Home Novel Umum Senyuman Nadia
Senyuman Nadia
Izatul Husna
23/9/2020 15:56:49
54,459
Kategori: Novel
Genre: Umum
Bab 3

“Rookie band? Bunyi macam menarik,” sampuk ayah semasa melangkah masuk ke dalam rumah. Nabil dan Nazafi segera menoleh ke arah pintu melihat ayah masuk bersama dengan Nadia.

Beg kerjanya diletakkan di meja yang berhampiran. Nadia terus meluru ke arah Nazafi, pakcik kegemarannya. “Paksu!” Nazafi mendepa tangannya lalu memeluk anak buahnya itu.

“Dah lama ke sampai?” tanya ayah sambil melabuhkan punggungnya ke atas sofa sebelah Nabil. Nazafi menghulur tangannya menyalami ayah.

“Baru je sampai Bang Nal.” Tangan dijabat tadi telah terlerai. Nadia terus duduk sebelah Nazafi. Nazafi terus mengusap kepala anak buahnya bersahaja.

“Ayah, boleh Nabil sertai Rookie Band?” Nabil memandang ayah dengan sepasang mata yang penuh dengan harapan agar ayah membenarkan dia menyertai program yang dicadangkan oleh Nazafi.

Ayah memandang Nazafi sekilas. Nazafi hanya mampu tersengih. Ayah mengangkat kening memberi isyarat kepada Nazafi. Nazafi membetulkan kedudukannya.

“Rookie Band ini satu program untuk mencari bakat muda dalam industri muzik. Istimewanya program anjuran Merpati Hitam Music ini, band yang paling menyerlah dan berpotensi tinggi akan diserap masuk ke dalam akademi muzik terkemuka pada usia seawal 13 tahun,”

Ayah mengangguk memahami. Mulut Nabil sedikit ternganga. Mendengar akademi muzik membuatkan Nabil kagum. Ayah yang melihat reaksi Nabil hanya tergelak.

“Kamu minat ke muzik-muzik ini? Setahu ayah, kamu minat memasak,” ujar ayah sambil memegang dagunya.

“Nabil serba boleh ayah. Memasak boleh, bertukang boleh, mengaji boleh, main alat muzik lagi boleh,” jawab Nabil dengan penuh bersemangat. Kedua-dua tangannya digenggam. Matanya bersinar-sinar memandang ayah.

“Boleh percaya ke ini?” ayah menduga Nabil. Nabil mengangguk-anggukkan kepala beberapa kali. Nabil memandang Nazafi meminta sokongan.

“Bang Nal jangan risau. Dari mula pendaftaran sampailah ambil sijil pengikhtirafan saya akan bantu Nabil,” sampuk Nazafi. Nazafi mengenyitkan sebelah matanya kepada Nabil. Nabil tersenyum sehingga menampakkan barisan gigi putihnya.

“Baiklah. Ayah benarkan.”

Nabil dan Nazafi bertepuk tangan. Nadia yang tidak memahami keseluruhan perbincangan turut bersorak gembira.

“Tapi dengan satu syarat,”

Nabil memandang kembali ke arahnya dengan penuh tanda tanya. Pelbagai soalan dan kemungkinan akan berlaku. Nabil bersiap sedia menanti. Nazafi hanya tersengih melihat perubahan drastik Nabil.

“Sekiranya kamu gagal dalam program Rookie Band, kamu perlu masuk ke sekolah berasrama penuh selama 5 tahun iaitu dari tingkatan 1 hinggalah tingkatan 5,” kata ayah dengan tenang.

Nabil menelan air liurnya. Nadia yang mendengar syarat itu terlopong. Nazafi menutup mulut menahan ketawa. Nabil meneguk air minuman Nazafi tanpa meminta kebenaran.

“SBPI,”

Tersembur Nabil dibuatnya apabila mendengar nama bakal sekolah asrama yang akan dia masuki sekiranya gagal dalam program Rookie Band. Nadia terpinga-pinga.

“SBPI itu apa ayah?” tanya Nadia.

“Sekolah Berasrama Penuh Integrasi,” jawab ayah tenang.

Nabil mengesat sisa air dengan tangannya. Nazafi menahan perut mentertawakan Nabil. Nabil menjeling ke arah Nazafi dengan penuh geram. Tangannya dikepalkan.

“Paksu kena latih Nabil sampai jadi pemenang nombor satu!”

Nazafi yang puas ketawa mengesat air matanya. Nabil memeluk tubuhnya. Ayah hanya tersengih melihat gelagat Nabil.

“Boleh. Tapi kena ajak lagi dua orang kawan Nabil. Satu kumpulan sekurang-kurangnya ada tiga orang ahli. Barulah band namanya,” terang Nazafi sambil menyilangkan kakinya.

“Mudah saja. Petang ini juga mereka datang ke sini. Paksu kena bersedialah nak latih kami bertiga.” Nabil terus berlari ke arah biliknya mengambil sesuatu.

“Pengaruh kamu ini Nazafi memang luar biasa. Kagum abang lihat kamu ini,” tegur ayah apabila Nabil telah hilang dari pandangannya. Nazafi menunjukkan sebaris giginya.

“Pengaruh yang baik apa salahnya,” balas Nazafi perlahan. Matanya ternampak sebuah bingkai gambar yang terletak kemas pada meja tepi dinding. Nabil bangun dan menuju ke bingkai gambar itu.

Bingkai gambar diangkat. Seorang wanita sedang tersenyum manis bersama Nabil dan ayah. Nazafi mengusap wajah wanita itu perlahan. Matanya berair apabila melihat gambar itu. Rasa rindu akan wanita itu mula menyelubungi diri.

“Terima kasih Nazafi sebab masih datang mengunjung ke rumah kecil ini,” tegur ayah dari belakang. Nazafi tersentak. Air mata segera diseka. Nazafi memalingkan tubuhnya.

“Tak ada masalah. Saya suka datang sini. Dapat juga layan anak-anak buah saya. Rupa Nabil makin lama makin menyerupai rupa arwah kakak. Mesti Nabil besar nanti jadi seorang yang kacak sebab arwah kakak cantik orangnya,” kata Nazafi sambil meletakkan kembali bingkai gambar itu.

“Jadi kamu nak cakap abang ini hodohlah?” tegur ayah sambil menyiku Nazafi. Nazafi tergelak lalu merangkul bahu ayah menuju ke arah ruang tamu.

***

“D’Naf?”

Aiman dan Farah memandang Nabil serentak. Nabil tersenyum megah apabila mencipta nama kumpulan yang terdiri daripada huruf pertama nama ahli kumpulan. Nazafi memegang dagunya.

“D untuk?” soal Farah.

“D itu lebih kurang dengan The. Gempak bukan?” kata Nabil dengan bangga. Aiman mengangguk setuju. Farah juga begitu. Nazafi terus mengeluarkan sebuah gendang kecil dan dua buah jenis gitar dan diletakkan pada atas meja.

“Siapa dekat sini tahu main alat muzik ini?” tanya Nazafi lalu memandang mereka silih berganti.

“Saya tahu main rekoder sahaja,” jawab Farah.

“Boleh saya cuba main?” tanya Aiman malu-malu. Nazafi mengangguk. Sebuah gitar bass diambil. Nabil mula mengambil gitar elektrik. Farah mengambil gendang kecil.

“Farah cuba dulu. Cipta irama sendiri,” arah Nazafi. Farah memukul gendang kecil itu bersahaja. Irama yang sangat merdu berjaya menarik perhatian Nazafi.

“Bagus. Nabil, kamu pula.” Petikan gitar yang dihasilkan oleh Nabil membuatkan telinga pendengar bingit. Nazafi menutup telinganya.

“Cukup! Cukup! Aiman pula.” Aiman cuba memetik gitar.

“Aduh!” tiba-tiba Aiman memegang jari mengaduh kesakitan. Nazafi segera mengalihkan gitar dan melihat jari Aiman.

“Kuku kamu lebih dari isi jari. Abang tak galakkan kamu main gitar melainkan kamu mahu terus belajar, abang tak halang,” pesan Nazafi sambil mengusap-ngusap hujung jari Aiman. Gendang kecil bertukar tangan.

“Abang, selalunya band akan ada penyanyi utama. Siapa pula penyanyi utama?” tanya Farah.

“Nabil penyanyi utama. Jadi Nabil akan main gitar bass. Farah main gitar elektrik,” arah Nazafi.

“Boleh ke awak main gitar elektrik?” sindir Nabil. Farah hanya menjeling. Farah memetik gitar elektrik itu bersahaja. Nabil ternganga luas. Aiman dan Nazafi tergelak.

***

“Nadia tak tidur lagi? Buat apa sampai tak tidur lagi? Dah jam 11:00 malam,”

Pintu bilik Nadia dibuka. Cepat-cepat Nadia menutup kerjanya dengan bantal. Ayah menjenguk dari luar.

“Belum lagi ayah,” jawab Nadia sambil memandang ayahnya. Ayah hanya menggeleng-gelengkan kepalanya.

“Sudah. Kemas kerja kamu. Jangan lupa tutup lampu sebelum tidur,” arah ayah. Nadia menganggukkan kepalan. Pintu bilik ditutup rapat.

“Fuh, selamat,”

Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Izatul Husna