Home Novel Umum Stigma (SELESAI)
Stigma (SELESAI)
ae0907
12/10/2021 21:15:47
78,589
Kategori: Novel
Genre: Umum
BAB 9

"Makanlah, jangan segan." tutur Faiz kepada Wajdi. Sudah hampir lima minit makanan dihidang di atas meja namun masih tidak mendapat apa-apa respon dari Wajdi. Remaja itu kelihatan bingung.

"Ustaz tak makan?" soal Wajdi setelah lama mendiamkan diri sejak Faiz memintanya membonceng motorsikal dan keluar dari perkarangan musolla. Faiz membawanya ke sebuah warung berdekatan dengan area sekolah mereka.

Sebenarnya, Wajdi cukup berasa segan dengan Faiz. Bukan kah agak canggung jika dia cuma makan dan ustaz itu hanya memerhati. Lagi pula, ini kali pertama Wajdi berkeadaan begitu. 

Faiz tersenyum. Kepalanya digeleng pelan.

"Ustaz dah makan. Ini pun ustaz keluar sekejap,"

Wajdi mengangguk namun seketika dia mengetap bibir. Argh, nak makan ke tak? Kalau kau tak makan kau kebulur, kalau makan kau malu.

Mana satu? Pilih-pilih!

Nasi goreng kampung dan air teh ais yang dihidang seakan menggodanya untuk menjamah. Wajdi meneguk liur, bahkan peluh mula menitis dari kepalanya.

Faiz memandang raut wajah Wajdi yang seakan segan dengannya. Tipu jika dia tidak mengetahui apa yang dirasai oleh Wajdi. Bahkan jika dia berada di tempat Wajdi, dia turut akan melakukan hal yang sama.

Faiz memutuskan untuk memandang sekeliling warung yang dikunjungi bagi mengelakkan rasa canggung yang menyelimuti kedua mereka.

"Kamu makanlah, ustaz nak pergi tempah air kat kaunter." ujar Faiz lalu bangkit menuju ke arah kaunter yang berada di belakang Wajdi. Kebetulan posisi Wajdi membelakangi kaunter, jadi dia tidaklah melihat raut wajah Wajdi.

Sebaik saja Faiz melewati, dengan cepatnya Wajdi menikmati hidangan yang berada di hadapannya. Tidak terlalu gelojoh kerana dia sangat lapar. Apapun tanggapan Faiz nanti, Wajdi malas ambil tahu. Asalkan perutnya yang kosong sudah diisi.

Dari jauh, Faiz memerhatikan gelagat Wajdi yang duduk membelakanginya. Senyuman terukir manis di bibirnya.

Dia tahu, Wajdi tidak pernah rapat dengan mana-mana guru kerana masalah disiplinnya itu. Mungkin dia menjadi kekok apabila seorang guru cuba rapat dengannya.

Mungkin.

"Makcik, nak order satu air nescafe sejuk dan dua air milo." Faiz berkata sambil tersenyum nipis ke arah wanita yang berumur hampir separuh abad itu. Wanita itu hanya mengangguk sambil menyiapkan pesanannya itu.

~~~

Hilman memandang raut wajah Amirul yang sejak tadi tersengih seorang diri. Bukannya dia tidak tahu maksud tersirat di sebalik sengihan remaja itu. Mereka berdua sekarang berada di sebuah bangku yang ada di persekitaran asrama. Itu pun dia mengajak Amirul untuk menemaninya kerana angin pada waktu itu cukup nyaman.

Tipu Hilman tidak mengetahui apa yang dilakukan oleh Amirul ketika program berlangsung pada pagi tadi. Malah, dia turut menyedari bahawa ada mata yang turut menyaksikan perlakuan Amirul. Mahu menegur, jarak dia dan Amirul berada agak jauh.

Hilman sangat tahu bahawa Amirul sangat menyukai Mikayla, gadis yang memegang jawatan sebagai ketua Asrama Muslimat. Walaupun Amirul sering menidakkan hal itu apabila ditanya, namun perilakunya membongkarkan segalanya.

"Wei, Mirul! Kau kenapa sengih macam orang tak waras ni?" Hilman memukul lengan Amirul yang masih lagi berangan itu. Sudah beberapa kali para junior yang melewati mereka hanya memandang ke arah Amirul dengan tatapan yang aneh.

"Hah, apa?" soal Amirul yang seakan tersedar dari 'sengihan'nya itu. Terkebil-kebil dia memandang Hilman yang sedang menatapnya datar.

Hilman menghela nafas kasar. Melihat muka innocent Amirul membuatkan dia mahu sahaja melempang remaja itu. Takkan tak sedar lagi kut? Ada yang mintak kena hempuk ni!

"Kalau nak buat perkara yang tak nyaman dekat orang, jangan tempat umum boleh tak? Atau pun simpan je rasa minat kau tu jauh-jauh buat masa sekarang." ujar Hilman separuh berbisik, tapi penuh dengan ketegasan.

"Apa yang kau nak cakap ni? Aku tak fahamlah." tanya Amirul dengan wajah yang masih lagi blur. Bahagian belakang kepalanya digaru walaupun tidak gatal.

"Ingat aku tak perasan ke kau buat apa kat Mikayla tadi masa program?" balas Hilman dengan matanya tajam, seakan menikam mata Amirul.

Amirul menghela nafas. Dah terkantoi, terpaksa la mengaku kan?

"Dah tu, kenapa? Kau cemburu? Suka kat Mikayla jugak ya?" Amirul sengaja mencucuk bahu rakannya itu sambil tersengih. Hilman pantas menepis jari Amirul itu membuatkan raut wajah Amirul berubah.

"Apa yang kau merepek ni? Aku kalau suka kat orang, aku tak buat macam kau. By the way, aku tak ada langsung perasaan nak minat orang sekarang. Kita ni masih pelajar kut. Pelajar tahfiz pula! Betul, cinta tu fitrah manusia tapi kalau ia disalurkan di jalan fitnah boleh jadi dosa tau tak? Kau tak rasa perbuatan kau tu tak ada orang perasan? Kau jangan nak buat benda suci dan halal jadi haram erh?" Hilman menghujah dengan penuh penekanan. Raut wajahya cuba distabilkan supaya tidak kelihatan marah. Sungguh, dia tidak suka dengan cara Amirul yang memandang remah tentang hal itu.

Amirul mengetap bibir. Ei ni dia malas mahu bergurau dengan Si Hilman ni. Ada sahaja teguran dan nasihat sikit.

"Alah, aku senyum je, kan? Bukannye ada apa-apa pun. Rileks lah." Amirul berkata dengan penuh angkuh. Hal tersebut membuatkan Hilman menggeleng kepalanya kesal.

"Banyaklah kau punye rileks. Kalau kita yang pelajar tahfiz pun boleh sampai angau macam ni sekali, maknanya kita tak terapkan ilmu yang diajar kat sini. Ramai yang kat luar sana berebut nak jadi macam kita. Kita di sini diberi ilmu supaya menjadi Khalifah yang mampu membimbing mereka ke jalan Allah. Bukan ke lembah kebinasaan, Amirul!" Hilman berkata dengan raut wajah yang serius namun masih mampu mengawal suaranya agar tidak terlalu kuat. Bercakap dengan Amirul memang memerlukan kesabaran yang tinggi. Jika dibandingkan dengan Wajdi, Hilman lebih memilih Wajdi untuk diadu mulut berbanding Amirul.

Amirul mendengus kasar mendengar kata-kata Hilman itu.

"Suka hati aku la. Lagipun, tak semua pelajar tahfiz ni suci kau tau tak? Sebagai contoh kau si Wajdi tu. Jubah je putih, hati pun mesti dah hitam. Orang lain apatah lagi...Semua munafik je! Hipokrit!" Amirul berkata kasar. Tidak peduli melihat mata Hilman yang menatapnya nyalang.

Hilman sedikit mengetap bibirnya mendengar bicara Amirul, namun dia
perlahan-lahan bibirnya melengkung segaris senyuman sinis membuatkan Amirul berasa kurang senang dengan senyuman itu.

"Kau pun apa kurangnya kan, Amirul? Kau pun sama jugak kan? Jubah putih?" Hilman berkata sambil tersenyum senget ke arah Amirul yang seakan melongo dengan ucapannya.

Amirul tersentap. Alih-alih dia pula yang terkena. Malas mahu membahas dengan Hilman, dia segera bangkit dari tempat duduk dan beredar dari situ.

Melihat kelibat Amirul yang jauh dari pandangannya itu, membuatkan Hilman tergeleng-geleng kesal.

~~~

Wajdi termenung di meja semasa kelas prep, bukan termenung kosong tetapi dia masih memikirkan perbualannya dengan Faiz petang tadi.

"Kamu dah minta maaf dekat Johan, Wajdi?" tanya Faiz sebaik sahaja Wajdi melabuhkan punggung setelah selesai sahaja membasuh tangan.

Mereka berdua masih lagi berada di warung. Air yang dipesan oleh Faiz masih belum sampai kerana terlalu banyak orang di situ. Lagipula, Faiz sendiri yang meminta agar airnya disiapkan lewat sedikit.

Wajdi mengetap bibir sebelum kepalanya digeleng. Dia agak bersalah dan agak takut dengan reaksi yang akan diterima dari warden itu.

Faiz menghela nafas seketika Wajdi Hariz memang agak degil orangnya. Dengan egonya yang setinggi gunung Everest... Tidak...egonya lebih tinggi dari itu... Dan aggak susah untuk Wajdi untuk bersemuka dengan Johan bertujuan untuk memohon maaf.

"Minta maaflah meskipun kita tidak salah. Tetapi memukul orang tanpa tahu apa yang sebenarnya terjadi bukankah itu tidak adil?"

Wajdi bungkam namun tidak membalas perkataan Faiz.

Melihat reaksi Wajdi, Faiz meneruskan ucapannya.

"Kamu tahu tak tentang orang yang dibenci oleh Allah siapa?"

Wajdi menggeleng tidak tahu.

"Iaitu orang yang memutuskan silaturahim dengan saudaranya elebihi tiga hari,"

Wajdi terkedu. Pernyataan itu seakan menampar dirinya.

"Nabi sollallahu 'alaihi wa sallam bersabda:

'Tidak dihalalkan bagi seorang lelaki tidak bertegur sapa dengan saudaranya melebihi tiga hari, kedua-duanya bertemu tapi seorang berpaling muka dan seorang lagi berpaling muka juga. Dan yang paling baik di antara kedua-duanya adalah yang memulakan mengucap salam." (Riwayat al-Bukhori)"

Lebih-lebih lagi dengan hadis yang disebutkan oleh ustaz muda itu, membuatkan fikiran Wajdi semakin bercelaru.

Dua hari. Wajdi menghitung jarinya berkali-kali bagi memastikan hitungannya benar. Ya, sudah dua hari dia tidak bertegur sapa dengan sesiapa di dalam asrama termasuk Azhar dan Fahmi.

Wajdi tahu, dua sahabatnya itu mahu berbicara dengannya untuk memastikan keadaan dirinya selepas peristiwa yang berlaku. Namun hal tersebut tidak terjadi kerana mungkin, mereka takut mahu menegurnya. Wajdi berasa bersalah. Tampaknya aura dinginnya juga menakutkan dua sahabat yang sering bersama denganny sejak tingkatan satu.

Wajdi memutarkan pandangan ke arah dua sahabatnya yang sedang menyelesaikan kerja sekolah di meja yang tidak berada jauh darinya. Dia melihat jelas kerutan di dahi mereka yang seakan-akan tidak memahami soalan yang diajukan pada buku latihan itu.

Wajdi tersenyum tipis. Haruskah dia memutuskan egonya yang begitu tinggi? Dengan agak gementar dan sedikit yakin, dia membuka langkah menuju ke arah dua sahabatnya itu.

"Nak aku tolong?"

Azhar dan Fahmi mengangkat kepalanya dan raut wajah mereka  terkejut  melihat gerangan yang berada di hadapan mereka. Mereka berpandangan sesama sendiri dan melihat ke hadapan beberapa kali.

"Wajdi!"

~~~

Batu-batu kerikil yang berada di dalam genggamannya dibaling ke arah padang aspura. Keberadaannya di asrama cukup membosankan kerana hari itu adalah hari sekolah. Disebabkan keadaannya yang belum begitu pulih, Faiz memintanya untuk berehat.

Sudah hampir tiga hari dia hanya terlantar di bilik rawatan asrama, dan dua hari itu jugalah dia dirawat oleh para exco dan yang lain.

Semua orang membela dan menjaga dirinya sebaiknya. Johan tersenyum mengingati betapa posesifnya rakan-rakan yang menjaganya supaya tidak selalu mengeluh dan selalu tersenyum.

Namun, seketika dia mengenangkan nasib Wajdi. Adakah situasinya sama dengan remaja itu?

Dia disimpati. Wajdi yang dibenci. Itu yang dia dimaklumkan oleh beberapa rakan yang melawatnya. Pernah dia bertanya keadaan Wajdi namun hanya hinaan kasar yang dilontarkan kepada Wajdi. Kerana tidak sanggup mendengar, Johan tidak lagi bertanyakan hal itu.

Sungguh, Johan berasa kasihan dan berasa bersalah dengan Wajdi. Namun, siapa sangka? Perkara yang tidak diduga berlaku kepada mereka berdua.

Johan mengambil perisitiwa itu sebagai iktibar. Mungkin ini peringatan kepadanya kerana tidak membimbing Wajdi. Anggap sahaja begitu.

Sedang asyik melayan perasaan, tiba-tiba dia merasakan bahunya disentuh oleh seseorang dari belakang membuatkan Johan berpaling.

Wajdi Hariz.

Johan terkedu. Matanya membuntang. Tubuhnya berasa kaku.  Peristiwa hitam itu mula menjalar dibenaknya.

Kalau diikutkan, mahu sahaja dia beredar dari situ, namun melihat wajah Wajdi yang seakana tenang dia membatalkan sahaja niatnya.

"Waj...di...?" tersekat-sekat suara Johan menyebut nama itu. Mana tahu tiba-tiba ada insiden pergelutan berulang kembali? Terserlah riak takut di wajahnya.

"Maafkan aku, Johan."

Dahi Johan berkerut. Dia salah dengarkah?

"Eh?" Jelas dari situ Johan benar-benar terkejut dengan kata-kata Wajdi. Makhluk mana pulak yang rasuk budak ni? Apakah ianya sekadar ilusi, bukan realiti?

"Maafkan aku, aku mintak maaf sebab belasah kau hari tu," ujar Wajdi sekali lagi dengan lebih jelas. Dia kemudian melabuhkan punggungnya di sisi Johan tanpa meminta persetujuan si tuan badan.

Johan yang sudah pun kembali kesedarannya, mengulas senyuman tipis. Meski pun dirinya masih terkejut dengan pengakuan Wajdi, Johan dapat menerimanya.

Baginya, semua orang boleh berubah meskipun prosesnya tidak terlalu cepat.

"Takpa, aku dah lama maafkan kau, Wajdi. Kau tak salah. Maafkan aku sebab main ceroboh loker kau," Johan menepuk belakang Wajdi lembut.

"Lagipun semuanya dah berlalu. Nak undur balik pun, memang tak akan pernah jadi,"

Wajdi tersenyum apabila mendengar bicara Johan. Sekarang dia faham, kenapa ramai orang sayang akan Johan. Tengok sahaja lah akhlaknya. Sesuai dengan akhlak pelajar tahfiz. Dirinya? Tak usah diberitahu, dia sendiri tahu dimana tahap dirinya.

"Tapi, aku still nak tahu kenapa kau ceroboh loker aku?" soal Wajdi, tenang namun serius.

Johan menggaru kepalanya seakan memikirkan sesuatu. Dia juga hairan apabila Wajdi bertanya tentang hal itu. Bukankah Wajdi sememangnya tahu?

"Macam ni, lepas prep haritu aku tengah kemas beg and then aku nampak satu nota kecik. Katanya dari kau."

Wajdi mengangkat kening. "Aku bagi nota dekat kau? Nota? Nota apa?"

Johan mengerutkan dahinya. "Aik, bukan ke kau yang bagi nota tu dekat aku? Takkan tak ingat?"

"Serius aku tak ada bagi pun, lagipun aku bukannya rapat sangat dengan kau kan sampai nak bagi surat bagai?" soal Wajdi, menanti jawapan yang terbit dari mulut Johan.

"Kau tulis kat nota tu kau ada pinjam barang aku. Barang apa kau tak tulis. Lepastu aku pun pelik la, kenapa kau nak pinjam barang aku. Nak tanya kau malam tu kau takde lepastu nampak loker kau dah memang terbuka. Aku pun cari jelah sebab kau yang suruh aku cari kat loker kau. Tiba-tiba kau datang bantai je aku. Tak sempat aku nak tanya dah lunyai..." Johan tertawa kecil sebaik sahaja menghabiskan kata-katanya. Dia tersengih sumbing ke arah Wajdi.

Wajdi diam sahaja, dia berasa bersalah mendengar kata-kata terakhir yang dilontarkan oleh Johan.

"Tapi, aku jujur. Serius aku tak tulis. Beg kau pun aku tak kenal. Celah mana pulak aku nak selit nota? Lagipun kau ingat aku ni ketinggalan zaman ke nak bagi nota? Tak hingin la!"

Bersungguh-sungguh Wajdi berkata dengan nada yang gegas. Dari riak Wajdi, Johan boleh agak yang Wajdi sama sekali tidak menipu.

"Kalau bukan kau, siapa pulak?" soal Johan kehairanan.

Mereka berdua diam sejenak. Memikirkan dalang sebenar atas kejadian yang berlaku tempoh hari.

"Kau ada nota tu?" Wajdi bertanya memandang ke arah Johan dengan penuh harapan. Johan berfikir sejenak sebelum kembali bersuara.

"Tak sure la ada ke tak lagi. Sebab haritu Azhar dan Fahmi siasat aku pasal case tu la. Aku bagitahu sama dengan apa yang aku bagitahu kau ni. Aku tak tipu. Apa yang aku citer ni serius tak tipu. Nota tu hilang masa kau pukul aku. Aku syak nota tu terjatuh kat sekitar loker kau."

Wajdi mengetap bibir. Dia harus cari nota itu!


Previous: BAB 8
Next: BAB 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.