Home Novel Thriller/Aksi JIN GALAH
Bab 1 - LEMBAGA HITAM JATUH DARI LANGIT

BAB 1 – LEMBAGA HITAM JATUH DARI LANGIT

Halaman Rumah Azim. Pagi. Cuaca mendung sangat luar biasa.

“Putri, jangan pergi Putri, hari dah nak hujan ni. Duduk rumah saja.” Begitulah aku, Azim, menasihati adik kesayanganku yang comel, berwajah bulat dan berlesung pipit itu. Usianya baru sepuluh tahun.

“Alah, Abang, Kak Isma kan ada. Nanti Putri bawa payunglah.” Putri menempelkan mukanya di lengan Isma, gadis tingkatan satu yang lincah, bertudung merah jambu.

Isma tersenyum memandang Putri, sambil mengangkat keningnya beberapa kali. Biarpun baru tingkatan satu, tetapi badan Isma sudah menyerupai wanita yang dua tahun lebih tua berbanding usianya. Aku cuma mampu menggeleng-gelengkan kepala melihat gelagat dua sahabat akrab itu. Yang kecil itu memang susah hendak berenggang dengan si gadis ramping itu. Aku mengalah.

Aku merupakan pelajar tingkatan lima tahun ini. Biarpun sepatutnya tahun ini aku lebih fokus terhadap buku-buku untuk menghadapi SPM, ibu aku menggesa aku untuk mengambil lesen kereta. Adakah ibu bapa pelajar lain sama seperti ibu bapa aku?

Ayah aku? Ayah aku seorang yang aku sendiri pun tidak kenal. Aku cuma tahu hidup aku ditemani oleh dua orang wanita. Ibu aku dan adik aku. Ayah aku cuma tinggalkan sebuah rumah dan sebuah kereta.

Tiba-tiba hon berbunyi. Sebuah kereta dengan huruf L merah berlatar belakangkan petak biru berhenti di depan laman rumahku. Rupa-rupanya Pak Mat, cikgu sekolah memandu aku sudah sampai. Beruntung aku dapat cikgu sekolah memandu sebaik ini. Sampai ke rumah aku dicarinya. Aku ada ujian memandu hari ini.

“Putri, jangan lupa bawa payung!” Aku melaung sebelum melangkah masuk ke dalam kereta.

“Dah, kita gerak sekarang.” Pak Mat bersuara garau dan lantang. Jambangnya dicukur kemas. Berbaju kelabu cair dan seluar hitam.

Aku mengangguk. Kereta Pak Mat bergerak perlahan-lahan meninggalkan laman rumahku. Putri dan Isma melambai-lambai sambil tersengih ke arahku, sebelum berjalan beriringan meninggalkan rumah.

Tiba-tiba aku terbayangkan wajah ibuku. Dia berada di tempat kerja sekarang. Aku tidak pasti apa reaksi ibu aku jika dia tahu aku benarkan Putri berjalan-jalan di taman pada waktu cuaca mendung begini. Adakah aku seorang abang yang tidak bertanggungjawab? Entah kenapa, aku rasa berdebar-debar. Aku rasa tidak sedap hati kerana membenarkan Putri dan Isma pergi ke taman hari ini. Lain macam rasanya perasaan aku hari ini. Gelisah ada, murung pun ada. Sayu, sayu sekali.

“Pak Mat dah biasa tengok budak-budak berdebar. Berdoalah banyak-banyak, Azim. Moga lulus kali ini.” Sambil memandu, Pak Mat menjeling ke arah aku.

Betulkah perasaan kacau bilau aku ini disebabkan kerana aku bakal menghadapi ujian memandu sekejap lagi? Aku makin tidak sedap hati.


Sekitar bandar. Tengah hari. Cuaca mendung luar biasa.

Aku telah berjaya menyempurnakan ujian meletakkan kereta di parkir kereta dengan mudah. Aku juga telah berjaya melepasi ujian memandu kereta di atas bukit dengan sekali buat. Sekarang aku berada di ujian yang terakhir, memandu kereta di kawasan bandar.

Abang Ropi, yang duduk di sebelah kiri aku adalah penilai aku. Orangnya berwajah serius. Pendiam. Sekali-sekala dia mengomel perlahan-lahan sambil memandang helaian kertas permarkahan di papan bersais kertas A4. Usianya aku anggarkan sekitar 40 tahun. Muda lagi.

“Cuba kau belok kanan.” Sekali-sekala Abang Ropi akan mengeluarkan arahan. “Cuba potong kereta itu.”

“Tak boleh, Bang.” Cepat-cepat aku membalas.

“Eh, dah kenapa?” Abang Ropi membeliakkan matanya memandang ke arahku.

“Garisan berkembar, Bang.” Aku menjawab perlahan. Menjeling ke arahnya sekali. Aku rasa Abang Ropi cuba menguji aku.

“Bagus... bagus...” Abang Ropi mengangguk-angguk dengan wajah yang masih kelihatan serius. Dia menulis sesuatu di kertasnya.

“Eh, apa tu?” Abang Ropi tiba-tiba membongkok memandang ke cermin depan. Dia menghulurkan lehernya, kelihatan begitu takjub memerhatikan sesuatu di langit.

Aku rasa Abang Ropi sedang menguji daya tumpuanku memandu, jadi aku buat-buat tidak peduli. Aku terus memandu dengan tenang.

“Eh! Eh! Apa benda tu? Makin banyak pula yang jatuh dari langit? Pelik betul ni!” Kali ini Abang Ropi bersuara agak kuat seolah-olah dia betul-betul terkejut.

Aku menahan nafas, tidak mahu terpengaruh. Kuat betul cubaan Abang Ropi. Betul-betul mahu gagalkan aku!

“Brek! Brek!” Tiba-tiba Abang Ropi menjerit. “Boleh pula kau tenang dalam keadaan macam ini ya?”

Aku brek serta-merta. Kereta yang sedang aku pandu bergegar. Aku terkejut. Takkanlah dengan brek sebegini pun kereta boleh bergegar. Aku berpaling ke kiri, memandang ke arah Abang Ropi. Abang Ropi memandang ke arahku dengan mulut membulat membentuk huruf O. Rupanya kelihatan sangat terkejut.

“Kau nampak apa yang aku nampak?” Abang Ropi berpaling ke arah kirinya. Dia mengangkat tangannya, dan menunjukkan ke arah sesuatu, tidak jauh daripada kami dengan tangan kirinya. “Itu... kau nampak tak tu?”

Aku mengerutkan kening, cuba sedaya-upaya melawan kekuatan tali pinggang keledar yang menahan badanku untuk melihat ke tempat yang ditunjukkan oleh Abang Ropi. Aku nampak ada gumpalan seperti rumput-rumput kering yang sangat besar di situ.

“Benda tu.... jatuh dari langit!” Kata-kata Abang Ropi membuatkan aku terkejut. Aku tidak percaya.

“Tengok tu. Makin banyak tu!” Abang Ropi menunjukkan ke langit. Aku dapat melihat kebenaran kata-kata lelaki berusia 40 tahun itu. Beberapa gumpalan berwarna hitam bersaiz sebuah kereta berpusing-pusing gugur menembusi awan hitam dan jatuh ke bumi. Sebaik-baik sahaja gumpalan awan itu menghempas tanah, bumi bergegar. Jadi inilah puncanya, gegaran tadi.


Taman Permainan. Tengah hari. Cuaca mendung luar biasa.

“Kak Isma, kenapa semua orang lari sambil terjerit-jerit?” Putri terjun dari buaian lalu mendapatkan Isma. Isma yang masih terpinga-pinga memeluk Putri yang setinggi aras dadanya.

Isma cuba mengamati sekeliling taman permainan. Kedengaran bunyi angin bersiul-siul. Kawasan taman itu dipenuhi dengan pokok-pokok yang besar-besar dan rimbun-rimbun belaka. Ini menyebabkan pandangan Isma terlindung. Isma memimpin Putri yang masih ketakutan berjalan-jalan melepasi beberapa orang kanak-kanak dan dewasa yang berlari-lari ketakutan.

“Kak Isma, apa tu?” Tangan Putri menggigil semasa menunjukkan ke arah satu gumpalan rumput berwarna hitam yang bergolek-golek di atas padang. Lebih menakutkan apabila gumpalan rumput gergasi itu mengeluarkan bunyi bergempa dan bergetar seperti bunyi selepas guruh berdentum.

Bulu roma Isma meremang. Nalurinya menyuruh dia menarik Putri untuk menjauhi gumpalan rumput itu dan lari.

“Lari... Putri... kita kena lari!” Lutut Isma menggeletar, tetapi dengan secara spontan dia menggenggam pergelangan tangan Putri dengan kuat dan berlari. Putri kebingungan. Tiba-tiba dia tersadung lalu jatuh.

Ketika itulah gumpalan rumput kering berwarna hitam itu bergolek-golek ke arah Putri dan Isma. Apabila semakin dekat gumpalan rumput itu berhenti dan perlahan-lahan berubah kelihatan seperti satu lembaga berbentuk manusia yang sedang duduk mencangkung. Lembaga hitam dengan beribu-ribu urat-urat hitam kasar dan halus yang menjalar bersimpang siur di seluruh badannya bangkit, dan kemudian berdiri tegak di depan Putri dan Isma. Tingginya seperti pokok kelapa.

Putri menjerit ketakutan. Isma tercengang melihat raksasa hitam yang tinggi lampai itu. Raksasa hitam itu berwajah lonjong, dan kepalanya bersambung terus dengan dadanya. Dia membuka rahang mulutnya perlahan-lahan, menampakkan gigi-gigi runcing yang panjang-panjang.

“ Jhinnnn...” Makhluk hitam itu berbunyi. Suaranya bergetar, sangat dalam dan garau.

“Ghaaaaaaa... lhahhh...” Kemudian makhluk hitam itu membuka mulutnya, terhembus nafas berbahang panas dari mulutnya, menyapa wajah Isma dan Putri. Rahang raksasa itu terbuka sangat luas seperti mahu menelan Isma dan Putri.

Jin Galah. Itulah perkataan yang terlintas di fikiran Isma. Makhluk yang berupa buruk dan dahsyat seperti jin dan tinggi menggalah!

Isma dan Putri berundur perlahan-lahan. Ketika itulah Isma terpandang ke arah satu sudut yang lain. Dia ternampak seekor lagi raksasa kira-kira seratus meter dari situ. Raksasa yang rupanya lebih kurang sama dengan raksasa yang sedang dihadapi oleh mereka berdua. Raksasa itu sedang menggenggam sesuatu di kedua-dua belah tangannya yang berjari panjang dan runcing. Di genggaman kirinya kelihatan sepasang kaki dengan badan, dengan sedikit usus perut yang terburai. Di genggaman kanannya pula kelihatan kepala dan badan manusia yang sudah remuk dikunyah dengan dua lengan yang terkulai layu. Raksasa ini makan orang!

Isma lari. Lari lintang-pukang sambil menjerit perkataan ‘jin galah’ berulang-ulang kali. Isma lupa tentang Putri. Di dalam otaknya, cuma terbayang mata Jin Galah yang terbeliak dengan rahang yang menganga luas seperti mahu menelannya.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.