Home Novel Umum Melankolik
Melankolik
Hana Mizari
26/2/2018 10:21:39
46,106
Kategori: Novel
Genre: Umum
PROLOG

Kelihatan beberapa orang pelajar lelaki dan perempuan berpakaian sukan sekolah sedang mengutip sampah di kawasan padang sekolah. Sementara itu, di pintu pagar sekolah pelajar-pelajar lain sedang pulang ke rumah masing-masing dan pelbagai lagi destinasi yang dituju. Masing-masing dengan gelagat masing-masing, ada yang menunggang basikal, menunggang motorsikal, ada yang sedang menunggu bas, dan pelbagai gelagat lagi.

"Hmm...Aku harap ini yang terakhirlah," rungut salah seorang pelajar perempuan sambil memasukkan sampah ke dalam plastik hitam yang dipegang rakannya.

"Tapi kan? Kenapa kelas kita kena kutip sampah pula ni? Rasanya kita takda buat apa-apa salahkan?" tanya salah seorang lagi daripada pelajar perempuan yang turut berada di situ. Mendengar sahaja soalan itu membuatkan rakan-rakannya yang lain memandang gadis itu dengan wajah hairan.

"Eh, kau tak tahu ke kita satu kelas ni kena denda kutip sampah keliling sekolah sebab si Nina tu dah buat hal lagi."

"Nina si gila tu buat hal lagi? Apa pula dia buat kali ni?"

"Tadi masa kita sedang sibuk-sibuk bersukan tadi, perempuan gila tu pergi curi garam kantin sekolah dan tabur kat keliling sekolah, sambil menyanyi-nyanyi terjerit-jerit exorcism! exorcism!"

"Haaah!" si penanya tadi memberi respon dengan suara yang agak tinggi dan mulut melopong.

Sementara yang lain pula hanya menggelengkan kepala sahaja sebagai tindak balas kepada perbuatan Amnina yang tidak masuk akal itu. Begitulah rutin seharian yang dihadapi oleh kelas 2 Cempaka itu. Mereka sudah lali dengan tindak-tanduk Amnina yang dianggap janggal pada pandangan masyarakat. Bagi mereka, Amnina hanyalah satu beban kepada mereka kerana seringkali mereka dimalukan atau menerima tempias daripada kelakuan aneh si Amnina itu. Contohnya, hari ini pada hari sukan Sekolah Menengah Alam Flora, semasa mereka sibuk bersukan, Amnina tiba-tiba sahaja menghilangkan diri daripada khemah tempat mereka berkumpul. Bukannya mereka risau sangat pun apa-apa terjadi pada Amnina, yang mereka risaukan hanyalah jikalau kelas mereka dimalukan lagi oleh Amnina.

Plastik hitam yang sudah diikat kemas dikumpulkan di suatu tempat untuk dibakar. Tugas itu diberikan kepada Amnina kerana mereka tidak sanggup untuk melakukan tugas terakhir itu. Mereka semua ingin lekas pulang. Bagi mereka, memang patut pun Amnina diberikan tugas itu kerana mereka semua didenda pun disebabkan oleh perbuatan Amnina. Mereka semua geram dengan tindakan Amnina. Biarlah dia ditinggalkan keseorangan menyempurnakan tugas itu.

Amnina mengumpulkan sampah-sampah itu menimbun menjadi sebuah bukit. Api pun dinyalakan. Berkepul-kepullah asap memenuhi ruang udara. Apabila gadis itu berpuas hati dengan api yang marak itu, dia pun mula berjalan mengelilingi bukit sampah itu. Daripada berjalan dia mula menari-nari dan akhirnya mulutnya terkumat-kamit melafazkan sesuatu yang tidak dapat difahami seolah-olah seorang ahli sihir sedang membaca mantera. Dia terus menari mengelilingi api yang marak itu. Lagaknya seperti tarian Bon Odori, suatu tarian yang dipersembahkan semasa penghujung musim panas di Jepun. Dia terus menari tanpa mempedulikan matahari yang sedang menuju ke ufuk barat.

Inilah kisah Amnina Batrisya, seorang gadis 14 tahun yang berperangai aneh. Apakah yang telah terjadi sehingga dia boleh berkelakuan sebegitu? Adakah dia memang dilahirkan sebegitu atau ada sesuatu yang telah berlaku sehingga dia boleh jadi seperti itu? Persis orang gila gamaknya.

Next: BAB 1

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.