Home Novel Umum Senyuman Nadia
Senyuman Nadia
Izatul Husna
23/9/2020 15:56:49
55,512
Kategori: Novel
Genre: Umum
Bab 6

Tok! Tok! Tok!

Pintu rumah diketuk bertalu-talu. Nadia sedang berborak dengan Munirah segera berlari menuju ke pintu rumah. Munirah ingin mengikuti Nadia tetapi sempat dihalang oleh Farah. Aiman baru sahaja selesai mencuci gelas yang telah digunakan.

“Siapa itu?” tanya Nadia sambil membuka pintu perlahan.

Splash!

“Argh!”

Jeritan nyaring Nadia menarik perhatian Aiman, Farah dan Munirah. Nadia disimbah dengan sejenis cecair. Nadia meraup mukanya. Farah segera berlari mendapatkan Nadia. Aiman pantas mengeluarkan telefon bimbit pemberian Nazafi.

Farah membantu Nadia berdiri. Sedang Nadia menyambut tangan Farah, tiba-tiba seorang lelaki bertopeng warna emas sedang memegang sebuah pemetik api dan cuba memetiknya.

“Nadia! Farah!”

Aiman terus membaling pasu bunga yang berada di atas meja ke arah lelaki misteri itu. Lelaki itu terdorong ke belakang. Farah segera membawa Nadia ke dalam rumah.

Pintu rumah terus ditutup dan dikunci. Aiman bersandar pada belakang pintu sambil menekan bahagian kenalan lalu membuat panggilan seperti disuruh oleh Nazafi sebelum pergi.

“Abang! Tolong! Ada..”

Tiba-tiba pintu rumah ditendang kuat dari luar. Aiman cuba menahan pintu daripada dipecah masuk. Nadia yang ketakutan terus memeluk Farah. Munirah turut menyorok di belakang Farah.

“Farah, bawa budak-budak ke ruang tamu. Sini bahaya!” arah Aiman sambil menolak sebuah laci lalu diletakkan betul-betul di balik pintu. Beberapa objek yang berat turut diletakkan bersama.

Aiman mengesat peluh yang mengalir pada dahinya. Pintu ditendang dengan kuat. Hanya beberapa saat sahaja pintu itu mampu bertahan.

“Apa patut aku buat sekarang ini? Abang Nazafi cepatlah datang,” gumam Aiman dalam hati. Matanya terlihat gitar elektrik yang tersandar pada dinding. Gitar itu dicapai. Tidak lama kemudian, pintu rumah berjaya dipecahkan.

“Mana budak yang berani baling pasu dekat aku?”

Lelaki bertopeng warna emas itu menolak daun pintu yang pecah. Aiman bersembunyi di balik rak yang berdekatan. Lelaki itu melilaukan matanya mencari Aiman. Aiman menahan nafasnya.

Farah, Nadia dan Munirah bersembunyi di sebalik sofa panjang. Nadia dan Munirah mula menangis ketakutan. Farah segera menyuruh mereka senyap. Detapan kasut milik lelaki itu semakin menghampiri sofa panjang. Aiman tidak senang duduk apabila lelaki itu memasuki ruang tamu.

“Mana kau menyorok ha budak?” lelaki itu melemparkan barangan yang terletak di atas meja jatuh ke atas lantai. Sebuah pasu bunga turut pecah. Lelaki itu terus berjalan menghampiri sofa panjang.

Sebilah pisau kecil diacukan ke arah Munirah. Nadia menjerit ketakutan. Farah terus menarik tangan Munirah dekat padanya. Pisau itu gagal mengenai tubuh Munirah.

“Hiargh!”

Aiman memukul belakang kepala lelaki itu dengan gitar sekuat hati. Namun, lelaki itu sempat mengelak daripada mendapat pukulan Aiman. Aiman terkesima. Gitar itu ditahan oleh lelaki itu.

“Kau nak pukul aku dengan benda ni?” Lelaki itu terus melemparkan gitar mengenai dinding. Perlahan-lahan lelaki itu menapak menghampiri Aiman. Aiman mengundur perlahan-lahan.

Tangan kiri lelaki itu terus menerkam leher Aiman. Tubuh Aiman melekat pada dinding. Aiman meronta-ronta dilepaskan.

“Aiman!”

“Abang aiman!”

Farah tidak mampu membantu Aiman. Nadia dan Munirah mula menangis. Lelaki itu terus menghalakan pisaunya ke arah pipi Aiman.

“Lain kali, jangan cari masalah dengan aku. Faham?” Lelaki itu terus menghunus pisau ke perut Aiman. Mata Aiman terbuntang.

Bang!

Belum sempat pisau itu menyentuh tubuh Aiman. Lelaki itu tiba-tiba rebah ke lantai tidak sedarkan diri. Aiman terduduk. Matanya tidak berkelip. Melihat susuk tubuh seseorang yang sedang berdiri di depannya.

“Paksu!”

Nadia terus berlari mendapatkan Nazafi. Nazafi melutut sebelah kakinya menanti Nadia. Nadia menangis dalam pelukan Nazafi. Munirah memeluk Farah dengan erat. Tangan Farah tidak dilepaskan.

“Kau boleh bangun tak?” tanya seorang lelaki kepada Aiman. Tangannya dihulur. Aiman menyambut tanpa banyak tanya. Lelaki yang memakai topi hitam itu terus mendekati ke arah lelaki bertopeng warna emas.

Keadaan lelaki itu diperiksa. Aiman terus mendekati Nazafi. Farah dan Munirah turut mengikut bersama. Nazafi mengeluarkan telefon bimbit memeriksa peti masuk.

“Fi, dia cuma tak sedarkan diri. Kau guna ubat pelali? Sungguhlah?” kata lelaki itu setelah memeriksa keadaan penjenayah itu. Nazafi hanya tersengih.

“Tak kan pula guna peluru betul. Budak-budak ada dekat rumah. Bahaya. Bagus kerja kau, Azhan,” jelas Nazafi ringkas. Azhan terus memanggil pasukan polis untuk memberkas penjenayah.

“Han, kau uruskan yang lain-lain ya. Aku nak pergi tempat lain. Terima kasih,” pesan Nazafi kepada Azhan sambil memimpin tangan Nadia keluar dari rumah.

“Abang Nazafi, mana Nabil?” tanya Aiman sebelum Nazafi melangkah keluar. Langkah Nazafi terhenti. Nadia yang mengesat air matanya turut memandang Nazafi. Nazafi menghela nafas.

“Jomlah ikut sekali Aiman,” ujar Nazafi tanpa membuang masa. Aiman segera mengikuti Nazafi dari belakang. Farah dan Munirah ditinggalkan tanpa kata.

***

“Nabil, ayah dah makin tua. Nabil tolong tengok-tengokkan adik kamu. Kamu seorang abang kena lindungi adik. Ayah kadang lupa ada anak,” kata ayah dalam nada bergurau.

“Nabil, ayah tak kisah kamu nak jadi apa, asalkan jangan lupa diri, jangan tinggal solat. Jangan jadi kulit yang lupakan kacang. Sekejap, macam pelik je peribahasa tadi,” pesan ayah sambil memegang dagunya.

“Nabil, ayah kagum dengan kamu. Macam-macam kerja rumah kamu boleh buat. Ayah rasa macam ada dua orang anak perempuan pula. Hahahaha,” ujar ayah sambil ketawa dengan senang hati.

Nabil bersandar pada dinding hospital. Kepalanya didongakkan ke atas. Matanya dipejamkan. Banyak kenangan bersama ayah bermain dalam fikirannya. Ayah hebat. Mampu besarkan Nabil dan Nadia tanpa seorang isteri disisinya.

Siapa sangka, ayah mampu mendidik Nabil dan Nadia yang usia mereka berbeza sebanyak 5 tahun. Pasti banyak kesabaran diperlukan. Nabil suka sangat menyakat Nadia. Macam-macam hal.

“Nabil!”

Panggilan Aiman menyedarkan Nabil dari lamunannya. Muka Nabil agak pucat. Nadia terus menerpa ke arah Nabil. Matanya berkaca-kaca.

“Mana ayah? Mana ayah, abang? Mana ayah?” Nadia menggoncang-goncangkan tubuh Nabil. Nabil tidak mampu menjawab soalan Nadia.

“Nadia, jangan macam ni,” tegur Aiman yang cuba menenangkan Nadia. Nadia terduduk menangis di kaki Nabil.

“Kamu ahli keluarga Encik Zainal?” tanya seorang jururawat kepada Nabil. Nabil menganggukkan kepala.

“Ayah kamu sedang tenat. Ada berlaku komplikasi darah akibat tembakan dan kami kekurangan bekalan darah jenis O buat masa sekarang ini. Boleh kamu hubungi ahli keluarga yang lain?” terang jururawat itu.

“Kakak ambillah darah saya ini. Saya tak tahu darah apa tapi warna merah juga,” sampuk Nadia sambil menghulurkan tangannya kepada jururawat itu. Jururawat itu terus mengusap kepala Nadia.

“Saya darah jenis O dan saya juga ahli keluarga Encik Zainal,” kata Nazafi yang muncul dari belakang. 

Previous: Bab 5
Next: Bab 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Izatul Husna