Home Novelet Cinta Janji Setia
Janji Setia
Miss Honey
25/7/2021 18:21:54
25,559
Kategori: Novelet
Genre: Cinta
Bab 8

TOHMAHAN demi tohmahan dilemparkan ke atas dirinya. Isya sudah pun mengakui khilafnya, namun pengakuan tersebut masih belum mampu meredakan kemarahan Tengku Aariz.

Senyampang dia sempat menyelamatkan Isya. Kalau tidak? Terjerumuslah Isya ke dalam lembah maksiat.

Beliau murka lantaran Isya mengingkari janji. Sudah naik berbuih mulut Tengku Aariz memberikan nasihat agar jangan terpedaya dengan mulut manis si Zafran. Tapi Isya keras hati.

“Berapa kali ayah nak cakap? Tinggalkan Zafran, tinggalkan Zafran! Kamu tak faham bahasa Melayu ke?”

Belum pernah Tengku Aariz naik radang sampai ke tahap begini. Tidak surut-surut lahar di hati Tengku Aariz. Dari petang hingga ke malam, topik tak berubah-ubah.

“Entah-entah kat dalam air tu bukan ubat tidur je dia taruh. Entah-entah, dadah pun ada sekali dalam air tu.”

Membulat mata Isya. Dadah? Tak mungkin Zafran tergamak memperlakukan perkara terkutuk itu terhadap dirinya.

“Astaghfirullahadzim. Kanda! Kenapa cakap macam tu? Kalau iya pun, tengah marah ... janganlah keluarkan kata-kata yang tak baik,” ujar Che Puan Medina sambil mengusap bahu puterinya. Suaminya itu cuma tahu buat Isya berasa takut.

Isya menelan air selera. Bantal segi empat sama dilepaskan dari pagutan. Berkejar dia naik ke bilik tidur.

Bebelan Tengku Aariz jeda. Baru sesaat dia berpusing ke arah lain. Apakala berpusing semula ke belakang, hanya tinggal isterinya yang duduk di kerusi panjang.

Anak-anak jari gesit bekerjasama. Tombol pintu dikunci. Sudah tentu pintu tidak akan dapat dibuka dari luar.

Dia tergerung. Meraung sepuas hati. Tapak kakinya menapak letai menuju ke ranjang. Isya menghempaskan badannya.

Kolam matanya lantas terasa hangat. Setitis air jernih mengalir perlahan, kemudian jatuh pada sarung bantal. Meninggalkan kesan basah.

Gadis itu tersedu-sedan melayan kesedihan yang tersemat di kalbu. Sukmanya bagai dirobek-robek. Pilu sungguh perasaan batin Isya. Dapat dilihat secara zahir betapa ikhlasnya sekeping hati itu mencintai seorang insan yang bernama Zafran.

Sekeping hati yang berjanji untuk kekal setia. Empat tahun dia perjuangkan hubungan, empat tahun juga dia menahan pedih di ulu hati. Sifat panas baran, kuat cemburu dan kaki mabuk adalah ujian paling besar yang dia tempuhi.

Mampukah Isya melupakan Zafran?

Dia membuat panggilan telefon.

“Assalamualaikum, Aida. Ni aku, Isya. Aku ... dah putus tunang dengan Zaf.”




PAGI hari dimulakan dengan senyuman. Mengorak lingkar seperti sediakala. Kicauan burung-burung kedengaran merdu. Sekawan burung terlihat sedang terbang bebas di dada langit.

Mata tertancap ke arah seekor burung yang bertenggek di atas dahan pokok. Burung itu dengan perlahan mendekati seekor burung yang serupa dengannya.

Baru dia mendekat, burung yang satu lagi sudah melebarkan sayap terbang tinggi di awanan.

Farhad menghamburkan tawa. Kisah cinta haiwan pun seakan-akan dengan kisah cinta manusia. Semakin dikejar, semakin ia menjauh.

Bungkusan plastik yang berisi sebuku roti itu dicapai. Sekeping roti dikeluarkan dari bungkusan. Tarikh luput dilihat.

Hanya tinggal lagi dua hari.

“Farhad?”

Si pemilik nama menoleh.

“Pergi solat Subuh cepat. Tinggal lagi 15 minit je tu.”

Tak berkedip mata Azad. Terkesima.

“Kau tercegat kat situ lagi buat apa? Pergilah mandi,” bebel Farhad seraya menyapu kaya pada roti.

Azad melangkah secara perlahan ke arah sahabatnya. Lantas kura tangannya menyentuh dahi Farhad. Tidak panas.

Dahi dan kening Farhad serentak berkerut.

“Betul kan semalam ... kau dan Sally dah putus?” tanya Azad, takut kalau dia bermimpi buruk semalam. Seolah-olah tidak percaya bahawa Farhad masih boleh mengorak senyum.

“Betul. Hmm, aku dah move on.” Tenang intonasi Farhad, si anak jati Perak. Dia membujuk kekecewaan dengan ayat motivasi.

Menangislah hatta keluar air mata darah sekalipun, Sally tidak akan mencintai dirinya kembali.

Perasaan hati memang mudah berbolak-balik.

Wow! Amazing! Macam tu punya senang je kau move on? Aku ni pun, rasanya makan berbulan juga untuk move on,” kata Azad membeza-bezakan diri dia dengan Farhad.

“Hey, sudahlah ... pergi mandi lepas tu solat,” tekan Farhad. Boleh pula Azad melalaikan bab solat.

Kepala Azad tersengguk-sengguk. Menyusun langkah malas ke bilik air. Kain tuala disangkut ke bahu.

Farhad geleng kepala. Pelbagai jenis ragam yang ada pada manusia zaman kini. Hatta maka, dia melipat sekeping roti itu. Tangan mencapai sekeping lagi roti.

Bekal disediakan untuk dibawa ke kampus. Jimat sedikit duit belanja, boleh simpan untuk tambang minyak motosikal. Dia turut menyediakan bekal makanan untuk Azad.

Walaupun hanya beberapa keping roti, sudah lebih dari cukup untuk menu makan tengah hari.

“Dah ... siap?” soal Farhad kepada Azad. Melaram mengalahkan kaum perempuan. Sikat rambut saja mengambil masa 10 minit.

“Dah ... sabarlah sikit. Cepat-cepat nak pergi mana bro? Chill,” jawab Azad belan-belan mencapai topi keledar. Meskipun fakulti undang-undang hanya terletak beberapa kilometer dari kolej kediaman pertama, Farhad sangat menitikberatkan keselamatan.

Azad baru hendak menyarung kedua-dua belah kasut. Alahai ... terhegeh-hegeh, gumam Farhad.

“Far, habis kelas nanti tolong temankan aku.”

Alis Farhad bertaut.

“Temankan kau pergi mana?”

Dating,” jawabnya ceria. Arkian mengikat tali kasut.

“Amboi, dating? Habis tu nanti, aku jadi tunggullah kat situ?”

Azad sekadar tergelak. Mengorak langkah lebih cepat berbanding Farhad. Mentang-mentang dah jumpa kekasih baru, sahabat pun ditinggalkan.

Selang lima minit, mereka bertolak punggung menuju ke kelas. Azad duduk di bahagian penumpang, sementara Farhad di bahagian penunggang. Pasti ramai yang sudah salah anggap dengan keakraban mereka berdua.

Seperti keroncor dengan belangkas. 




SERAUT wajah yang lazimnya kemerah-merahan, berubah kepada pucat lesi. Bibir yang kebiasaannya murah dengan senyuman, berubah menjadi mahal. Segalanya berubah dengan sekelip mata.

Aida risau jika keadaan Isya berlarutan seperti ini. Ya, mulut Aida memang rampus. Tapi dia merupakan seorang yang sangat menghargai kawan.

Isya tercenung jauh. Memori terindah bersama Zafran terlayar di benak ingatan. Kenangan manis sewaktu mereka pulang dari sekolah bersama, membuatkan dadanya sebak.

Sungguhpun begitu, telah tiada air untuk merembes keluar. Sehari suntuk dia menangis, mengakibatkan kelopak matanya sedikit membengkak.

Dalam keriuhan kelas, berkeriutan suara pintu terkuak. Tangkas para pelajar kembali duduk ke tempat masing-masing.

Mata Isya tak berkelip melihat sesusuk tubuh itu. Zafran.

“Apalah ... kitaorang ingatkan prof yang masuk tadi,” suara salah seorang pelajar lelaki. Kelas kembali riuh-rendah.

Zafran senyap. Hatta melangkah ke arah tempat duduk yang kosong. Sengaja dia menoleh sekilas ke arah Isya yang duduk berselangan dua meja dari tempatnya.

“Kau tepi sikit. Aku nak maki hamun Zaf, apa hal dia putuskan hubungan dengan kau,” ungkap Aida geram. Dia masih belum tahu tentang kisah yang sebetulnya.

“Tak payahlah,” larang Isya sekali gus memaut tangan Aida. Dia menggelengkan kepala, merayu supaya tidak buat kecoh. Kotak fikirannya sudah cukup serabut tika ini.

Aida mematikan tujuan. Kalau bukan kerana Isya, pasti Aida sudah jatuhkan air muka Zafran.

“Isya ... habis kelas jom jalan-jalan?”

Isya menggeleng.

Belum pertimbangkan apa-apa lagi, sudah menggeleng?

“Isya ... please. Aku nak jumpa seseorang... Okey, kalau kau tak nak. Aku akan pergi jumpa Zaf sekarang juga,” rayu Aida bercampur ugutan.

Gesit Isya menggangguk.

Aida tersenyum sedikit.

Thanks, Isya.”

   

Previous: Bab 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Miss Honey