Home Novelet Alternatif Anugerah
Anugerah
Hana Mizari
27/3/2018 23:25:43
31,298
Kategori: Novelet
Genre: Alternatif
S261-1

Nama: Fayyadh Syahmi Bin Andika
Kod: S-261
Umur: 24
TarikhLahir: 26 Januari 2000
BidangPengajian: Sejarah
Kuasa: Kebal, Kekuatan luar biasa.

Kelopak mataku dibuka perlahan. Cahaya putih yang menyilaukan terus menerobos masuk ke dalam anak mata tatkala mata ini terbuka luas. Anak mata mengecil secara mendadak. Mengawal cahaya yang masuk.

Mataku pedih menahan silau cahaya. Secara refleks, tanganku ingin menutup mata bagi menghalang cahaya yang menyilaukan itu. Akan tetapi, baru sahaja tanganku ingin diangkat, aku dapat rasakan ada sesuatu yang menghalang pergerakan tanganku ini.

Aku dapati tanganku diikat ke birai katil. Kedua-duanya sekali. Mataku menyorot ke arah tangan yang terikat, ingin mentafsir apa sebenarnya yang telah berlaku ke atas diriku.

Aku lihat ada sesuatu yang dicucukkan ke belakang tapak tanganku ini. Ada saluran yang bersambung dengan beg cecair jernih yang tergantung di hujung katil. Aku diberikan IV drip. Kepalaku pantas menoleh ke kiri dan kanan. Mengamati persekitaran.

Aku dapati seluruh tubuhku penuh dengan wayar yang berselirat. Kakiku juga turut diikat kemas ke birai katil. Badanku juga diikat ke atas katil sehingga menghalang kebebasanku. Keseluruhan bilik ini pula perhiasannya serba putih. Mungkin aku berada di hospital sekarang.

Otakku ligat memutar memori ke beberapa jam yang lepas. Ingin mengimbau apakah penyebabnya sehingga aku terlantar dan diikat ke atas katil seperti ini. Seingatku, aku sedang cuba untuk mengaktifkan sesuatu pada badanku sebelum aku tidak sedarkan diri.

Kehadiran doktor dan seorang jururawat di sisinya mematikan lamunanku. Mereka mampir ke katilku. Doktor lelaki itu tersenyum kepadaku sebelum memberi sapaan. Aku menjawab sapaannya malas. Setelah membenarkan dia memeriksa tubuhku, laju sahaja mulut ini bergerak melontarkan bicara.

"Doktor, macam mana saya boleh ada kat sini? Kenapa saya kena ikat ni?" Bertubi-tubi aku bertanya memohon penjelasan. Sambil itu, tubuhku tertolak ke atas secara spontan. Memberontak tidak mahu diikat ke atas katil.

Doktor itu menahan tubuhku dengan lembut. Bibirnya tidak lekang dengan senyuman untuk menenangkanku. Aku diminta bersabar dan berdiam diri untuk mendengar penjelasan daripadanya.

"Sabar, Syahmi. Saya akan jelaskan satu-satu. Sebelum tu, kamu tak ingat ke apa yang berlaku sebelum ni?" soalnya dengan lembut lagi menenangkan.

Aku baring semula ke atas katil. Akur dengan permintaannya. Ingatanku yang masih kabur cuba diputar kembali. Memori beberapa jam yang lepas terlayar di minda lalu dizahirkan melalui kata-kata.

"Saya ... masa tu ... ambil pisau dan ...." Bicaraku terhenti di situ. Entah kenapa bibir ini terasa berat sahaja untuk mengungkap bicara.

"Dan, kamu cederakan diri kamu sendiri." Doktor itu menyambung bicara yang terputus tadi. Ada nada kecewa pada lantunan suaranya. Dia memandangku penuh sayu. Jururawat di sisinya hanya mendiamkan diri.

Aku terdiam sejenak. Tidak tahu bagaimana caranya ingin menjelaskan salah faham ini. Ini bukan kali pertama aku disalah erti. Sudah berkali-kali, sehingga aku naik jemu menghadap muka doktor yang sama. Aku ditahan di wad psikiatri berkali-kali.

Ya, anda mendengarnya dengan betul. Aku memang disahkan menghidap depresi kerana disyaki berniat ingin membunuh diri. Aku dikatakan pernah mencederakan diriku sendiri berkali-kali.

Tidak. Aku tidak gila. Aku menafikan semahu-mahunya ke atas tuduhan itu. Bukan aku tidak mahu menerima hakikat tetapi aku yakin aku masih waras. Aku tidak akan sewenang-wenangnya menyebabkan kecederaan ke atas diri ini. Aku masih cukup waras untuk tidak melakukan perbuatan sia-sia itu.

Aku bukannya mencederakan diri. Apa yang aku buat hanyalah ingin menguji kuasaku ini sahaja.

Aku dianugerahkan dengan kekebalan terhadap apa jua jenis senjata tajam. Akan tetapi, kekebalanku ini terbatas pada senjata tajam sahaja. Maknanya, aku tidak kebal terhadap tumbukan dan tendangan. Jadi, jika serangan datang dalam bentuk tumbukan atau tendangan, aku harus menepisnya seperti biasa untuk mempertahankan diri.

Datang dari keluarga pengamal silat, aku memang tidak boleh lari daripada menyaksikan pelbagai perkara luar biasa. Aku melihat dan mendengarnya hampir setiap hari. Tambahan pula, ayah mewarisi ilmu seni silat daripada nenek-moyangku. Aku juga turut mewarisi ilmu silat tersebut daripada ayah.

Ayah sering menceritakan mengenai pelbagai perkara luar biasa berkisar sekitar ahli keluargaku sejak aku kecil lagi. Aku yang naif dan tidak tahu apa-apa pada waktu itu hanya mendengar dan mempercayai sahaja cerita ayah. Aku sedikit pun tidak membantah.

Ayah sering berpesan kepadaku bahawa perkara yang tidak dapat dikesan melalui pancaindera tidak semestinya ia tidak wujud. Aku berpegang kepada kata-kata keramat ayah ini untuk disimpan kemas di dalam kalbu. Aku akan ingat sampai bila-bila.

Disebabkan sikapku yang agak naif dan tidak tahu-menahu pada waktu itu, aku dengan yakinnya akan bercerita segala perkara luar biasa yang aku perhatikan melalui pancainderaku ini kepada rakan-rakan. Pada mulanya, mereka mengiakan sahaja. Yalah, pada masa itu kami semua kanak-kanak lagi. Apa yang kami dengar, kami akan percaya sahaja.

Namun begitu, semakin aku meningkat dewasa, semakin ramai orang sudah mula tidak mahu percayakan aku. Aku dituduh pendusta. Aku dituduh sengaja mencari perhatian. Lebih teruk lagi, seluruh ahli keluargaku dicaci-maki, dilemparkan tuduhan melulu tanpa usul-periksa oleh para netizen yang langsung tidak mengenal susur-galur keturunanku.

Mereka enggan percaya akan kisah nenek-moyangku yang suatu ketika dahulu dikatakan mempunyai pelbagai kusa luar biasa.

Dalam kalangan saudara-maraku, ada yang mempunyai kekuatan luar biasa sehingga mampu mengangkat objek sebesar tubuh manusia dewasa dengan sebelah tangan sahaja. Ada yang mampu berlari laju lagaknya persis pelesit. Ada yang kebal terhadap senjata tajam. Kalau ditetak tubuh mereka pasti tidak lut. Malah, ada juga yang mampu terbang melayang.

Aku tidak kisah sangat jika para netizen itu enggan mendengar ceritaku ini. Aku juga tidak kisah jika mereka enggan percaya. Namun, perlukah mereka semua melemparkan tuduhan bukan-bukan ke atas keluargaku ini? Mereka hanya tahu membuat kesimpulan melulu dengan otak mereka yang cetek lagi dangkal.

Manakan tidak, masakan mereka mahu percaya. Perkara luar biasa itu tidak berlaku dalam kalangan keluarga mereka. Tidak berlaku di sekeliling mereka. Oleh itu, mereka enggan percaya, apatah lagi memahami.

Kadang-kadang, sesetengah perkara itu kita perlu alami sendiri barulah kita boleh memahami dan menerimanya. Kemampuan akal kita sebagai manusia terbatas. Pancaindera kita terbatas. Kita hanya mampu alami realiti yang mampu dikesan pancaindera sahaja. Selebihnya, terus kekal tersingkap dan terhijab daripada digapai oleh kefahaman manusia.

Banyak lagi rahsia alam yang tidak mampu dirungkai oleh akal manusia yang terbatas. Mungkin, suatu hari nanti manusia akan faham. Mungkin suatu hari nanti, manusia akan mampu merungkai segala rahsia alam. Mungkin juga tidak. Rahsia alam biarlah kekal rahsia.

Mungkin ada sebabnya kenapa Tuhan hanya membiarkan sesetengah perkara sahaja untuk difahami manusia. Selebihnya biarlah rahsia. Sesungguhnya ilmu Tuhan itu maha luas, ibarat laut nan luas terbentang. Sedangkan ilmu manusia itu hanyalah terbatas pada sisa air yang melekat pada jari yang dicelup ke dalam air tersebut.

Sekiranya semua orang memahami apa yang aku ingin sampaikan ini, sudah pasti tidak akan ada orang yang meroyan dan tidak berpuas hati dengan ceritaku. Akal manusia itu terbatas. Masih banyak lagi rahsia alam yang kita tidak fahami di dunia ini. Kenapa perlu membuat kesimpulan melulu dengan ketidak upayaan akal manusia yang terbatas?

Jika aku mengatakan sebegini, pasti akan ada makcik-makcik bawang di media sosial yang melabelkan aku sebagai penunggang agama. Bukankah begitu wahai makcik-makcik bawang sekalian? Jika anda tidak berpuas hati, sila buat laporan kepada Persatuan Makcik-Makcik Bawang Sedunia. Eh, wujud ke persatuan ini?

Mungkin, perkara-perkara luar biasa yang berlaku di sekelilingku itu adalah termasuk dalam realiti yang tidak dialami majoriti manusia. Mungkin juga ia termasuk dalam rahsia alam yang masih belum terungkai.

Aku mungkin antara segolongan manusia yang terpilih untuk mengalami realiti itu. Realiti yang hanya dialami segelintir manusia. Realiti yang tersembunyi di sebalik rahsia alam yang terhijab.

Aku pada mulanya hanya melihat, memerhati dan mendengar. Aku sendiri tidak benar-benar mengalaminya, tetapi aku percaya. Aku terus percaya. Sampai suatu ketika, apabila aku meningkat remaja, aku dapati aku sendiri mula mengalaminya.

Aku pun tidak ingat sejak bila. Apa yang aku ingat, aku pernah terselamat tanpa apa-apa kecederaan ketika ada beberapa orang cuba menetakku dengan parang.

***

Pada masa itu, aku sedang pulang dari sekolah ketika aku diculik. Memandangkan serangan ke atasku amatlah tidak disangka-sangka, aku menjadi tidak bersedia. Dengan tidak semena-mena pandanganku menjadi gelap. Selepas itu, aku langsung tidak ingat apa-apa.

Sedar-sedar sahaja aku berada di sebuah bangunan tinggal yang usang. Aku tersedar setelah kepalaku disimbah dengan sebaldi air. Seluruh tubuhku pula diikat di tiang, membataskan pergerakanku.

Melalui pengamatanku terhadap persekitaran, aku mungkin berada di sebuah kilang. Aku tidak pasti pula di mana lokasinya melalui pengamatanku yang agak terbatas ini.

Dengan penglihatan yang masih kurang jelas, aku dapati ada beberapa orang sedang berdiri di hadapanku. Salah seorang daripada mereka memerhatikan aku dari jauh sambil berpeluk tubuh dan bersandar di dinding. Mungkin dia ketuanya.

"Aku ingat kuat sangat anak Guru Andika ni. Tengok, senang-senang je dia kena tangkap dengan aku." Aku dengar salah seorang daripada mereka bersuara. Daripada perbualan mereka, aku teka mereka mungkin anak murid yang mempelajari silat daripada ayah.

Memang, dalam kalangan rakan seguruku, ramai yang kurang menyenangi akan kehadiranku. Rata-rata mereka cemburu akan bakatku dalam seni silat.

Dilahirkan sebagai anak tunggal dalam keluarga, aku perlulah mewarisi ilmu silat daripada ayah, agar tidak pupus di kemudian hari. Jadi, aku akan turut serta dalam kelas ayah. Aku akan belajar bersama murid-murid yang lain.

Sepanjang aku belajar ilmu silat daripada ayah, aku sedikit pun tidak merungut. Malah, aku bangga dapat menjadi salah seorang yang mewarisi salah satu ilmu seni warisan orang Melayu.

Lagipun, aku tiada masalah langsung untuk memahami pembelajaran daripada ayah. Ilmu yang diperturunkan ayah kepadaku mengalir laju bak air terjun. Di dalam gelanggang silat, tangkas sahaja aku mengelak segala serangan. Aku sentiasa tahu untuk mengaplikasikan buah-buah silat yang bersesuaian dalam pertempuran.

Ramai yang memuji kehandalan dan ketangkasanku dalam gelanggang silat. Orang kata, aku ini terang hati. Ada juga orang kata, aku mewarisi kehandalan ini daripada ayah.

Pernyataan ini membuatkan aku tertanya-tanya. Adakah genetik memainkan peranan penting dalam menentukan kebijaksanaan dan bakat seseorang?

Bakat. Sampai sekarang aku masih tertanya-tanya. Adakah semua orang dikurniakan bakat masing-masing? Adakah bakat itu diagihkan sama rata yang mencakupi setiap bidang? Adakah hanya orang tertentu sahaja yang dikurniakan bakat?

Jika benar hanya orang tertentu sahaja yang dikurniakan bakat, memang patutlah mereka semua mencemburui bakat yang aku miliki ini. Sedikit sebanyak timbul rasa bersalah di dalam diriku kerana dikurniakan bakat ini. Saban hari, aku hanya mendengar sahaja betapa orang lain mencemburui bakatku ini.

Pada mulanya, aku ingin pendamkan sahaja perasaan ini. Aku tidak mahu membiarkan perasaan ini bersarang di benak sehingga menjejaskan prestasiku. Namun lama-kelamaan beberapa rakan seguruku mula menjauhiku. Mereka membentuk puak mereka sendiri.

Mungkin mereka yang membentuk komplot untuk menculikku ini adalah terdiri daripada rakan-rakan seguruku sendiri. Rakan-rakan seguru yang tidak berpuas hati dengan bakat yang aku miliki.

Apa yang mereka sebenarnya mahukan daripada aku? Apa faedah yang mereka akan dapat jika mereka menculik aku? Bukankah tindakan ini akan lebih menyusahkan mereka sekiranya mereka tertangkap kerana menculik aku? Lebih-lebih lagi jika perkara ini sampai ke pengetahuan ayah.

Ayah memang seorang yang tegas dan tidak akan bertolak ansur sekiranya ada dalam kalangan anak muridnya melakukan kesalahan.

Previous: S201
Next: S261-2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Hana Mizari