari peluh dan debu kota.  Sewaktu aku sedang menyampu rambut, terdengar bunyi keriutan pintu utama dibuka dan ditutup oleh seseorang.

Melor!  Seingatku tadi, Melor ada berkata akan singgah sebentar untuk mengemas pakaian sebelum bertolak ke Pulau Pinang. Buru-buru aku menyudahkan mandianku sehingga rambutku yang masih basah menitis airnya ke lantai.  Sebaik saja pintu bilik air dibuka, dentuman pintu utama turut tertutup.  Alahai, aku lambat sekejap saja tadi.  Melor terlebih dahulu beredar.

PSST!  Amoi, sini!” gamit Auntie Ming ke arahku.  Waktu itu, aku baru saja menyarung kasut ke kaki kanan.

Auntie Ming berdiri di sebalik gril pintu rumahnya sambil melambai-lambai ke arahku.  Rambut di kepalanya bak hamparan permaidani putih menandakan usianya yang telah lanjut.

“Ada apa, auntie?” Aku bertanya sangsi.

“Semalam, ada orang dengan baju putih depan rumah you.  Dia mundar-mandir lepas tu masuk ke dalam rumah.”

“Itu Melor, kawan serumah saya.  Apa yang nak dihairankan, auntie?”  Baju seragam jururawat sememangnya berwarna putih.  Tiada apa yang aneh atau mencurigakan tentang hal itu.

“Choi!  Bukanlah!  Dia jalan laju sangat.  Auntie rasa tu bukan manusia!” 

Romaku tegak dengan tiba-tiba mendengar penerangan dari Auntie Ming.  Kalau bukan manusia, apakah makhluk yang berbaju putih?  Pontianak?  Pocong? Atau… langsuir?

Pagi-pagi buta begini aku sudah dihidang dengan cerita-cerita yang menyeramkan.  Raut wajah Auntie Ming yang serius menggoyah pendirianku sendiri.

“Auntie salah tengok, kut?  Aku masih cuba menafi.

“Sini, dekat sikit,” arah Auntie Ming.

Aku berjalan beberapa tapak ke depan.  Wajah kami begitu dekat walaupun aku berada di luar rumahnya.  Bau colok kuat menyantak ke rongga pernafasanku.  Asap-asap tipis dari colok yang dinyalakan bertebaran di dalam rumah Auntie Ming.

“Ambil ni.” 

Tangannya yang berkedut itu meraih tanganku lalu dia menyerahkan sehelai kertas berwarna kuning yang masih berlipat elok.  Tanpa ragu-ragu aku menerimanya dan terus memasukkan kertas tersebut ke dalam tas tangan.  Lagipun aku perlu cepat ke tempat kerja kerana kaki langit semakin cerah disuluh cahaya matahari.

Sampai di tadika, segala masalah yang menghantui hidupku hilang begitu saja.  Kesibukan kerja berjaya mengalih perhatianku tentang kata-kata Auntie Ming.

“Berapa?” soalku kepada Kak Nab usai membeli barang-barang keperluan.

“RM15.90,” balas Kak Nab sambil tersenyum.

Aku meraba-raba dalam tas tangan untuk mengambil  dompet.  Tidak semena-mena, lipatan kertas kuning terjatuh di atas lantai simen kedai Kak Nab yang berdebu.  Aku membuka lipatan kertas tersebut tanpa berfikir panjang.  Sehelai kertas kuning yang pernah aku lihat masa pertama kali aku meninjau keadaan rumah sewa berada di tanganku.  Berkerut dahiku menatap tulisan-tulisan cina berdakwat merah yang langsung  tidak aku fahami.

“Tu namanya kertas mulia,” sampuk Kak Nab tiba-tiba.

“Kertas mulia?” soalku semula.

“Ya, orang Cina panggil kertas mulia.  Ada macam-macam jenis kertas mulia mengikut kepercayaan mereka; untuk kesihatan, rezeki, keberkatan hidup, menghalau roh-roh jahat dan sebagainya,” terang Kak Nab panjang lebar.

Aku tidak menyalahkan Auntie Ming yang memberikanku kertas tersebut pagi tadi.  Iyalah, kepercayaan masing-masing dan itu cara Auntie Ming dalam menguruskan kehidupannya mengikut kepercayaan Buddha.  Aku agak, kertas mulia tersebut pastinya mengandungi mantera bagi menghalau roh-roh jahat.

Sedikit-sebanyak, aku berasa malu dengan diriku sendiri.  Kerana kesibukan kerja aku semakin leka untuk membaca ayat-ayat suci al-Qur’an.  Semenjak berpindah ke sini pun, boleh dihitung dengan jari berapa kali aku menyentuh kalam Allah yang suci itu.  Allah, maafkan hamba-Mu yang semakin hanyut dan terleka dengan kesibukan mengejar nikmat duniawi.

HARI Jumaat minggu keempat, aku bersiap-siap untuk pulang ke kampung.  Beg galas yang mengandungi beberapa helai pakaian terusku bawa ke tempat kerja.  Rindu benar dengan ibu dan air tangan ibu yang tiada galang gantinya.  Tepat jam 5.30 petang, bas bertolak meninggalkan kota raya Kuala Lumpur untuk ke Melaka.  Kira-kira, tiga jam lagi aku akan menjejakkan kaki ke tanah kelahiranku.  Masih teringat perbualanku dengan ibu beberapa hari yang lepas.

“Yuri balik minggu ni?” tanya ibu.

“Ya, sabarlah, ibu.  Yuri pun rindukan ibu,” selorohku sambil tertawa.

“Baguslah.  Kita ada tetamu istimewa, tahu.”

“Siapa?”  Aku bertanya tidak sabar.  Suara ibu di hujung talian kedengaran begitu ceria.

“Adalah.  Yuri baliklah dulu, nanti kita bercerita panjang.”

Berkali-kali aku mengasak ibu dengan pertanyaan sama iaitu tentang tetamu istimewa yang dimaksudkan.  Ibu hanya ketawa dan menyuruhku pulang segera.

“Lain kali tak perlu beritahu Yuri kalau nak berahsia begini,” balasku merajuk. 

“Kalau ibu beritahu sekarang, bukan kejutanlah namanya, sayang.”

Aku memuncungkan mulut tanda tidak puas hati.  Tunggu sajalah, esok pasti ‘tetamu istimewa’ tersebut muncul jua.

“Ibu!” jeritku seraya memeluk tubuh ibu dari belakang.

“Budak bertuah ni, salam mana?” ibu bercekak pinggang setelah pelukan kami terlerai.

“Assalamualaikum, Puan Yusnita.”  Aku meraih tangan ibu lalu mengucup penuh kasih.  Kemudian, tangan ayah pula dikucup dengan sengihan.

“Waalaikummusalam.  Tengok tu, bang.  Balik sendiri je tak suruh ayah jemput?” bebel ibu tidak henti-henti.

“Ala… Grab kan banyak.  Lagipun, Yuri tak nak susahkan ayah.  Dan yang lebih penting, Yuri nak buat surprise untuk ibu dan ayah.”  Aku mengenyitkan mata lalu satu cubitan pantas hinggap di lenganku.

“Sakitlah, bu.  Yuri lapar ni.  Chef Nita masak apa hari ni?”  Kening dijongket nakal.  Perutku pula diusap-usap simbolik dengan rasa lapar.

“Pergi mandi dulu baru kita makan sama-sama.”  Ibu menggeleng dengan gelagatku.

“Betul tu, Yuri.  Pergi mandi dulu, bau bacin dah.”  Ayah sengaja menambah rencah.  Kata-kata ayah disambut ketawa besar ibu.

“Hemm… baiklah.  Adik mana, bu?” Aku memanjangkan leher mengintai ke dalam bilik. 

Satu-satunya adik perempuanku tidak kelihatan bayangnya sejak aku pulang tadi.

“Ada dalam bilik.  Buat kerja sekolah, kut.”

“Okey, Yuri mandi dululah.  Lepas tu nak makan.” 

Aku membawa langkah ke bilik adikku, Yuna.  Pintu bilik yang bertutup rapat aku putar tombolnya perlahan-lahan.  Yuna duduk di kerusi meja tulis menghadap ke dinding.  Aku menyusup masuk tanpa bunyi persis seorang Komando yang terlatih.  Rambut panjang Yuna yang hitam berkilat itu aku tarik sekuat hati hingga kepalanya  terdongak ke atas. 

“Aduh, sakitlah!” jerit Yuna terkejut.  Kepalanya ditoleh ke belakang.  Riak wajahnya teruja bercampur marah.  Aku tayang muka secomel yang boleh menagih simpati.

“Apa ni, kak? Balik, balik je dah buat orang.  Sakit tahu tak?”  rajuk Yuna yang berusia 16 tahun.

“Ala, manjalah kau.  Sikit aje pun.”  Aku mengekek ketawa seraya merebahkan tubuh ke katil.

“Kak Yuri, janganlah baring atas katil Yuna.  Busuklah!”

Yuna menolak-nolak bahuku supaya bangun.  Yuna begitu cerewet akan bab kebersihan.  Adakalanya aku dan ibu rimas dengan Yuna yang seringkali merungut keadaan biliknya selepas dikemas oleh ibu.  Akhirnya ibu langsung tidak masuk campur tentang hal-hal dalam biliknya. Yuna pun sudah akil baligh dan berstatus anak dara, memang sepatutnya tugas-tugas remeh seperti mengemas dia saja yang uruskan.  Malas bertekak dengan Yuna, aku mencapai tuala dan  berlalu ke bilik air.

IBU nak masak apa?”  Mataku terbuntang melihat beg-beg plastik yang terlonggok di dalam sinki seawal pagi.

“Banyaknya lauk.  Nak buat kenduri ke?” tanyaku kehairanan.

“Kenduri tu lambat lagi.  Hari ni ada makan-makan sikit untuk tetamu istimewa.”

Iyalah, tetamu istimewa akan bertandang ke rumah nanti.  Aku tak berapa teruja memandangkan ibu masih merahsiakan hal itu dariku.  Yang peliknya, ibu dan ayah asyik tersenyum meleret sejak semalam.  Musykil pula dengan tingkah mereka.

Lauk-pauk siap dihidang di atas meja bersama minuman.  Aku melihat jam yang tergantung di dinding.  Sudah hampir jam 1.30 tengah hari.  Bilalah tetamu yang sering disebut-sebut itu akan tiba?  Sedang hati kecilku berteka-teki, terdengar deruman enjin kereta memasuki halaman rumah.

“Yuri, pergi bersiap.  Pakai cantik-cantik sikit.  Mereka dah sampai tu,” suruh ibu lebih kepada arahan.

Pakai cantik, cantik?  Aku mengamati diri sendiri.  Rasanya penampilanku sudah sehabis sopan dan cantik.

“Pakai baju kurung yang ibu belikan semalam,” arah ibu lagi mematikan segala tanda-tanya yang bersarang di dada.

Debaran jantungku sukar diungkap dengan kata-kata.  Tanpa banyak soal aku menukar pakaian yang sudah siap digosok.  Sehelai baju kurung moden batik sutera berwarna merah jambu dipadankan dengan selendang berwarna biru muda.  Wajahku yang pucat ditempek dengan bedak asas dan pemerah pipi.  Gincu berwarna nude pula aku oleskan di bibir.  Tidak ketinggalan semburan minyak wangi Bombshell dari Victoria Secret.  Setelah berpuas hati, aku keluar ke ruang makan apabila namaku dilaung oleh ibu.

Tatkala kaki melangkah, lensa mataku terpaku pada sesusuk tubuh lelaki yang berbaju  kemeja dengan gaya rambut yang kemas.  Dia duduk membelakangiku, dan saat semua mata terarah kepadaku, pemuda tersebut turut menoleh.  Jantungku seperti hendak gugur apabila sepasang mata redup itu merenungku sambil tersenyum.

“Azwan?”

Previous: Bab 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Ruby Annas