Home Novelet Cinta Janji Setia
Janji Setia
Miss Honey
25/7/2021 18:21:54
26,206
Kategori: Novelet
Genre: Cinta
Bab 2

DENGAN penuh ceria, Isya mengayun langkah ke meja makan. Siap menyanyi pada awal pagi begini. Riang bukan main kepalang lagi anak dara yang seorang ini.

Kerusi ditarik sebelum duduk di atasnya. Ucapan selamat pagi diberikan kepada ayah dan bondanya. Pinggan yang bertangkup di hadapannya, diterbalikkan.

Dia mengendus aroma nasi goreng air tangan bonda. Isya laju mencendok nasi goreng yang menjadi menu sarapan hari ini. Hancur jadual diet Isya untuk hari pertama.

Tengku Aariz dan Che Puan Medina mengelih puteri mereka sambil mengerutkan dahi.

"Bonda ... masakan bonda always marvelous," puji Isya melambung.

"Tengku Puteri Qalisya, telan makanan tu dulu," gusar Che Puan Medina.

Isya akur. Suapan kedua masuk ke dalam mulut. Jangan sangkakan dia tidak duduk di dalam istana, itu bererti dia bebas?

Peraturan di dalam rumah ini tetap ada. Kalau tiada peraturan, bagaimana mereka nak memupuk sifat disiplin?

Kendatipun darah diraja mengalir di dalam tubuh Tengku Aariz, Che Puan Medina lebih mementingkan protokol berbanding Tengku Aariz.

"Pagi ni, siapa yang hantar Isya pergi kampus? Zaf?" soal Tengku Aariz bersahaja. Dikerling sekilas wajah puterinya.

Aik, muram? Tadi bukan main berseri lagi tampang mukanya. Bila terpacul nama Zafran, sekelip mata segalanya berubah.

Suapan Isya berubah lemah serta-merta.

"Zaf tak izinkan kamu sambung belajar kat oversea tu ya?" duga Tengku Aariz.

Isya mengganggukkan kepalanya.

Kena benar telahan lelaki separuh abad itu pagi ini. Isya mula bermasam muka. Beginilah rupanya malam semalam sewaktu pulang bersama Zafran.

"Isya, jangan buat muka monyok depan rezeki," omel Che Puan Medina seraya menuangkan air teh ke dalam cawan suaminya.

Isya maniskan muka sedikit. Suapan demi suapan nasi goreng daging disuakan ke dalam mulut. Tanpa disedari pinggannya hampir licin.

Pin! Pin!

"Ha, tu mesti Zafran." Tengku Aariz menyakat namun itu adalah kebenarannya.

Terbit keluhan pendek dari bibir Isya. Beg galas segera digalas ke bahu. Dia bangkit, mengucup tangan ayah dan bonda sebelum bertolak punggung.

Isya dan Tengku Aariz berjalan seiring. Masing-masing hendak menuju ke destinasi yang berbeza. Yang si anak hendak pergi ke universiti, sementara si ayah hendak pergi ke pejabat.

"Isya yakin nak biarkan Zaf yang hantar Isya? Kalau tak, Isya naik jelah dengan ayah. Ayah tak kisah kalau terlambat sampai office, asalkan Isya selamat."

Isya melakarkan senyuman pahit.

"Takpe, ayah. Isya naik dengan Zaf je. Insya-Allah, Isya selamat dengan dia," ujar Isya tidak mahu orang tua itu berasa risau.

"Assalamualaikum," ucap Aisyah sebelum mengorak langkah menuju ke kereta Zafran yang terletak di luar pagar rumah.

Tengku Aariz perhati dari jauh. Pria itu berasa penasaran tentang apa yang berlaku antara Isya dan Zafran.

Dari tingkah laku Zafran, dia sudah dapat meramal perangai sebenar jejaka itu. Meskipun Isya tidak pernah membuka mulut fasal Zafran.

"Tengku," panggil supir yang berkemeja putih itu.

"Saya takut kalau Isya tersilap langkah."

"Maksud tengku?" tanya Pak Ali.

Badan Tengku Aariz setia membelakangi pemandu peribadinya.

"Saya yakin, Zafran bukan seorang lelaki yang baik."




"MAAFKAN Zaf?"

Isya berpura-pura tidak dengar.

Maaf? Berapa juta kali hendak menyuarakan kalimah maaf? Hari ini bermaafan, esok dan lusa pasti mereka akan bertengkar kembali.

Sejambak bunga ros, dibaluti kertas merah muda dihulurkan kepada Isya. Isya tidak menyambut. Lalu diletakkan perlahan bunga itu ke hadapan Isya.

Secara mengejut, tangan Zafran mengusap kepala Isya.

"Zaf, apa ni?" Memetir suara Isya.

"Zaf! Kita belum sah jadi suami isteri. Zaf takde hak untuk sentuh Isya walaupun sedikit!"

Zafran ketap rahang. Pegang sikit pun tak boleh, sindirnya dalam hati.

"Kalau Zaf masih bersikap kurang ajar macam tadi, tak payah hantar Isya. Biar Isya naik kereta dengan ayah," ugut Isya memandangkan dia masih di hadapan pagar rumah.

Mujur Isya masih di hadapan kediamannya, cuba kalau di tengah jalan raya? Adakah dia akan cakap, nak terjun dari kereta?

Zafran menyedari bahawasanya Tengku Aariz tengah memandang tepat ke arah tingkap keretanya.

Zafran telan air liur. Tatapan tajam Tengku Aariz cukup menggerunkan dirinya. Biarpun dari jarak yang jauh.

"Okey ... Zaf janji takkan buat macam tu lagi. Zaf tak sengaja sebenarnya tadi."

Berputar laju bebola mata Isya. Tak sengaja? Boleh percayakah alasan tersebut bulat-bulat? Alasan si buaya darat.

Kereta Audi M5 bergerak meninggalkan banglo itu. Rimas rasanya apabila Tengku Aariz tak berhenti melihat dari jauh. Lebih baik lekas dia cabut lari.

Lagu berentak balada berkumandang dari corong radio. Mereka sama-sama membisu. Jiwa mereka kosong. Gembira tidak, marah pun tidak.

Pemanduan berhenti seketika sebaik saja lampu isyarat menunjukkan warna merah. Zafran mengelih Isya di samping kirinya.

Gadis itu berpeluk tubuh dengan riak wajah cemberut.

"Zaf cintakan Isya."

Isya kekal diam. Pura-pura tuli. Ucapan cinta daripada Zafran, sudah basi bagi Isya.

Lampu isyarat bertukar hijau. Kereta sambung meluncur membelah lebuh raya.

Papan tanda Universiti Malaya semakin kelihatan. Banyak kenderaan lalu-lalang di institusi pengajian tinggi tersebut. Universiti Malaya, ialah universiti pertama dan tertua yang ditubuhkan di Malaysia.

Apa bidang yang diambil oleh Zafran dan Isya?

Bidang perubatan. Menjadi seorang doktor adalah impian yang telah mereka tanam sejak di bangku sekolah.

Berhenti melamun, kereta Zafran sudah terparkir kemas di tempat letak kereta.

"Zaf," seru Isya. Nampak dari gaya, gadis itu mulai berlembut hati.

Tindakan Zafran membuka pintu kereta terbantut. Dia menoleh, merenung tunak wajah Isya.

"Isya pun cintakan Zaf ..." Kalimah itu terlafaz dari bibir gadis itu.

Tengku Puteri Qalisya, nama yang indah serupa dengan tuan empunya diri. Gadis yang dilahirkan berjiwa lemah lembut namun adakalanya egonya sedikit menggunung.

"Zaf harap Isya faham, kenapa Zaf tak izinkan Isya sambung belajar kat New York tu?"

Zafran membangkitkan kisah semalam. Perlahan Isya mengangguk. Usai itu, mereka serentak keluar dari kereta. Hubungan kedua-dua insan itu kembali berbaik.

Tetapi dapat bertahan sampai bila?

"Eh, Zaf nak pergi mana tu?" soal Isya tatkala lagak Zafran ingin melencong ke tempat lain.

"Zaf nak ... pergi tandas."

"Iya ke?" Isya melontarkan pandangan tidak percaya.

"Iya sayang .... Isya masuk kelas dulu. Zaf nak pergi toilet jap."

Pantas Zafran berlari menuju ke tandas lelaki. Tak tahan sangat nak terkucil nampaknya. Kepala Isya tergeleng-geleng melihat gelagat tunangnya.

"Isya!"

Terdengar namanya dilaung. Lantas matanya melingas. Bibir Isya mencebik. Si Aida rupanya.

Aida bertegun seraya mengatur nafas yang temengah-mengah.

"Kau kenapa?" soal Isya. Bulu keningnya bertaut.

"Kau naik dengan Zafran ke tadi?"

"Iyalah. Kan aku memang selalu naik dengan dia pergi kuliah ... awat?"

Sengaja Isya bercakap dalam loghat utara, sekadar untuk menceriakan suasana pagi. Cuaca terlihat suram pagi ini. Mustahil mereka harus menjadi murung kerana keadaan cuaca yang tidak cerah.

"Semalam kan, aku dapat video yang ..."

Aida sengaja melambatkan ayatnya.

"Yang apa?" tanya Isya geram.

"Zaf mabuk!" Dia separuh terjerit. Pantas Aida menekup mulut sendiri. Ops, suaranya terkuat pula tadi.

Isya membuka langkah pergi. Malas dia nak melayan si mulut murai.

"Isya! Isya!" laung Aida bengang. Isya tetap meneruskan langkah. Aida lantas mengekori Isya.

"Isya!"

Seruannya tidak pedulikan.

"Isya!" Bahu Isya tidak semena-mena ditarik.

"Apa?" tempik Isya berang. Dia bercekak pinggang, panas hatinya setiap kali dakwaan tentang Zafran menyusup masuk ke telinganya.

"Kalau kau tak percaya, kau tengok video ni. Kali ni aku ada bukti," suara Aida dengan penuh keyakinan. Tiada keraguan. Telefon pintar dihulurkan ke hadapan Isya.

Isya enggan menyambut, namun Aida terus memaksa.

Disambut huluran itu. Pada awalnya, reaksi Isya cuma biasa. Namun sebaik saja matanya menatap skrin, terbelalak luas matanya.

Bagai nak terkeluar biji mata.

Bibir Aida tersungging sinis. Tengoklah, beribu-ribu kali ditipu tetapi Isya masih menyanjung tinggi lelaki itu.

Ini merupakan bukan pertama kali Aida menunjukkan bukti kepada Isya, bahkan Isya sendiri pernah menyaksikan dengan mata kepalanya sendiri semasa Zafran bersama perempuan lain.

Cinta Isya untuk Zafran terlalu besar.

Dengan penuh tekun retina mata Isya menatap figura tinggi lampai di dalam video berkenaan. Seorang jejaka menari terkinja-kinja dikelilingi wanita-wanita yang berpakaian tapi telanjang.

Berpakaian tak cukup kain dan membiarkan aurat mereka terdedah! Ke mana hilangnya maruah seorang wanita?

Hal itu dibiarkan ke tepi, berbalik semula kepada jejaka yang berada di tengah-tengah. Asyik metah pria itu menari hingga tidak menyedari ada kamera yang merakam gerak-gerinya. Tangan mencapai gelas dari atas meja.

Air mata Isya gugur.

"Zaf ... bukan ke Zaf dah janji dengan Isya beberapa hari yang lepas? Masih terngiang-ngiang janji Zaf yang Zaf tak akan minum wain lagi," lirih Isya dalam hati. Tak ada sesiapa yang tahu betapa kecewanya Isya saat ini.

Melainkan Allah SWT.

"Now, kau still nak teruskan pertunangan dengan Zafran ke?" tanya Aida selamba. Tidak mempedulikan air mata yang mengalir di tubir mata sahabatnya itu.

Isya berhenti menitiskan air mata. Anak mata Isya mencerun tajam. Dengan sengaja, telefon pintar di genggamannya dicampakkan ke dalam longkang.

"Aaa!"

Teriakan ataupun rengekan Aida tidak diambil kisah oleh Isya. Dia meneruskan perjalanan untuk ke kuliah.

"Isya! Argh! Habis iPhone 11 Pro Max aku ..."




BOSAN sungguh yang dirasakan hari ini. Kelas mereka terpaksa dibatalkan oleh sebab isteri kepada Sir Iqbal nak bersalin. Reda sajalah, bukan senang Sir Iqbal nak bagi cuti.

Farhad menengadah ke arah dada langit yang mendung sedari tadi. Mendung tetapi masih belum ada air hujan yang membasahi bumi.

Dia berdiri.

"Azad!"

Papan selaju serta orang yang mengawal papan beroda itu turut terhenti.

"Apa, Far?"

"Boleh aku nak cuba main skateboard kau ni?"

Azad kelihatan tengah berfikir-fikir. Makan masa berminit juga nak peroleh jawapan daripada Azad.

"Boleh. Tapi hati-hati, aku baru beli skateboard ni. Tapi ... kau pandai main ke?"

Azad dan Farhad berkalih tempat.

"Tahu," jawab Farhad seraya menaikkan kedua-dua belah kakinya ke atas papan selaju. Automatik, papan selaju meluncur laju ke depan.

"Farhad!"

Papan selaju bergerak tanpa kawalan. Farhad mengimbangkan badan agar bertahan di atas papan selaju.

"Aaa!" Suara garau Farhad berubah ayu sedikit. Curam semakin dekat. Dia terpaksa meredahi jalan berbukit itu selagi tidak turun dari papan selaju.

Dia hanya mampu pasrah dengan apa sahaja yang bakal terjadi sebentar lagi.

Sedang papan selaju meluncuri kawasan curam, terdapat seorang gadis tiba-tiba melintasi jalan rata.

"Cik! Tolong ke tepi!"

"Aaa!"

Pelukan buku-buku di dada gadis itu, tercampak keluar. Nasib baik buku-buku yang tercampak, bukannya tuan pemilik buku.

"Aduh..." Farhad meringis kesakitan. Pinggangnya sangat sakit sehingga tidak dapat digambarkan. Dia terjelepok ke belakang, syukur kepalanya tidak tercedera.

Azad menuruni jalan berbukit. Sebaik saja dia tiba, tahu-tahu dua manusia berlainan jantina itu sudah jatuh terduduk.

"Far, kau okey?" tanya Azad sambil menolong Farhad bangun.

"Aku okey," balas Farhad. Anak matanya tertancap ke arah gadis berhijab yang sedang ralit memungut satu persatu buku yang berhamburan di tanah.

"Cik, cik okey?" Farhad menyoal belan-belan mengutip sebuah buku. Kemudian buku itu dihulurkan kepada gadis itu.

"Saya okey. Terima kasih." Gadis itu menjawab. Mereka serentak mengorak sila.

"Saya minta maaf cik. Saya tak sengaja terlanggar cik. Cik takde alami sebarang kecederaan kan?" soal Farhad meminta kepastian.

"Jangan risaukan saya. Saya baik-baik sahaja," jawab gadis itu lagi, lantas menyambut huluran daripada Farhad.

Farhad menyedari akan mata gadis itu yang sembap. Namun dia diamkan sahaja.

"Cik, yakin yang cik okey?" tanya Farhad buat kali terakhir.

"Saya okey. Saya pergi dulu. Assalamualaikum," ucap gadis itu serak. Langkah gadis itu dipandang tanpa berkedip. Dia menuju ke fakulti perubatan.

"Far! Kau ni pembohong kan? Tadi kau kata, kau pandai main skateboard!"

Sergahan Azad mengganggu konsentrasi Farhad. Kelibat gadis tadi hilang. Argh! Ini semua salah Azad!

"Shh! Kau ni kuat berleterlah, macam nenek kebayan. Jom balik asrama."

Baru setapak Farhad melangkah, dia terpijak sesuatu. Pinggangnya masih terasa sakit. Lambat-lambat dia mengambil barang itu.

"Diari?" gumamnya. Tanpa kebenaran si pemilik, dia membuka diari tersebut.

"Tengku Puteri Qalisya?"
















Previous: Bab 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Miss Honey