Home Novel Umum Senyuman Nadia
Senyuman Nadia
Izatul Husna
23/9/2020 15:56:49
55,533
Kategori: Novel
Genre: Umum
Bab 7

"Kami minta maaf. Encik Zainal tak dapat diselamatkan. Dia pergi sebelum bekalan darah tiba," kata seorang doktor kepada Nabil. Seperti menerima tamparan hebat, Nabil terduduk. Nadia yang tidak memahami apa yang terjadi terus bertanya kepada Nabil.

"Abang, ayah mana? Kan paksu dah bagi darah," ujar Nadia sambil memandang Nabil. Nabil tidak memberikan sebarang jawapan.

"Nadia, ayah dah tak ada. Ayah dah meninggal dunia," terang Aiman. Nadia memandang Aiman.

"Tipu! Abang Aiman jangan nak tipu Nadia! Ayah hidup lagi!" Nadia lantas berdiri dan memukul Aiman. Aiman membiarkan dirinya dipukul oleh Nadia.

"Ayah dah tinggalkan kita berdua, Nadia. Allah sayangkan ayah," kata Nabil perlahan lalu menyandarkan kepala pada dinding. Mata Nadia mula bertakung. Pukulannya terhenti.

"Paksu dah bagi darah untuk ayah. Ayah mesti hidup kan?" soal Nadia sambil berjalan ke arah Nabil.

"Ayah hidup lagi kan, abang?" tanya Nadia bertalu-talu. Aiman hanya memandang Nabil yang tidak mampu melayan adiknya. Nazafi yang baru sahaja selesai berurusan dengan jururawat kembali ke arah Nabil dan Nadia.

Kehilangan seorang ayah pada usia muda sangat memberi kesan yang mendalam kepada Nabil dan Nadia. Nadia yang masih dahagakan kasih sayang seorang ayah sepanjang hidupnya, kini telah kehilangan sumber tenaganya. Nadia tidak pernah merasa kasih sayang seorang ibu. Hanya ayahlah, ayah dan ibu kepada Nadia.

***

Di rumah Nabil dan Nadia,

"Paksu duduk dengan kamu berdua sekejap saja tau. Minggu depan paksu dah kena sambung bertugas. Nanti paksu bincang dengan pak long macam mana," pesan Nazafi sambil mengemaskan barang lalu memasukkan ke dalam beg.

Pin! Pin!

"Paksu, abang Azhan dah sampai," kata Nabil selepas menyelak langsir rumah melihat kereta yang diparkir depan rumahnya.

"Nabil jaga rumah. Jaga Nadia. Petang ini kamu ada latihan bukan? Paksu lambat sikit balik. Apa-apa hal telefon paksu. Ok?" pesan Nazafi. Nabil menganggukkan kepalanya.

Nabil menutup kembali pintu rumah perlahan-lahan. Gambar yang tergantung pada dinding ditatap lama. Ayah, Nabil dan Nadia sedang bergembira membuatkan gaya untuk gambar raya tahun lepas. Nampak gayanya, hari raya kali ini sangat berbeza.

***

"Farah, awak pernah tak terfikir pakaian rasmi band?" tanya Nabil sambil meletakkan dulang yang berisi sebuah teko air teh o panas dan sepiring berisi biskut kering dan beberapa potongan kek pisang yang dibawa oleh Aiman.

"Pakaian? Bukan kita dah bincang ke hari itu yang kita pakai baju putih dan seluar jeans?" soal Farah kembali sambil mengambil menuangkan air teh o ke dalam cawan.

"Ada ya?" Nabil mengingati kembali mesyuarat pakaian yang telah diadakan beberapa hari yang lalu. Aiman tersedak secara tiba-tiba. Nabil dan Farah segera memandang Aiman. Aiman meletakkan kembali cawan minumannya dan mengesat sisa air dengan tisu.

"Kenapa Man?" tanya Nabil bingung.

"Teh o yang kau bancuh ni masin!" ujar Aiman. Nabil terus menghirup sedikit air teh o. Tersembur dibuatnya. Farah ketawa melihat gelagat mereka berdua.

"Biar saya bancuh yang lain. Kamu berdua berlatihlah apa yang patut," pinta Farah sambil menyusun kembali cawan yang telah digunakan. Nabil meminta maaf menyusahkan Farah.

"Emosi kamu tak stabil lagi, Nabil. Banyakkan berehat. Pertandingan semakin dekat. Kalau band kita perlu tarik diri, saya ok saja," bisik Aiman semasa berjalan menuju ke tempat duduk drumnya. Nabil tertunduk.

***

"Assalamualaikum, Nadia. Munirah ni!"

"Waalaikumussalam. Oh, Munirah. Sekejap ya," Nabil mengalihkan gagang telefon ke tepi. Matanya mencari susuk tubuh adiknya. Nadia sedang bersandar pada sofa sambil menonton televisyen.

"Nadia, Munirah telefon kamu ini. Marilah," panggil Nabil lembut. Nadia tidak menyahut. Memalingkan muka pun tidak. Nabil cuba memanggil Nadia beberapa kali, namun Nadia masih diam membatu.

"Munirah, lain kali ya telefon Nadia. Maaf ya." Gagang telefon diletakkan. Nabil terus berjalan menuju ke dapur.

Lauk makan makanan dihidangkan. Tiga buah pinggan seramik disusun di atas meja. Air teh o panas dibancuh. Kali ini Nabil menggunakan gula, bukan lagi garam seperti petang tadi.

"Nadia, mari makan sini," ajak Nabil sambil mencedukkan kuetiau goreng ke dalam pinggan. Air teh o dituangkan ke dalam cawan.

Nadia masih tidak menyahut. Matanya memandang paparan televisyen tetapi jiwanya di awangan. Nabil menghampiri Nadia lalu mencapai alat kawalan jauh televisyen. Butang kuasa ditekan. Kini, paparan televisyen menjadi hitam.

"Mari makan. Kamu dari pagi tak makan. Abang dah masakkan kuetiau goreng kesukaan kamu." Nabil menarik tangan Nadia menuju ke meja makan. Seperti boneka hidup, Nadia menapak perlahan-lahan.

Nabil mencedukkan sedikit kuetiau goreng ke dalam pinggan Nadia. Kicap lemak manis dituangkan sedikit sebagai penambah perasa. Usai sahaya menyediakan makanan untuk Nadia, Nabil kembali duduk ke tempatnya.

"Jom baca doa makan. Tadah tangan," arah Nabil sambil menadahkan kedua-dua tangannya. Nadia memandang Nabil sekilas. Tangannya ditadah sama seperti Nabil.

Nabil memulakan suapan dengan rakus. Perutnya tidak dapat menahan lapar ketika memasak lagi. Nabil memerhati Nadia tidak menyentuh sudu dan garpu.

"Makanlah sikit. Penat abang masak ni," ujar Nabil. Nadia menundukkan kepalanya.

"Abang, bila ayah nak balik? Nadia rindu sangat dengan ayah," kata Nadia perlahan. Nabil menghentikan suapannya.

Matanya memandang Nadia. Nafas berat dihela. Selera makan Nabil tiba-tiba hilang. Mata Nadia mula bertakung.

"Nadia nak ayah. Abang, bawalah balik ayah! Ayah! Mana ayah! Nadia nak ayah!" Nadia menjerit melepaskan pekung didadanya. Pinggan dan cawan yang berada di depannya dilemparkan ke tepi.

Jatuh berderai satu per satu. Kuetiau goreng masakan Nabil bersulam dengan serpihan kaca seramik. Lantai dibasahi dengan air teh o. Nadia menyerkup mukanya. Tangisan Nadia mula kedengaran.

Nabil mengutip serpihan kaca seramik dan cawan kaca yang berderai dengan penuh berhati-hati. Nadia mula mengetuk-ngetuk meja makan melepaskan kesedihannya. Nabil hanya menggelengkan kepalanya. Tidak tahu memujuk Nadia yang sedang mengamuk.

Sedang Nabil berdiri dan ingin melangkah menuju ke tong sampah, tiba-tiba Nadia menarik baju Nabil. Nabil berhenti tidak memandang Nadia. Rasa geram dan marah pada Nadia tadi mula reda.

"Abang, betullah kan saya bawa nasib malang dalam keluarga. Sebab sayalah, ibu mati. Sebab saya jugalah ayah mati," kata Nadia perlahan. Terbuntang mata Nabil apabila mendengar ayat Nadia itu lalu mengangkat tangan ingin melempang Nadia.

"Sabar Nabil!"

Tangan Nabil pantas ditahan oleh Nazafi daripada terus melempang Nadia. Melihat wajah bengis Nabil membuatkan Nadia rasa gerun. Nadia mula meraung lalu berlari menuju ke biliknya. Pintu bilik dihempas kuat.

"Argh!!!"

Nabil mencampakkan serpihan kaca lalu melutut menjerit. Kepalanya dipegang. Air mata Nabil akhirnya gugur jua. Nazafi membiarkan Nabil melepaskan deritanya. 


Previous: Bab 6
Next: Bab 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Izatul Husna