3
“WOW
Lisa… tak sangka awak masih ingat saya lagi kan?”
Kamal mundar-mandir di hadapan
Arlisa yang kini terduduk di meja makan. Manakala Mak Jah dan Siti pula masih
lagi berikat di dapur.
“Takkanlah aku boleh lupa dengan
kau… orang yang dah lukakan hati aku. Lepas tu kau kebas duit suami aku. Hari
ni kau datang nak apa pulak?” marah Arlisa dalam nada rendah. Kebimbangannya
memuncak apabila mengingatkan Ameera dan Anissa di kamar atas.
“Suami?” Terbeliak mata Kamal mendengarkan
perkataan tersebut keluar dari mulut Arlisa. Dia tersengih gatal. “Macam mana
mamat tu boleh kahwin dengan kau ya? Kalau nak dibandingkan kau dengan
Arissalah kan… Arissa tu lagi cantik dan menawan!”
Kamal sengaja membakar api di hati
Arlisa walhal dia sendiri tahu Arlisa lebih layak berdamping di sisi Adam berbanding
Arissa. Namun disebabkan cemburu akan kehidupan mewah Arlisa, Kamal terpaksa
berkata demikian. Jauh di sudut hatinya, Kamal menyesal meninggalkan Arlisa
dahulu. Sikap tamaknya tidak membawa sebarang hasil malah menjebakkannya ke
dalam pelbagai masalah.
“Sudahlah… jangan nak cakap pasal
arwah kakak aku lagi. Dia dah lama meninggal. Lagipun apa kepentingannya
mengungkit hal lepas? Kau datang sini sebab nak cemuh aku aje ke, Kamal? Kalau
itu tujuan kau, baik kau balik dan lepaskan pembantu rumah aku tu…” bicara
Arlisa tenang. Dia tidak mahu menimbulkan sebarang provokasi yang boleh
menyebabkan nyawa-nyawa di dalam rumah ini terancam.
“Nope.
Itu bukan tujuan aku Lisa. I’m here for
something. Sebelum tu… aku nak ucap tahniahlah sebab kau baru bersalin kan…
dapat anak perempuan pulak tu. Hopefully
perangai dia macam perangai kaulah. Jangan pula jadi macam Arissa,” sindir
Kamal.
Arlisa menahan amarah yang kian
membakar hatinya. Tak ada benda yang lebih baik ke dia nak cakap dengan aku?
Apa masalah dia sebenarnya ni?
“Kau nak apa ni? Cuba berterus
terang!” Arlisa meninggikan suaranya. Kesabarannya teruji.
“Okay Lisa… bawa bertenang. Bukan
main action kau sekarang ya? Aku ni
dah merantau ke London, Paris dengan duit yang suami kau bagi tu. Tapi seperti
yang kau tahu… dia bagi aku satu juta ringgit aje. Sepatutnya dua juta… tapi
dia tak bagi pun! Jadi aku nak tuntutlah duit tu… duit yang dia hutang dengan
aku tu,” ujar Kamal sambil meletakkan tangannya ke kerusi yang diduduki Arlisa.
Arlisa mengucap panjang. Ya ALLAH!
Dia nak duit? Takkanlah tak ada pekerjaan halal lain yang dia boleh buat selain
memeras ugut orang?
“Kau sedar tak yang kau sedang peras
ugut suami aku?” soal Arlisa lantang.
“Kenapa? Aku cuma nak minta duit
yang dia tak bagi aku tu. Tu aje! Lagipun polis tengah buru aku ni. Aku nak
balik London balik…” jawab Kamal selamba.
“No.
Aku dan suami aku takkan beri kau apa-apa!” tegas Arlisa. Kali ini dia sudah
tekad. Makin lama makin menjadi-jadi pula si Kamal ni. Kalau Adam beri dia duit
lagi, tak mustahillah dia akan minta lagi pada waktu yang lain!
“Berani kau ya?” Kamal mencengkam
lengan Arlisa kuat. Wanita itu dibangunkan secara paksa.
“Ahh! Kamal… sakitlah!”
“Kau jangan ingat aku ni lembut hati
dengan kau tau, Lisa. Yang penting sekarang ni duit! Aku dah kering tak
berduit. Job-job aku yang lepas tu
semua tak boleh pakai. Ada yang hire
aku jadi penyiasat tapi sampai sekarang tak langsaikan bayaran! Jadi sekarang
ni aku perlukan duit. Dan aku takkan teragak-agak untuk buat benda yang
bukan-bukan kepada anak kau yang comel tu… faham?” ugut Kamal. Arlisa
dilepaskan dan tubuh wanita itu ditolak ke meja.
Arlisa menelan air liurnya perit.
Anissa! Ya ALLAH kenapa aku tak turutkan aje dari awal permintaan dia? Kenapa
aku berani sangat tadi?
“Astaghfirullah Kamal! Kau ni tak
reti nak bertaubat lagi ke? Aku boleh beri kau duit tu… tapi aku tak nak kau
datang lagi ugut kami sekeluarga. Please!
Kita dah tak ada apa-apa hubungan lagi. Jangan kacau family aku…” rintih Arlisa.
Kamal tersenyum hingga ke telinga.
Kan aku dah agak dari awal! Gertak sikit je pasal anak dia, gerenti Arlisa
menggelupur takut!
“Baik…” Kamal menarik tubuh Arlisa
perlahan-lahan untuk duduk semula ke kerusi. “Aku beri kau tempoh tiga hari
untuk berbincang dengan Adam tentang hal ini. After three days… aku contact
kau. Kita jumpa kat tempat yang tertutup sikit. Tapi kalau kau ingkari janji
ni, berhati-hatilah! Anak kau yang comel tu akan jadi galang gantinya. Kalau
jual dia pun dapat harga yang lumayan tau!”
Tersirap darah Arlisa mendengar
bicara Kamal. Jual? Dia nak jual anak aku? Penat-penat aku mengandung dan
melahirkan Anissa… mudah saja dia cakap nak jual anak aku!
“Okay, aku terpaksa pergi. Nanti
kalau suami kau balik, payah pulakkan… Jumpa kau lagi tiga hari, Lisa!” ucap
Kamal. Dia seterusnya berjalan laju menuju ke pintu dapur yang tidak berkunci.
Arlisa yang masih terkejut dengan
apa yang terjadi, berjalan dengan berhati-hati mendekati Mak Jah dan Siti yang
telah diikat. Ikatan kedua-dua pembantu rumahnya itu dileraikan. Sesudah itu,
Arlisa menangis semahu-mahunya di bahu Mak Jah.
“Lisa… Ya ALLAH, bersabar sayang…
sekarang ni Mak Jah rasa baik Lisa telefon Adam atau Puan Murni,” kata Mak Jah
sambil mengusap-ngusap belakang Arlisa.
“Jangan! Jangan beritahu mereka
lagi… saya tak nak peningkan kepala Adam lagi dengan masalah ni. Ni semua salah
Lisa, Mak Jah… kalau Lisa tak kahwin dengan Adam mesti perkara ni takkan berlaku
kan?” bicara Arlisa tersedu-sedan. Kali ini dia terasa amat bersalah! Dialah
punca segala masalah dan perkara buruk yang menimpa keluarga Adam Farhan.
“Ya ALLAH, Puan Arlisa!” Siti
mencekakkan pinggangnya. Boleh pulak puan ni fikir macam tu! Tak logik
langsung!
“Tapi Lisa… benda ni kes berat.
Kalau tak diberitahu, esok lusa kalau dia culik Anissa macam mana?” tegas Mak
Jah. Pening dia dibuatnya dengan sikap Arlisa yang terlampau baik.
“Tak… saya…”Arlisa tidak dapat
menahan air matanya dari turun mencurah-curah. Kata-katanya hanya tersekat di
hujung rengkung.
“Sudah… sudah… jangan menangis. Tak
baik perempuan tengah berpantang menangis macam ni. Nanti kena penyakit meroyan
tu lagi susah. Jom Mak Jah bawa masuk bilik. Esok kita cakapkan hal ni dengan
Puan Murni dan Encik Adam. Biar Lisa bertenang dulu ya malam ni…” Mak Jah dan
Siti memapah Arlisa naik ke atas kamarnya. Setelah Arlisa dilihat sedikit bertenang
dan mula melelapkan mata, Mak Jah dan Siti tinggalkan Arlisa sendirian tidur di
kamarnya. Manakala Anissa dan Ameera dibawa ke bilik lain. Biar Arlisa
merehatkan diri sepuas-puasnya.
***